
Reen Rahim meluahkan rasa bahagia apabila bapanya akhirnya menyatakan kesediaan untuk bersara selepas bertahun-tahun bekerja keras demi keluarga. Tiada yang lebih membahagiakan hati seorang anak apabila dapat melihat ibu dan ayah akhirnya berehat selepas sekian lama berkorban.
Bagi Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 38, saat tersebut cukup menyentuh hati kerana sejak kecil dia sudah menyimpan impian untuk menjaga serta menanggung kedua-dua ibu bapanya apabila sudah berkemampuan.
“Semalam bila Baba cakap dia dah ready nak bersara, ALLAH sahaja tahu perasaan aku. Macam… ‘Eh betul ke ni? Akhirnya nak rehat?’
“Aku relaks sahaja senyum, tapi dalam hati nak nangis. Sebab dari kecil memang ada dalam senarai hidup aku, satu hari nanti bila dah mampu, aku nak jaga Baba dengan Amie,” luahnya.
Menurut Reen, dia tidak menjanjikan kehidupan mewah buat kedua-dua orang tuanya, namun mahu memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa tanpa perlu lagi memikirkan soal pekerjaan.
“Tak janji hidup mewah, private jet memang tak ada. Tapi insya-ALLAH cukup untuk Baba tak perlu fikir nak kerja lagi. Cukup untuk dia rehat dan tahu, kali ini ada orang jaga dia.
“Sebab sepanjang hidup Baba, dia yang jadi tempat semua orang bergantung. Dia kerja, dia tanggung, dia fikir dan selesaikan semua perkara sampai mungkin dia sendiri terlupa macam mana rasanya jadi orang yang dijaga,” katanya.
Kata-kata itu cukup menggambarkan betapa besarnya pengorbanan seorang bapa yang selama ini menjadi tonggak utama keluarga.
Selepas sekian lama memikul tanggungjawab tersebut, Reen Rahim mahu giliran anak-anak pula mengambil alih peranan itu.
Dalam nada berseloroh tetapi penuh kasih sayang, Reen meminta bapanya menyerahkan segala tanggungan keluarga kepada anak-anak dan menikmati waktu persaraan dengan tenang.
“So Baba… dah cukup. Baba dah boleh rehat tanpa fikir tanggungan, pas pada kami. Baba, your shift is over! Sekarang biar kami pula, tugas awak doa sahaja. Love you, Baba,” katanya.
Reen Rahim turut menitipkan doa agar semua ibu bapa dikurniakan usia yang panjang supaya anak-anak mempunyai lebih banyak masa untuk membahagiakan mereka.
“Semoga ALLAH panjangkan umur semua mak bapak kita dan bagi kita lebih banyak masa untuk bahagiakan mereka. Walaupun esok lusa kita mungkin gaduh balik sebab tak sebulu tu tetap tak sebulu… jangan over sangat,” selorohnya.
Hakikatnya, jasa ibu dan ayah mungkin tidak mampu dibalas sepenuhnya. Namun selagi mereka masih ada, setiap peluang untuk menjaga, menemani dan membahagiakan mereka adalah sesuatu yang sangat berharga.
Bagi seorang anak, peluang untuk melihat ibu dan ayah berehat selepas bertahun-tahun bekerja mungkin menjadi antara nikmat paling besar. Ia bukan semata-mata soal kemampuan kewangan, tetapi peluang membalas kasih sayang dan pengorbanan yang telah diberikan sejak kecil.
Sekadar info, Reen Rahim merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin, pada 24 Disember 2022.
BACA LAGI : “Gembira Cara Tersendiri” Netizen Terhibur Tengok Gelagat Reen Rahim Dan Suami
Sumber : IG Reen Rahim