
Syatilla Melvin percaya hubungan adik-beradik yang erat merupakan antara rezeki terbesar yang dikurniakan Allah SWT dalam kehidupannya. Bagi pelakon itu, ikatan kekeluargaan yang dibina sejak kecil menjadi kekuatan utama apabila berdepan pelbagai cabaran hidup.
Lumrah dalam sesebuah keluarga, ada kalanya adik-beradik berselisih faham atau bermasam muka hanya kerana perkara kecil. Namun, situasi itu jarang berlaku dalam keluarga Syatilla Melvin dan adik-beradiknya yang dikenali sebagai The Melvins.
Bukan mahu mengagungkan kisah keluarga sendiri, sebaliknya Syatilla berharap keakraban mereka boleh dijadikan inspirasi kepada masyarakat, terutama mereka yang sedang berdepan konflik sesama saudara.
“Tidak pernah, jawapan saya memang tidak pernah kami bermasam muka. Saya tidak perlu fikir jawapan itu sebab insya-Allah memang tidak akan terjadi.
Alhamdulillah, Allah bagi satu hubungan yang sangat istimewa kepada kami adik-beradik. Kadang-kadang bila saya renung semula, Ya Allah, besarnya rezeki Allah bagi pada saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Keakraban lima beradik perempuan itu semakin terserlah apabila bapa mereka, Amirol Melvin Abdullah, disahkan menghidap kanser darah yang semakin serius.
Menurut Syatilla Melvin, ujian kesihatan bapanya membuka mata mereka tentang betapa pentingnya kewujudan adik-beradik dalam sesebuah keluarga.
“Baru-baru ini Allah uji dengan keadaan ayah yang kurang sihat. Jadi, bila Allah uji dengan situasi ayah tidak okey, dari situ baru kita tahu kewujudan adik-beradik.
Kami memang akan pastikan kami betul-betul ada masa untuk ayah. Paling menariknya, kami semua bersatu. Ramai-ramai jaga ayah di hospital,” katanya.
Syatilla mengakui dirinya tersentuh apabila melihat semua adik-beradiknya bersama-sama menguruskan keperluan bapa mereka tanpa berkira.
Mereka juga tidak mahu menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada ibu yang semakin berusia dan tidak lagi mempunyai tenaga seperti dahulu.
“Kami berlima semua perempuan. Jadi, itu antara perkara yang saya rasa tersentuh. Semua turun padang dan tolong uruskan. Kalau mahu harapkan ibu pun, dia sudah tidak larat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syatilla Melvin turut menjelaskan pendiriannya apabila ditanya mengenai kontroversi yang pernah melibatkan adiknya, Syida Melvin.
Katanya, hubungan rapat sesama adik-beradik tidak bermaksud dia akan mempertahankan setiap tindakan ahli keluarganya tanpa melihat sama ada ia benar atau salah.
“Sebenarnya, saya tidak akan pertahankan kalau benda itu tidak betul. Tidak kisah macam mana sekali pun. Walaupun itu adik saya sendiri, kalau kau buat salah, kau tetap salah.
Tetapi, jika perkara yang berlaku adalah sebaliknya, kita sebagai adik-beradik yang melihat situasi ini, cuit kaki kiri, kaki kanan terasa,” katanya.
Tambahnya, sebagai kakak dan individu yang mengetahui situasi sebenar, dia akan memastikan adik-adiknya sentiasa berpihak kepada kebenaran.
“Apatah lagi kita tahu situasi sebenar apa yang berlaku di belakang.
Walau apa pun jadi, saya akan pastikan adik saya berpihak kepada benda yang betul. Anak-anak dan adik-beradik akan terbela serta hidup mereka akan selamat dengan saya, insya-Allah,” katanya.
Perkongsian Syatilla Melvin menjadi peringatan bahawa nilai sebenar hubungan adik-beradik bukan hanya terserlah ketika bergembira, tetapi lebih bermakna ketika keluarga sedang diuji.
Apabila ibu bapa jatuh sakit atau salah seorang ahli keluarga berdepan kesusahan, adik-beradik ialah insan terdekat yang seharusnya saling menguatkan, membantu dan menjadi tempat bersandar.
Selagi masih mempunyai adik-beradik, hargailah hubungan itu. Jangan biarkan ego, salah faham atau perselisihan kecil memutuskan ikatan darah yang tidak mungkin dapat digantikan oleh sesiapa.
BACA LAGI : Doa Ibu Mustajab! Pesanan Menyentuh Hati Syatilla Melvin Buat Anak-Anak
Sumber : Utusan