Keibubapaan

Zaquan Adha Syukur Rezeki Masa Bersama Anak-Anak, “Pelukan Kecil Mereka Nikmat Paling Mahal”

Share

Siapa sangka, di sebalik ketegasan yang pernah ditonjolkan di atas padang, bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak sebenarnya seorang bapa yang cukup lembut apabila berbicara tentang keluarga.

Bagi suami kepada pelakon Ayu Raudhah ini, fasa persaraan memberi ruang yang sangat bermakna untuknya menikmati momen bersama anak-anak. Jika dahulu masanya banyak tertumpu kepada kerjaya, latihan dan perlawanan, kini tumpuan utamanya adalah keluarga kecil yang dibina bersama isteri tercinta.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Zaquan Adha berkongsi pandangan tentang erti rezeki yang sebenar. Baginya, rezeki bukan sekadar wang ringgit atau kemewahan dunia, tetapi juga masa, ketenangan dan peluang berada dekat dengan insan tersayang.

“Rezeki itu bukan sekadar duit dan kemewahan dunia… ada rezeki yang hadir dalam bentuk masa, ketenangan dan momen bersama anak-anak.

“Gelak tawa mereka, pelukan kecil mereka, itulah nikmat yang paling mahal dan tidak ternilai harganya.

“Alhamdulillah, syukur atas setiap nikmat yang ALLAH pinjamkan dalam hidup ini,” coretnya.

Zaquan Adha Semakin Menghargai Masa Bersama Anak-Anak

Luahan tersebut nyata menyentuh hati ramai pengikutnya. Dalam kesibukan hidup hari ini, kadangkala perkara kecil seperti gelak tawa anak, pelukan manja dan masa bersama keluarga menjadi nikmat paling besar yang sering tidak disedari.

Sebagai bapa kepada enam cahaya mata, Zaquan Adha dilihat semakin menghargai masa berkualiti bersama anak-anak. Perkongsian itu juga menjadi peringatan bahawa kebahagiaan dalam rumah tangga tidak semestinya datang daripada perkara besar, sebaliknya hadir melalui momen sederhana yang penuh kasih sayang.

Ramai ibu bapa hari ini terlalu sibuk mengejar komitmen kerja sehingga terlepas peluang melihat anak-anak membesar di depan mata. Apa yang dikongsikan oleh Zaquan Adha sebenarnya menggambarkan realiti kehidupan ramai keluarga moden yang semakin menghargai masa bersama insan tersayang.

Komen Manja Ayu Raudhah Curi Perhatian

Lebih mencuri perhatian, Ayu Raudhah turut meninggalkan komen manja pada hantaran suaminya.

“We love you Daddy, walaupun mata tu chemeyyy,” tulis Ayu.

Komen bersahaja itu membuatkan ramai terhibur. Usikan mesra tersebut jelas menggambarkan hubungan akrab pasangan ini yang sering dilihat saling menyokong antara satu sama lain dalam kehidupan berumah tangga.

Ramai Bersetuju Dengan Pandangan Zaquan Adha

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya bersetuju dengan pandangan Zaquan Adha. Ramai mengakui masa bersama keluarga adalah satu bentuk rezeki yang tidak ternilai harganya.

Ada yang menulis, seronok melihat keluarga besar kerana suasananya pasti meriah apabila anak-anak membesar kelak. Tidak kurang juga yang bersetuju bahawa peluang untuk bertemu dan meluangkan masa bersama insan tersayang juga adalah rezeki yang wajar disyukuri.

Benarlah, rezeki itu luas maknanya. Ada rezeki dalam bentuk kesihatan, ketenangan, pasangan yang memahami, anak-anak yang membahagiakan dan rumah tangga yang dipenuhi kasih sayang.

Perkongsian ini turut memberi inspirasi kepada ramai orang supaya lebih menghargai masa bersama keluarga walaupun dalam kesibukan harian. Kadangkala, kebahagiaan sebenar bukan terletak pada kemewahan atau populariti, tetapi pada ketenangan apabila dapat melihat insan tersayang tersenyum di depan mata.

BACA LAGI : Anak Bongsu Ayu Raudhah & Zaquan Adha Meninggal Dunia!