
Pelakon terkenal, Eyka Farhana, berkongsi detik penuh bermakna bersama suaminya, Akhyar Rashid, apabila mereka mengumumkan jantina cahaya mata pertama menerusi satu majlis gender reveal yang cukup indah.
Perkongsian tersebut dimuat naik di Instagram mereka dan disertakan dengan kapsyen ringkas namun penuh emosi, “Syukur Alhamdulilah, it’s a…”, yang kemudian dilengkapkan dengan kejutan dalam video berkenaan.
Dalam rakaman itu, pasangan ini dilihat berdiri bersama sambil memegang sebuah kotak misteri. Saat ia dipam, semburan warna biru keluar memenuhi ruang udara, sekali gus menjadi simbol bahawa mereka bakal menimang anak lelaki.
Momen berkenaan bukan sahaja mencuri perhatian kerana elemen kejutan, tetapi juga keindahan dekorasi majlis yang tampak cukup estetik.
Dari pilihan rona lembut hinggalah susun atur yang kemas, keseluruhan suasana jelas menggambarkan detik bahagia yang sedang dilalui pasangan ini.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan selebriti tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah serta menitipkan doa agar urusan kehamilan Eyka dipermudahkan.
Dengan kehadiran bayi lelaki yang bakal menyerikan kehidupan mereka. Sekadar info, pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 2 Mei 2025 selepas lebih lima tahun berkenalan.