
Putra Assolihin membuktikan bahawa kecemerlangan akademik, hafazan al-Quran dan sukan boleh bergerak seiring apabila berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 15 Tahun baru-baru ini.
Remaja berusia 15 tahun dari Maahad Integrasi Madad itu mencuri perhatian ramai bukan sahaja kerana kejayaannya di gelanggang badminton, malah kerana disiplin tinggi yang diamalkan dalam kehidupan seharian sebagai pelajar madrasah dan atlet muda.
Kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila Putra terus berlari mendapatkan bapanya, Mohamad Hamim Mohamad Hanapi, 40, lalu memeluk erat insan yang menjadi tulang belakang perjalanan sukannya sejak kecil.
Detik penuh emosi itu berlaku sejurus selepas mata kemenangan diraih dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Sukan Kasturi.

Putra Assolihin Peluk Bapa Selepas Bergelar Juara MSSM
Menurut Mohamad Hamim, saat tersebut merupakan antara kenangan paling berharga dalam hidupnya sebagai seorang bapa.
“Syukur Alhamdulillah, Allahuakbar. Itu saja yang mampu saya jerit berulang kali bersama linangan air mata kerana terlalu sebak. Putra tak cakap banyak, dia cuma peluk dan bisik ‘terima kasih abah’,” katanya.
Bagi seorang bapa yang menguruskan sendiri perjalanan sukan anaknya sejak kecil, kejayaan tersebut bukan sekadar kemenangan di gelanggang tetapi hasil pengorbanan bertahun-tahun yang akhirnya membuahkan hasil.
Bapa Jadi Pengurus Perjalanan Badminton Putra Assolihin
Di sebalik kejayaan Putra Assolihin, tersimpan kisah pengorbanan besar seorang bapa yang sentiasa berada di sisi anaknya dalam setiap kejohanan dan sesi latihan.
Mohamad Hamim yang merupakan seorang pengurus perniagaan berkata, anaknya mula memegang raket badminton sejak usia enam tahun dan sejak itu segala urusan berkaitan sukan diuruskan sendiri olehnya.
“Jadual kejohanan dan program latihan semuanya saya uruskan. Memang dia pernah mengeluh penat, namun bila dia faham kerjaya sukan ini membuahkan hasil seperti tajaan dan dapat beri duit belanja kepada ibunya, dia terus bersemangat,” katanya.
Putra Assolihin Kekalkan Hafazan Walaupun Jadual Padat
Rutin harian Putra bermula seawal selepas Subuh dengan kelas hafazan al-Quran selama dua jam sebelum meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Selepas tamat sesi persekolahan, beliau hanya mempunyai masa sekitar jam 5 petang hingga 7 malam untuk menjalani latihan badminton secara intensif.
Walaupun jadual hariannya padat, Putra tetap komited terhadap hafazan al-Quran. Setakat ini, beliau telah menghafaz hampir empat juzuk dan memasang impian untuk menjadi hafiz 30 juzuk sebelum mencapai usia 18 tahun.
Menurut bapanya, disiplin yang ditunjukkan anaknya amat membanggakan kerana tidak pernah mengabaikan hafazan walaupun sering berada di luar kawasan bagi menyertai kejohanan.
“Walaupun kerap menyertai kejohanan di luar sehingga dua minggu, dia tidak pernah culas menghantar rakaman hafazan secara dalam talian kepada ustaz kerana azamnya mahu cemerlang sebagai juara badminton dan hafiz al-Quran serentak,” jelasnya.
Komitmen tersebut membuktikan bahawa kejayaan dalam bidang sukan tidak semestinya menghalang seseorang daripada terus menuntut ilmu agama dan memperkukuhkan hubungan dengan al-Quran.
Jadual Kejohanan Yang Sangat Padat
Bercerita mengenai persiapan ke MSSM, Mohamad Hamim mendedahkan bahawa anaknya menyertai kem latihan pusat negeri selama lebih dua minggu sebagai persediaan menghadapi kejohanan tersebut.
Malah, seminggu sebelum MSSM berlangsung, Putra turut beraksi dalam kejohanan terbuka Kuala Lumpur sebagai medan pemanas badan dan menambah pengalaman pertandingan.
Selepas bergelar juara MSSM, jadualnya terus dipenuhi dengan pelbagai kejohanan lain termasuk Kejohanan Skyworth, Kejohanan Sukan Sekolah Agama Peringkat Negeri Kedah dan Kumpoo Cup di Johor Bahru.
Sebagai seorang bapa yang prihatin, Mohamad Hamim pernah menasihatkan anaknya supaya berehat sekiranya terlalu penat. Namun Putra memilih untuk meneruskan perjuangan demi mencapai impiannya.
“Saya beritahu kalau terlalu penat, tarik diri saja daripada kejohanan terbuka, namun dia tetap mahu beraksi merempuh jadual padat ini kerana mahu kumpul wang kemenangan untuk kegunaan masa hadapan,” katanya.
Impian Jadi Hafiz dan Usahawan Sukan
Berbeza dengan kebanyakan remaja seusianya, Putra Assolihin mempunyai matlamat yang jelas untuk masa depan.
Selain mahu terus mencipta kejayaan dalam dunia badminton, beliau juga menyimpan impian untuk menjadi hafiz al-Quran dan membangunkan jenama serta perniagaan sendiri dalam industri sukan suatu hari nanti.
Bagi Mohamad Hamim, fokus utama ketika ini adalah memastikan anaknya menamatkan persekolahan dengan keputusan cemerlang serta memiliki bekalan ilmu agama yang kukuh.
“Fokus utama saya bukan sukan semata-mata, biarlah dia tamat SPM dengan keputusan cemerlang serta ada bekalan 30 juzuk di dada, selepas itu barulah kita bina kerjaya sukan dan perniagaannya secara lebih serius,” katanya.
Semoga kejayaan Putra Assolihin menjadi pembakar semangat kepada lebih ramai anak muda untuk terus berusaha mengejar impian, menghormati ibu bapa, menjaga ilmu serta tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran kehidupan.
BACA LAGI : Lebih 1,800 Anak Malaysia Sertai, Astro Kem Badminton 2026 Raih Sambutan Hebat
Sumber : Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




