
Zara Qairina ditemukan terlentang dalam longkang, tengkuk, kaki berdarah – pengawal keselamatan. Seorang pengawal keselamatan mendedahkan di Mahkamah Koroner bahawa beliau menemui Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam keadaan terlentang di dalam longkang, tidak sedarkan diri dengan kesan darah di bahagian tengkuk kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu.
Zara Qairina Ditemukan Terlentang Dalam Longkang, Tengkuk, Kaki Berdarah – Pengawal Keselamatan
Saksi berkenaan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang sudah bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar sejak tahun 2012, memberitahu mahkamah bahawa rondaan awal sekitar jam 2 pagi di Blok Rabiatul Adawiyah tidak menunjukkan sebarang kejadian mencurigakan.
Menurutnya, selepas itu beliau bergerak ke blok bersebelahan iaitu Blok Sumayyah untuk meneruskan rondaan sebelum dimaklumkan oleh seorang pelajar mengenai seorang remaja perempuan yang pengsan berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.
“Saya terus bergegas ke asrama berkenaan dan mendapati seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Zara terlentang di dalam longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya semasa membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner, Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues itu.
Linah berkata, selepas menyedari keadaan tersebut, beliau segera menghubungi Ketua Warden Asrama, Azhari Abd Sagap serta sempat merakam gambar mangsa menggunakan telefon bimbit sebelum ambulans dipanggil.

“Setelah Ustaz Azhari sampai di lokasi kejadian, beliau segera menghubungi pihak hospital, dan ambulans tiba kira-kira 4 pagi. Pelajar tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa blok asrama berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada palang besi dipasang di bahagian koridor.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, saksi mengesahkan gambar yang diambil telah dihantar kepada empat orang guru serta ketua warden melalui aplikasi WhatsApp sebelum telefonnya diambil pihak polis pada penghujung Julai bagi tujuan siasatan.
Menjawab soalan peguam keluarga mangsa, Shahlan Jufri, Linah berkata beliau mengenali pelajar itu sebagai Zara Qairina kerana sudah biasa dengan para pelajar di asrama berkenaan.
Beliau juga mengesahkan bahawa ketika kejadian berlaku, semua pelajar lain masih tidur.
Sumber: Sinar Harian dan Berita Harian
Baca artikel lain juga: Tiada Kesan Lebam, Tanda Penderaan Pada Tubuh Zara Qairina- Dr Janefer
Kes Zara Qairina: Tidak Seperti Diviralkan, Jenazah Alami Pereputan, Ini Pandangan Sudut Syarak
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

