
Suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari telah meninggal dunia pada Khamis di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.
Berita duka itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang memaklumkan Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada hari ini. Pemergian Allahyarham nyata meninggalkan kesan mendalam buat keluarga, sahabat handai serta mereka yang mengenali beliau.
Menurut kenyataan berkenaan, jenazah Allahyarham akan diuruskan terlebih dahulu di Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke Kuching, Sarawak pada Jumaat untuk urusan pengebumian. Solat jenazah telah berlangsung di Masjid Negara sekitar jam 10.20 malam tadi sebelum jenazah diterbangkan ke Sarawak.
Menurut laporan, jenazah Datuk Kamil Misuari akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang.
Sekilas info, Nancy dan Allahyarham mendirikan rumah tangga sejak tahun 1985 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Sepanjang lebih empat dekad melayari bahtera perkahwinan bersama, Allahyarham sentiasa menjadi tulang belakang serta penyokong setia kepada perjalanan kerjaya Nancy dalam bidang politik dan perkhidmatan awam.
Ruangan komen media sosial milik beliau turut dibanjiri ucapan takziah daripada rakan-rakan pemimpin, kenalan serta orang ramai yang mendoakan agar seluruh keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.