Berita

Gigih Buat Tiga Kerja Demi Sara Keluarga, Bakal Ayah Korban Masa Tidur Cari Rezeki

Share

Tiada istilah penat buat seorang suami yang sanggup melakukan tiga pekerjaan demi menyara keluarga kecilnya, selain membuat persiapan menyambut kelahiran cahaya mata sulung yang dijangka hujung bulan ini.

Itulah pengorbanan Muhammad Amirul Jazmie Anuar, 28, yang kini bekerja sebagai eksekutif operasi pada waktu siang, berniaga burger pada sebelah malam dan mengambil upah sebagai kru katering pada hujung minggu.

Lebih menyentuh hati, rutin padat itu sudah dilakukan sejak enam tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Nur Safina Fahidah Mohd Sanusi, 28. Kini, perjuangan mencari rezeki terasa lebih bermakna apabila pasangan ini bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Muhammad Amirul Jazmie Tidak Pernah Memilih Kerja

Biarpun memiliki Diploma Teknologi Kimpalan, Muhammad Amirul Jazmie tidak pernah memilih kerja. Dia pernah bekerja sebagai tukang cuci di sebuah institut kemahiran sebelum dinaikkan pangkat menjadi eksekutif operasi selepas dua tahun, berbekalkan kelulusan yang dimiliki.

Gambar Hiasan AI

Menurutnya, ketika bekerja sebagai tukang cuci, ada juga pihak yang pernah memperlekehkan dirinya dan bertanya sampai bila dia mahu melakukan pekerjaan tersebut. Namun, dia tidak mudah berkecil hati sebaliknya terus berusaha memperbaiki kehidupan.

“Saya buat lebih satu kerja kerana tengok kawan dan orang lain boleh berjaya dengan melakukannya, jadi mengapa tidak saya ikut jejak langkah mereka.

“Waktu jadi tukang cuci, memang ada orang yang perlekehkan dan tanya sampai bila nak buat kerja itu.

“Selepas dua tahun, saya berunding dengan jabatan sumber manusia dan rezeki berpihak kepada saya apabila ditawarkan menjadi eksekutif operasi,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Rutin Tiga Kerja Demi Menyara Keluarga

Setiap hari, rutin Muhammad Amirul Jazmie bermula seawal jam 6.30 pagi untuk bersiap ke tempat kerja. Tugas hakikinya bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Sekitar jam 6 petang, dia pulang ke rumah dan terus bersiap untuk membuka gerai burger. Perniagaan itu diusahakan sehingga jam 12 tengah malam, malah ada kalanya berlarutan hingga jam satu pagi.

Pada hujung minggu pula, masa rehatnya sekali lagi dikorbankan apabila dia mengambil upah sebagai kru katering di majlis perkahwinan atau acara keramaian. Walaupun jadualnya cukup padat, dia bersyukur kerana setakat ini masih mampu menguruskan masa dengan baik.

“Rutin harian saya, bangun jam 6.30 pagi untuk bersiap pergi kerja yang bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

“Dalam jam 6 petang, saya akan tiba di rumah dan terus bersiap untuk buka gerai hingga 12 tengah malam atau paling lewat satu pagi.

“Hujung minggu pula ambil upah sebagai kru katering dengan dibayar mengikut hari dan begitulah rutin saya sejak enam tahun lalu.

“Kena korbankan masa tidur tapi pendapatan berbaloi kerana boleh dapat antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan,” katanya.

Sokongan Isteri Jadi Kekuatan

Muhammad Amirul Jazmie berkata, keluarganya pada awalnya tidak begitu yakin apabila dia menyuarakan hasrat untuk membuka gerai burger. Bagaimanapun, sokongan isteri dan rakan terdekat menjadi pembakar semangat untuk dia terus mencuba.

Malah, ada rakan yang sanggup meminjamkan wang untuk dijadikan modal permulaan. Berbekalkan keberanian dan keyakinan, dia nekad meneruskan apa yang dirancang.

“Saya redah saja dan tebalkan muka pinjam dengan kawan. Syukur mereka tolong malah datang beri sokongan dengan jadi pelanggan saya,” ujarnya.

Perniagaan Burger Jadi Legasi Keluarga

Perniagaan burger sebenarnya cukup dekat dengan kehidupannya. Muhammad Amirul Jazmie dibesarkan oleh bapanya, Anuar Mahmud, 56, dengan hasil berniaga burger.

Namun, dia mengakui ketika kecil dahulu pernah berasa malu kerana menganggap keluarganya susah dan tidak seperti orang lain. Siapa sangka, takdir akhirnya membawa dia mengikut jejak langkah ayah sendiri dalam mencari rezeki melalui perniagaan yang sama.

“Ikutkan, saya dengan adik-beradik dibesarkan ayah dengan hasil berniaga burger dan dulu, saya malu kerana anggap keluarga miskin, tak macam orang lain.

“Tapi ditakdirkan, saya kini mengikut jejak langkah ayah dan sudah mula berniaga sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan lagi.

“Cuma waktu itu saya menjual dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal. Awalnya kecil-kecilan, cuma baru tiga tahun ini dapat buka gerai,” katanya.

Muhammad Amirul Jazmie Manfaatkan TikTok Untuk Promosi

Kini, usaha keras Muhammad Amirul Jazmie mula menampakkan hasil. Selain berniaga di gerai, dia turut menggunakan platform TikTok untuk membuat siaran langsung dan mempromosikan perniagaannya.

Ada pelanggan yang datang membeli selepas melihat perkongsiannya di platform tersebut. Selagi masih diberi kudrat, dia berhasrat untuk meneruskan apa yang dilakukan sekarang.

Malah, jika ada rezeki, dia menyimpan impian untuk membuka kedai burger sendiri dan menambah lebih banyak menu pada masa akan datang.

“Saya pun buat siaran langsung di TikTok, jadi ada dalam kalangan pelanggan datang selepas melihat perkongsian saya di platform berkenaan.

“Jadi akan teruskan dan jika ada rezeki, saya nak buka kedai burger dan tambah lagi menu.

“Saya buat semua ini untuk anak dengan isteri selain berkongsi rezeki dengan keluarga juga menyambung legasi ayah yang sudah berstatus orang kurang upaya selepas terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Kisah Muhammad Amirul Jazmie Jadi Inspirasi Ramai

Lebih mulia, Muhammad Amirul Jazmie turut mengambil tempahan burger bagi tujuan infaq. Dalam kesibukan mencari rezeki, dia masih tidak lupa untuk berkongsi dengan insan lain.

Kisah bakal ayah ini cukup memberi inspirasi kepada ramai. Dalam usia yang masih muda, dia memilih untuk bekerja keras, tidak malu bermula dari bawah dan tidak menjadikan kata-kata orang sebagai penghalang untuk berjaya.

Semoga segala urusan Muhammad Amirul Jazmie dipermudahkan, isterinya selamat melahirkan cahaya mata sulung dan keluarga kecil ini terus dilimpahi rezeki yang berkat.

Benarlah, rezeki tidak datang bergolek tanpa usaha, dan setiap pengorbanan yang ikhlas pasti ada ganjarannya.

BACA LAGI : Pemuda Kerja Kutip Sampah Demi Sara Keluarga, Sanggup Berhenti Sekolah Bantu Tiga Adik

Sumber : Harian Metro