
Lebih setahun menyimpan kisah hati daripada pengetahuan umum, penyampai radio Era, Radin akhirnya membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila selamat bergelar suami kepada pilihan hati, Nur Amirah Shamsulbahrin.
Majlis walimatulurus Radin dan Amirah berlangsung penuh indah pada 1 Mei lalu dalam suasana serba putih, disaksikan keluarga, sahabat handai, rakan-rakan selebriti serta tetamu kenamaan yang hadir meraikan hari bahagia mereka.
Dengan hanya sekali lafaz, Amirah, 37, sah menjadi suri hati kepada Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 36. Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Bukit Antarabangsa, Ustaz Abd. Hakim Abdul Rahman.
Pada majlis tersebut, Radin menyerahkan mahar berupa pohon emas sakura bernilai RM15,020.26 sebagai simbolik kepada tarikh mereka disatukan sebagai suami isteri.
Namun di sebalik kemeriahan majlis, ada satu momen yang cukup menyentuh hati. Sewaktu akad berlangsung, wajah Allahyarham ibu dan bapa Radin dipaparkan pada skrin besar menggunakan imej hasil kecerdasan buatan, AI.
Paparan itu seolah-olah menggambarkan kedua-dua insan tersayang tersebut turut berada di dalam dewan menyaksikan hari bahagia anakanda tercinta.
Momen penuh emosi itu nyata mengundang sebak seluruh dewan yang dihadiri kira-kira 500 tetamu. Pastinya, kehadiran ‘mereka’ dalam bentuk visual menjadi kenangan yang amat bermakna buat Radin pada hari paling penting dalam hidupnya.
Antara figura terkenal yang turut sama meraikan pasangan mempelai ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, selain rakan-rakan selebriti seperti Erra Fazira, Bella Astillah, Syed Saddiq, Nabila Razali serta rakan penyampai radio Era.
Majlis bertemakan serba putih itu turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi terkenal, Anuar Zain dan kumpulan Rabbani.
Berkongsi mengenai hubungan mereka, Radin mendedahkan dia dan Amirah sepakat untuk merahsiakan kisah cinta tersebut sehinggalah tiba hari mereka disatukan sebagai suami isteri.
“Kami berdua bersetuju untuk merahsiakan hubungan sehinggalah hari kami disatukan sebagai suami isteri yang sah.
“Sejujurnya rakan-rakan media yang saya jemput pun adalah untuk sama-sama meraikan hari bahagia saya dan bukannya untuk datang bekerja. Kerana yang saya jemput ini merupakan sahabat saya,” katanya.
Ditanya mengenai keistimewaan Amirah yang juga seorang peguam, Radin tidak berselindung mengakui dirinya tertarik dengan kejujuran dan keikhlasan wanita tersebut.
Lebih menyentuh hati, Radin turut menerima Amirah seadanya, termasuk status wanita itu sebagai ibu tunggal kepada tiga orang anak. Bagi Radin, perkara itu tidak pernah menjadi penghalang untuk dia meneruskan niat membina rumah tangga bersama wanita pilihannya.
“Saya terus terang di sini, Mira ibu tunggal yang memiliki tiga orang anak. Namun perkara tersebut tidak menjadi penghalang buat saya.
“Saya suka dia kerana di sebalik wajahnya yang kelihatan lembut dan sopan, dia mempunyai karakter yang menarik,” kongsinya.
Sementara itu, bagi Amirah, ketulusan hati Radin menjadi antara sebab utama dirinya jatuh cinta. Sikap penyampai radio itu yang pandai mengambil hati anak-anaknya membuatkan Amirah semakin yakin untuk melangkah ke fasa baharu bersama lelaki tersebut.
“Radin sangat baik hati. Dengan semua orang. Tak kira siapa pun. Dia akan utamakan orang lain sebelum diri dia.
“Anak-anak sangat seronok bila bersamanya. Radin seorang yang penyayang dan mudah sesuaikan diri dengan keadaan dan sesiapa sahaja,” ujar Amirah.
Menggalas dua peranan besar serentak sebagai suami dan bapa kepada tiga anak, Radin mengakui dirinya sudah bersedia memikul amanah tersebut.
Baginya, kehadiran anak-anak Amirah bukan satu bebanan, sebaliknya tanggungjawab baharu yang perlu dilaksanakan dengan penuh kasih sayang.
“Saya ada Mira. Dia akan tolong dan bersama-sama dengan saya dalam melayari bahtera ini bersama anak-anak kami. Saya tidak pernah rasa ini satu bebanan, ini satu tanggungjawab yang baharu,” katanya.
Indahnya kenyataan itu kerana Radin melihat perkahwinan bukan hanya tentang cinta antara suami dan isteri, tetapi juga tentang menerima seluruh kehidupan pasangan. Apabila memilih untuk bersama, maka anak-anak juga menjadi sebahagian daripada amanah yang perlu dijaga.
Tidak dinafikan, bukan mudah untuk terus memikul peranan sebagai bapa, apatah lagi kepada anak-anak yang sedang melalui perubahan dalam kehidupan mereka. Namun, sikap Radin yang terbuka dan penyayang membuktikan bahawa kasih sayang tidak semestinya terikat dengan pertalian darah.
Selepas selesai majlis perkahwinan, Radin memaklumkan dia dan isteri merancang untuk berbulan madu di kota suci Mekah selepas sambutan Hari Raya Aidiladha nanti.
Semoga rumah tangga yang dibina Radin dan Amirah terus dilimpahi bahagia, kasih sayang serta keberkatan. Moga kehadiran anak-anak menjadi penyeri dalam keluarga kecil mereka dan menjadi asbab bertambahnya rezeki serta kebahagiaan buat pasangan ini.
Benarlah, apabila hati ikhlas menerima, tanggungjawab yang besar tidak terasa sebagai beban. Sebaliknya, ia menjadi amanah indah dalam membina sebuah keluarga bahagia.
BACA LAGI : “Bukan Jasad Sahaja Tapi Hilang Doa Ibu.” Kehilangan Ibu Amat Dirasai- Radin
Sumber : Kosmo