Setelah lebih setahun status rumah tangga antara pelawak dan pengacara, Shuk Sahar & passangannya, Rossa Sera menjadi tanda tanya, akhirnya semua terjawab apabila Shuk mendedahkan mereka akhirnya membuat keputusan untuk bercerai.
Menurut laporan mStar, Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar telah melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.
Difahamkan, pasangan tersebut telah sebulat suara membuat keputusan untuk meneruskan kehidupan mengikut haluan masing-masing dan persetujuan itu dilakukan selepas balik mengerjakan ibadah umrah awal tahun lalu.
“Betul kami telah sah bercerai pada 22 Mac lalu dengan talak satu.
“Selepas pulang umrah bersama, kami duduk berbincang, bercakap secara elok dan membuat keputusan untuk bercerai. Kami berpisah dengan baik,” katanya.
Walaupun sudah berpisah, namun pelawak yang berusia 37 tahun itu mahu terus menjaga hubungannya bersama anak-anak memandangkan mereka tinggal bersama ibunya di Sabah.
Bagaimanapun, perpisahan yang berlaku menjadikan teladan buat Shuk untuk menjadi seorang lelaki yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Sekarang ini saya hanya fokus kepada anak-anak sahaja. Mereka (anak-anak) tinggal di Sabah bersama ibu Sera sebab anak yang sulung sudah mula sekolah darjah satu.
“Apa yang berlaku ini menjadi teladan buat saya memperbaiki diri. Selama ini kita cuba cari haluan masing-masing untuk perbetulkan diri sendiri.
“Semoga saya akan menjadi orang yang lebih di masa akan datang,” jelasnya lagi.
Pada November 2021, Sera memaklumkan dia sudah memfailkan cerai terhadap Shuk dan akan menerima keputusan mahkamah selepas pulang mengerjakan umrah.
Sekadar info, Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Wurratu Ain, 6, dan Nur Assyifatu Aimi, 3.
Sumber: mStar (Farol Hadi)
https://youtu.be/dUpt50y0xaQ
Mak Ayah Patut Praktikkan Langkah Ni Pada Anak Jika Rumah Terbakar, Penting Ni!
Kemalangan berlaku tanpa kita duga. Kebakaran yang tiba-tiba berlaku di rumah juga menjadi satu tragedi yang tak mampu kita jaga. Bila berdepa dengannya pasti kita cemas.
Menghadapi kebakaran memang langsung tidak terfikirkan oleh kita. Namun api yang kecil yang kemudian menjadi marak, adalah lawan yang tak termampu untuk kita tangani. Sebagai ibu bapa apa yang boleh kita lakukan adalah sentiasa mengingatkan anak-anak kita.
Paling penting kena beritahu anak-anak apa yang boleh kita lakukan sebagai ilmy asas untuk bertindak. Ajarkan langkah ini.
Jika kebakaran berlaku, persiapkan ilmu untuk mereka dan ajar mereka untuk bertindak. Ini antara yang boleh ibu dan ayah bekalkan sebagai ilmu untuk anak-anak.
1. Tenang saat menghadapi kebakaran. Jangan cemas! Bila tenang, otak akan dapat berfikir dengan baik apa tindakan yang harus kita buat.
2. Jika kebakaran kecil dan masih boleh diatasi, segera padamkan dengan alat pemadam yang ada seperti APAR (Alat Pemadam Api Ringan) atau dengan kain atau guni yang dibasahi air.
3. Jika kebakaran disebabkan oleh litar pintas, segera matikan suis utama di rumah kita. Perlu segera bertindak!
4. Tutup kawasan terjadi kebakaran agar tidak menjalar ke ruang lain tetapi jangan dikunci.
5. Jika kebakaran besar, segera keluar rumah dan ajak semua keluarga meninggalkan rumah dengan segera!
6. Jangan sibukkan diri untuk mengumpulkan barang di dalam rumah. Jika kesemua barang berharga ini mampu dicapai dengan mudah, langkah ini mungkin boleh anda lakukan. Jika tidak, tinggalkan sahaja. Nyawa anda dan keluarga lebih penting!
7. Berjalanlah dengan tenang, jangan lari dan jangan panik.
8. Ketika berjalan atau berlari, peluk anak-anak yang masih kecil dan ucapkan kata-kata yang baik buat mereka.
9. Jika asap tebal ketika berjalan atau dalam satu kawasan, tutup hidung dengan baju dan jangan sampai anda dan anak-anak menyedut asap.
10. Jika melalui pintu yang tertutup, periksalah suhu terlebih dahulu dengan meletakkan belakang telapak tangan di pintu. Kemudian pegang tombol pintu, jika panas tukar jalan lain untuk keluar.
11. Usahakan untuk berada di kawasan yang terbuka luas untuk bernafas. Cari kawasan yang anda pasti selamat untuk anda dan anak-anak!
Tip Keselamatan Keluarga
Ini yang dikongsikan oleh seorang lelaki yang pernah menghadapi saat kebakaran di rumahnya. Apa yang boleh dikongsikan olehnya adalah sentiasa beringat dan buat beberapa langkah penting untuk menghadapi saat luar jangka seperti ini. Ini yang patut ibu ayahlakukan di rumah.
Tip 1: Pastikan rumah anda mempunyai dua pintu untuk keluar masuk dengan mudah. Ini penting dan pintu ini jugalah yang akan menjadi penyelamat anda kelak.
Tip 2: Pastikan jalan menuju ke pintu ini tidak dihalang oleh susunan perabot atau barang yang buat anda sukar nak bergerak. Bila berlaku kebakaran, pasti laluan lebih lancar.
Tip 3: Buat kunci pendua. Letakkan pada dua atau tiga kawasan berbeza dan paling penting mudah dicapai ketika anda tidur. Ketika panik, anda hanya mampu capai apa yang ada di depan mata sahaja!
Tip 4: Beli alat pemadam api di rumah. Beli Fire Extinguishers jenis ABC powder untuk kebakaran jenis kertas, kayu, elektrik dan gas. Tak mahal pun, sekitar RM110 sahaja.
Tip 5: Tak salah kalau anda nak beli dan pasang alat pengesan asap kebakaran atau smoke detector fire safety di rumah. Bila menyedari ada asap yang muncul, alat pengesan ini akan berbunyi. Lebih selamat!
Tip 6: Kalau ada duit lebih lagi elok juga belikan selimut tebal atau fire blanket, khusus untuk memadamkan api.
Tip 7: Kena latih isteri dan anak-anak jika berlaku kemungkinan kebakaran. Ajar apa yang kita patut buat seperti langkah di atas.
Ini sangat penting!
“Mochi Tahu Abi ‘Disimpan’ Dalam Tanah Tu..,”-Isteri Kongsi Momen Kucing Kesayangan Luah Rindu!
Kehilangan insan tersayang apatah lagi orang yang menjadi tempat bergantung bagi seorang isteri tentunya memberi kesan kesedihan yang begitu mendalam di hati. Ujian berat ini bukan mudah untuk ditempuhi.
Pun begitu siapa sangka kesedihan yang sama juga turut dirasai oleh kucing kesayangan terhadap tuannya itu.
Ini sebagaimana perkongsian video di tiktok, Nur Salsabiha Mohd Sobri Yusoff, memaparkan kucing kesayangan arwah suami, Mohd Faizul Malik, apabila di bawa ke tanah perkuburan seolah-olah kucing betina yang diberi nama Mochi itu ‘memeluk’ dan mencium pusara tuannya. Tindakan tersebut mencuri tumpuan warganet dan ramai menyatakan seakan itulah cara Mochi melepaskan rindu.
Berkongsi lanjut sebagaimana memetik berita di Harian Metro, difahamkan arwah suaminya adalah merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA 3), Langkawi dan telah pun meninggal dunia pada 16 Mac lalu selepas sehari bertarung nyawa akibat kemalangan motosikal.
Jaga Mochi Ketika Masih ‘Bayi’
Menurutnya, Mohd Faizul sebelum ini bertugas di Sabah dan baru enam bulan bertukar ke Langkawi serta turut membawa Mochi tinggal bersamanya sebagai peneman di kuarters, sementara dia tinggal di Alor Star kerana berkerja di Pulau Pinang.
“Kami berkahwin pada Disember 2021 dan sepanjang tempoh itu kami duduk berasingan. Apabila dapat bertukar ke Langkawi, suami bawa Mochi yang ketika itu masih ‘bayi’ duduk bersama.
“Hubungan mereka memang rapat kerana suami memang suka kucing, malah suami gelarkan ‘abi’ dan saya ‘umi’ pada kucing kami, kebetulan kami juga masih belum ada rezeki anak sendiri.
“Suami layan Mochi macam anak sendiri, sangat manjakan malah makan juga diberi atas tangannya dan dia akan ‘grooming’ Mochi setiap minggu. Kalau saya balik rumah dan duduk dekat suami, Mochi akan gigit saya sebab cemburu,” katanya.
Kerana Rindu Mochi Tidak Aktif
Katanya, Mochi adalah anak kepada kucing yang dinamakan Mochiko yang juga hadiah Mohd Faizul untuknya sempena pertunangan mereka.
“Selepas suami meninggal dunia saya bawa Mochi tinggal bersama saya tetapi Mochi nampak sedih, seperti tercari-cari seseorang dan sudah tidak aktif seperti selalu.
“Saya cuba beri baju arwah suami dan ia cium baju itu. Saya percaya Mochi juga sedih dan rindu suami sama seperti saya merindukan arwah,” katanya.
Akan Terus Jaga Mochi
Pekerja bank itu berkata, dia membawa Mochi pulang ke kampung suami di Pasir Mas, Kelantan untuk menziarah kubur Mohd Faizul dan kucing itu terus duduk di tepi kubur.
“Mochi terus duduk di tepi kubur suami sebaik saja saya keluarkan ia daripada beg, ia hidu tanah itu dan cium batu nisan, malah ada ranting kecil atas kubur suami, ia gigit letak ke tepi.
“Mochi juga tak pergi ke kawasan lain ia hanya pusing di sekitar kubur suami saja dan apabila saya cuba angkat nak letak dalam beg semula ia tidak mahu. Mochi tahu abi ‘disimpan’ dalam tanah itu,” katanya.
Katanya, selepas dibawa ke kubur, Mochi dilihat sudah kembali aktif dan boleh bermain seperti kebiasaannya.
“Saya dan suami sudah ada perancangan mahu ambil gambar raya keluarga bersama kucing kami tetapi sudah takdir dia pergi dulu.
“Saya akan jaga Mochi dan Mochiko dengan baik, tak sampai hati nak serahkan pada sesiapa sebab mereka adalah kenangan saya bersama suami,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
“Untuk Bahagia Kita Perlu Membahagiakan…” Cikgu Ni Kongsi Pengalaman Hidup, Jadikan Inspirasi.
Setiap kesenangan yang dikecapi hari ini tidak mustahil sebelum itu punya jalan ceritanya yang tersendiri. Mungkin orang melihat kehidupan kita sekeluarga nampak senang semua ada, namun kesusahan hidup tiada siapa pun tahu melainkan diri sendiri.
Ini sebagaimana apa yang dikongsikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini, semoga kisah pengalaman hidupnya ini dapat menyuntik inspirasi buat yang membaca.
Ini perkongsiannya.
“Cikgu tak apalah. Banyak duit, boleh la melancong sana sini bawa family. Kami yang biasa-biasa ni mana la mampu.”
Aku kahwin 11 Jun 2009. Dari hari pertama perkahwinan hingga Disember 2018, aku tak pernah bawa keluarga melancong ke mana-mana.
Hampir 10 tahun perkahwinan, kami hanya ke tempat yang dekat dengan rumah seperti pantai, air terjun, supermarket or pasar malam je.
Gitu je lah pusing-pusingnya dalam tempoh hampir 10 tahun perkahwinan. Pergi pasar malam bawa isteri dan anak-anak tu umpama bawa mereka menikmati sakura gugur di Jepun dah rasa masa tu.Kerana hanya itu kemampuan aku.
Kegembiraan Buat Keluarga
Aku cuma cikgu biasa. Gaji kecik, hidup pula dikota raya yang sangat menyesakkan dada. Namun aku ada satu semangat. Aku ada satu rasa tanggungjawab. Aku ada satu kemahuan yang tinggi.
Aku ada satu perasaan yang ingin memberi kegembiraan dan kebahagiaan seberapa banyak yang aku mampu kepada keluarga aku.
Tapi aku poket aku tak mampu. Memang tak sampai akhir bulan dah kekeringan. Aku takkan sesekali membuat pinjaman hanya untuk berjoli sakan dan enjoy sana sini. Bukan begitu caranya.
Keluar Pagi Balik Pagi
Tahun demi tahun, tanggungjawab makin bertambah dengan bilangan anak dan kos sara hidup. Bermula 2015 aku tidak lagi boleh mengharap gaji secara bulanan. Aku mula menjual air tin, menjual air mineral. Jam 2 pagi ke NSK mencari air.
2016 aku jual kasut bundle di downtown Cheras. Masa tu mengajar sesi petang. Balik saja sekolah, mandi, makan nasi, terus angkut kasut muat but buka meja di downtown.
Dari jam 8 malam keluar, pulangnya jam 5 pagi. Tidur sekejap bangun ke sekolah pula. Begitulah rutinnya. Jual air tetap jual juga.
Kerja macam kerbau. Aku dah kerja mengalahkan kerbau. Masa rehat kerbau lagi banyak dari masa rehat aku. Keluar pagi balik pagi. Dah macam zombie aku rasa. Masa dengan keluarga makin tiada. Sedangkan kewangan tak adalah berubah sakan. Ada la skit-sikit tambahan.
Masa ni aku duduk berfikir. Kenapa rezeki aku sempit. Kenapa susahnya nak tarik rezeki. Kenapa Tuhan bagai menjauhkan rezeki dengan aku. Aku duduk, aku fikir, aku muhasabah diri betul-betul. Di mana silapnya. Kenapa begitu kejam kehidupan pada aku.
Aku bukan meminta lebih. Aku tak minta Ferrari. Aku tak minta rumah agam. Aku tak minta gaji beratus ribu sebulan. Aku cuma mahu kehidupan yang lebih selesa buat keluarga aku.
Aku rasa loser gila. Simpanan langsung tak ada. Apa yang dicari, cepat sahaja habis entah ke mana. Sedangkan aku tak mencuri, segala modal kerja buat aku modal yang halal.
Abah dan ma perasan aku memang kacau masa ni. 2016 tahun betul-betul ujian buat aku. Hubungan dengan isteri jadi jauh. Selalu juga bermasam muka. Aku pula jenis tak pernah meluah apa-apa masalah kepada sesiapa. Tidak kepada isteri. Tidak juga kepada ma dan abah.
Namun naluri seorang ibu tu tinggi. Sangat tinggi. Dia tahu aku tengah sangat susah. Ma tahu aku sangat serabut. Ma dapat rasakan hidup aku penuh kekacauan. Ma telefon aku,
“Li. Kembali pada Tuhan. Kita hidup berTuhan. Solat kena jaga. Jauhi maksiat. Jauhi segala benda yang Tuhan haram. Li kena pergi Mekah sucikan diri. Buang segala kekotoran yang melekat tu. Minta sungguh-sungguh pada Tuhan. Menangis, mohon betul-betul.”
“Nak pergi macamana, Li tak ada duit. Langsung tiada simpanan ni. Tak apalah. Ma ada simpan duit yang anak-anak bagi. Yang abah bagi saban bulan. Pergilah.”
3 minggu sahaja dari tarikh ma call aku, aku sudah memijak tanah haram. Seorang diri aku pergi mencari diri yang hilang. Mencari tujuan hidup yang makin kelam. Mencari kebahagiaan yang makin terendam.
Aku hadap segala ujian sendiri di sana. Demam seorang diri. Menggigil seorang diri. Aku panjat Bukit Ajyad. Aku cari tok guru orang kita yang menetap di sana.
Aku minta mereka doakan aku. Setiap orang asing yang aku temui sepanjang jalan menuju Masjidilharam, aku minta mereka doakan kau.
“Doa ana.”
Itu je yang aku ucap setiap kali jumpa sesiapa yang mendekati aku.
Untuk Bahagia Perlu Membahagiakan
Sebaik pulang dari umrah, aku merenung lebih dalam. Aku membaca perkongsian positif yang ada. Aku cari di mana punca keberkatan rezeki. Aku mencari bagaimana untuk hidup bahagia.
Dan apa yang aku jumpa, untuk bahagia kita perlu membahagiakan.
Dari situ aku turun padang membantu fakir miskin dan anak-anak yatim. Walau masa tu aku sendiri tak berduit, namun aku bantu sekadar yang mampu.
Setiap kali ziarah, aku minta mereka doakan aku dan para penyumbang.
“Doakan saya. Doakan saya. Doakan saya.”
Itu yang aku duduk ulang-ulang dari dulu. Benarlah, bila kita bantu orang, Tuhan akan hantar orang baik-baik mendekati kita. Yang percaya pada kita. Yang sudi mengirim duit sampai puluhan ribu pada aku untuk disalurkan kepada orang miskin dan anak yatim.
Betapa mereka percaya pada aku yang bil letrik tertunggak, yang bank call nak tarik kereta. Mereka serah bulat-bulat tanpa minta bukti, tanpa usul periksa.
Dan inilah ujian yang besar. Ujian keikhlasan dan ujian amanah orang.
Aku sampaikan 100% kiriman orang. Tidak ada seringgit aku ambil untuk diri waima untuk mengisi minyak motor. Tiada seringgit aku ambil untuk buat makan nasi walau aku tak berduit sesen untuk membeli makanan tika itu.
Itu amanah orang. Abah pesan, jaga amanah lebih dari jaga nyawa sendiri. Aku pegang itu ketat-ketat dalam hati.
2017 aku mula menulis buku. Walau keuntungan kecil, aku terus saja. Senaskah buku yang dijual, royalti aku sekitar RM1 sahaja. Kalau aku jual sendiri, dapat la dalam RM5 untung senaskah.
Walau senaskah orang nak COD, aku tunggu tepi jalan kadang sampai sejam. Hanya untuk RM5 tuan tuan.
Apa yang aku dapat, aku simpan sebahagian, sebahagian yang lain aku bagi kat ma abah, sebahagian yang lain aku belanja isteri dan anak-anak, sebahagian yang lain aku sedekahkan yang aku sendiri sampaikan dengan tangan ini.
Dari situ bermula perubahan dalam ekonomi aku. Tuhan kirim puluhan ribu netizen follow aku. Tuhan kirim orang baik-baik mendekati aku. Tuhan kirim orang-orang berjaya mendekati aku.
Mereka dengan rela, mereka dengan ikhlas mengheret tangan aku membuka peluang aku bekerjasama dengan mereka. Mereka ajar satu persatu dengan rela tanpa caj apa-apa.
Mereka hanya ingin berkawan dengan seorang cikgu biasa yang tiada apa-apa ini.
Mereka tidak kisah duduk semeja dengan orang yang bil letriknya dah sampai surat merah, yang saban bulan makan berhutang di kantin.
Sedikit demi sedikit aku mula menyimpan. Aku main kutu, aku potong tabung haji. Dan aku perbanyakkan sedekah dan zakat. Nafkah untuk isteri, duit bulanan untuk ma dan abah aku naikkan dari masa ke semasa bila income bertambah.
Aku tidam enjoy untuk diri sendiri. Tidak.
Aku masih naik Ex-5 buruk yang dibeli second hand sahaja. Telefon aku telefon second hand juga. Ada lebih, aku simpan sebahagian, beri pada keluarga sebahagian, dan sebahagian wajib untuk sedekah dan zakat.
Dan buat kali pertama aku bawa isteri, anak-anak, mak dan adik-adik ipar melancong ke Kundasang, Sabah pada 10 Disember 2018.
Itulah kali pertama kami melancong setelah simpanan dan kewangan aku makin kukuh. Ya tuan tuan. Kalian yang baru follow aku, inilah antara kisah kehidupan aku. Aku bukan kaya asal.
Aku bukan lahir atas dulang emas. Aku makan tidak disuap oleh dayang. Aku usaha. Aku usaha. Aku usaha. Dan yang pasti, kembalilah pada Yang Maha Esa. Kunci segala bahagia, kunci segala rezeki, kunci segala rahsia ada ditanganNya.
Semoga sedikit perkongsian ini tidak membuat aku rasa lebih dari sesiapa. Aku cuma seorang hamba. Aku cuma seorang bapa. Aku cuma seorang suami. Aku cuma seorang lelaki yang gigih mengubah nasib diri demi keluarga.
Aku sentiasa berdoa agar aku sentiasa menunduk. Tidak sombong tidak ujub.
“Tuhan jangan kau izin aku lupa. Jangan kau biarkan aku mendepang dada. Pasakkan hatiku pada kaki. Paksakan ku tunduk sehingga mati.”
– Terbang Tunduk –
sumber : Mohd Fadli Salleh