“Sedih Sangat, Nak Masuk Rumah Kena Korek Tanah Dulu.” Fizz Fairuz Sebak Kongsi Pengalaman Ikuti Misi Bantuan Banjir!

Share

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Melihat kemusnahan dan penderitaan mangsa banjir dengan mata sendiri nyata cukup menyentap naluri pelakon, Datuk Fizz Fairuz.

Dalam satu perkongsian baru-baru ini, Fizz Fairus bersama- sama menjayakan misi kemanusiaan membantu mangsa banjir bersama badan bukan kerajaan, Ikhlas.com di beberapa lokasi di Pantai Timur terutama Pahang sekitar seminggu lalu.

Namun apa yang menyedihkan, bantuan itu tidak dapat diteruskan lagi buat sementera waktu saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali berkuat kuasa ketika ini.

Sebagai anak jati kelahiran Raub, Pahang, suami kepada Almy Nadia itu berkata misi disertainya turut membuatkan dirinya tersentuh.

“Ada rumah yang kami hulurkan bantuan dan melakukan aktiviti pembersihan terdiri daripada mereka yang sudah berusia. Ada yang dilihat bagai sudah tak berdaya namun tetap kuat mengharungi ujian berkenaan

“Sekarang kalau sudah PKP menyukar dan membataskan pergerakan termasuk nak rentas negeri pun tak boleh. Kalau sebelum PKP ada anak mangsa atau orang muda yang boleh tolong jadi sukarelawan.

“Sekarang ini saya tak dapat bayangkan nasib mangsa banjir terutama golongan tua nak terus berdepan kesulitan itu. Yang boleh bantu pun sekitar jarak 10 kilometer. Sedih yang sukar digambarkan,” katanya.

Menurut pelakon drama Kampung People itu lagi, ada ura ura pada pertengahan bulan ini akan ada lagi gelombang kedua air pasang besar

“Saya bukan meminta minta air pasang itu kembali semula. Cuma harap ia sekadar ura ura. Kesan banjir baru baru ini pun belum sempat pulih, bagaimana pula nak berdepan gelombang kedua jika ia benar benar terjadi.

“Terutama mereka yang berusia tinggal di kawasan perkampungan dekat dengan sungai,” katanya.

Kata Fizz atau nama sebenarnya, Fairuz Zainal Abidin berkata misi kali ini sempat memanjangkan bantuan ke empat lokasi di Raub, Benta, Chenor dan Maran.

“Kawasan di Benta antara yang saya boleh katakan kronik dan teruk terkesan dek banjir melanda. Bayangkan kejadian sekitar 50 tahun lalu berlaku balik kali ini di Benta.

“Kalau sebelum ini banjir hanya dilihat menenggelamkan paras anak tangga rumah. Kejadian kali ini mengulangi insiden 50 tahun lalu apabila rumah tenggelam sampai paras bumbung.

“Ada rumah yang kami jejak biliknya yang dipenuhi pelbagai barangan keperluan dan segala macam barang, sampai nak buka pintu pun susah. Kena kopak pintu sebab barang yang awalnya ditelenggami air mula jadi tunggang langgang. Almari terbalik, kotak lunyai dan macam macam lagi,” katanya.

Fizz turut memaklumkan yang dia turut sempat ke rumah sepupunya yang sudah jatuh ditimpa tangga di Raub.

“Belum reda masalah banjir, rumah sepupu pula terbakar. Begitu besar dugaan hidup ini,” katanya.

Fizz turut memaklumkan yang pihak misi bantuan memanjat kesyukuran kerana menerima sumbangan makanan, peralatan penting dan sebagainya daripada badan bukan kerajaan lain dan perseorangan.

“Cuma ada satu tahap situasi sumbangan barangan makanan sampai lebih dan terlalu banyak. Rezeki yang tak disangka sangka.

“Tapi ada rumah yang terkesan sampai nak letak barang makanan pun susah. Makanan memang penting, tapi jadi masalah nak letak makanan di rumah yang berdepan tempias teruk banjir,” katanya.

Sebelum ini Fizz sendiri bersama isterinya, Datin Almy Nadia menyerahkan bantuan berupa tilam, selimaut dan bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir.

“Memang sedih bila tengok keadaan mangsa banjir. Ada yang nak masuk rumah kena korek tanah dulu,”ujar Fizz yang menyeru orang ramai untuk sama-sama membantu mangsa banjir yang memerlukan.

Fizz bagaimanapun memaklumkan rumah ibu dan saudara maranya di sekitar Batu Talam dan Ulu Dong selamat daripada dilanda banjir.

Fizz yang turut menjadi ikon kepada badan Ikhlas.com sejak dari PKP pertama Mac tahun lalu aktif menjayakan misi kemanusiaan sejak sekian lama.

Bersama Ikhlas.com, beliau sudah lebih empat kali menyertai misi bantuan banjir serta membantu golongan asnaf

Bagi yang ingin menderma boleh layari www.ikhlas.com

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club

IKLAN