
Kedatangan bulan Zulhijjah sentiasa membawa makna besar buat umat Islam. Selain menjadi bulan ibadah haji dan Hari Raya Aidiladha, 10 hari awal Zulhijjah juga disebut sebagai antara hari paling utama untuk memperbanyakkan amal soleh.
Dalam tempoh penuh keberkatan ini, pempengaruh Islamik, Ustaz Shafiq Maslin berkongsi satu amalan doa yang boleh diamalkan oleh umat Islam sebagai bekalan rohani, khususnya ketika masih berada dalam 10 hari awal Zulhijjah.
10 Hari Awal Zulhijjah Antara Hari Paling Mulia
Menerusi hantaran di TikTok, Ustaz Shafiq mengingatkan bahawa malam Jumaat juga merupakan antara waktu yang sangat baik untuk memperbanyakkan doa dan amalan soleh.
“Malam ini malam Jumaat. Kata Imam Syafi’i, malam Jumaat adalah salah satu malam yang doa akan dimakbulkan. Tambahan pula sekarang kita masih berada dalam 10 hari awal Zulhijjah.”
Menurutnya, Rasulullah SAW sendiri pernah menyebut bahawa amalan soleh yang dilakukan dalam tempoh 10 hari awal Zulhijjah adalah antara amalan yang paling dicintai Allah SWT.
“Rasulullah SAW beritahu kepada kita, amalan soleh yang dilakukan dalam 10 hari awal Zulhijjah adalah paling dicintai Allah.”

Doa Mustajab Yang Digalakkan Dalam 10 Hari Awal Zulhijjah
Jelas Ustaz Shafiq, berdoa juga termasuk dalam amalan soleh. Justeru, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan doa dan memohon apa sahaja hajat kepada Allah SWT, sama ada berkaitan rezeki, urusan keluarga, kejayaan anak-anak, kesihatan, kebahagiaan hidup, syurga mahupun perlindungan daripada api neraka.
“Maksudnya, berdoa juga termasuk dalam amalan soleh. Jadi nak doa apa pun boleh… nak kaya, murah rezeki, masuk syurga atau dijauhkan daripada api neraka.”
Dalam pada itu, beliau turut berpesan agar orang ramai tidak melupakan satu doa yang kerap diamalkan oleh Rasulullah SAW sepanjang kehidupan baginda.
Doa yang dimaksudkan ialah:
Doa Kebaikan Dunia dan Akhirat
“Rabbana atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, wa qina ‘azaban nar.”
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada azab api neraka.”
Menurut Ustaz Shafiq, doa ini sangat besar maknanya kerana ia merangkumi segala kebaikan yang diperlukan oleh seorang hamba, bukan hanya untuk kehidupan di dunia, malah sebagai bekalan menuju akhirat.
“Minta apa sahaja sekali pun, tetapi jangan lupa satu doa yang kerap dibaca oleh Nabi. Doa itu memohon kepada Allah supaya dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat. Apa lagi yang kita mahu selain kebaikan dunia dan akhirat.”
Kelebihan Menghidupkan 10 Hari Awal Zulhijjah Bersama Keluarga
Bagi ibu ayah, kehadiran 10 hari awal Zulhijjah ini boleh dijadikan peluang untuk mengajak ahli keluarga sama-sama memperbanyakkan doa dan amalan baik.
Tidak perlu bermula dengan perkara yang berat, cukup dengan membiasakan anak-anak membaca doa selepas solat, berzikir bersama, bersedekah walaupun sedikit serta mengingatkan mereka tentang kelebihan hari-hari mulia ini.
Dalam kehidupan berkeluarga, doa adalah antara penguat hati. Saat diuji dengan kesempitan rezeki, masalah kesihatan, cabaran mendidik anak-anak atau tekanan hidup, kembali memohon kepada Allah SWT adalah sebaik-baik jalan.
Ustaz Shafiq turut mendoakan agar segala hajat umat Islam yang berdoa dan memohon kepada Allah SWT diterima serta dimakbulkan.
Sekadar info, umat Islam di seluruh negara bakal menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban pada 27 Mei ini.
Rebut Ganjaran Besar Dalam 10 Hari Awal Zulhijjah
Semoga 10 hari awal Zulhijjah ini tidak berlalu begitu sahaja. Ambillah peluang untuk memperbaiki diri, memperbanyakkan amal soleh dan menjadikan doa sebagai amalan harian, bukan hanya ketika susah tetapi juga saat hati ingin terus dekat dengan Allah SWT.
Semoga setiap doa yang dipanjatkan dalam 10 hari awal Zulhijjah dipermudahkan dan dikabulkan oleh Allah SWT.
BACA LAGI : Doa Ibu Mustajab! Pesanan Menyentuh Hati Syatilla Melvin Buat Anak-Anak
Sumber: TikTok
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




