
Gambar Hiasan AI
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempertimbangkan semula pelaksanaan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah sekiranya keadaan ekonomi kembali seperti sedia kala.
Keputusan itu dimaklumkan selepas Jabatan Agama Islam Selangor baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berhubung larangan sambutan Hari Guru bagi institusi di bawah seliaannya. Larangan tersebut dibuat bagi mengelakkan ibu bapa atau penjaga terbeban dengan kos penyediaan hadiah kepada guru.
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, keputusan itu diambil selepas pihaknya melihat wujud kesan kepada ibu bapa atau penjaga, terutama apabila sudah menjadi kebiasaan menyediakan hadiah kepada guru atas permintaan anak-anak.
Dalam keadaan ekonomi semasa, JAIS berpandangan perkara tersebut perlu dihentikan buat sementara waktu kerana boleh memberi kesan kewangan kepada keluarga.
Bagi sesetengah ibu bapa, membeli hadiah untuk guru mungkin tidak menjadi masalah. Namun bagi keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah, komitmen seperti ini tetap boleh memberi tekanan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan beberapa orang guru bagi setiap anak.
Memetik kenyataan JAIS, sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah akan dipertimbangkan semula apabila keadaan kembali seperti sedia kala.
“JAIS akan mempertimbangkan untuk Sambutan Hari Guru dibuat semula di peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan kembali seperti sedia kala.
“Beberapa perkara berkaitan pelaksanaan sambutan itu juga akan dinilai semula termasuk tempoh masa sambutan agar tidak mengganggu proses pembelajaran serta tentatif yang lebih ringkas dan selaras untuk semua sekolah di bawah seliaan JAIS,” katanya.
Pada 7 Mei lalu, JAIS telah menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran jabatan itu supaya tidak mengadakan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah atau daerah.
Walaupun sambutan di peringkat sekolah dan daerah tidak dibenarkan buat masa ini, JAIS menegaskan pihaknya bersama Majlis Agama Islam Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor tetap menghargai jasa serta pengorbanan guru dalam mendidik pelajar.
Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor tetap akan diadakan pada 12 Mei ini bagi memberi pengiktirafan kepada tokoh guru serta sekolah cemerlang.
Majlis tersebut difahamkan melibatkan peruntukan melebihi RM200,000 daripada MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor dalam bentuk wang tunai serta geran kepada penerima yang dipilih.
“Majlis itu melibatkan peruntukan melebihi RM200,000 daripada MAIS dan kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai serta geran kepada penerima yang dipilih,” jelas beliau.
Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang kurang bersetuju apabila sambutan peringkat negeri tetap diteruskan dengan peruntukan besar, sedangkan sambutan di peringkat sekolah dan daerah tidak dibenarkan atas alasan mengelakkan beban kewangan kepada ibu bapa.
Dalam masa sama, ada juga yang berpendapat ibu bapa sebenarnya tidak semestinya perlu membeli hadiah mahal untuk guru. Bagi mereka, penghargaan kepada guru boleh dizahirkan dengan pelbagai cara lain yang lebih sederhana tetapi tetap bermakna.
Sebahagian netizen turut berkongsi bahawa kebiasaannya murid hanya membeli barangan murah seperti di Eco Shop, DIY atau menghasilkan sendiri hadiah berbentuk kraf tangan. Ada juga pelajar yang membuat persembahan, aktiviti sukaneka atau acara ringkas menggunakan kelengkapan yang sudah sedia ada di sekolah.
Apa yang penting, sambutan Hari Guru tidak seharusnya diukur pada nilai hadiah atau kemeriahan majlis semata-mata. Nilai sebenar sambutan itu terletak pada rasa hormat, kasih sayang dan penghargaan murid terhadap insan yang mendidik mereka.
Keputusan JAIS untuk menilai semula sambutan Hari Guru dilihat sebagai usaha mencari jalan terbaik agar majlis penghargaan kepada guru dapat diteruskan pada masa akan datang dengan cara yang lebih ringkas, tersusun dan tidak membebankan mana-mana pihak.
Semoga apa jua keputusan selepas ini dapat mengambil kira kepentingan semua pihak. Guru terus dihargai, ibu bapa tidak terbeban, manakala anak-anak pula belajar bahawa tanda terima kasih yang paling indah datang daripada adab, kasih sayang dan keikhlasan hati.
BACA LAGI : Hadiah Hari Guru, Dua Beradik Beri Enam Ekor Ikan