Kejutan pada hari bahagia daripada orang tersayang pasti membuatkan sesiapa pun akan berasa cukup teruja. Apatah lagi andai kejutan yang diberikan bukan sesuatu yang biasa-biasa daripada pasangan tercinta.
Bersempena ulang tahun ke-36 Achey, isterinya Nur Hassanah Yahya atau lebih dikenali dengan panggilan Anne telah berkongsi perjalanan mereka dalam usaha untuk mendapatkan zuriat yang telah lama didambakan.
Setelah 11 tahun membina mahligai bahagia, Anne menerusi laman instagramnya berkongsi perjalanan ketika menjalani rawatan IVF di sebuah pusat perubatan di Johor pada 6 Ogos yang lalu.
“Happy birthday sayang, tahun ni hadiah terindah saya bagi dekat awak. Semoga Allah permudahkan urusan kita dunia akhirat.
“Semoga awak dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, dilindungi Allah serta sihat tubuh badan. Amin,” tulisnya.
Ads
Selain itu, dia turut mengucapkan terima kasih kepada Achey yang juga seorang penyanyi kerana menjalani kehidupan susah senang bersama sejak 11 tahun lalu.
“Terima kasih menjaga saya dari dahulu sehingga sekarang. 11 tahun penantian kita, insyaAllah kita usaha, Allah yang tentukan. Sayang awak,” katanya.
Video berdurasi hampir seminit itu memaparkan pasangan itu dan anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah dalam perjalanan untuk bertemu dengan Dr Thokha Muhammad yang sebagaimana semua maklum, Dr Thokha cukup popular di media sosial kerana sering berkongsi video inspirasi mengenai pasangan yang berjaya memperoleh zuriat hasil rawatan yang dilakukannya.
Ads
Meninjau di ruangan komen, rata-rata mendoakan supaya urusan pasangan tersebut dipermudahkan Allah SWT untuk mendapatkan cahaya mata.
Sekadar info, Achey dan isteri sebelum ini mengambil anak angkat perempuan pada 2018 yang diberi nama Nur Tiara Zinnirah Nasir dan kini berumur empat tahun.
Sebut sahaja bab dating, mesti semua terbayang pasangan kekasih yang belum berkahwin keluar bersama. Bercerita, makan bersama dan melakukan pelbagai aktiviti bersama. Namun selepas mendirikan rumah tangga, tiada lagi istilah dating berdua.
Masing-masing baik suami mahupun isteri memberi alasan sibuk dengan urusan kerja, rumah tangga dan anak-anak sehingga membatasi untuk mereka berdua berbuat demikian, mencipta momen indah berdua sepertima mana sebelum berkahwin.
Sebenarnya, dating cukup penting kepada suami isteri, inilah ‘me time’ yang diperlukan dalam menguatkan lagi ikatan perkahwinan dan meleraikan segala kekusutan dan penat dalam menjalankan urusan masing-masing.
Saudara Najmi Nawawi berkongsi pandangan kenapa pentingnya suami isteri harus keluar berdua. Moga ilmu yang dikongsikan ini bermanfaat buat semua pasangan suami isteri di luar sana.
DATING SUAMI ISTERI PENTING
Tajuk santai tapi serius. Kerana ketahuilah, siapa tak dating suami isteri memang rugi besar. Mana tidaknya, kalau sibuk dengan alam kerjaya, balik rumah, dengan anak lagi. Alamak memang tak sempat la nak dating.
Dating ini bukan untuk orang yang couple, bukan untuk budak-budak tapi untuk mereka yang bergelar pasangan suami isteri. Dating high class ini aku boleh cakap sangat-sangat penting untuk kedua-dua pasangan. Aku huraikan.
1 – Update Emosi
Bukan apple ios je yang penting untuk kita update, emosi pasangan kita pun penting untuk kita update. Lebih-lebih lagi kalau kedua-dua pasangan bekerja.
Nak juga tahu apa perasaan dia dengan apa berlaku dekat tempat kerja, dengan kawan-kawan, bahkan antara ahli keluarga pun. Kalau tak update nanti tak synchronised emosi kedua-dua pasangan. Nanti mula akan muncul isu suami tak faham isteri dan sebaliknya.
2 – Confessions Time
Ini sangat penting. Memang dah jadi fitrah perempuan, suka bercerita. Kalau ada apa yang tak disukanya lebih baik dia cerita dekat kita dulu sebelum dia sebar media sosial.
Suami perlu main peranan dan jadi dominan untuk mulakan sesi confessions ni. Pada waktu berduaan itu, boleh mulakan dengan pegang tangan isteri. Tatap mata dan tanya macam biasa. Ini kunci dia, lepas tu sediakan telinga untuk mula mendengar.
3 – Depression Prevention
Kau tahu kan, sekarang ini tahun 2019. Depression awareness semakin diakui ramai kepentingannya. Dah banyak NGO ditubuhkan bagi menangani isu ini. Sebelum ianya berjangkit pada kita, belajarlah untuk listen.
Untuk huraikan tentang depression ini memang tak cukup ruangan ini, aku kena buat artikel khas lain pula. Tapi point aku ialah tersangat bagus kalau suami isteri dapat luangkan sedikit masa untuk dating, agar kita boleh lebih faham pasangan.
4 – Nafkah Batin
Pasangan suami isteri mana ada masa. Lagi kalau anak dah dua tiga orang. Kau ingat macam mana, katil pun dah sempit. Cadangan aku, kalau ada pasangan yang mc, seorang lagi ambil anual leave untuk dating bersama pasangan kau. Anak hantar taska. Haha.
Dijadikan pasangan itu untuk menyempurnakan fitrah lelaki dan perempuan. Tak perlu hurai lebih, tapi kau faham sendiri. Kalau tak ada masa, cari masa dan create space untuk bersama. Banyak keruntuhan rumah tangga pun berpunca dari hal ini, jika gagal disempurnakan.
5 – Love Birds
Moment moment sweet ialah sesuatu yang kita atau pasangan kita akan kenang sampai mati. Mungkin ada moment bagi kita biasa je, contoh kita angkat beg berat depan pasangan. Untuk kita, tak ada apa-apa. Tapi bagi pasangan kita itulah moment yang boleh buat dia tersenyum teringat nanti.
Otak manusia akan ingat moment pada waktu hati tenang dan bahagia. Moment itu akan disimpan dalam bahagian istimewa otak manusia. Ianya akan menjadi perisai untuk hadapi bad day satu hari nanti. Tapi kalau dating pun tidak, bila masa kita nak create moment moment ini.
Cuba ingat balik, apa moment paling anda suka tentang pasangan anda?
Nukilan Najmi Nawawi
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel berkongsi momen romantis bersama isterinya Wawa Zainal ketika makan malam bersama.
Kedua-duanya tampak segak dan manis ketika meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10. Beberapa keping gambar dimuatnaik menerusi laman Instagram bapa kepada empat cahaya mata ini.
Titipan kasih seorang suami buat isterinya begitu romantis, itulah yang sering dilakukan Aeril setiap kali menjelang hari istimewa baik ulang tahun perkahwinan mahupun hari lahir ahli keluarganya.
“Entah bagaimana harus dikatakan tentang hari ini… Saat kita memilih dua jiwa menjadi satu. Satu hati. Satu cinta. Satu cita-cita. Satu harapan. Dan satu tujuan bersama ke Surga di sana Negara Abadi.
“Terima kasih sayang kerana bila berani untuk bersama itu, bermakna dirimu mengerti perjalanan yang bakal kita tempuh bukanlah mudah dipermulaannya kerana penuh getir dan sesekali pasti jua dilambung ombak – dipukul badai ujian. Kita berjaya melewati dan mengharungi semuanya dengan pertolongan ALLAH jua.
“Tuhan hadiahkan kita kebahagiaan dengan terus bersimpuh kasih padaNya. Barangkali kerana titis air matamu dan doa rintihanmu yang paling tulus lalu dikurniakan kekuatan jiwa, akal dan buah fikir pada dirimu agar titipan rahmatNya berpanjangan hingga kita mengecapi manisnya cinta yang halal dalam redhaNya sehingga saat ini. Terima kasih segalanya sayang..
“Sungguh, kau satu-satunya tempat jatuhnya cinta yang paling bening. Segenap keluh resahku, kau jadi perlabuhan kedamaian. Ketika sakit duka bertandang, kaulah jadi penawarnya. Bila akal dan semangatku mulai tumpul, kaulah yang jadi penajamnya. Bak kata hukama, kau tak ubah seperti kehangatan saat kedinginan.
“Terima kasih sayang untuk semuanya…
“Kutulis ini kerana Hari ini Ulangtahun Pernikahan Kita Yang ke -10. Doakan hubungan kami kekal selamanya semua…
Hasil perkongsian hidup bersama, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, Ayya Soffya dan Muhammad Fahri yang dilahirkan 30 November lalu.
Hati mana yang tak dilanda pilu, jiwa mana yang tak gundah bila mana insan kesayangan diuji dengan wabak yang cukup menggerunkan. Membaca hati-hari tentang Wabak Covid-19, siapa sangka ia bakal menimpa keluarga sendiri.
Demikian yang berlaku kepada puan Zuraita Mohd Anua apabila suami dan anak bongsunya disahkan positif covid-19. Saat itu tiada kata yang mampu diungkapkan.
Dua minggu yang cukup mendebarkan dan penuh pengharapan. Mengharapkan semoga kedua-duanya dijauhkan dari segala musibah. Kuatnya hati seorang isteri dan tabahnya jiwa seorang ibu dalam mengharungi ujian tersebut.
Alhamdulillah doanya didengari bila mana kedua-duanya disahkan bebas dari wabak tersebut. Ikuti perjalanan kisah keluarga ini dalam mengharungi wabak Covid-19.
Assalammualaikum wbt.
Sebelum tu nak minta maaf sebab catatan ini panjang.
❤️
Semuanya bermula pada Ahad 1 March 2020. Suami saya telah mendapat panggilan telefon dari company secretary memberitahu terdapat satu kes positive COVID-19 di syarikatnya bekerja. Setelah kes tersebut disahkan, semua yang ada dalam meeting dengan anggota pekerja terbabit seminggu sebelumnya diarahkan kuarantin di rumah serta merta berserta family. Suami saya pun terlibat! Allahuakbar, DIA sahaja yang tahu betapa takut, keliru dan sedihnya kami waktu itu. Masih segar di mata saya wajah pucat suami sebaik menerima berita itu.
Suami terus kuarantin diri di dalam bilik. Saya dan anak-anak bingung. Kami takut kerana kami tak tahu bagaimana untuk mendepaninya. Ini sesuatu yang baru. Selama ini kita dengar virus itu jauh di Wuhan China, rupanya virus itu sudahpun mengetuk pintu rumah kami sekeluarga.
Sehari selepas itu, suami dan beberapa orang contact yang telah dikenal pasti diminta menjalani swab test di hospital. Menunggu keputusan sepanjang tempoh itu adalah saat-saat yang paling menakutkan. Hati tak putus-putus berdoa agar keputusannya negatif. Ketakutan semakin kuat apabila seorang demi seorang rakan sekerjanya disahkan positif. Allahuakbar!
Suami saya pula tidak menunjukkan sebarang simptom yang ketara. Dua tiga hari sebelumnya, suami cuma mengadu badannya terasa macam nak kebah dari demam. Selain itu, deria baunya juga tiba-tiba sensitif. Itu sahaja.
Keesokan harinya lebih kurang jam 6.30 petang (3 March), suami mendapat panggilan telefon dari doktor terlibat, memberitahu kenyataan yang tak ingin kami dengar. Dia positive! Antara ingin menerima dan menafikan, Allah SWT sahaja yang tahu betapa dahsyatnya situasi kami ketika itu.
Doktor meminta suami bertenang, packing barang yang perlu sahaja. Ambulance akan datang lebih kurang jam 12.50 malam. Saya amat sedih waktu itu. Walaupun kerajaan belum menganjurkan social distancing, kami telah terlebih dahulu melakukannya. Suami tak benarkan saya masuk ke dalam bilik dan menghampirinya langsung. Dia packing barangnya sendiri.
Suami turut meminta pemandu ambulance yang datang nanti agar memadamkan bunyi siren. Ini untuk mengelakkan rasa panik jiran-jiran. Maklumlah, kes ini masih baru waktu itu. Orang ramai belum banyak maklumat mengenainya. Masih saya ingat, masing-masing pucat, tak tahu untuk bereaksi. Melepaskan suami ke hospital pun, saya rasa macam tak percaya.
Pukul 12.30 malam, suami saya turun dari bilik dengan beg yang disiapkan sendiri. Tiada salam, tiada pelukan untuk saya seperti rutin hariannya sebelum keluar bekerja. Pandangan matanya juga sayu untuk anak-anak. Laju suami keluar. Tiada satu pun barang yang disentuh. Pintu rumah pun saya yang buka dan tutupkan.
Lama juga suami berdiri di luar, menunggu ambulance yang tak kunjung tiba. Saya pula menunggu di dalam rumah. Hati saya berbalam-balam. Suami minta saya tidur dahulu. Tak mungkin! Saya tetap nak temani dia. Kami membisu seribu bahasa. Hampir jam 1 pagi, ambulance akhirnya sampai. MA turun dari ambulance, lengkap dengan suit PPE. Saya tak pasti ada jiran yang nampak atau tidak, saya tak kuasa memikirkannya. Itulah malam pertama suami di hospital.
Keesokan harinya, saya dan anak-anak perlu menjalani swab test segera kerana kami close contact suami. Sekali lagi kami hidup dalam ketakutan untuk menunggu keputusan. Dalam hati, saya amat risau memikirkan jika saya yang positive. Bagaimana keadaan anak-anak di rumah? Mampukah mereka menjaga sesama sendiri? Dalam gundah, saya penuhkan juga peti sejuk dan kabinet dapur dengan banyak stok makanan dan berdoa agar apa yang saya takuti ini tidak terjadi. Suami juga memujuk saya walaupun saya tahu dia sendiri kurang stabil. Katanya, Allah SWT Maha Adil. Kita doa yang baik-baik.
Dua hari kemudian (6 March) lebih kurang jam 6.40 petang, saya mendapat panggilan telefon dari pegawai Pejabat Kesihatan Derah (PKD) memberitahu sesuatu yang tak pernah saya jangka. Saya dan dua anak lagi negatif. Tapi lemah lutut saya menerima kenyataan tentang anak bongsu saya pula yang disahkan positive. Ya Allah!
Berkali-kali pegawai PKD berkenaan meminta saya jangan sesekali memberitahu sesiapa tentang kes anak saya ini. Kata mereka, kes melibatkan murid sekolah sangat rumit. PKD akan uruskan sendiri dengan pihak sekolah dan PPD mengikut SOP mereka. Saya akur, pada keluarga pun saya tak beritahu.
Anak saya menangis selepas mendengar khabar itu. Allahuakbar, luluh seluluh luluhnya hati saya melihat tangisannya. Saya tanya, kenapa dia menangis. Katanya dia keliru, dia tak faham. Saya pujuk dia, saya kata Allah akan jaga dan sembuhkan dia. Allah hantar dia ke hospital untuk jaga bapanya. Dia senyum dan menganggukkan kepalanya, walaupun air matanya masih bergenang.
Ketika berhubung dengan suami melalui telefon memberitahu hal ini, suami menangis berkali-kali meminta maaf. Katanya, kerana dia, kami perlu hadapi semua ini. Saya kata, tak pernah sekalipun kami menyalahkan dia. Dia keluar mencari rezeki halal, sudah tertulis Allah SWT memilih kami untuk melalui ujian ini. Siapalah kita untuk mempersoalkan takdir Allah.
Baru tiga hari dikejutkan dengan perihal suami, kena terima kenyataan tentang anak kecil pula, adalah sesuatu yang berat untuk saya. Disebabkan keadaan sudah mula ‘panas’ di taman perumahan waktu itu, saya meminta agar ambulance tidak datang mengambil anak saya di rumah. Setelah berbincang, doktor terbabit meminta saya menghantar anak saya di lorong belakang sebuah klinik berhampiran lebih kurang jam 11.30 malam. Ambulance akan ambil dia dari situ.
Dalam ketakutan dan kepasrahan, saya bawa anak saya ke tempat yang dijanjikan. Bayangkanlah betapa luluhnya hati saya waktu itu. Nak pegang dia tak boleh, nak peluk pun tak boleh. Hanya air mata yang tak henti-henti mengalir. Inilah antara pengalaman yang takkan saya lupakan seumur hidup.
Apapun sedikit sebanyak saya lega kerana bapanya ada menanti dan akan menjaganya di hospital. Namun, melepaskan dua orang belahan jiwa untuk diasingkan kerana virus baru ini, adalah sesuatu yang sangat sukar untuk saya atau sesiapa sahaja lakukan. Hanya Allah SWT yang tahu.
Untuk kes anak saya sahaja, ada 50 orang close contact telah dikenal pasti. Mereka perlu menjalani swab test. Allah Maha Besar, alhamdulillah tiada seorang pun close contact anak saya yang positive, semuanya negative! Dan, bagi close contact suami pula, cuma anak bongsu kami sahaja yang positive, manakala saya, dua orang anak dan rakan-rakan sekerjanya semua negative. Syukur!
Saya yakin, anak saya dihantar ke hospital adalah atas takdir Allah SWT. Setelah saya dan suami duduk dan berfikir, kami yakin ada hikmah di sebalik semua ini. Anak saya ini sangat manja dengan bapanya. Mereka berdua amat rapat. Saya percaya, kehadirannya ke sana adalah sebagai penguat semangat untuk membantu bapanya sembuh. Terkurung di dalam isolation ward 24 jam selama 11 hari, bukanlah sesuatu yang mudah. Minda sentiasa berperang dengan hati. Bak kata suami saya, depressed adalah perkataan paling tepat untuk menggambarkan perasaannya sepanjang di situ.
Dugaan saya di rumah juga tak kurang hebatnya waktu ini. Group WhatsApp sekolah dan taman sangat panas. Masing-masing memperkatakan tentang hal itu walaupun mereka tidak tahu maklumat lengkap. Hari-hari saya hidup dalam ketakutan. Takut dengan reaksi jiran, takut dengan apa yang akan datang lagi selepas ini. Tetapi saya tak kongsikan banyak dengan suami. Saya tak mahu dia tertekan kerana ia boleh mengganggu proses penyembuhannya. Emosi suami lebih penting waktu ini. Hal-hal di luar ini biar saya tangani sendiri.
Hari-hari juga saya membuat solat hajat. Mohon kekuatan sungguh-sungguh dariNya. Kuasa doa memang sangat hebat waktu ini. Saya tak kuat tapi saya minta Allah menguatkan saya. Satu yang melegakan hati, keadaan suami dan anak saya stabil. Mereka tak demam, batuk dan sebagainya. Mereka cuma perlu dikuarantin untuk membiarkan antibodi bertindak sendiri melawan virus tersebut. Keletah anak saya tetap sama macam biasa. Selalu suami saya hantar video anak saya. Terubat rindu. Saya di rumah sering menangis. Keadaan amat sukar. Sedih, rindu, risau, sunyi.
Saya akui saya mungkin kuat jika hanya suami yang melaluinya. Saya percaya dia mampu. Namun apabila memikirkan tentang anak bongsu, saya jadi lemah. Sepanjang waktu itu, saya benar-benar merindui mereka berdua terutama si kecil itu. Teringat wajah manisnya, senyumannya, gelagatnya. Sungguh saya tak kuat. Tak pernah kami berjauhan selama ini.
Syukur ahamdulillah selepas dua kali negatif swab test, masing-masing dibenarkan pulang ke rumah pada 14 March 2020. Saya sendiri yang menjemput mereka di hospital pada jam 1.30 pagi.
Moral daripada kisah saya ini, saya yakin Allah pilih kami untuk melaluinya kerana Allah tahu kami mampu. Tapi sebenarnya kemampuan kami mengharungi semua ini pun atas izin dan pertolonganNya juga. Terasa kerdil dan penuh dosa apabila kami muhasabah diri tatkala diuji ini. Kadang-kadang ujian itu tak berat, tapi Allah hadirkan rasa gelisah seketika untuk menjadikan kita lebih kuat. Alhamdulillah, kami bergantung penuh padaNya.
Dalam kesusahan, DIA hadirkan kelapangan. Dalam kerisauan, DIA hadirkan ketenangan. Syukur alhamdulillah, dulu pahit kini manis akhirnya. Moga kami lebih istiqamah padaNya. Banyak yang telah mengubah saya dan suami daripada ujian ini. Alhamdulillah semuanya manis-manis. Itulah hikmah dari sebuah ujian.
Walaupun cuma dua minggu, namun ia adalah dua minggu yang penuh makna. Syukur alhamdulillah semuanya sudah kembali seperti sediakala. Semoga kita semua terpelihara dari wabak ini. Semoga wabak ini juga segera pergi. Moga Allah SWT mencucuri rahmatNya untuk mereka yang terkorban akibat virus ini. Moga Allah SWT menyembuhkan mereka yang sedang dirawat dan memudahkan urusan ahli keluarga mereka. Sesungguhnya Allah SWT Maha Adil, Maha Pengasih Lagi Maha Pengasihani. Aamiin.
*Terima kasih KKM, HSB, PKD,seluruh ahli keluarga, pihak sekolah dan teman-teman. Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya.
#3April2020
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di