
Ziarah kubur bukan Islam yang dilakukan seorang cucu terhadap pusara datuknya mencuri perhatian ramai apabila kisah penuh emosi itu dikongsikan di media sosial. Biarpun sudah hampir dua dekad pemergian insan tersayang, kasih dan ingatan seorang cucu terhadap datuknya tidak pernah pudar.
Begitulah yang dirasai Mohamad Aiman Fahmy Mohd Akmal, 32, yang masih menyimpan kemas kenangan bersama mendiang datuknya, Chai Chin Soo atau mesra dipanggil Ah Kong, yang meninggal dunia pada 2007 akibat sakit tua.
Kisah penuh emosi itu mendapat perhatian ramai selepas Aiman berkongsi gambar ketika menziarahi pusara datuknya di Cheng, Melaka baru-baru ini.
Menurut Aiman yang berasal dari Kota Laksamana dan bekerja sebagai pengurus inap desa milik keluarga, gambar tersebut diambil ketika dia menziarahi pusara Ah Kong pada 13 Ogos lalu.
Katanya, perkongsian itu dibuat sekadar untuk menyimpan kenangan di media sosial selepas hampir lima tahun tidak berkesempatan menziarahi pusara datuknya.
Namun, dia tidak menyangka perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai.

Ziarah Kubur Bukan Islam, Datang Sebagai Cucu Bukan Untuk Berdoa
Aiman berkata, majoriti reaksi diterimanya adalah positif malah ada yang berkongsi pengalaman sama menziarahi pusara ahli keluarga bukan Islam.
Bagaimanapun, ada juga segelintir pihak yang mempertikaikan tindakannya dan mendakwa dia sekadar mahu meraih perhatian di media sosial.
Menjelaskan perkara itu, Aiman menegaskan bahawa kunjungannya ke pusara Ah Kong hanyalah sebagai tanda ingatan seorang cucu kepada datuknya.
Dia juga memahami batas agama dan tidak berniat untuk mendoakan mendiang.
“Apa pun, saya tetap cucunya cuma kini Ah Kong sudah tiada.”
Bagi Aiman, hubungan kekeluargaan dan kenangan yang pernah dibina ketika Ah Kong masih hidup tidak hilang hanya kerana mereka berbeza agama.
Masih Ingat Detik Sambutan Tahun Baru Cina
Mengimbau zaman kecil, Aiman berkata dia cukup rapat dengan Ah Kong.
Mendiang merupakan individu kurang upaya fizikal akibat penyakit polio yang menyebabkan tangan kanannya terlipat pada bahagian pergelangan tangan.
Walaupun Ah Kong seorang yang tidak banyak bercakap, kasih sayang yang ditunjukkan tetap meninggalkan kesan mendalam buat dirinya.
Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah ketika sambutan Tahun Baru Cina.
Setiap kali tiba perayaan berkenaan, bapanya, Mohd Akmal Abdullah, 58, akan membawa keluarga mereka berkumpul di rumah Ah Kong untuk makan besar bersama.
Salah satu detik yang kekal dalam ingatan Aiman adalah ketika seluruh keluarga menggaul yee sang bersama-sama.
Bapanya merupakan satu-satunya ahli keluarga yang memeluk Islam, namun hubungan dengan keluarga asal tetap baik dan terpelihara.
Justeru, pemergian Ah Kong ketika Aiman baru berusia 13 tahun cukup memberi kesan kepadanya kerana dia merasakan masih belum puas bermanja dengan datuk tersayang.
Pesanan Ah Kong Jadi Pegangan
Walaupun sudah bertahun-tahun berlalu, Aiman masih mengingati pesanan yang pernah disampaikan datuknya ketika hidup.
Ah Kong pernah menasihatinya supaya sentiasa berbuat baik dan tidak melakukan perkara jahat terhadap orang lain.
Pesanan ringkas itu kekal menjadi ingatan sehingga hari ini.
Aiman turut berharap masyarakat Malaysia terus menghormati antara satu sama lain dan hidup dalam suasana harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Islam Benarkan Ziarah Kubur Bukan Islam
Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan bahawa seorang Muslim dibenarkan menziarahi kubur ahli keluarga atau kerabat bukan Islam menurut hukum syarak.
Menurut beliau, ziarah kubur bukan Islam hendaklah dilakukan atas dasar hubungan kekeluargaan, mengenang kematian, mengambil iktibar dan menjaga hubungan sesama manusia.
Bagaimanapun, terdapat batas tertentu yang perlu dipatuhi.
Seorang Muslim tidak boleh memohon keampunan, rahmat akhirat atau syurga bagi individu yang diketahui meninggal dunia dalam keadaan bukan Islam.
Mereka juga tidak dibenarkan melakukan ritual khusus agama lain seperti pemujaan, mempersembahkan sesuatu kepada roh atau melakukan perbuatan yang membawa maksud mengiktiraf akidah dan ibadat agama lain.
Sebaliknya, ziarah boleh dilakukan sebagai seorang anak, cucu atau ahli keluarga yang mahu mengenang jasa insan tersayang serta mengambil pengajaran daripada kematian.
Penjelasan tersebut memberi panduan mengenai batas ziarah kubur bukan Islam bagi seorang Muslim, terutama apabila ia melibatkan ahli keluarga sendiri yang berbeza agama.
Kasih Keluarga Tetap Terpelihara Walaupun Berbeza Agama
Kisah Aiman dan Ah Kong menjadi bukti bahawa perbezaan agama tidak semestinya memadam kasih sayang dalam sebuah keluarga.
Hampir 20 tahun berlalu, seorang cucu masih mengenang datuknya, masih mengingati pesanannya dan masih menghargai setiap kenangan yang pernah tercipta.
Kerana ada insan yang mungkin sudah lama pergi, namun kasih dan rindunya tetap hidup dalam hati.
BACA LAGI : “Berbeza Agama, Kasih Tetap Sama” Nenek Jaga Akidah Hazizah Hingga Berjaya Jejak UUM
Sumber: Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

