Walaupun duit bukan segala-nya tapi di sebabkan duit rumahtangga boleh bercerai berai, anak jadi terbiar dan kita sendiri boleh lupa diri.
Apatah lagi isteri yang jadi surirumah dan tak bergaji, suami tidak patut memperlekehkan mereka. Anggap isteri seperti patung di rumah, dan tak mempedulikan emosi dan fisiologi si isteri.
Serius kena buang darjat duit ini !
Suami isteri tinggal sebumbung, tidur sekatil dan makan semeja tak patut ada timbul isu aku yang kerja penat-penat, kau yang duk perhabis pula.
Ads
Sebenarnya ada cara mudah nak buang darjat duit ini dalam rumahtangga. Ini apa yang saya dan isteri dah amalkan sejak mula perkahwinan lagi.
Sebenarnye gaji bersih di slip gaji tu belum benar-benar bersih lagi, boleh di bersihkan lagi supaya berkat suami isteri.
Caranya ialah kumpul kedua dua gaji suami isteri dan bayar bil astro, tnb, air, kereta, rumah, belanja rumah dan sekolah anak. Baki yang ada kami bahagi dua, dan itulah gaji bersih 2.0 kami setiap bulan.
Bil bulanan : 250 Kereta : 1800 Ptptn : 550 Sekolah anak : 500 Rumah : 780 Belanja rumah : 550 Jumlah : RM4430
Jumlah pendapatan – Jumlah komitmen = Baki
RM6000 – RM4430 = RM1570
Gaji bersih 2.0 : 1570 ÷ 2 = 785
Jadi gaji bersih suami / isteri sebulan ialah RM785
Ads
Ok lah tu gaji bersih seorang tak perlu bayar apa apa lagi. Kalau isteri ada buat bisnes pun boleh campur pendapatan bisnes itu. Jangan pula bila isteri dah ada pendapatan sendiri suami terus mengabaikan belanja rumah.
Gaji bersih ini terpulang pada isteri nak guna duit itu samaada buat simpanan atau buat beli baju dan alat solek. Comfirm suami tak akan pertikaikan.
Sebaiknya bila dua hati di satukan kehidupan yang dahulunya 2 sekarang dah menjadi satu. Ini termasuklah rezeki.
2 rezeki lelaki dan wanita, bila dah berkahwin akan menjadi satu yang lebih besar. Sebab itu orang selalu cakap bila dah berkahwin pintu rezeki akan di buka seluas luas-nya.
Percayalah semakin telus kita mengagihkan rezeki sama rata, semakin banyak punca rezeki akan bertandang ke rumah kita.
Mohd Fhais Keberkatan rumahtangga sentiasa jadikan keutamaan.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Membaca perkongsian daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkenaan sifat malas dan kemiskinan, harap memberi kesan buat semua. Bersamalah kita ambil pengajarannya dan semoga kita dan anak cucu kita terhindar daripada penyakit ‘MALAS’ yang dimaksudkan itu.
Ini perkongsiannya.
𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀 𝐌𝐈𝐒𝐊𝐈𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐒
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan. Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
𝗧𝗲𝗿𝗸𝗲𝗰𝘂𝗮𝗹𝗶
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul. Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
𝗣𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras. Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong. Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
𝗗𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗦𝗮𝗷𝗮
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀 𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗔𝗸𝗵𝗶𝗿𝗮𝘁
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan. Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗵 𝗠𝗔𝗜𝗣𝘀 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan. Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
𝗔𝗸𝘂𝗿
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
𝗝𝗶𝗵𝗮𝗱 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀𝗮𝗻
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w:
لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ
“Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a
فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Semoga ALLAH mengampuni saya..
Dr MAZA,
12.30 malam
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Ucapan yang ditulis Watie Hanifah sempena ulang tahun kelahiran anak kepada pelawak dan penyampai radio Shuib, Dzakira Talita Zahra menyentuh hati ramai pengikutnya di Instagram.
Dalam hantaran itu, Watie berkongsi mengenai kebaikan anak kedua Shuib dan Allahyarham Siti Sarah yang digelar sebagai Doctor Love (Doktor Cinta) itu kepadanya.
“Selamat hari jadi, Doctor Love Aunty. Terima kasih selalu menjadi penghibur dan peneman Aunty ke mana pergi.
“Terima kasih selalu membela dan menangis apabila Daddy (Shuib) bertukar menjadi garang,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Watie turut mengucapkan terima kasih kepada Talita kerana menerimanya untuk menjadi ibu.
“Terima kasih atas kebaikan dan kasih sayang kamu. Aunty sayang kamu sangat dan terima kasih kerana memilih Aunty untuk menjadi ibu,” tulisnya.
Hantaran itu turut disertakan dengan kompilasi gambar Watie dan Talita yang sangat manis serta akrab seperti ibu dan anak.
Menjengah ke ruangan komen posting yang dibuat Watie, ramai yang tumpang bahagia melihat wanita itu bersama anak-anak Shuib dan merasakan pelawak terbabit tidak salah memilih Watie untuk memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya.
Mereka juga mendoakan agar hubungan mereka sekeluarga akan terus bahagia sehingga ke akhir hayat.
Untuk rekod, Dzahira Talita Zahr merupakan anak kedua kepada pasangan Shuib Sepahtu dengan allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin. Selain daripada Dekta, mereka turut dikurniakan 3 orang cahaya mata lelaki, Uwais Al Qarni, Ariq Matin dan Ayash Affan.
Shuib dan Watie pula bakal mendirikan rumah tangga sekitar sebulan lagi dan majlis pertunangan telah berjalan dengan lancar pada Aidilfitri tempoh hari.
Sumber: Instagram iawatie
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mahu ikatan perkahwinan yang dibina sentiasa bahagia dan berkekalan hingga ke syurga.
Namun dalam setiap perkahwinan pastinya adanya cabaran yang ditempuhi. Susah senang tetap ditempuhi demi keluarga.
Sebagaimana perkongsian wanita ini yang pernah melalui detik sukar dalam rumahtangganya bersama suami dan anak-anak.
Juga kuasa doa dan sedekah itu adalah anugerah memberi kekuatan untuk terus berjuang demi keluarga.
Malah, para netizen yang mengikuti kisahnya turut meluahkan rasa sebak mengikuti coretannya itu.
Seterusnya ikuti perkongsiannya.
Ini kisah tahun 2020. Saya tak akan lupakan momen itu. Petang tu, Syahindah datang dan ingatkan saya untuk ke sekian kali, “Mama, nanti abah dapat gaji kita beli kasut roda tau!” Yes! Masa tu memang dah niat nak tunaikan hajatnya yang satu ini. “Beres. Esok gaji abah masuk. Nanti mama order kat Shopee!” Tak sabar nak shopping kat Shopee!
Esoknya, pagi-pagi lagi saya dah semak akaun bank suami. Kebiasaannya begitulah. Saya yang akan menguruskan segala urusan belanjawan rumah. Menyelesaikan komitmen bulanan.
Mengasingkan perbelanjaan untuk keperluan rumah, anak-anak dan sebagainya. Tapi, pagi itu hati saya berdebar-debar. Saya lihat nilai baki dalam akaun langsung tak ada perubahan. Sama saja nilainya macam semalam.
Gaji Suami tak masuk
Saya tanya suami, “Abang, gaji selalu masuk pukul berapa? Pagi kan?” Namun, sehingga ke petang nilainya masih sama. Saya mula cuak. “Abang, gaji kena tahan lagi ke?” Saya pandang dia. Dia pandang saya. Tak ada siapa mampu menjawab.
Akhirnya, persoalan terjawab. Sejarah lama berulang kembali. Gaji suami ditahan lagi. Kali pertama berlaku lebih kurang enam bulan sebelumnya, pada tahun yang sama. Kedua-dua tanpa notis!
Hidup seadanya
Maka begitulah, keputusan drastik terpaksa diambil. Lupakan tentang kasut roda, lupakan tentang segala hajat yang lain. Bulan itu, kami teruskan hidup dengan apa yang ada. Jika sebelumnya gaji ditahan selama tiga bulan berturut-turut, kali ini entah sampai bila …
Satu malam tu, sementara tunggu Maghrib, saya basuh pinggan. Masa nak bilas, saya buka paip. Guess what! Tak ada setitik pun air yang menitis! Terus saya teringat sesuatu
Laju saya pergi cari bil air yang saya terima beberapa hari lepas. Bil amaran supaya kami selesaikan tunggakan dalam tempoh 14 hari. Congak-congak … memang dah lebih tempoh yang diberikan. Maka, memang sah air dah kena potong!
Beberapa bulan sebelumnya memang bil air kami melambung tinggi. Jumlahnya beratus-ratus setiap bulan yang kebiasaannya tak pernah pun cecah seratus. Puncanya masalah paip bocor yang kami tak sedar sehingga berbulan-bulan. Syukur masa tu kami dah sedar dan panggil orang datang baiki.
Memang dah rancang gaji bulan itu nak guna untuk setelkan semua bayaran tertunggak, tapi siapa sangka … tak sempat. Ternyata Allah dah ada perancangan lain yang lebih baik untuk kami.
Ketika saya beritahu suami air dah kena potong, berkali-kali dia minta kepastian. Ya, saya faham. Di saat-saat begitu, itu bukanlah khabar yang diharapkan. Apabila saya mengesahkannya, ketika itulah saya melihat kelopak matanya mula bergenang. Sayunya hati saat melihat air matanya menitis tanpa henti. Saya tahu dia rasa bersalah dan tertekan.
Sungguh, gaji ditahan lagi untuk kali kedua adalah sesuatu yang tak dijangka pun, tapi entah kekuatan apa yang Allah berikan ketika itu sehinggakan saya rasa tenang-tenang sahaja. Saya tak ada fikir yang bukan-bukan sepertimana ketika pengalaman yang pertama.
Doa mohon petunjuk
Selesai solat Maghrib, segala yang berlegar-legar dalam fikiran saya sejak tadi laju meluncur keluar melalui doa ini, yang saya ingat sampai sekarang.
“Ya Allah, aku selalu berniat untuk jadi kaya supaya aku dapat bersedekah sebanyak-banyaknya. Aku selalu cemburu kepada mereka yang ada banyak duit dan boleh bersedekah sebanyak mana yang mereka mahu.
Jika ini cara yang engkau pilihkan untuk aku bersedekah dalam jumlah yang banyak, maka aku halalkan segala hak kami yang ada di situ. Aku sedekahkan semuanya kerana-Mu. Semoga Engkau gantikan kami dengan yang lebih baik. Sesungguhnya Engkau Yang Maha Kaya.”
Ketika itu, air mata turun mencurah-curah tak dapat saya tahan. Bukan sedih sebab duit dah tak ada, tapi ketika itulah Allah hadirkan satu perasaan yang sukarnya saya nak gambarkan. Rasa tenang. Rasa puas. Rasa lega.
Terasa bagaikan terangkat satu beban yang maha berat di bahu. Tak ada walau sekelumit pun rasa marah pada sesiapa. Tak ada langsung rasa risau dengan nasib kami yang entah bagaimana selepas tu.
Dan sesuatu yang pasti, itulah momen yang saya rasa paling kaya sepanjang hidup! Dan ternyata bantuan Allah itu sangat pantas melalui insan sekeliling. Masalah tunggakan bil air berjaya dilunaskan pada malam itu juga. Keesokannya, kami sekeluarga kembali berpeluang mendapat nikmat air.
Bulan itu kami melalui hari-hari yang tawar, namun tenang. Hidup perlu diteruskan. Beberapa komitmen bulanan menunggu untuk dilangsaikan. Hidup berbekalkan saki-baki wang ehsan adik-beradik yang semakin susut.
Kami berjimat sehabis mungkin. Yang mana perlu dahulukan, didahulukan. Yang belum mendesak, letak ke tepi dahulu.
Niat sedekah walaupun tengah susah
Suatu petang, saya skrol FB. Tiba-tiba melintas satu berita tentang kematian mengejut suami seseorang. Melihat nama si isteri yang di-‘tagged’, saya sebak! Saya kenal dia! Kami bukan kenal rapat pun. Hanya sesekali berurusan berkaitan buku atau berbalas komen di status saya.
Tapi entah kenapa, saya amat terkesan dengan berita itu. Fikiran saya asyik teringat-ingat nombor akaun yang disertakan pada status tu. Saya dah tak boleh nak tumpu benda lain. Bagaikan ada satu perasaan yang mendesak-desak untuk saya berikan juga sumbangan. Tapi, macamana? Saya tak ada duit! Hakikat yang buatkan saya terus resah. Dan ofkos, sedih.
Ligat saya fikir jika ada duit saya yang tersesat di mana-mana. Dan ketika itulah terlintas wajah Faizah Ahmad. Saya mesej dia.
“Cik Pae, saya nak kongsi berita sedih. Ada seorang customer saya, hari ni saya dapat tahu suaminya meninggal. Dia ada anak lima yang masih kecil. Saya teringin nak bagi sumbangan, tapi sekarang ni saya tak ada duit. Boleh tak cik Pae gunakan duit komisen dropship saya tu untuk bagi pada dia.”
“Sekejap ya, saya cek. Setakat ni komisen kak long RM120. Kak long nak saya bagi untuk dia berapa banyak?”
“Semua!”
Semua? Ya, semua. Gerak hati saya mahukan begitu. Hakikatnya masa tu, hanya itulah sumber duit yang saya masih ada untuk menampung apa yang tidak cukup.
Dalam keadaan begitu, jumlah itu sangat besar nilainya. Tapi itulah keputusan yang tak sedikit pun saya kesal malah saya berasa lega selega-leganya.
Keputusan yang berlandaskan kepada gerak hati dan keyakinan bahawa Allah bukan saja-saja membiarkan berita sahabat saya itu melintas di wall FB saya.
Keputusan yang sekaligus meletakkan diri pada kedudukan ‘tidak punya apa-apa’. Keputusan yang juga bermakna duit yang ada dalam akaun akan kekal RM6.90 sahaja. Fikiran saya ketika itu hanya mahu berniaga dengan Allah. Hanya itu.
Rezeki datang mencurah
Dan sesungguhnya, janji Allah itu benar. Allah tak tunggu lama untuk tunjukkan keajaiban-Nya.
Keesokan pagi, saya menerima panggilan daripada seseorang, minta nombor akaun. Sebak saya sebaik melihat nilai dalam akaun yang tiba-tiba bertambah RM 2 ribu. Ya Allah, cepatnya Allah ganti!
Petang pula, kami didatangi tetamu yang datang mengejut. Bergegas saya naik ke atas, pakai tudung dan apabila saya turun, dia beritahu ada bawakan makanan sikit.
Saya ke dapur dan terkedu. Saya fikir sekadar makanan untuk minum petang yang boleh saya hidangkan, rupa-rupanya penuh bekalan barang dapur untuk kami sekeluarga. Ayam, ikan, telur, minyak, beras, sos dan segala bahan basah untuk memasak. Ya Allah, baiknya Allah! Dicukupkan keperluan kami melalui mereka. Sebak!
Saya minta diri buatkan air. Ketika itu, saya kembali gelisah. Hanya ada air. Nak jamu apa? Keropok keping yang mak mertua bawakan beberapa hari lepas baru sahaja habis anak-anak goreng pagi tadi.
Saya buka kabinet, dengan harapan biskut kering gula yang suami beli hari tu masih ada. Dah habis juga! Allahu ….
Ketika itulah terdengar bunyi hon di luar rumah. Poslaju hantarkan satu kotak besar. Ya, memang saya tahu abang ipar ada cakap nak kirimkan serunding. Tapi tidaklah saya jangkakan sebesar itu kotaknya.
Di dalamnya ada tepung, biskut, kopi, teh, susu, ikan bilis dan segala jenis barang kering yang penuh satu kotak. Juga beberapa jenis keropok kering yang boleh digoreng. Dapatlah kami menjamu tetamu.
Ya Allah macam tak percaya! Hari itu, subhanallah, lengkap stok makanan di dapur kami, barang basah dan barang kering yang sangat cukup untuk keperluan seminggu dua. Juga duit untuk membayar segala komitmen yang lain.
Cepatnya Allah ganti! Semuanya kami tak cari pun, tapi Allah yang hantar. Indahnya cara Allah cukupkan keperluan kami melalui mereka ini.
Betapa cantiknya Allah susun sehinggakan tak sempat pun nak susah hati dengan baki duit yang hanya tinggal RM6.90 semalam.
Selesai mengiringi mereka pulang, saya ternampak ada surat dalam peti pos. Saya ambil dan baca. Hilang senyuman yang baru mekar tadi sebaik melihat surat lawyer yang minta menjelaskan bayaran tunggakan kereta. Allah … .
Ketika itu, saya tidak terfikir yang lain kecuali untuk cuba memohon lanjutan tempoh moratorium yang ditawarkan ketika itu.
Dua hari kemudian, “Kak long, saya masukkan 5 ribu. Bayar duit tunggakan kereta dan selebihnya buat belanja anak-anak ya.” Subhanallah!
Diam tak diam, tiga bulan kami hidup tanpa pendapatan, menjalani hari-hari esok yang tak pasti, namun ajaibnya dalam tempoh itu sedikit pun kami tidak berasa kekurangan. Betapa satu nikmat yang paling besar bagi saya adalah dikelilingi oleh sangat ramai orang yang baik-baik, yang tak pernah lokek menawarkan bantuan.
Buat sahabat yang pernah bertanyakan saya, “Kenapa tak beritahu sedang susah?” Saya tahu dia rasa bersalah. Maka, inilah jawapannya.
Kerana Allah terlebih dahulu mencukupkan keperluan kami tanpa saya sempat pun meminta-minta. Allah hantarkan hamba-hamba-Nya yang terpilih untuk menolong kami dengan cara yang begitu indah dan tersusun sekali. Segalanya tepat pada masa yang kami perlukan.
Betapa Allah lebih tahu bila dan apa yang kami perlu. Sepanjang tempoh itu memang saya banyak menangis. Bukan menangis sebab kesedihan, tapi menangis kerana mengenangkan keindahan dan kasih sayang Allah.
Jika mahu dihitung nikmat yang kami dapat dengan ujian yang kami terima, sangat jauh bezanya. Nikmatnya terlalu banyak sehinggakan tak terasa pun pahitnya ujian itu. Betapa baiknya Allah sehingga saya jadi malu hendak mengeluh dengan ujian yang sedikit itu.
Sungguh, pengalaman ini mengajar saya tentang banyak perkara. Paling penting, Allah first! Apa pun yang berlaku cari Allah dahulu. Jangan mulakan dengan mencari-cari salah orang kerana makin dicari salah orang, makin kita sukar untuk tenang.
Fokus kepada apa yang kita boleh kawal. Kita jadi resah bila kita sibuk nak membetulkan perkara yang kita tak boleh kawal. Redha dan tawakal. Buat kerja kita dan selebihnya serah kepada Allah.
Faham dan sematkan betul-betul dalam hati bahawa hidup ini adalah medan ujian. Bila kita faham tentang hakikat itu, kita akan fokus cari jalan untuk lulus ujian. Bukan memprotes. Ya, mungkin Allah datangkan ujian yang sama untuk kali kedua kerana saya masih belum lulus pada ujian pertama.
Ujian tanda Allah sayang. So, please …. embrace the moment! Kadang, dalam keadaan kekalutan kita jadi terlupa betapa ini adalah momen istimewa yang sepatutnya kita raikan. Momen untuk kita bermanja-manja dengan Dia.
Jika kita bersungguh menikmati momen itu, maka kita akan dapat rasakan betapa indahnya hidup ber-Tuhan, betapa dekatnya Dia dengan kita dan betapa manisnya ujian itu.
Pengalaman itu juga buatkan doa saya kini berubah. Saya tidak lagi minta Allah bagi saya kaya supaya saya dapat bersedekah. Tapi saya minta Allah bagi saya RASA kaya supaya saya sentiasa mampu bersedekah walaupun dalam apa juga keadaan.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.