
10 amalan mudah untuk pecutan 10 malam terakhir Ramadan ini wajar dijadikan panduan buat kita semua agar penghujung bulan mulia ini tidak berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan ibadah dan amal terbaik.
Tidak lama lagi, kita akan memasuki fasa paling istimewa dalam Ramadan iaitu 10 malam terakhir Ramadan. Inilah waktu yang sering dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana padanya tersimpan malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu Lailatulqadar.

Sebab itu, ramai mengambil peluang untuk “memecut” ibadah pada malam-malam terakhir ini. Bukan sekadar menambah solat dan bacaan al-Quran, malah memperbaiki hubungan dengan Allah, keluarga dan sesama manusia. Menerusi satu perkongsian yang cukup bermanfaat, seorang wanita berkongsi beberapa amalan mudah yang boleh dijadikan panduan bersama.
Rebut Keberkatan 10 Malam Terakhir Ramadan
Hakikatnya, 10 malam terakhir Ramadan ini sangat singkat. Pejam celik, ia berlalu. Justeru, amat rugi jika kita sibuk membuat persiapan raya tetapi terlupa untuk merebut ganjaran besar yang hadir hanya setahun sekali.
Apa yang indah, amalan-amalan ini bukan hanya sesuai untuk individu, malah boleh dilakukan bersama pasangan dan anak-anak. Secara tidak langsung, rumah juga akan lebih hidup dengan suasana ibadah dan kasih sayang.

1. Tunaikan Solat Fardhu Pada Awal Waktu dan Berjemaah
Antara amalan paling utama ialah menjaga solat fardhu pada awal waktu dan jika berpeluang, dilakukan secara berjemaah. Inilah asas kekuatan seorang Muslim, lebih-lebih lagi ketika mahu mengejar keberkatan 10 malam terakhir Ramadan.
Menurut perkongsian ini, boleh juga ditambah dengan amalan harian seperti solat taubat, tahajud dan hajat sebelum Subuh, solat sunat Subuh selepas azan, serta mengisi waktu pagi dan siang dengan bacaan al-Quran dan solat sunat lain.
2. Laksanakan Solat Tarawih dan Qiyamullail Setiap Malam
Walau sesibuk mana sekalipun, cubalah untuk tidak meninggalkan solat tarawih dan qiyamullail. Tidak semestinya panjang, tetapi lakukan mengikut kemampuan.
Ini kerana kita tidak tahu malam yang mana satu merupakan Lailatulqadar. Maka, usaha menghidupkan setiap malam dengan solat menjadi satu ikhtiar terbaik agar tidak terlepas ganjaran besar itu.

3. Bersedekah Walaupun Sedikit
Jangan pandang kecil nilai RM1. Dalam Ramadan, setiap sedekah yang diberi dengan ikhlas sangat besar nilainya di sisi Allah SWT.
Jika mampu, amalkan bersedekah setiap malam, sama ada kepada tabung masjid, individu memerlukan atau menyediakan juadah berbuka puasa buat orang lain. Sedikit bagi kita, besar maknanya buat mereka yang menerima.

4. Membaca Al-Quran Setiap Malam
Sekurang-kurangnya, bacalah walaupun satu muka surat setiap malam. Yang penting ialah istiqamah.
Bagi yang tidak mampu membaca terlalu banyak, jangan jadikan itu alasan untuk tidak membaca langsung. Sedikit tetapi berterusan jauh lebih baik. Masa inilah juga sesuai untuk ibu ayah mengajak anak-anak duduk bersama membaca al-Quran agar suasana rumah lebih tenang dan diberkati.

5. Berbuat Baik Kepada Keluarga
Ramadan bukan hanya tentang ibadah khusus, tetapi juga akhlak dan layanan kita terhadap orang paling dekat. Perbanyakkan khidmat bakti kepada ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak.
Kadang-kadang, membantu pasangan di dapur, bercakap dengan lembut atau meluangkan masa dengan anak-anak juga satu bentuk amal yang cukup besar nilainya.

6. Banyakkan Zikir, Istighfar dan Doa
Bagi yang terasa letih, penat atau sukar fokus, zikir menjadi amalan paling mudah untuk dilakukan. Basahi lidah dengan tasbih, tahmid, takbir dan istighfar.
Amalan ini nampak ringan, tetapi sangat besar kesannya dalam melembutkan hati dan menenangkan jiwa, terutama pada penghujung Ramadan yang penuh rahmat.
7. Amalkan Doa Memohon Keampunan
Antara doa yang sangat digalakkan dibaca pada 10 malam terakhir Ramadan ialah:
Allahumma innaka ‘afuwwun karimun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Maha Mulia, Engkau suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku.
Doa ini sangat sesuai dibaca berulang kali sebagai tanda pengharapan kita agar Allah mengampunkan segala dosa yang lalu.

8. Jauhkan Pergaduhan, Perbanyakkan Ketenangan
Dalam mengejar pahala, jangan sampai kita rosakkan amalan dengan emosi, pertengkaran atau rasa marah yang tidak terkawal.
Malam-malam akhir Ramadan sepatutnya menjadi waktu untuk menenangkan hati, menjaga tutur kata dan mengelakkan perkara yang boleh mengeruhkan hubungan sesama ahli keluarga.
9. Perbanyakkan Doa Terutama Sebelum Berbuka
Waktu sebelum berbuka puasa adalah antara saat yang sangat berharga untuk berdoa. Gunakan peluang ini untuk memohon segala hajat yang baik, sama ada untuk diri sendiri, keluarga, kesihatan, rezeki dan kebahagiaan rumah tangga.
Kadang-kadang, dalam sibuk menyediakan juadah berbuka, kita terlupa bahawa waktu itu juga adalah saat paling manis untuk bermunajat kepada Allah.
10. Jauhi Sifat Riak Dalam Beramal
Apa juga amalan yang dilakukan, jagalah hati agar tidak timbul rasa bangga diri atau ingin dipuji manusia.
Biarlah amalan itu menjadi rahsia antara kita dengan Allah. Mohonlah agar setiap ibadah yang dilakukan diterima dan dipandang bernilai di sisi-Nya, bukan sekadar indah pada pandangan manusia.
Ramadan Hampir Ke Penghujung, Jangan Lepaskan Peluang
Sesungguhnya 10 malam terakhir Ramadan datang dengan peluang yang sangat besar. Belum tentu kita akan bertemu lagi Ramadan pada tahun hadapan. Sebab itu, saat masih diberi kesempatan, rebutlah peluang ini sebaiknya.
Tidak perlu menunggu sempurna untuk bermula. Mulakan dengan amalan yang ringan, ikut kemampuan dan lakukan dengan hati yang ikhlas. Semoga malam-malam terakhir Ramadan ini menjadi detik terbaik untuk kita berubah menjadi hamba yang lebih dekat kepada Allah.
Semoga kita semua diberi kekuatan untuk beramal, dipertemukan dengan Lailatulqadar dan menerima rahmat serta keampunan daripada Allah SWT. Selamat beramal.
BACA LAGI : Amalan Untuk Wanita Yang Period Di 10 Malam Terakhir Ramadan. Rugi Kalau Tak Buat!
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




