Berita

World #QuranHour 2026 Bawa Mesej Global, Ajak Keluarga Jadikan Al-Quran Panduan Hidup

Share

World Quran Hour 2026 bawa mesej global apabila program tahunan yang menyatukan umat Islam di seluruh dunia ini tampil dengan pendekatan lebih inklusif tahun ini. Penganjuran kali ke-11 itu bukan sekadar acara membaca Al-Quran, malah menjadi platform mengajak masyarakat terutama institusi keluarga kembali menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama kehidupan.

Program yang bakal berlangsung pada 11 Mac 2026 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak ini turut membawa kelainan apabila buat pertama kalinya bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa utama bagi meluaskan capaian mesej ke peringkat global.

World Quran Hour 2026 Luaskan Dakwah Al-Quran Ke Seluruh Dunia

Ketua Pegawai Content Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, penggunaan bahasa Inggeris dipilih selaras dengan nama kempen World Quran Hour 2026 yang membawa misi global.

Menurutnya, sebelum ini mesej yang disampaikan menerusi program tersebut agak terhad dari segi kefahaman masyarakat antarabangsa.

“Jadi pada tahun ini, kita memilih menggunakan bahasa Inggeris dengan harapan mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia untuk menobatkan Al-Quran sebagai panduan hidup dapat dicapai,” katanya ketika hadir ke Taklimat Sinergi Media Sempena World #QuranHour 2026.

Tambahnya lagi, langkah tersebut juga diharap mampu menarik lebih banyak penyertaan daripada golongan muda, institusi pengajian tinggi serta masyarakat dari pelbagai negara.

 

Surah Al-Muzzammil Jadi Teras World Quran Hour 2026

Penganjuran tahun ini membawa tema “Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia” dengan memberi fokus kepada Surah Al-Muzzammil, iaitu surah ke-73 yang mengandungi 20 ayat.

Menurut Fazrul, surah ini mempunyai mesej yang sangat penting kerana ia menjadi panduan kepada Nabi Muhammad SAW dalam memperkukuh kekuatan diri ketika berdepan amanah dan cabaran yang lebih besar.

“Mesej itulah yang ingin kita bawa kepada orang ramai. Kita harap masyarakat dapat bersama-sama menghayati formula daripada Pencipta bagi memperkukuh diri, negara dan dunia dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa,” jelasnya.

Menerusi penghayatan Surah Al-Muzzammil, peserta World Quran Hour 2026 bukan sahaja membaca ayat-ayat Al-Quran, malah digalakkan memahami serta mentadabbur mesej yang terkandung di dalamnya.

Fazrul Ismail pada Majlis taklimat sinergi media sempena World #QuranHour 2026 yang berlangsung di Studio My #QuranTime, Karangkraf pada Rabu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

Aktiviti Bermakna Untuk Keluarga

Bagi kebanyakan keluarga Muslim, penyertaan dalam World Quran Hour 2026 sebenarnya merupakan peluang terbaik untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil mendekatkan diri kepada Al-Quran.

Dalam kesibukan kehidupan seharian, meluangkan sekurang-kurangnya satu jam membaca dan mentadabbur Al-Quran bersama keluarga mampu memberi kesan besar kepada pembentukan nilai dalam rumah tangga.

Ibu bapa juga boleh menjadikan program ini sebagai medium mendidik anak-anak mencintai Al-Quran sejak kecil. Apabila anak melihat ibu bapa membaca dan memahami Al-Quran, ia secara tidak langsung membentuk contoh teladan yang baik dalam kehidupan mereka.

Aktiviti seperti membaca bersama, berbincang maksud ayat dan berkongsi pengajaran daripada Al-Quran boleh membantu membina suasana rumah tangga yang lebih harmoni serta dipenuhi nilai keimanan.

Kehadiran Kerabat Diraja Tambah Seri World Quran Hour 2026

Penganjuran World Quran Hour 2026 dijangka lebih istimewa dengan kehadiran beberapa tetamu kenamaan Diraja yang turut memberi sokongan terhadap usaha memartabatkan Al-Quran.

Antara yang dijangka hadir ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang juga merupakan Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Turut dijangka mencemar duli ialah Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Kehadiran kerabat diraja ini pastinya menambahkan lagi seri program serta memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mendekatkan diri dengan Al-Quran.

Seruan Bangkit Fahami Al-Quran

Sementara itu, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub menyeru umat Islam supaya menjadikan World Quran Hour 2026 sebagai satu gelombang kesedaran global.

Menurutnya, umat Islam perlu kembali berinteraksi dengan Al-Quran bukan sekadar membaca, tetapi juga memahami dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan.

“Tanpa kesedaran ini, umat Islam akan terus berpecah, keliru dan mudah dipergunakan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini penting bagi mengembalikan momentum kempen ini supaya lebih ramai umat Islam kembali membudayakan membaca Al-Quran sekurang-kurangnya sejam sehari.

Sokongan Media & Penyertaan Antarabangsa

Sejak diperkenalkan 11 tahun lalu, World Quran Hour 2026 dan edisi-edisi sebelumnya telah berjaya menghimpunkan penyertaan dari puluhan negara di seluruh dunia.

Program ini turut mendapat sokongan pelbagai rakan media termasuk Astro Oasis, TV AlHijrah, Media Prima, TV9, Astro Awani, Bernama, Sinar Harian dan IKIM FM, dengan Astro Oasis sebagai penyiar utama.

Usaha ini diharap dapat terus menghidupkan gelombang kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Akhirnya, mesej utama yang ingin disampaikan melalui World Quran Hour 2026 amat jelas perubahan besar dalam dunia sebenarnya bermula dari perubahan dalam diri dan keluarga yang kembali menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.

BACA LAGI : Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah Berkenan Berangkat Ke World #QuranHour 2024