
Zara Qairina</strong terus hidup dalam ingatan ibunya apabila satu ucapan ulang tahun kelahiran yang penuh emosi mencuri perhatian ramai. Luahan “Sanah Helwah Raa” itu benar-benar menyentuh hati, menggambarkan rindu yang tidak pernah pudar walaupun insan tersayang telah tiada.
Tanggal 16 Mac pastinya menjadi tarikh yang cukup bermakna buat Noraidah Lamat. Namun kali ini, hari istimewa itu diraikan dalam suasana yang berbeza apabila beliau menzahirkan ucapan ulang tahun kelahiran buat puteri tunggalnya, Allahyarhamah Zara Qairina, yang sepatutnya menyambut usia 14 tahun.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Noraidah berkongsi rasa rindu yang mendalam terhadap anaknya. Kata-kata yang ditulis ringkas, namun cukup kuat menyentuh hati sesiapa sahaja yang membacanya.
Dalam hantaran tersebut, Noraidah memulakan ucapan dengan kata-kata yang begitu meruntun jiwa buat sesiapa yang mengikuti kisah Zara Qairina.
“16.03.2026. Sanah Helwah Raa…
Selamat ulang tahun kelahiran, happy birthday yang ke-14 tahun buat my princess Zara Qairina binti Mahathir. Jika hari ini Zara masih ada, tarikh inilah yang paling ditunggu-tunggu setiap tahun.”
Luahan itu jelas memperlihatkan kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah pudar. Walaupun anaknya telah pergi, ingatan terhadap setiap tarikh penting tetap segar dalam hati.
Bagi seorang ibu, hari lahir anak bukan sekadar tarikh biasa, tetapi hari yang sarat dengan kenangan, kasih sayang dan doa yang tidak pernah putus buat Zara Qairina.
Tidak terhenti di situ, Noraidah turut menitipkan doa yang sangat menyentuh hati buat anaknya.
“Semoga anakku ditempatkan di Syurga tertinggi mu Ya Allah, diampunkan dosa-dosanya, diangkat darjatnya dan dipelihara jasadnya.”
Doa itu menggambarkan harapan tulus seorang ibu yang sentiasa menginginkan yang terbaik buat anak, bukan sahaja ketika hidup di dunia, tetapi juga setelah pergi menghadap Ilahi.
Dalam perkongsian sama, Noraidah turut menyentuh mengenai pihak-pihak yang didakwa pernah memfitnah, menzalimi, membuli dan menyakiti hati arwah Zara Qairina
, termasuk selepas pemergiannya.Namun dalam kepedihan yang masih bersisa, beliau memilih untuk menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT.
“Kepada yang memfitnah, menzalimi, membuli, menyakiti hatinya sehingga hayat terakhirnya dan selepas ketiadaanya di dunia ini masih terus-terusan membuat cerita yang tidak sahih, justeru hari ini 26 Ramadan 1447H, saya serahkan segala urusan dan pembalasan hanya kepada Allah SWT.”
Kata-kata itu memperlihatkan kekuatan luar biasa seorang ibu dalam mendepani ujian berat kehilangan anak tersayang.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa inkues berkaitan kes tersebut dijangka bermula pada 31 Mac 2026, sambil berharap agar segala urusan dipermudahkan.
Di penghujung hantaran, beliau menulis satu ungkapan ringkas namun cukup meruntun hati ramai:
“I Love You To The Moon And Back Raa.”
Perkongsian berkaitan Zara Qairina itu nyata mendapat perhatian ramai. Hantaran tersebut menerima lebih 1.5 ribu perkongsian dan 1.3 ribu komen, sekali gus menunjukkan betapa ramai yang tersentuh dengan luahan ibu berkenaan.
Rata-rata netizen turut menzahirkan rasa sebak, selain meninggalkan kata-kata semangat dan doa buat Noraidah.
Antara komen yang ditinggalkan ialah:
“Al-Fatihah untuk arwah Zara. Selamat ulang tahun untuk arwah Zara… semoga keadilan untuk arwah. Kuatkan semangat dan hati Noie AiDa, kami sentiasa ada untukmu.”
“Hanya Allah yang lebih tahu rindunya hati ibu kepada anak tunggal kesayangannya… semoga Allah memelihara arwah dan menempatkannya di Syurga Firdaus.”
“Selamat ulang tahun untuk Zara. Walau tiada, namanya tetap hidup dalam setiap doa kami.”
“Moga Allah berikan kekuatan luar biasa pada puan dalam menempuh ujian kehilangan anak tersayang.”
Kisah Zara Qairina ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa kasih seorang ibu tidak pernah berpenghujung. Walaupun jasad anak tidak lagi di depan mata, cinta, doa dan ingatan akan terus hidup dalam setiap hela nafas dan sujudnya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan buat ibu arwah Zara Qairina dan menempatkan arwah dalam kalangan insan beriman serta berbahagia di syurga-Nya.
BACA LAGI : Kes Zara Qairina: Saksi Ke-10 Dedah Arwah Pernah Dipanggil Senior Dan Menangis Di Asrama