Hiburan

Zaiton Sameon Impi Tunai Haji, Tiada Hasrat Kahwin Lagi Pada Usia 70 Tahun

Share

Menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-70, penyanyi legenda tanah air, Zaiton Sameon mengakui dirinya kini tidak lagi mengejar kemewahan atau populariti seperti suatu ketika dahulu. Sebaliknya, fokus hidupnya kini lebih terarah kepada persiapan rohani, kesihatan dan keinginan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Penyanyi yang mesra disapa Kak Ton itu berkata, impian paling besar yang masih belum tercapai ialah menunaikan ibadah haji selepas sebelum ini berpeluang mengerjakan umrah sebanyak dua kali.

Zaiton Sameon Impi Tunai Haji Sebagai Hadiah Hari Lahir

Bagi Zaiton Sameon, tiada hadiah ulang tahun kelahiran yang lebih bermakna selain doa agar Allah SWT mengizinkannya menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci bagi menyempurnakan rukun Islam kelima.

“Untuk hari lahir kali ini, saya berdoa semoga Allah mengizinkan saya menunaikan ibadah haji pula. Memang teringin sangat hendak ke sana kerana sebelum ini saya hanya berpeluang mengerjakan umrah sebanyak dua kali.

“Kalau boleh, saya mahu pergi bersama anak angkat yang selama ini menjaga serta membela saya dengan penuh keikhlasan. Dia sangat baik dengan saya. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur dan terus memberikan saya kekuatan.

“Terima kasih kepada semua yang masih meminati saya. Alhamdulillah, sampai hari ini orang masih mengenali Zaiton Sameon,” katanya kepada Kosmo! Online.

Syukur Kesihatan Semakin Bertambah Baik

Dalam masa sama, Zaiton Sameon turut meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya kini semakin baik walaupun masih menanggung kesan kecederaan pada kaki akibat insiden terjatuh di dalam lif beberapa tahun lalu.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sekarang semakin baik. Saya banyak berdoa ketika berada di Tanah Suci.

“Untuk kaki pula, keadaannya masih sama seperti dahulu. Kecederaan ini berlaku selepas saya terjatuh di dalam lif,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026.

Walaupun pergerakannya sedikit terbatas, beliau tetap menjalani kehidupan dengan penuh kesyukuran dan terus menerima undangan membuat persembahan apabila berkesempatan.

Zaiton Sameon Tidak Lagi Mahu Berkahwin

Selain berkongsi impian untuk menunaikan haji, Zaiton Sameon turut menjelaskan bahawa dirinya tidak lagi mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga.

Menurut penyanyi berusia 69 tahun itu, pengalaman melalui dua perkahwinan sebelum ini sudah memadai dan beliau kini lebih selesa menikmati kehidupan dengan tenang.

“Umur-umur macam ini, kahwin itu saya tidak mahu. Daripada ada suami, lebih baik ada adik. Saya hanya mahu berseronok menikmati hidup.

“Biarlah saya begini, cukuplah dua kali berkahwin sebelum ini. Saya cuma mahu hidup dengan tenang.

“Senang cakap, saya memang tidak perlukan lelaki sebagai teman hidup,” tegasnya.

Terus Menjadi Inspirasi Ramai

Selain dikenali menerusi rangkaian lagu popular yang malar segar, Zaiton Sameon juga sering menjadi inspirasi kerana ketabahan menghadapi pelbagai ujian hidup, termasuk cabaran kesihatan yang pernah dialaminya.

Kini, fokus utamanya bukan lagi mengejar populariti, sebaliknya memperbanyakkan amalan, menjaga kesihatan dan merealisasikan impian untuk menunaikan ibadah haji bersama insan yang banyak membantunya.

Semoga impian Zaiton Sameon untuk menjadi tetamu Allah SWT dimakbulkan, diberikan kesihatan yang berpanjangan serta terus dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam menjalani kehidupan.

BACA LAGI : 10 Beradik Tulis Nota Buat Ibu Tunai Haji Sendirian, “Mak, Ini Coklat Untuk Lapik Perut Tau”

Sumber : Kosmo Online