10 tahun menanti bukanlah satu tempoh yang singkat. Nyata sabar itu indah bila apa yang dinantikan sudah ada di depan mata.
Bagi pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 50, tiada yang lebih bermakna bila cahaya mata yang dinantikan selama ini sudah ada di depan mata. Semalam, isterinya, Fazema Mohd Fuad, 40 selamat melahirkan bayi lelaki.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya kira-kira jam empat petang semalam, Adam Corrie memaklumkan isterinya bersalin di sebuah pusat perubatan swasta di Ampang.
“Alhamdulillah, bidadari saya sudah selamat melahirkan BabyLee tadi. Jutaan terima kasih yang mendoakan kesejahteraan kami.
Ads
“Senyum selalu, selalu bersangka baik, Insya Allah hati tenang,” tulisnya.
Perkongsian tersebut mendapat respon dari pengikut instagramnya termasuklah rakan artis yang lain. Rata-rata menghulurkan ucapan tahniah dan turut meluahkan rasa terharu dengan kehadiran insan baru dalam hidup mereka.
Ads
Adam Corrie memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan berkahwin dengan Fazema pada 2008. Mac lalu, pelakon yang terkenal menerusi filem KL Gangster ini mengumumkan berita kehamilan isterinya juga menerusi akaun Instagram.
Baru-baru ini, isterinya dimasukkan ke hospital dek kerana kesihatan yang kurang memuaskan. Walaupun pada awalnya dikatakan dia bakal melahirkan anak secara pembedahan, namun tidak jadi dan hanya ditahan diwad untuk pemeriksaan lanjut. Namun, semalam Fazema selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka.
Tahniah dari kami team Majalah Keluarga.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Adakalanya memang tidak dapat dinafikan kita berasa seakan tidak larat hendak bangun sahur apatah lagi memikirkan perlu pula memasak hidangan untuk dimakan. Pun begitu, walaupun rasa malas dan berat hati untuk bangun awal, tidak mungkin pula kita sanggup melepaskan keberkatan bersahur begitu sahaja.
Oleh itu, apa kata anda bangun seketika untuk menikmati roti bakar yang disapu dengan mentega kacang coklat. Bukan sahaja orang dewasa gemar rasanya apatah lagi anak-anak dan yang lebih penting mudah disediakan.
Dan tahukah anda sebenarnya mentega kacang coklat ini boleh disediakan sendiri? Kosnya lebih jimat berbanding yang sedia ada dipasaran. Jadi apa kata jika ada kelapangan, anda buat sendiri.
Resipinya mudah sahaja dan ini telah dikongsikan oleh Puan Salmy di dalam akaun fbnya. Jom semak.
“Ramai yang suka Peanut Butter Chocolate ni. Setuju tak? Jarang sangat lah yang tak suka. Kalau sapu kat roti ni mahu berkeping-kaping makan tanpa sedar.Bukan saja anak-anak, orang dewasa pun jadi ‘addicted’ dengan Peanut Butter Chocolate ..fuhh sedap weh!
“Tahu tak, sebenarnya kita boleh buat sendiri di rumah tau.Senang dan jimat.Sapa yang jaga kesihatan tu molek sangat la sebab kita pun boleh kontrol gula dan garam kita nak letak banyak mana.Ok, kat bawah ni kakmie bagi resepi Peanut Butter Chocolate yang kakmie buat sendiri di rumah”- Salmy Saznira
Bahan-bahan :
Kacang tanah
2-4 sudu besar gula (kakmie guna gula organik ORCS)*kakmie buat tak manis sangat.
1/4 cawan koko (kakmie guna natural unsweetened Hershey’s Cocoa)
2 sudu besar minyak (boleh guna minyak masak/minyak jagung/zaiton)
Sedikit garam (tak nak pun tak pe.)
Cara-cara :
1. Goreng kacang tanah tanpa menggunakan minyak. Bila dah masak buangkan kulit dan kisar hingga lumat.
2. Kemudian masukkan serbuk koko,minyak dan sedikit garam. Kisar lagi sampai tekstur kacang licin dan ‘smooth’.
3. Akhir sekali masukkan pula badam. Kisar sikit je untuk buat peanut kita crunchy.
4. Ok. Dah siap! Simple kan.
Resepi Peanut Butter Chocolate kakmie buat ni kurang manis dan kurang masin sebab kakmie dah kurangkan kuantitinya.
Kat pasaraya, susah nak cari peanut butter chocolate terutamanya yang kurang gula, garam dan rendah kalori. Kalau nak beli yang natural tak de garam tu lagi mahal, mahu belasan ringgit dan boleh capai puluhan ringgit pun ada.
Alhamdulillah, kakmie dah jumpa satu cara mudah, murah, sedap dan yang paling penting ia sihat!
Ekstra Info : Nak pastikan tahan lama, mesti letak dalam bekas kedap udara dan letak dalam peti sejuk.
Apabila angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha akhirnya merealisasikan hasrat insan paling istimewa dalam hidupnya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, ia bukan sekadar sebuah perjalanan ibadah, tetapi simbol kasih seorang anak terhadap ibu yang tidak pernah jemu berkorban sejak kecil.
Perjalanan penuh makna ini dilakukan berdua sahaja bersama ibunya yang kini berusia 81 tahun, demi memastikan impian tersebut tidak terus tertangguh. Sheikh Muszaphar membuktikan bahawa membahagiakan ibu adalah satu tanggungjawab yang tidak seharusnya ditangguhkan.
Menurut Sheikh Muszaphar, ibunya sering bermimpi tentang Kaabah dan beberapa kali meluahkan hasrat untuk menunaikan ibadah umrah. Walaupun anak-anak lain mempunyai komitmen masing-masing, beliau mengambil keputusan untuk membawa sendiri ibunya ke Makkah.
“Ibu termimpi-mimpi Kaabah. Luahkan hasrat nak pergi. Anak-anak semua sibuk. Saya buat keputusan untuk bawa dia ke sana, cuma saya dan ibu,” kongsinya dengan penuh rasa syukur.
Keputusan itu dibuat tanpa ragu kerana baginya, peluang untuk menggembirakan ibu adalah satu nikmat yang tidak ternilai, apatah lagi apabila melibatkan urusan ibadah dan kerohanian.
Lebih menyentuh hati, Sheikh Muszaphar berkongsi bahawa sepanjang perjalanan ibadah tersebut, dialah yang memimpin ibunya. Detik itu mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak, ketika ibunya tidak pernah jemu memimpin dan menjaga dirinya dengan penuh kasih sayang.
Katanya, pengalaman itu bukan sekadar menunaikan ibadah umrah, tetapi sebuah perjalanan jiwa yang mendalam dan sarat dengan pengajaran tentang pengorbanan seorang ibu.
Sheikh Muszaphar menyifatkan peluang membawa ibu menunaikan umrah sebagai antara pengalaman paling berharga dalam hidupnya, lebih-lebih lagi apabila dapat melihat kegembiraan dan ketenangan wajah insan yang paling disayanginya.
“Ibu adalah segala-galanya. Ada sebab kenapa syurga di bawah tapak kaki ibu,” katanya lagi penuh keinsafan.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam Islam, kedudukan ibu sangat dimuliakan. Malah, dalam hadis Rasulullah SAW, nama ibu disebut sebanyak tiga kali sebelum ayah, sebagai simbol betapa besarnya jasa dan pengorbanan mereka dalam membesarkan anak-anak.
Menurut Sheikh Muszaphar, kejayaan dan kebahagiaan seseorang anak tidak akan lengkap tanpa reda dan doa daripada seorang ibu.
Perkongsian Sheikh Muszaphar ini nyata menyentuh hati ramai, sekali gus menjadi peringatan agar tidak menangguhkan niat untuk membahagiakan ibu bapa. Selagi mereka masih ada, selagi itulah peluang untuk merealisasikan impian mereka perlu direbut.
Sesungguhnya, kisah Sheikh Muszaphar tunaikan impian ibu ini menjadi inspirasi buat setiap anak bahawa kebahagiaan seorang ibu adalah antara doa paling mustajab yang mampu mengiringi perjalanan hidup kita.
Masalah wajah berjerawat memanglah perkara biasa, itu andai sebiji dua jerawat yang muncul. Namun jika semakin hari semakin banyak, pasti menimbulkan rasa gusar dan bimbang di hati.
Sekiranya ingin memilih untuk merawat masalah jerawat dengan cara mengamalkan petua, pastikan anda kenali dulu punca atau masalah penyebab kemunculan jerawat tersebut agar mudah untuk memilih kaedah rawatan yang bertepatan dan serasi.
Untuk itu, jom fahami beberapa perkara berkaitan petua kurangkan masalah jerawat yang dikongsikan oleh Aroora Dayana ini. Jom semak.
Petua Kurangkan Masalah Jerawat
Pertamanya, sebelum anda terus amalkan apa-apa petua, kita perlu ambil berat dan cari tahu punca utama yang menyebabkan jerawat muncul pada wajah kita selama ini disebabkan apa? Ini untuk memastikan anda tidak membazir masa mencuba pelbagai petua sedangkan petua tersebut langsung tidak serasi dengan masalah jerawat anda. Jerawat muncul disebabkan beberapa faktor utama seperti kulit muka berminyak, debu juga hama dari persekitaran, dan perubahan hormon badan.
Masalah kemunculan jerawat sewaktu haid
Jika jerawat itu berpunca dari perubahan hormon badan, sebagai contoh ada wanita yang berhadapan masalah jerawat tumbuh pada wajah secara bermusim sewaktu datang haid. Anda boleh cuba amalkan makan vitamin c atau makanan tambahan (supplements) yang sesuai. Ini kerana sewaktu proses kitaran haid, badan anda tidak menerima nutrisi yang cukup. Emosi tidak stabil, mudah stress, cepat marah dan tertekan. Jadi, anda memang perlu usaha cegah masalah ini. Makanlah makanan yang berkhasiat, lebihkan buah-buahan seperti epal atau buah delima yang sangat baik untuk kulit muka. Dan cuba sehabis baik untuk selalu tenang.
Kulit berminyak
1. Kurangkan mencuci muka dengan pencuci
Bagi pembaca yang ada masalah kulit berminyak pula, nasihat saya, elakkan cuci muka terlalu kerap dengan produk pencuci muka (oil control bagai tuuu..) sebab ia sebenarnya menghilangkan minyak pada wajah anda dalam tempoh yang sekejap saja. Selepas satu jam, kulit anda selalunya akan kembali berminyak. Kenapa? Pencuci muka oil control tu sebenarnya merangsang kulit untuk terus hasilkan minyak dengan lebih banyak. Maka dengan itu kulit muka akan bertambah teruk. Bila anda terlalu kerap biasakan cuci muka 4,5 kali sehari dengan pencuci muka, sampai bila-bila pun anda terpaksa beli produk pencuci muka tersebut seumur hidup sebab kulit muka dah tak terkawal. Kalau dah guna satu-satu produk pencuci muka tu, ikutlah aturan penggunaan yang disyorkan. Jangan salah faham, ramai yang fikir bila kulit muka berminyak saja, anda mesti cuci guna produk yang anda beli tu. Sebenarnya salah. Cukuplah dua kali sehari. Kesian muka anda.
2. Jangan campur produk kecantikan sesuka hati
Dan ingat, jangan rajin buat eksperimen dengan mencampur dan kerap kali tukar pelbagai jenama produk pencuci. Sekejap Garnier, esok Nivea, Lusa Safi. Jahanam muka anda nanti.
3. Teh dan madu sebagai pencuci muka?
Bila kulit berminyak kita boleh bersihkan muka dengan serbuk teh. Nak lebih berkesan, anda boleh campur serbuk teh tersebut dengan madu. Gosok di muka ala-ala scrub. Selebihnya sapu pada leher, lengan atau badan. Untuk permulaan, amalkan dua kali sehari (pagi dan malam).
Nota tambahan : Nak mudah, cari bekas kaca yang ada penutup (balang kaca kecil). Masukkan madu dan serbuk teh dalam bekas tersebut. Gaul supaya sekata, tutup rapat dan simpan dalam peti sejuk. So, tak adalah setiap kali nak cuci muka baru nak sibuk cari serbuk teh, cari madu bagai. Kalau simpan dalam peti sejuk, adunan tersebut tahan lebih lama. Kalau letak diluar saja (suhu bilik) adunan teh dan madu tadi tahan lebih kurang dua minggu. Jangan guna serbuk teh uncang pula, serbuk teh dalam uncang tu agak kasar dan tak sesuai untuk kulit.
4. Wap panas untuk kecutkan jerawat
Seterusnya, bagi yang ada masalah kulit berminyak sampaikan jerawat tak henti muncul, boleh cuba buat ala-ala spa wap panas guna daun bunga tahi ayam. Petua ni agak kelakar sikit.Kalau anda mengalami masalah jerawat teruk, petua ni menjadilah. Kalau jerawat cuma ada satu dua tu, tak perlulah. hehe. Tapi tak salah pun kalau ada yang nak cuba.
Caranya ialah, dapatkan daun pokok bunga tahi ayam yang daunnya masih hijau dan sihat (Kuantiti : kalau banyak lagi bagus..). Basuh daun tersebut hingga bersih. Masukkan dalam periuk, isi air separuh penuh dan didihkan atas dapur.
Selepas air mendidih, angkat periuk tadi dan letak di tempat yang selesa dan luas (contoh: lantai ruang tamu). Kemudian, ambil sehelai selimut atau kain yang besar dan tebal. Anda perlu masuk bawah selimut tersebut (ala.. macam tengah main sembunyi-sembunyi tuuu..). Bawa masuk periuk yang air masih panas tadi ke dalam selimut tersebut juga.
Letak berhadapan anda dan halakan muka anda pada wap air yang panas naik dari periuk tersebut. Duduklah dalam selimut tu dalam 15-30 minit. Kena banyak sabar, waktu duduk dalam selimut tu, panas betul rasa (berpeluh).
Tapi selepas proses ni selesai. Jerawat yang merah-merah di muka sebelum ini dah mula kecut dan ada yang hilang. In shaa Allah. Saya rasa bagi yang jenis ada jerawat yang banyak, merah-merah, jerawat batu yang menyakitkan semua tu, patut cuba petua ini.
Nota tambahan :Air rebusan daun tadi boleh diguna semula dua kali sahaja. Lepas itu, sila buang, cuci bekas dan tukar dengan daun yang baru. Petua ini boleh diamalkan dua kali dalam seminggu. Dan tengoklah perubahan pada wajah.
5. Buat mask sendiri untuk malam hari
Selain itu, ada juga amalan penjagaan kulit muka pada malam hari iaitu pakai mask buatan sendiri. Paling mudah, gunakan tepung beras campurkan dengan madu, gaul rata dan sapukan pada muka. Boleh kalau anda nak pakai semasa tidur hingga keesokannya. Tapi sebaiknya elakkan sebab lelehan madu akan kotorkan tempat tidur anda. Cukuplah pakai 30 minit sebelum tidur, kemudian cuci dan berwhuduk (tidur ikut sunnah). Masker tepung beras dan madu ini kalau diamalkan boleh buat kulit anda tegang dan liang roma pada muka mengecil.
6. Rehatkan muka di hujung minggu dengan masker timun atau putih telur
Kalau rajin, setiap kali hujung minggu, anda boleh cuba hasilkan mask dari timun. Tak perlu campur apa-apa. Hanya perlu kisar timun sehingga halus dan sapu pati tersebut pada muka. Biarkan sehingga kering dan cuci. Kalau tak ada timun, dapatkan telur ayam, ambil putih telur sahaja, sapu pada muka. Biarkan kering.
?Apa-apa pun petua dan proses yang anda lalui, rajin-rajinlah berselawat, baca surah-surah lazim, sekurangnya ada pengisian yang baik untuk diri. Berserah pada Allah dengan segala usaha ini.
Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, kisah cinta yang lahir daripada keikhlasan dan nilai kekeluargaan sering kali menjadi sesuatu yang dekat di hati masyarakat.Itulah...