Sebelum ini kita mendapat perkhabaran gembira tentang perkahwinan Abang Viva bersama pilihan hatinya, Evanoza. Namun, dalam pada itu muncul kekecohan dikatakan perkahwinannya tidak mendapat restu ahli keluarga oleh kakaknya sendiri yang mendedahkan adiknya itu berkahwin tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Bagaimanapun, hari ini Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar memaklumkan segala perselisihan faham antara mereka sekeluarga akhirnya berjaya diselesaikan dan sudah berbaik semula.
Perkara ini dimuat naik sendiri olehnya dalam satu perkongsian yang mengandungi gambar mereka sekeluarga di laman Facebook.
Menerusi hantaran tersebut, Azwan meluahkan kesyukuran apabila salah faham itu akhirnya diselesaikan dan berterima kasih atas doa semua pihak terhadap mereka sekeluarga.
“Alhamdulillah, segala perselisihan faham telah diselesaikan.. dan kami menjadi seperti dahulu kembali. Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan. Saya, wakil dari seluruh keluarga memohon maaf atas segala yang telah terjadi. Saya berharap tiada lagi isu kecaman atau isu yang akan dikeluarkan,” tulis Azwan.
Ads
Dalam masa sama, Azwan enggan mendedahkan perbincangan mereka sekeluarga kerana mahu ia menjadi rahsia mereka bersama.
Azwan juga berharap tiada lagi pihak mempersoal atau bertanya tentang isu ini kepada ibu bapanya, jika ada mereka boleh secara terus bertanya kepada diriya dan biarlah dia seorang menanggung segala beban.
Ads
“Saya juga berharap tiada lagi persoalan atau pertanyaan tentang isu ini kepada ibu bapa saya.. Jika ada kebencian, pertanyaan atau apa-apa boleh terus kepada saya sahaja.
“Biarlah saya seorang yang menanggung segala beban, bukan keluarga saya. Insha-Allah, majlis perkahwinan kami akan dibuat pada bulan 12 tahun ini.
“Maaf juga kepada pelanggan saya sebab tak dapat datang untuk basuh kereta korang dan mungkin saya bercuti dalam sehari dua lagi sebelum saya teruskan kembali kerja cucian kereta bergerak saya..” tambahnya.
Ads
Alhamdulillah, selesai juga perselisihan faham antara mereka sekeluarga. Diharap persaudaraan terjalin lebih kuat dan segala salah faham berlaku dapat diselesaikan secara baik.
Sedih melihat rumah ditenggelami air banjir. Lebih menyedihkan bila mana banyak barang yang rosak, termasuklah pakaian diselaputi dengan lumpur.
Jangan terburu-buru buang semuanya. Masih boleh dipakai walaupun tenggelam dalam air. Berikut adalah tip yang boleh digunakan:
1. Bersihkan dari lumpur
Memandangkan dobi tak terima, jadi kenalah cuci sendiri. Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah membersihkan lumpur terlebih dahulu dengan cara merendam baju tersebut.
Biarkan lumpur keluar dan bilas beberapa kali sehingga air bilasan tiada warna lumpur. Selain rendam boleh juga sembur menggunakan semburan air yang kuat.
2. Asingkan pakaian berwarna
Selepas tanggal lumpur, asingkan pakaian putih dengan berwarna untuk proses basuhan seterusnya.
3. Rendam dengan air panas
Bagi menghilangkan bakteria atau kuman yang mungkin masih ada pada baju, rendam pakaian dengan air panas. Rendam paling kurang 5 minit, jika ingin lebih lama tambah air panas lagi. Ketika ini boleh tambahkan dengan cecair pencuci anti kuman atau virus.
4. Baju bayi rendam sekali lagi dalam cairan pembersih kuman
Selain baju anda, boleh gunakan cara yang sama untuk baju anak-anak atau bayi. Rendam sekali lagi dalam air yang ditambah cairan pembersih kuman. Tak perlu lama, 10 minit mencukupi. Boleh guna cecair pembasmi.
5. Cuci seperti biasa
Selepas itu basuh sekali lagi seperti biasa menggunakan mesin basuh menggunakan mode paling lama supaya cucian bersih.
Kemudian jemur di bawah pancaran matahari hingga benar-benar kering. Ataupun keringkan menggunakan mesin pengering di dobi layan diri. Panjangkan tempoh supaya baju kering dan mematikan kuman sepenuhnya.
Suami Isteri kena saling bantu membantu baru la harmoni rumahtangga. Betul kan?
Sekarang ni, ramai pasangan yang bekerjaya. jadi tolong menolong menguruskan rumah membersihkan rumah salah satu cara bahagiakan pasangan.
Dalam situasi begini, para suami kena ringan tulang membantu membantu isteri.
Sebagaimana perkongsian ini, menarik untuk dijadikan teladan untuk harmoni rumahtangga.
Gambar curi… Saya teringat Ustaz kami, Ustaz Samurin berpesan; “suami kalau sama-sama balik kerja, tolonglah isteri buat kerja rumah. Kalau isteri penat balik kerja, tanya dia apa yang kita boleh tolong”.
Itulah nasihat ustaz kami di KISAS satu ketika dahulu. Itulah yang kami belajar dalam kelas subjek Syariah STPM bukan setakat ajar isteri wajib taat pada suami semata-mata. Semoga Allah berkati Ustaz Samurin dan Ustazah Fauziah.
Antara sebab saya taknak merungut dan minta apa-apa dah kat suami. Gambar balik gheja, tak tukar baju akan terus ambil penyapu. Kalau tak pun pi angkat baju bila ada baju belum berangkat.
Anak-anak ni macam tu la, kemas sini, tang sana dia sepah. Pagi memang rutin dia akan clear kan dapur untuk saya masak.
Rumah ni abah kanak-kanak memang tak membebel, yang membebel pada adik-adik ialah abang-abang kepada kanak-kanak ribena.
Zaman dah berubah bila suami isteri bekerja maka kerja rumah kena kongsi satu rumah kan. Saya rasa kebanyakan suami sudah begini zaman sekarang.
Ada orang kata jangan pos gambar suami nanti ada orang mengendeng. Senang ja, lagi banyak rumah, lagi banyak kena sapu, masak, angkat baju, hantar anak pi sekolah. Kerja rumah tetap kena jalan cam biasa . Lagi banyak rumah, lagi banyak kerja rumah kan.
Membaca perkongsian daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkenaan sifat malas dan kemiskinan, harap memberi kesan buat semua. Bersamalah kita ambil pengajarannya dan semoga kita dan anak cucu kita terhindar daripada penyakit ‘MALAS’ yang dimaksudkan itu.
Ini perkongsiannya.
𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀 𝐌𝐈𝐒𝐊𝐈𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐒
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan. Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
𝗧𝗲𝗿𝗸𝗲𝗰𝘂𝗮𝗹𝗶
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul. Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
𝗣𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras. Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong. Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
𝗗𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗦𝗮𝗷𝗮
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀 𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗔𝗸𝗵𝗶𝗿𝗮𝘁
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan. Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗵 𝗠𝗔𝗜𝗣𝘀 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan. Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
𝗔𝗸𝘂𝗿
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
𝗝𝗶𝗵𝗮𝗱 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀𝗮𝗻
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w:
لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ
“Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a
فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Semoga ALLAH mengampuni saya..
Dr MAZA,
12.30 malam
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Lisbon Hotel Melaka menawarkan pengalaman tenang dan mewah di Perkampungan Portugis. Dengan reka bentuk ala Mediterranean, kolam infiniti dan restoran Festa yang eksklusif, ia destinasi ideal untuk percutian keluarga.