Seorang ibu muda tergamak menekup dan mencekik anak lelakinya berusia setahun enam bulan hingga mati.
Suspek berusia 20 tahun itu bagaimanapun ditahan bersama teman lelakinya di sebuah kondominium di Cyberjaya di sini, pada 12 Januari lalu.
Difahamkan, suspek bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta sedang dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya seorang penganggur.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata dalam keterangan awal suspek mendakwa kononnya mangsa terjatuh dari sofa sebelum dihantar ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan.
“Sekitar jam 11.30 pagi doktor hospital itu menerima seorang pesakit kanak-kanak lelaki yang dihantar oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Hasil pemeriksaan awal, doktor itu mendapati ada pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang berkemungkinan disebabkan kesan penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal,” katanya tadi.
Wan Kamarul berkata, pihaknya menerima laporan daripada pasukan perubatan Hospital Cyberjaya Ahad lalu, selepas kanak-kanak malang itu meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan.
Sejurus menerima laporan, polis cuba menghubungi kembali ibu mangsa yang juga suspek utama, namun gagal malah wanita itu juga tiada di alamat kediaman diberikan.
“Hasil maklumat risikan, polis menyerbu sebuah rumah flat di Putra Perdana, Dengkil dan menahan suspek sekitar jam 12.15 pagi pada 16 Januari. Suaminya turut ditahan pada hari sama,” katanya.
Hasil soal siasat suspek mengaku menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga.
“Bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan.
“Terdapat juga kesan calar di pipi kiri serta lebam di leher dipercayai akibat dicekik.
“Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka mangsa,” ujarnya.
Katanya, suami suspek yang berusia 20 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana dipercayai tidak terlibat berikutan tiada di lokasi semasa kejadian berlaku.
“Teman lelaki suspek yang juga seorang pelajar kolej berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengaku terlibat.
“Dia hanya hadir ke rumah yang dijadikan rumah inap berkenaan untuk bermalam dengan suspek dan semasa kejadian lelaki berkenaan telah beredar,” katanya.
Beliau berkata, suspek dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula 16 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).
Mak-mak mesti risau bila ada ahli keluarga yang ditimpa kemalangan. Masa inilah insan ini paling sibuk dan risau. Mana nak jaga makan minum keluarga dan seterusnya yang sedang sakit.
Oleh yang demikian, disini kami kongsikan tip untuk merawat dan menjaga luka kemalangan agar cepat sembuh.
Kemalangan melibatkan fizikal berpotensi untuk menyebabkan kecederaan sama ada tidak kekal atau kekal terhadap anggota badan. Ia boleh menyebabkan seseorang menjalani pembedahan atau menerima jahitan sekiranya kecederaan yang dialami adalah serius.
Hal ini sudah semestinya akan mengambil waktu yang lama terhadap luka untuk sembuh. Lebih – lebih lagi ia memberikan kesan yang serius.
Tidak semua luka sembuh dengan baik selepas menjalani rawatan.
Tahukah mengapa perkara demikian berlaku? Sebenarnya, ia bergantung kepada cara penjagaan anda selepas menerima rawatan.
Rawatan yang terbaik mampu membuatkan luka kembali sembuh dengan baik dan dalam waktu yang singkat.
Tetapi, apakah yang perlu dilakukan oleh pesakit untuk merawat luka dengan terbaik?
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian yang dibawakan oleh @MedTweetMYHQ di platform Twitter. Semoga memberi manfaat.
TIPS PENJAGAAN LUKA PEMBEDAHAN SETELAH DIBENARKAN DISCHARGE DARI WAD
Masa yang paling ditunggu setelah selesai rawatan adalah apabila doktor memberi keizinan untuk pulang.
Berikut beberapa tips mudah untuk memastikan luka sembuh dengan baik:
Jom kita kongsikan bersama!
1) Jangkitan kuman pada luka jahitan akan mengakibatkan keradangan kulit atau ‘inflammation’. Tanda keradangan ini adalah sakit, kulit kemerahan, bengkak, ada cecair seperti nanah atau discharge, dan rasa kesakitan.
Jika ini terjadi, segera berjumpa doktor.
2) Seeloknya elakkan terkena air dalam masa 2 ke 3 hari pertama.
Setelah itu, boleh dilalukan air bersih tetapi tanpa sabun atau bahan kimia lain. Namun, jika ada keraguan, segera bertanya doktor.
3) Sama ada antibiotik perlu atau tidak, ini akan bergantung juga kepada doktor yang merawat.
Namun apa yang penting, jika diberi, amat penting untuk mengikut dos dan waktu yang tepat. Sekiranya antibiotic tidak dihabiskan secara tepat, fenomena resistance boleh berlaku.
4) Secara umumnya, faktor yang akan diambil kira oleh pakar bedah adalah saiz luka, saiz dan jenis material benang, kawasan luka, kedalaman luka dan keadaan pesakit itu sendiri sebelum tempoh waktu benang dibuka.
5) Parut walaupun kecil di kawasan muka akan kelihatan jelas dari jarak 20cm, iaitu jarak normal dua individu berbual.
Bagaimana untuk memastikan luka sembuh dengan parut yang paling minima?
6) Ubat sapuan untuk parut seperti dermatix amat efektif sekiranya digunakan dengan kaedah yang betul.
Ia mengandungi silikon yang bertindak ke atas sel kulit dan kolagen bagi memperbaiki parut yang terhasil. Seeloknya ia digunakan dalam tempoh 2 ke 3 bulan pertama
7) Amat penting untuk dikongsikan, ramai antara kita menggunakan cara yang SALAH dalam aplikasi ubat parut (scar gel) !
Ubat ini harus ditekan ke dalam parut bukan sekadar disapu seperti antibiotik. Ini dipanggil scar massage technique!
Sekian, semoga ilmu ini bermanfaat dan disebarkan kepada rakan-rakan dan keluarga kita ye!
Sumber: Twitter @MedTweetMYHQ
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Inilah prihal rahsia Allah berkenaan rezeki, jodoh dan maut, semua itu sudah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak kita masih berada di dalam kandungan lagi. Bila tiba masa dan ketikanya, kita terima sebagai qada dan qadar dengan hati yang reda.
Begitulah kisah yang dilaporkan di Harian Metro, siapa sangka dalam sehari Siti Azimah Tajudin, yang juga merupakan isteri dan ibu perlu reda menerima khabar duka suami meninggal dunia selang beberapa jam sebelum melahirkan anaknya yang ke tujuh.
Dilaporkan, Siti Azimah Tajudin, 31, reda ketentuan Ilahi apabila suaminya, Shahrol Amri Sanusi, 31, meninggal dunia jam 8 pagi, 18 Jun lalu dipercayai akibat serangan jantung.
Namun terselit sedikit pengubat dukanya apabila anak ketujuh Siti Nur Aisyatull Humaira lahir beberapa jam selepas suami disahkan meninggal di rumah mereka di Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang.
Lebih pilu, nama anak perempuannya itu adalah pilihan arwah dan ‘hadiah’ terakhir untuk Siti Azimah.
“Saya sebenarnya masih terkejut dengan pemergian suami secara tiba-tiba.
“Sebelum ini suami tidak pernah mengadu sakit dan sekali-sekala memberitahu hanya penat, malah ketika kejadian arwah sempat menunaikan solat Subuh seperti kebiasaan.
“Pada jam 8 pagi, arwah bangun daripada tidur dan seperti sesak nafas sebelum saya segera menghubungi ambulans,” kata ibu kepada tujuh anak ini.
Dia yang berasal dari Kelantan berkata, setibanya ambulans di rumah mereka, pegawai perubatan mengesahkan suami sudah tidak bernyawa jam 8.30 pagi.
“Saya terkejut dan terpinga-pinga dengan kematian suami secara tiba-tiba.
“Selepas menghantar jenazah suami ke Hospital Kajang untuk bedah siasat pada jam 6 petang saya sudah rasa sakit untuk bersalin.
“Sepatutnya saya dijangka bersalin pada 28 Jun ini, tapi takdir Allah saya melahirkan anak beberapa jam selepas kematian suami iaitu 12.09 tengah malam di Hospital Serdang,” katanya.
Siti Azimah mengakui suami tidak menunjukkan sebarang petanda untuk meninggalkannya.
“Saya tak perasan sangat, cuma arwah suami ada kata dua tiga hari sebelum ini saya ada sakit-sakit (nak bersalin).
“Arwah cakaplah mungkin baby kami nak keluar hari Jumaat, tetapi saya tak sangka hari sama dia (suami) yang pergi,” katanya yang juga seorang suri rumah.
Akuinya, pemergian suami dan kelahiran anaknya ibarat Allah menarik satu nyawa dan menggantikan anaknya dengan nyawa baru.
“Mungkin boleh mengubat kelukaan saya, tetapi saya tetap merindui suami yang baik untuk saya dan anak-anak,” katanya.
Katanya, arwah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah mahkamah syariah.
“Jenazah suami dikebumikan pada jam 2 petang, 19 Jun lalu di tanah perkuburan Kampung Sungai Ramal Dalam.
“Saya tidak sempat melihat jenazah suami dan menguruskan pengebumian kerana baru melahirkan anak,” katanya.
Siti Azimah berkata, tujuh anaknya berusia 12, 10, 8, 5, 2, setahun dan enam hari akan dijaga sebaiknya.
“Ada pihak menghubungi saya untuk mengambil anak namun tidak sesekali saya menyerahkan mereka.
“Saya nekad jaga mereka walaupun tiada punca pendapatan, saya akan cuba berniaga secara atas talian demi kelangsungan hidup,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Siti Azimah boleh menyalurkan ke akaun CIMB 7065548933 (Siti Azimah Tajudin).
Asymawi, pelajar Politeknik Melaka, sanggup bekerja sebagai penghantar makanan demi menyambung pengajian dan membantu keluarga selepas melihat pengorbanan besar bapanya.