Keibubapaan

“Saya Impi Anak Ramai”, Shila Amzah Reda Doktor Nasihat Tak Hamil Lagi

Share

Shila Amzah reda menerima hakikat apabila doktor menasihatkannya agar tidak hamil lagi selepas disahkan sebagai pembawa talasemia selain mempunyai sejarah dua kali bersalin secara pembedahan kecemasan.

Bagi Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 37, keputusan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima kerana dia sememangnya pernah memasang impian untuk memiliki keluarga besar.

Bagaimanapun, sebagai seorang ibu dan isteri, Shila akur bahawa tahap kesihatan dirinya perlu diberi keutamaan demi mengelakkan sebarang risiko yang boleh memudaratkan.

“Saya reda menerima takdir ini. Sudah pasti kalau tanya saya, memang impikan anak yang ramai, tapi dalam masa sama saya perlu akur dengan nasihat doktor.

“Mungkin ada juga hikmah Allah atas semua yang berlaku ini. Suami saya dia okay juga dengan keadaan ini, dia seorang yang santai. Dia sentiasa memberi semangat kepada saya,” katanya.

Shila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert minggu kelima Talk To My Manager 2 (TTMM2) di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad, lapor Oh Bulan.

Shila Amzah Reda Demi Kesihatan Diri

Walaupun sukar menerima kenyataan tersebut, Shila Amzah reda kerana memahami risiko yang mungkin berlaku sekiranya dia hamil lagi pada masa hadapan.

Shila juga dilihat cukup positif menerima takdir yang telah ditentukan buat dirinya. Sokongan daripada suami, Ubai MZ, turut menjadi kekuatan untuk dirinya terus tenang menghadapi keadaan tersebut.

Dua Kali Bersalin Secara Pembedahan Kecemasan

Dalam pada itu, pelantun lagu Tinggal Kenangan tersebut mendedahkan dua proses kelahirannya sebelum ini terpaksa dilakukan secara pembedahan kecemasan selepas berlaku komplikasi ketika bersalin.

Menurut Shila, ketika melahirkan anak sulungnya, dia pada awalnya cuba untuk bersalin secara normal. Namun disebabkan bukaan lambat, doktor terpaksa melakukan pembedahan.

“Saya sudah mengalami dua kali emergency czer-section. Ketika anak sulung, saya cuba bersalin normal tetapi bukaan lambat jadi terpaksa dibedah.

“Anak kedua pun awalnya saya cuba untuk normal, tetapi malang sekali ketika itu degupan jantung bayi semakin rendah. Ubai nampak ketika kepala bayi dikeluarkan, tali pusat berbelit pada leher bayi. Itu yang kena bedah,” jelasnya.

Risiko Kehilangan Darah Jadi Kebimbangan

Shila turut menjelaskan faktor utama doktor tidak menggalakkannya untuk hamil buat kali ketiga adalah kerana risiko kehilangan darah yang tinggi ketika proses bersalin.

Keadaan itu menjadi lebih membimbangkan kerana Shila mempunyai masalah kekurangan darah dalam badan akibat talasemia.

“Kenapa doktor beritahu tidak boleh hamil anak ketiga kerana ibu yang bersalin banyak pertumpahan darah yang berlaku, jadi orang yang tidak cukup darah seperti saya akan ada risiko yang boleh berlaku.

“Sebab itu doktor nasihatkan saya supaya tidak ada anak ketiga dengan sejarah dua kali kelahiran secara pembedahan,” katanya.

Shila Amzah Pembawa Talasemia

Pada masa sama, Shila berkongsi bahawa dia hanya mengetahui dirinya merupakan pembawa talasemia selepas menjalani pemeriksaan darah ketika hamil anak sulung.

Menurutnya, bacaan hemoglobin atau HB dalam badannya pernah turun sehingga enam, sedangkan bacaan normal kebiasaannya sekitar 13.

“Ketika saya hamilkan anak sulung, bacaan HB akan dibaca. Saya pernah turun sampai enam. Orang normal selalunya bacaan mereka adalah 13. Jadi doktor macam terkejut saya masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kemudian saya buat pemeriksaan darah dan mendapati saya didiagnos talasemia, tapi saya pembawa,” ujarnya.

Shila turut memaklumkan bahawa ketika awal perkenalan dengan suaminya, Ubai MZ, dia sudah berterus terang mengenai keadaan kesihatannya.

Jelasnya, individu yang mempunyai talasemia perlu mengambil serius perkara tersebut terutama sebelum mendirikan rumah tangga, kerana ia melibatkan faktor genetik dan boleh memberi risiko kepada zuriat sekiranya pasangan turut mempunyai talasemia.

Apa Itu Talasemia?

Untuk info, talasemia merupakan sejenis penyakit genetik darah yang diwarisi daripada ibu bapa. Ia menyebabkan tubuh mengalami kekurangan sel darah merah atau hemoglobin berkualiti, sekali gus menjejaskan keupayaan darah membawa oksigen mencukupi.

Penyakit ini tidak berjangkit, namun individu yang menjadi pembawa talasemia disarankan menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal terutama sebelum berkahwin atau merancang kehamilan.

Imbas kembali, Shila mendirikan rumah tangga bersama Ubai MZ pada Ogos 2024 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira.

Shila juga pernah mendirikan rumah tangga bersama Haris Edraki pada 2018 sebelum berpisah pada Februari 2022. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais, yang kini berusia tujuh tahun.

BACA LAGI : Shila Amzah Pilih Jadi ‘Parents’ Yang Tenang, Mahu Cipta Memori Dengan Suami & Anak!