
Bila anak sudah mencecah usia 18 tahun, kebanyakan ibu bapa mungkin lebih sibuk memikirkan soal sambung belajar, lesen memandu atau persediaan anak melangkah ke alam dewasa.
Namun ada satu lagi perkara penting yang tidak sepatutnya terlepas pandang iaitu penggantian Kad Pengenalan Malaysia (MyKad) apabila anak sudah mencapai usia 18 tahun.
Mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa MyKad yang dimiliki sejak usia 12 tahun perlu diganti apabila seseorang mencapai umur 18 tahun.
Menurut Portal Rasmi Kerajaan Malaysia, individu yang telah mencapai umur 18 tahun wajib menggantikan MyKad sedia ada berdasarkan Peraturan 18, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Boleh Buat Dari Umur 18 Hingga 25 Tahun
Berdasarkan maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seseorang yang telah mencapai umur genap 18 tahun dan mempunyai MyKad atau Malaysia Pemastautin Tetap (MyPR) perlu membuat penggantian kad pengenalan tersebut.
Permohonan penggantian ini boleh dibuat bermula umur 18 tahun sehingga sebelum mencapai umur 25 tahun.
JPN turut menjelaskan bahawa individu yang mendapat kad pengenalan pertama ketika berusia 12 tahun dikehendaki menukar semula kad pengenalan apabila mencapai usia 18 tahun.
Sekiranya penggantian dilakukan dalam lingkungan umur 18 hingga 25 tahun, tiada denda dikenakan.
Jadi jangan tunggu sehingga bertahun-tahun hanya kerana merasakan MyKad lama masih berada dalam keadaan baik.
Perlu Hadir Ke Kaunter JPN
Untuk penggantian MyKad pada usia 18 tahun, pemohon perlu hadir sendiri ke mana-mana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara.
Dokumen utama yang perlu dibawa pula cukup mudah iaitu MyKad asal.
Bagi warganegara, JPN menetapkan bayaran permohonan penggantian MyKad berkenaan sebanyak RM10.
Jika pada masa sama mahu melakukan pertukaran alamat, pemohon juga perlu menyediakan dokumen sokongan berkaitan alamat seperti bil utiliti, cukai pintu, perjanjian sewa atau dokumen lain yang diterima oleh JPN.
Ibu Bapa Boleh Ingatkan Anak
Walaupun pada usia 18 tahun anak sudah dianggap semakin berdikari, tidak salah untuk ibu bapa mengingatkan mereka mengenai urusan penting seperti ini.
Tambahan pula, usia 18 tahun biasanya hadir bersama pelbagai perubahan besar dalam kehidupan anak termasuk melanjutkan pelajaran, mula bekerja atau menguruskan pelbagai urusan rasmi sendiri.
Jadi jika anak anda baru sahaja menyambut ulang tahun ke-18 dan masih menggunakan MyKad yang dibuat ketika berusia 12 tahun, bolehlah mula merancang kunjungan ke JPN.
Nampak seperti perkara kecil, tetapi penggantian MyKad pada usia 18 tahun sebenarnya merupakan satu keperluan yang telah ditetapkan di bawah peraturan pendaftaran negara.
BACA LAGI: MyKad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Kini Ada 53 Ciri Keselamatan
Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Malaysia & Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di



