“Tenanglah Duhai Ibu Dan Bayi…”- Ustazah Asma Titip Doa & Kongsi Amalan Bila Diuji Kesempitan Hidup

Share

Tekanan dan desakan hidup dipercayai mendorong seorang lelaki bertindak di luar kewarasan apabila sanggup mengelar leher isterinya dan bayi mereka yang baru dilahirkan di sebuah rumah di Bakar Batu di sini pada Isnin, ini sebagaimana yang dilaporkan di Sinar Harian

Difahamkan dalam kejadian yang berlaku pada jam 12 tengah hari itu, mangsa Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayinya, Hans Mohd Thakif Amir, ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher di luar rumah teres didiami pasangan muda itu.

Pastinya membaca berita seperti ini membuatkan kita rasa sedih, kecewa malah pelbagai rasa timbul di atas apa yang menimpa mangsa. Perasaan yang sama juga dirasai oleh Ustazah Asma Harun dan beliau turut terpanggil meluah rasa di akaun facebooknya.

Membaca perkongsian yang dititipkan terasa sayu dan bersamalah kita ambil iktibar. Amalkan juga doa yang dikongsikan oleh ustazah dalam kita meneruskan kehidupan yang penuh dengan ujian ini.

 

TENANGLAH DUHAI IBU DAN BAYI, SEMOGA KALIAN TENANG DALAM RAHMAT ALLAH

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami dikembalikan.”

Luluh hati seluruh rakyat Malaysia ketika mendapat berita tentang seorang ibu yang baru habis pantang dan bayinya berusia 44 hari dikelar oleh si suami, kemudian melarikan diri. Allahu Akbar.

Kejadian ngeri ini berlaku sekitar waktu tengahari tadi, iaitu di sebuah rumah di Bakar Batu, Johor. Mereka dikatakan pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dalam tempoh setahun sejak PKP tahun lepas.

Mereka direzekikan seorang anak dan hidup bahagia, namun suaminya diuji dengan masalah pekerjaan sejak pandemik. Kita tak tahu hal sebenar yang mendorong suspek bertindak begitu, namun kita doakanlah buat mereka.

Sungguh, kadang manusia hilang pertimbangan apabila diuji dalam kesempitan. Ada sebuah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW supaya Allah SWT hilangkan segala kesedihan yang kita alami, bebanan hutang, rasa gelisah, dll.

Diceritakan oleh Abu Sa’id al-Khudiri r.a., satu hari Baginda SAW berkata kepada Abu Umamah yang sedang dalam kesedihan, “Mahukah aku ajarkan doa yang apabila kamu ucapkan maka Allah SWT akan menghilangkan kegundahanmu dan melunaskan hutangmu?” Dia berkata, “ya wahai Rasulullah.”

قَالَ قُلْ إِذَا أَصْبَحْتَ وَإِذَا أَمْسَيْتَ: {اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ} قَالَ فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَأَذْهَبَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَمِّي وَقَضَى عَنِّي دَيْنِي

Maksudnya: Baginda bersabda, “Apabila kamu berada di pagi dan petang hari maka ucapkanlah, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kegundahan dan kesedihan, dan aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan daripada orang lain.” Beliau (Abu Umamah r.a.) berkata: “Maka aku pun melakukannya dan ternyata Allah SWT menghilangkan kegundahanku dan melunaskan hutangku.”

(HR Abu Daud, hadis hasan)

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Hajar Nursyahirin Rosman, khususnya buat ibu ayah atas kehilangan anak dan cucu. Terus kuat dan bersabar, semoga arwah ditempatkan bersama orang soleh lalu dihimpunkan di dalam Syurga tanpa hisab.

Semoga kita semua dikurniakan Husnul Khatimah saat menghadapi kematian nanti. Mari sama-sama kita amalkan doa ini, agar diberi pengakhiran yang baik:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة

Maksudnya: “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik dan jangan Engkau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Sumber : Asma’ binti Harun

ARTIKEL MENARIK : Simpan Bawang Elak Rosak, Lagi Terjamin Bila Buat Cara Ni. Mudah Sangat!

 

IKLAN