Meninggal akibat sengatan tebuan. Seorang suri rumah maut dipercayai akibat terkena sengatan tebuan dalam kejadian yang berlaku di Taman Semarak, Sungai Petani, Kedah.
Memetik laporan Sinar Harian, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam Ahad telah meragut nyawa mangsa seorang wanita berusia 61 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail memaklumkan, mangsa Rohani Mohd Shariff, 61, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Gambar sekadar hiasan
Menurutnya, kejadian disedari anak lelaki mangsa ketika pulang ke rumah sebelum mendapati ibunya sedang menanggung kesakitan.
“Semasa anak lelaki mangsa pulang ke rumah mendapati ibunya sedang kesakitan dan dimaklumkan oleh mangsa bahawa terkena sengatan tebuan,”katanya.
Ads
Wan Azharudin berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan.
“Bagaimanapun, pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan,” katanya.
Ads
Difahamkan, mangsa terkena satu sengatan tebuan di bahagian badan semasa berada di rumah.
Beliau berkata, tiada unsur jenayah dikesan setakat ini.
Ads
INFO TAMBAHAN:
Memetik info berkaitan dengan bahaya sengatan tabuan yang disiarkan oleh Astro Awani, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan Awang, selain langkah pencegahan, masyarakat juga perlu tahu bagaimana untuk bertindak sekiranya disengat tebuan atau serangga berbisa.
Berikut merupakan tindakan kecemasan atau langkah awal bagi mengelakkan nyawa melayang jika terkena sengatan:
Tanggalkan pundi sengat dengan menggunakan pengumpil atau penyepit.
Basuh dengan air dan sabun atua cecair antiseptik.
Letakkan ais atau air sejuk di tempat sengatan.
Bawa mangsa ke kecemasan dengan segera.
Selain itu, Dr Samhan berkata, beberapa langkah pencegahan perlu diamati dalam usaha untuk menjauhi ancaman serangga berbisa ini yang boleh meragut nyawa. Elakkan anak bermain dalam hutan.
Jika perlu bawa anak masuk hutan, pastikan anak memakai baju lengan panjang, seluar panjang dan bertopi.
Elakkan menggunakan pakaian berwarna-warni yang boleh menarik perhatian serangga.
Elakkan memakai bau-bauan atau minyak wangi.
Jika diserang, jangan berlari secara mengejut sebaliknya berjalan perlahan-lahan.
Jangan mengibas baju dan kain untuk menghalang serangan.
Sumber: Sinar Harian & Astro Awani
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kes Syamsul Haris: ibu dakwa darah pekat membuak-buak tanpa henti dari hidung, telinga ketika bedah siasat. Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kini mengambil tanggungjawab penuh menyiasat kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Perkara itu dilakukan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang meluluskan permohonan keluarga untuk membongkar semula kubur arwah, bagi membolehkan proses bedah siasat kali kedua dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, dalam kenyataannya memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan akur dengan arahan mahkamah serta memberi jaminan penuh dari segi penyelarasan siasatan.
“PDRM mengambil maklum berkenaan permohonan oleh Ummu Haiman Bee Daulatgun (ibu Allahyarham) yang telah difailkan melalui peguam Naran Singh & Co di Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, bagi mendapatkan perintah menggali semula kubur Syamsul Haris yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
“Susulan itu, PDRM turut memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip ‘Rule of Law’ bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
Dalam prosiding semalam, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet mengarahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor, digali semula.
Hakim turut menetapkan bahawa proses bedah siasat kedua itu perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Pada prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden, iaitu:
* Perintah untuk menggali keluar semula jenazah Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua bawah penyeliaan responden pertama, iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu.
* Perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, iaitu patologi forensik untuk melakukan bedah siasat semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jenazah itu dikeluarkan, dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.
* Perintah bagi pakar forensik yang menjalankan bedah siasat itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh bedah siasat dijalankan, dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon, Tetuan Naran Singh & Co.
Sebelum ini, media melaporkan Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, dan jenazah dikebumikan pada keesokannya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebelum ini dilaporkan berkata hasil siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jawatankuasa Siasatan Khas mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden kematian Syamsul Haris.
Menerusi temu bual bersama Mingguan Wanita baru-baru ini, Ummu Haiman telah berkongsi foto anaknya ketika proses bedah siasat untuk menunjukkan bukti bahawa apa yang dikatakannya sebelum ini benar.
Terdahulu, media melaporkan Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram. Jenazahnya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu pada 29 Julai.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini menjelaskan siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa khas mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Duit raya, mana lebih banyak pahala? Beri pada Syawal atau Ramadan. Duit raya adalah adat yang masih diamalkan dalam masyarakat Melayu di Malaysia sebagai tanda pemberian ikhlas dan amalan sedekah.
Pemberian duit raya bukan sekadar tradisi tetapi juga satu bentuk kebajikan yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan. Namun, timbul persoalan sama ada lebih besar pahalanya jika diberikan pada bulan Syawal atau Ramadan.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh An-Nasa’i, Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala sedekah, manakala sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala – iaitu pahala sedekah dan pahala mengeratkan silaturahim.
Nabi Muhammad SAW terkenal sebagai insan yang paling pemurah, terutama dalam bulan Ramadan. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, disebut bahawa Baginda menjadi lebih pemurah ketika bertemu Malaikat Jibril, seumpama angin yang bertiup kencang memberi manfaat kepada semua.
Sheikh Muhammad Hasan Al-Dedu Al-Shanqiti menjelaskan bahawa pemberian Nabi SAW sangat cepat dan menyeluruh, menunjukkan keutamaan bersedekah sebelum orang meminta. Oleh itu, memberi duit raya dalam bulan Ramadan lebih digalakkan kerana pahalanya berlipat ganda.
Bila berbicara tentang duit raya, pasti ramai yang sudah sediakan awal-awal untuk diberikan kepada anak-anak, ibu ayah, adik beradik, saudara mara dan lain-lain.
Pemberian yang sedikit atau banyak bukanlah ukuran keikhlasan bagi seseorang, jangan sesekali pertikai apa yang diberikan, tapi nilailah sejauh mana kesyukuran yang kita panjatkan. Penting bagi setiap ibu bapa untuk menasihati dan mengajari anak-anak tentang adab menerima pemberian duit raya.
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah kepada orang miskin pahalanya satu sedekah, sedangkan sedekah kepada kaum kerabat(keluarga) pahalanya dua; pahala sedekah dan pahala silaturahim.” (HR an-Nasaie, hadis sahih)
SubhanAllah, hebatnya orang melayu yang menjadikan pemberian duit raya sebagai satu adat dari dulu sehingga sekarang. Ia bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, bahkan di dalam kitab Fathul bari yang dikarang oleh Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani R.A menyebut bahawa “Menzahirkan perasaan bergembira pada hari-hari perayaan adalah di antara syiar Islam”.
Bagaimanapun, menjadi satu tanda tanya kepada masyarakat kini.. pemberian duit raya lebih baik diberikan semasa Syawal atau Ramadan? Adakah pahala kedua-duanya sama?
Baca artikel lain juga: HARAM Guna DUIT RAYA Anak Tanpa Sebab Kecuali TERDESAK, Jadilah Mak Ayah AMANAH
Sahabat, ganjaran pahala adalah milik Allah. Sebagai hamba-Nya, kita digalakkan bersedekah pada bila-bila masa namun Nabi Muhammad SAW menggandakan amalan sedekahnya apabila menjelang Ramadan. Maka, disarankan jika ingin lakukan pemberian duit raya, berikanlah lebih awal iaitu dalam bulan Ramadan.
Maksudnya: “Nabi SAW merupakan manusia yang paling pemurah dengan kebaikan. Baginda menjadi lebih pemurah dalam bulan Ramadan, apabila bertemu dengan malaikat Jibril. Jibril akan hadir berjumpa Nabi SAW setiap malam di bulan Ramadan sehingga tamatnya Ramadan. Nabi SAW akan membacakan al-Quran kepada Jibril. Apabila Jibril bertemu baginda, baginda menjadi lebih pemurah daripada angin yang bertiup.” (HR Bukhari, hadis sahih)
Sheikh Muhammad Hasan al-Dedu al-Shanqiti menjelaskan:
“Sesungguhnya angin mursalah bertiup sangat laju dan akan mengenai seluruh apa yang dilalui. Demikianlah dengan pemberian Nabi Muhammad SAW, memberikan segala-galanya sehingga meliputi seluruh rumah. Ia juga ibarat lajunya pemberian Nabi sehingga baginda memberi sebelum orang meminta, dan baginda menghulurkan bantuan ke tempat yang jauh sebagaimana angin yang bergerak ke tempat yang jauh dalam waktu yang singkat.”
Moga ikhlas dan syukur terus terpahat dalam diri kita sama ada bagi yang memberi atau menerima. Bagi yang tidak mampu, janganlah bersedih hati. Pemberian duit raya bukanlah satu kewajipan melainkan hanya satu adat yang diraikan, masih banyak lagi amalan yang boleh dilakukan untuk mengeratkan silaturahim antara kita dan insan lain, In sha Allah.
Tidak menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang ingin memberikan duit raya ketika Syawal, akan tetapi amat digalakkan untuk memberikannya ketika Ramadan. Nabi SAW akan menggandakan amalan sedekahnya apabila menjelang Ramadan.
Apa pun, yang lebih penting adalah keikhlasan dalam memberi dan rasa syukur bagi yang menerima.
Zahnita buka kedai jual ‘pie’ dan ‘dessert’ selepas lama ‘menyepikan diri’ buat konten. Selepas menempuh fasa sukar dalam hidupnya, model dan pelakon Zahnita kini dilihat semakin bangkit dengan semangat baharu apabila kehidupannya mula kembali stabil dan tersusun.
Melalui perkongsian di Instagram, Zahnita memaklumkan bahawa dia kini mengusahakan sebuah lot kedai kecil sebagai langkah untuk memperluaskan perniagaan pai serta beberapa jenis pencuci mulut dan pastri lain.
Berikut perkongsian Zahnita:
Sudah terlalu sibuk kebelakangan ini sampai tak sempat langsung nak buat content. Tapi… selamat datang ke tempat bisnes baru saya — permulaan baru untuk Zahnita’s Humble PIE!
Sekarang saya dah buka untuk OPEN ORDER bagi pelbagai jenis pai yang sedap dan dibuat dengan penuh kasih sayang. Bukan tu je, ada juga pelbagai baked goods yang sihat dan freshly made setiap hari! Dan tak lama lagi, kopi brew terbaik pun akan mula dijual!
Kalau nak pre-order pai atau nak tahu lebih lanjut, boleh terus klik WhatsApp link di BIO saya (untuk kawasan Klang Valley).
Tagline kami — “A love we knead” — kini sudah jadi realiti.
Saya nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada semua pelanggan setia, komuniti wanita, dan individu hebat yang terus beri kepercayaan dan bantu saya bangkit dari segala cabaran. Terima kasih sangat-sangat, dari hati saya.
Menurut Zahnita, dia agak jarang muncul di media sosial sejak kebelakangan ini kerana sibuk menguruskan pelbagai aspek berkaitan operasinya sendiri.
Dalam masa yang sama, Zahnita turut merakamkan penghargaan kepada para pelanggan tetap serta komuniti wanita yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan terhadap dirinya.
Rata-rata warganet meluahkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian Zahnita, malah ramai yang menyatakan hasrat untuk mengunjungi kedainya sekiranya berpeluang ke Kuantan.
Tambahan pula, ramai wanita menyatakan mereka berasa terinspirasi melihat perkembangan positif dalam kehidupan Zahnita, terutamanya selepas melalui dugaan dalam rumah tangganya sebelum ini.