
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus membuktikan komitmennya terhadap kebajikan rakyat apabila menyalurkan RM115,000 hasil daripada kerja sambilan yang dilakukannya bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.
Menurut beliau, segala usaha dan komitmen yang dilakukan di luar tugas rasmi sebagai wakil rakyat adalah demi memastikan lebih ramai penduduk Muar menerima bantuan yang diperlukan, khususnya dalam aspek pendidikan dan kebajikan.
“Alhamdulillah, dapat kerja sambilan/shooting baru lagi. Saya sumbangkan terus RM115,000 ke Muar. Beli 1000 bakul makanan dan 30 laptop. Pagi sampai petang di Parlimen, malam teruskan kerja sambilan,” tulisnya dalam hantaran tersebut
Sebelum ini Syed Saddiq pernah berkongsi bahawa beliau melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk menjadi duta jenama bagi mengumpul dana untuk rakyat di kawasannya.
Dana yang berjaya dikumpulkan itu telah dimanfaatkan untuk pelbagai inisiatif termasuk membantu pelajar melanjutkan pengajian, penyediaan komputer riba dan tablet kepada golongan memerlukan serta bantuan kepada keluarga yang berdepan kesukaran hidup.
Syed Saddiq mengakui segala penat lelah yang dilalui berbaloi apabila melihat senyuman dan kegembiraan rakyat yang menerima manfaat daripada sumbangan tersebut.
Sikap prihatin beliau terhadap masyarakat setempat turut mendapat perhatian ramai yang menyifatkan usaha itu sebagai satu contoh kepimpinan yang mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira cabaran yang perlu ditempuhi biarpun sebagai ahli parlimen dalam blok pembangkang.