“Seorang Demi Seorang Dijangkiti Kecuali Suami.” Liza Hanim, Ibu & Anak-Anak Positif COVID-19, Mohon Titip Doa!

Share

Tahun 2021 bakal melabuhkan tirainya dua hari lagi, namun Liza  Hanim dan keluarga kini diduga apabila terpaksa menjalani kuarantin kendiri di rumah kerana positif COVID-19.

Walau bagaimana kita menjaga sebaik mungkin namun terpaksa reda bila akhirnya berlaku jua. Demikian juga dengan pelantun Lagu Andai Aku Bersuara ini. Lebih menyedihkan bukan hanya Liza, malah ibu dan lima cahaya matanya turut mengalami nasib yang sama.

Perkara tersebut dimuatnaik pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Hakim  menerusi laman Instagram (IG), beserta gambar keputusan ujian kendiri COVID-19.

Dalam masa yang sama, dia memohon peminat mendoakannya, ibu dan anak-anak kembali pulih.

Ia bermula apabila anak lelaki dijangkiti COVID-19 daripada salah seorang ahli keluarga yang bertandang ke rumah, minggu lalu kerana menziarahi anak ketiga yang berkhatan.

“Apabila mengetahuinya, saya dan ahli keluarga yang tinggal sebumbung melakukan ujian calitan di klinik berhampiran. Ini termasuklah ibu, suami dan empat cahaya mata lain.

Bagaimanapun, keputusan diterima hanya suami sahaja bebas COVID-19. Yang lain, seorang demi seorang mula dijangkiti wabak ini,” katanya kepada BH Online.

Ujarnya lagi,  pihak Kementerian Kesihatan setakat ini  menyarankan dia dan keluarga menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Suami menyediakan makan, minum dan menguruskan keperluan kerana hanya dia orang yang tidak dijangkiti.

“Saya mengalami simptom seperti hilang deria rasa dan bau. Demam pula sekejap ada dan hilang.

“Selain itu, saya mengalami batuk dan selsema. Setakat ini, hanya anak bongsu dan ibu tidak mengalami simptom yang teruk,” katanya.

Sumber: Liza Hanim


 

IKLAN