“Tiada Gambar Kahwin, Nikah Pun Atas Talian.” Ezlynn Temu Jodoh Dengan Wan Hafizam. Tahniah!

Share

Belum terlewat rasanya untuk mengucapkan tahniah buat pnyanyi, Ezlynn yang selamat bergelar isteri baru-baru ini.

Selepas lebih empat tahun hidup solo, Ezlynn akhirnya bertemu jodoh  dengan Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45. Pasangan ini selamat diijabkabulkan pada 11 September yang lalu.

Memandangkan masih dalam PKP, Ezlynn atau nama penuhnya, Azline Ariffin melangsungkan pernikahan dengan Wan Hafizam yang juga penderma hati pertama negara secara atas talian.

“Alhamdulilah majlis nikah kami sangat ringkas seiring dengan norma baharu di era pandemik COVID-19 ini. Memang tak ada sebarang majlis keraian.

“Jadi memang tak ada gambar kahwin pun. Nak bergambar sekali pun sebab jauh. Saya dan dia (suami) di Perlis manakala keluarga pula di KL.

“Cukup semua dipermudahkan. Sudah termaktub ikatan rasmi hubungan kami dan semoga berpanjangan sampai ke jannah,” katanya.

Kata penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu, dia mula mengenali suami ketika sama sama terbabit dengan kerja amal untuk sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Perkenalan kami berputik begitu saja. Tiada isyarat tertentu. Saya paling tertarik kepada ketulusan hatinya.

“Dia juga sangat menjaga solat, tak lokek membantu orang dan amanah dalam kerjanya,” katanya.

Mengenai status suami, Ezlynn tidak mahu mengulas.

“Saya juga tak mahu nak ulas status suami kerana apa yang lebih utama, kami tak menyembunyikan perkahwinan ini,” katanya.

Ezlynn sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas pengurus peribadinya, Adam Fahmy Shamsudin pada 20 November 2011.

Mereka bercerai pada Oktober 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara Wan Hafizam pula mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan terdahulu.

IKLAN