Mengandung? Sesetengah daripada kita takut untuk kembali mengandung lagi gara-gara alahan dan pelbagai masalah atau simptom lain yang kembali bakal menyerang.
Bagi wanita yang mengandung anak sulung mungkin tidak biasa dan terkejut dengan kesemua masalah ini. Jangan terlalu risau, kesemua ini adalah perkara biasa dan bakal dilalui oleh semua ibu mengandung. Apa yang anda perlu lakukan adalah menikmati waktu-waktu indah selama 9 bulan ini.
Sembelit
Sehingga 50% wanita hamil menghadapi masalah ini. Sembelit berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya akibat pengaruh hormon kehamilan yang melambatkan perjalanan usus, mungkin disebabkan kurang pengambilan air dan makanan berserat tinggi, pil zat besi dan juga tekanan rahim ke atas usus besar.
Untuk mengatasi masalah ini, wanita hamil harus meminum air sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas sehari serta mengambil makanan berserat tinggi seperti bijirin, sayuran dan buah-buahan.
Buasir
Masalah buasir juga kerap berlaku apabila wanita hamil mengalami sembelit. Meneran semasa sembelit, batuk berpanjangan, hamil (saiz rahim yang membesar) memberikan tekanan ke atas bahagian rektum (usus besar) serta saluran vena padanya. Ini menyebabkan pengembangan vena tersebut dan disebut buasir.
Kadangkala ia boleh terjulur keluar seperti daging lebih ataupun berdarah (kebiasaannya darah sejurus selepas membuang najis, berwarna merah cerah dan tidak sakit). Sakit boleh timbul jika buasir mengalami gangguan bekalan darah.
Ads
Elakkan sembelit dengan mengambil minuman atau makanan yang bersesuaian. Elakkan juga mengenakan tekanan ke dalam abdomen. Jangan ambil ubat sembarangan sebaliknya dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat-ubatan. Bagi sesetengah kes, buasir dijangka hilang selepas kelahiran tersebut.
Pedih Hulu Hati
Hormon kehamilan menyebabkan lebih banyak asid gaster (asid di dalam perut) terhasil. Pada masa yang sama, hormon kehamilan juga menyebabkan perut lambat kosong. Tambahan pula, tekanan rahim ke atas perut juga boleh menjadikan keadaan semakin nyata.
Kesemua ini menyebabkan asid gaster naik memasuki saluran esofagus di bahagian atasnya dan menyebabkan rasa pedih hulu hati.
Bagaimanakah mengatasinya?
Ads
– Duduk tegak selama sejam selepas makan. Berkemungkinan anda memerlukan ubat-ubatan yang mengandungi antasid. Sekiranya masalah berterusan, dapatkan nasihat doktor.
– Kurangkan minuman sewaktu makan. Seelok-eloknya minuman diambil di antara waktu makan tersebut dan dikurangkan semasa makan.
– Makan dalam kuantiti yang kecil pada setiap kali tetapi kerap (contohnya daripada 3 kali sehari kepada 5-6 kali sehari).
Kekejangan kaki
Kebiasaannya masalah kekejangan kaki berlaku pada trimester kedua dan ketiga kehamilan. Hindari masalah ini dengan mengambil makanan atau pil tambahan kalsium dan mengambil makanan bersumber potassium seperti pisang, buah oren dan sebagainya.
Ads
Bengkak Kaki
Kebiasaannya berlaku pada kaki dan semakin nyata pada waktu awal malam setelah sehari berdiri/berjalan dan pada trimester ketiga kehamilan. Ia disebabkan tekanan kandungan yang mengganggu aliran darah daripada bahagian kaki ke dalam jantung.
Elakkan masalah ini dengan berbaring dan mengangkat kaki ke atas (melebihi paras jantung), mengiring sebelah kiri (bagi mengurangkan tekanan kandungan ke atas saluran vena utama).
Dapatkan nasihat doktor terutama jika anda mengalami edema pada keseluruhan badan (muka, tangan dan sebagainya) serta sebelum anda mengambil ubat-ubatan.
Keputihan
Ia lebih kerap dialami wanita hamil akibat perubahan hormon. Berkemungkinan ia adalah jangkitan kulat (candidiasis). Ibu hamil yang mengalami masalah ini perlu mengambil ubat anti kulat selepas mendapat nasihat doktor.
Masalah yang berulang atau berlarutan boleh diperiksa lebih lanjut dan diberikan ubat bersesuaian. Anda juga mungkin mengalami penyakit lain tanpa disedari seperti kencing manis dan sebagainya.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Bila ada kerajinan dan minat untuk berkebun sayur, walau sekadar di balkoni kediaman pun boleh, tiada masalah. Bahkan bukan satu dua jenis sayur yang dapat ditanam, malah pelbagai. Ini sebagaimana perkongsian dari Gee Ja di laman Facebook yang memiliki ‘kebun sayur’ walau tinggal di tingkat 10!
Difahamkan Gee Ja ada menanam sawi choy sum, pakchoy, kailan, kangkung, bayam, bayam brazil, genovese basil, thai basil, bendi, ulam raja, kunyit, bangun-bangun, pudina.
Cabaran:
-angin kuat, pasu tergolek tu biasa. Saya tak guna pasu yang berat nanti susah nak alih-alih.
-balkoni saya agak terlindung, hujan memang tak kena, cahaya matahari pun agak terhad.
Kena gilir-gilir alih pasu supaya semua sayur-sayur dapat cahaya yang cukup.
-sangkaan awal saya kalau bertanam di tingkat tinggi ni kurang perosak. Sebenarnya tidak – banyak serangan aphid, spider mite (ni paling susah nak lawan), mealy bug & fungus gnat. Setakat ni guna cuka kayu & juga buat spray cili+garlic+sabun cuci pinggan untuk control. Tak berjaya sangat.
Semua pasu saya ni bercampur kulit telur, memang niat saya nak kurangkan sampah dari dapur, guna kulit telur, guna kopi/teh.
Apa lagi ya yang boleh diguna? Saya tak nak guna racun.
Pertanyaan Gee Ja mendapat perhatian warganet dan ramai memberi komen berkenaan cara kawalan serangga perosak secara lebih selamat menggunakan bahan-bahan sedia ada di rumah.
Antaranya Hans Ryder memberikan cadangan, “Tabur kulit telur.. tajam2… jemur kulit telur pastu hancurkan dgn tgn.. kasar sikit tabur dlm pasu… lagi buat buh seulas bawang putih pada setiap pasu.. kasi serangga perosak jauh dari tanaman…”
Selain itu dia menambah lagi, “Boleh spray dgn baja organik iaitu cili api campur bawang putih blend dgn air sabun basuh pinggan… test dulu sikit2.. takut melecur daun nanti…”
Manakala Kuan Kwong Foo memberi komen, “Can Try Neem Oil mixed with Baking Soda and Dish Detergent Liquid … Works for me 🙏”
Komen daripada Afiq Zulkifli pula, “Sy guna jgk kaedah guna spray cili tu.. tp xberhasil, blh cuba pulak nga air cengkih. Saya tukar kaedah ini alhamdulillah serangan aphit, benang dan daun yg kerinting pd cili dah tak ada”
Lain pula cara yang dipraktikan oleh Sarita Subramaniam, ujarnya “Air basuhan beras perap 24jam, siram kat pokok. Memang bau tapi pokok sihat & gemuk.”
Malah banyak lagi komen dan cadangan yang diberikan oleh warganet, apa yang pasti antara mereka tidak lokek berkongsi ilmu penanaman untuk menfaat bersama.
Isteri selalu komplen, semut selalu naik atas meja. Buka tudung saji, tengok semut tengah kendurikan makanan. Terus tak de mood nak makan then ajak kita makan kat luar. Selalu makan kat luar tak elok tuan-tuan, tak sihat, poket suami demam nanti.
Memang tuhan buat orang lelaki ni pantang dengar masalah, mesti otak berputar mencari penyelesaiannya. Bercampur pulak darah patent dalam diri, lagi lah laju (sebenarnya dah tak larat nak dengar hehe).
Caranya:
1. Mula-mula cari stokin yang kau sendiri dah menyampah nak pakai. Atau kau dah jadi pengikut tegar Wak Doyok yang memang tak pakai stokin lagi senang, ambik je mana stokin kau suka.
2. Pastu potong 4. Lebar dalam dua inci macam tu. Kalau kaki meja kau 6, potong 6 lah. 3. Sarungkan kat kaki meja, pastu spray perfume. Ikutlah jenama apa yang isteri kau suka, Ridsect pun boleh, Baygon pun boleh. Jangan guna Versace sudah lah. Spray keliling untuk kesan yang lebih efektif. Ok sekarang bukan setakat semut, lipas, malah cicak pun dah malas nak panjat meja makan tu.
Selamat mencuba. “Happy Wife, Happy Life” Dah settle satu masalah, sekarang aku dah boleh fokus kerja.
Sumber : Faizal Ismail
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Perkongsian kali ini cukup memberi perangsang buat semua ibu bapa dalam mendidik anak-anak mencintai al quran dan seterusnya menjadi tahfiz.
Untuk itu, jom kita baca perkongsian yang cukup panjang ini dari Cikgu Shaini Razali.
Ada sahabat bertanya…macamana saya boleh jadikan anak minat dengan al quran sehingga akhirnya anak bergelar Al Hafiz cemerlang…ini kisahnya…
Mungkin ramai yg beranggapan saya ni ustazah berdasarkan post2 islamic saya. Sebenarnya saya bukan ustazah…saya asalnya hanya guru B.inggeris…orang biasa yang mempunyai niat supaya Allah merubah kehidupan keluarganya. Lalu dengan belas ihsanNya, saya diberi hidayah untuk merubah kehidupan ke arah yang lebih baik…berusaha untuk menjadi baik seperti yang Allah kehendaki..insyaAllah..hingga sekarang saya masih dlm proses mengubah diri…masih belajar untuk istiqomah dengan setiap amalan, pertuturan n kelakuan yg sepatutnya bg seorang hamba Allah yg sentiasa menagih redha dan rahmatNya.
Dulu2 (masa belum berhijrah), setiap kali saya mendengar student baca quran di sekolah…hatta cukup dengan bacaan doa yang merdu….sentiasa terdetik dalam hati saya…”bestnya kalau aku ada anak macam ni…macamana dia dididik?…mesti dari keluarga yang “beragama”…aku ni siapa…anak aku tak mungkin boleh jadi macam tu..aku bukan ustazah…anak aku hanya bersekolah kebangsaan”..setiap kali ada majlis keagamaan di sekolah dan ada pelajar terpilih untuk mengalunkan ayat2 suci…saya sentiasa berfikir ayat2 yang sama. Saya sedih.
Satu hari ada seorang sahabat guru yang bercerita anak lelakinya setiap kali pulang dari asrama, akan menjadi imam solat untuk keluarga. Dalam hati saya berkata, “Ya Allah.. bertuahnya kakak ini dikurniakan anak yang soleh”…tapi saya bukan seperti dia..suaminya ustaz..suami saya biasa2 saja.
Saya percaya, setiap ibu ayah… inginkan anak yang sebegini…kerana anak sebeginilah yang akan mendoakan kita nanti bila kita telah tiada.
Namun hasrat hati ini hanya menjadi rahsia antara saya dan Pencipta. Di mulut berkata TAK MUNGKIN aku akan dapat anak sebegini…tapi di hati penuh pengharapan pada Allah yang boleh memungkinkan segalanya.
Jadi bila ditanya macamana saya didik anak dari anak yang biasa-biasa… tetapi dengan izin Allah mampu jadi imam solat dan bergelar imam muda di sekolahnya, tanpa paksa membaca al Quran 1-3 juzuk sehari dan sekarang berjaya menyambung pelajaran ke madrasah tahfiz al quran…jawapannya : segalanya bermula dengan NIAT yang bersungguh dan DOA yang yang tidak pernah lekang.
Kadang-kadang bila saya fikirkan…memang tidak logik anak sebegini boleh Allah hadirkan dalam keluarga yang “biasa-biasa” macam keluarga saya. Tapi dengan kuasa Allah..tiada yang mustahil.
InsyaAllah jika ada kelapangan yang lain, saya akan kongsi bagaimana saya diberi ilham oleh Allah untuk menjadikan anak-anak saya cintakan al Quran. Tapi percayalah…kita nak anak berubah…kita dulu yang kena berubah. Saya bercakap berdasarkan pengalaman.
Ikram, anak sulung keluarga ini kini berusia 15 tahun
Pasti sebelum2 ni ramai yang cakap, “untung ks dapat anak macam abang iqram”. Mungkin ramai juga yang berimpian nak anak mereka jadi macam abang iqram. Tapi yang ramai tak tahu, peristiwa yang berlaku di sebalik apa yang Allah anugerahkan ini. Tangisan yang ditumpahkan terlalu banyak…
Ks dapat abang iqram setelah ks 2x keguguran. Sepanjang kehamilan, ks bleeding hampir setiap masa sampaikan doktor yang scan masa tu pernah kata, “kalau macam ni lah bentuk kantungnya, awak tunggu gugur je lah..nanti 18 minggu awak datang saya buat DNC kalau ia tak gugur sendiri”. Kata-kata doktor tu sampai sekarang masih terngiang-ngiang. Dilafaz tanpa riak simpati. Huhh… masa tu air mata rasa dah tak tertanggung. Konpiden nya doktor tu.
Berbekalkan kata-kata semangat seorang kawan, “Jangan fikir apa yang doktor tu kata. Kalau dah Allah nak kata jadi, maka jadi…jangan nak fikir gugur. Jaga je kandungan tu”. So, ks jaga kandungan betul2 dengan penuh pengharapan, doa tu jangan cakaplah.
Genap kandungan 18 minggu, ks pegi jumpa doktor tu. Dia scan dulu sebelum buat dnc. Tetiba dia kata, “Eh kantungnya dah bulat cantik ? Jantung baby pun kuat ? haaa kalau dah namanya kuasa Allah..”. Huh, pandai pulak teringat Allah…masa ko suruh aku tunggu gugur dulu ko tak ingat Allah. Tu ks cakap dalam hati lah…takkan nak hembur “ayat cinta” tu kat muka dia pulak kan. Ks kan lemah lembut sopan santun orangnya…setakat buat ayat drama dalam hati tu reti lah…nak marah depan2, cari ks lain. Lagipun kegembiraan masa tu lebih banyak hingga mampu menutup rasa nak marah kat doktor tu.
Sebenarnya, gembiranya tu sampai tak boleh nak cerita sebab ingatkan doktor tu nak kata baby dah tak ada. Jam tu jugak ks ajak suami gi beli baju baby..hahaha. Nasib baik umi tak belikan abang baju pink.
Saat-saat sukar ketika hamil berterusan sampai ke masa melahirkan dan masa membesarkan. Huhu…banyaknya dosa ks yang Allah nak gugurkan masa tu…
Boleh imagine tak kalau dia sejak lahir nangis NON STOP sampai usianya 1 tahun. Menangis yang tahap muka jadi biru tau. Tanpa sebab. Dia hanya tak nangis time tidur saja. Tidur pulak tak sampai 1 jam. Dah jaga, “melalak” lagi….Huhu. Kalau hari-hari macam tu, hati ibu manalah yang tak kacau. Lagilah masa tu imanku senipis kulit bawang. Alhamdulillah nasib baik tak meroyan. Macam2 ikhtiar dah….semua tak jalan ! Kalah Ahmad Albab.
Bila dah besar, lain pulak ceritanya…hyper tahap matikan setiap plug kat pasaraya, tahap pecahkan tauhu dalam tong Pasar Basah, tahap matikan ikan-ikan Koi Atok dia dengan kiwi kasut… alasannya, “abang nak bagi ikan2 tu makan.” Tahap tuang perfume kesayangan umi hingga habis licin lantai…Tahap lumurkan diri sendiri dengan kari.
Terlalu aktif sampai ada ketika bibir umi “pecah” n bengkak sebab terhantuk kepala dia yang tetiba aje dia melompat lompat sebab terlalu galak. Senang cakap, tak sah kalau satu hari tu dia tak buat benda2 pelik yang menduga iman. Time raya, diam-diam dia boleh gunting lengan baju anak tetamu yang datang beraya. Pernah juga garikkan huruf ABC dengan ranting kayu pada kereta kawan KS masa KS bawa dia ke sekolah. Ks malu sangat. Perasan macam orang ingat kita tak pandai jaga anak.
Masa tu ramai yang suruh ks sabar, kata diaorang budak yang susah dibela macam ni insyaAllah nanti besar esok-esok jadi “orang”. Masa tu ks dengarkan aje….tapi sebab terlalu stress, Ks pernah cakap dengan suami, “nak jadi “orang” apenye bang kalau dah tak terkawal macam ni…”
Banyak sangat kalau nak cerita….mendengar je pun dapat rasa peningnya tu kan. Apatah lagi ks yang hari2 dengan dia. Sebab dia jenis tak terkawal macam tu, memang ks tak beri dia keluar rumah main dengan kawan2 setaman. Ks taknak dia jadi lagi tak terkawal bila dah bercampur tanpa pengawasan.
Jiran-jiran memang semua dah tahu…dia hanya boleh keluar rumah had pagar besar saja. Kekadang kesian pulak tengok tangan dia melambai-lambai, merayu rayu panggil anak2 jiran kat celah pagar tu, “kawan…kawan…mari sini kawan…”. Peliknya, ramai pulak yang datang kat depan pagar tu sembang-sembang dengan dia.
Masa dia darjah 2, ks pernah tanya dia sambil nangis, “Abang, kenapa abang macam ni…kenapa abang tak jadi baik ?….abang janjilah dengan umi abang nak jadi baik…abang tak kesian ke dengan umi ?”
Dia kata sesuatu yang menyentuh hati, “Umi…abang nak jadi baik tapi abang tak tahu macamana…abang tak sedar apa yang abang buat…” Dia nangis, nampak sangat dia sendiri kesal atas apa yang dia buat.
Masa tu ks peluk dia…nangis sama2 dengan dia.
Sebab tu lah, bila ada kawan-kawan sekolah yang bercerita tentang anak-anak masing2 yang berjaya, yang baik, yang soleh, yang jadi imam kat rumah…ks sangat sedih…ks bandingkan dengan anak ks yang berperangai “pelik” tu…pada ks, “memang mustahil anak aku nak jadi macam tu…tapi bantu aku ya Allah…aku nak anak aku jadi anak yang boleh aku banggakan juga..”
Tapi ks tetap tak putus asa. Setiap kali ada kawan yang ke Mekah, tak putus-putus ks kirimkan ayat doa…untuk abang iqram…sampai ada kawan ks cakap sambil gurau, “ko takde doa lain ke nak kirim”
Huh….itu cerita dulu..Cerita sebelum ks dan suami “berhijrah”
Kami mula berhijrah semasa proses persediaan mengerjakan umrah kali pertama 2013. Kami berhijrah dalam ertikata berhijrah SEPENUHNYA….bukan ambil separuh-separuh…pendek kata kami ambik peduli hingga ke akar umbi. Kami cuba buat sedaya upaya kami. Biar penat mengejar REDHA ALLAH. Tak apa…kerana di sebalik kepenatan ini, kami perasan segala urusan kami dalam menguruskan kehidupan dan mendidik anak-anak menjadi semakin mudah. Macam-macam idea dan ilmu yang datang.
Abang iqram kami turut ajak “berhijrah”. Masa dia darjah 4, dia dah dikejutkan untuk bersolat tahajud. Dia khatam Quran dengan lancar juga semasa di darjah 4. Masa di darjah 5, dia dah hafaz Juz Amma.
Setiap kali ada program cuti sekolah berkait dengan pemantapan akhlak anak2, program pemantapan hafazan, program anak cemerlang…kami akan daftarkan abang iqram. Sampai ke melaka, ke shah alam. Asalkan program tu diyakini bagus, akan ada abang iqram kat situ. Dia nampak seronok dan semakin matang.
Sejak itu perangainya berubah 180 darjah. Dia sudah menjadi anak yang mendengar kata. Pelajarannya juga makin meningkat. Umi dah boleh senyum
Selepas itu, dia terus-terusan menjadi anak kebanggaan umi. Semasa di darjah 5, dia pernah menjadi peserta terbaik hafazan semasa menyertai program Muqayyam Tahfiz Al Aqsa yang melibatkan 300+ peserta. Kejayaan ini merupakan “starting point” untuk kami nekad dengan keputusan menjuruskan dia menjadi Al hafiz walaupun keputusan akademiknya amat membanggakan. Kami tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat supaya hati dan fikirannya bersatu dengan impian kami.
Kemenangannya dalam Pertandingan Hafazan Daerah dan seterusnya hingga ke peringkat negeri masa di darjah 6 menguatkan lagi keyakinan kami.
Dia juga agak membanggakan dalam olahraga. Selalu bawa balik medal sampaikan kami terpaksa wujudkan almari khas untuk simpan semua pingat yang dia pernah menangi.
Dalam taekwando, dia pernah dapat Johan bila coachnya yang berbangsa cina masukkan dia bertanding dengan peserta yang semuanya berbangsa cina. Nampak kelakar sangat sebab dalam ramai2 peserta dia sorang aje yang berkulit gelap.
Tapi masa tu yang buat ks terharu bukan sebab dia menang tapi bila dia cakap, “kat situ tak de tempat nak solat umi, jadi abang solat kat bawah tangga”. Ya Allah anak aku, umur 11 tahun dah jaga solat…dia ingat pesan umi suruh jaga solat.
2015, di saat semua ibubapa sibuk darftarkan anak-anak mereka yang cemerlang UPSR ke sekolah-sekolah berasrama penuh, kami pula sibuk daftarkan abang iqram ke madrasah full tahfiz Al Fath Muar. Kami nak dia jadi AL HAFIZ CEMERLANG !
Di sana, Mudir sentiasa pesan, ibubapa perlu sama2 bantu anak-anak. Bantu dengan amalan. Jaga syariat Allah. Jelasnya si anak berjuang di madrasah. Ibubapa berjuang di rumah. Sedekahkan segala pahala amalan itu kepada anak. Jangan putus-putus berdoa untuk kejayaan anak.
Biasanya setiap kali selesai mengaji, ks akan doa, “Ya Allah, aku bertawassul pada bacaan al quranku ini, Kau mudahkanlah anakku Muhammad Iqram Muqriz untuk menghafaz kalamMu, berikan dia daya hafalan yang luar biasa ya Allah, jadikan dia hafiz cemerlang ya Allah. Bantulah dia ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, jadikan dia anak yang soleh, anak yang mendengar kata, anak yang berbakti kepada ummah…”
Alhamdulillah syukur, atas ihsan Allah padanya, pada kami sekeluarga, akhirnya abang Iqram mengambil masa hanya 17 bulan untuk bergelar Al Hafiz dan seterusnya lulus Syahadah Tahfiz (diploma tahfiz) dengan pangkat Mumtaz Tahap 1 kerana dia berjaya habiskan hafaz 30 juzuk dalam masa 24jam tanpa satu kesalahan pun. Allahhhh…Betapa Allah tolong dia
Awal 2017 pula, tanpa diduga, dia berjaya menjadi wakil Johor ke Pertandingan Tilawah & Hafazan Peringkat Kebangsaan seperti yang ks pernah ceritakan sebelum ini. Saat dirinya terpampang pada skrin besar dewan dan TV, antara saat-saat syahdu yang sukar dilupakan. Para jiran mula bertanya, “anak akak ye yang dalam TV tu ?”. Tetiba rasa malu untuk mengiakan…Itulah budak yang dulunya selalu melambai kawan-kawan kat celah pagar sebab kena kurung dengan umi.
Atas ehsan Allah juga, pada Dec 2017, semasa Majlis Anugerah Cemerlang di Madrasah Al Fath, Abang Iqram dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar 2017. Umi dan ayah turut dijemput ke pentas untuk mengiringi abang menerima anugerah. Malu dan terharu datang silih berganti mengiringi setiap langkah kami.
Saat ini umi sudah boleh bernafas lega penuh kesyukuran. Sekarang, abang iqram bukan lagi abang iqram yang dulu…dia dah tahap 360 darjah berubah. Totally berubah! Sangat mendengar kata…sangat “zuhud” kalau nak dibanding dengan anak2 yang seusianya.
Buktinya, lepas 3 bulan dia tamat syahadah, tetiba dia cakap perlahan, “Umi, kawan abang kan, masa dia habis syahadah, mak dia bagi HP Lenovo. Kalau abang, abang taknak HP, abang nak basikal”. Ya Allah anak, nak basikal rupanya. Nape lepas 3 bulan baru cakap..Aduhai anak
Itulah Muhammad Iqram. Budak yang tiap kali birthdaynya, hadiah yang diminta hanyalah masakan umi….Di usia 15 tahun, dia sudah membiasakan dirinya untuk sentiasa solat berjemaah 5 waktu di surau berhampiran. Dia rela lewatkan makan malam asalkan dia boleh isyak berjemaah di surau. Adakala dia pulang dari surau dengan tersengeh-sengeh. Nanti belum sempat dia nak bagitau umi, awal2 lagi adik2nya dah bocorkan rahsia, “Umi, abang jadi imam, umi..”
InsyaAllah, adik2nya juga akan dididik menjadi pendamping Al Quran. Setiap hari istiqomah habiskan 1 juzuk pada hari sekolah dan 2 juzuk time cuti. Lepas maghrib masing2 wajib habiskan 10 muka dan lagi 10 muka habiskan sebelum subuh esoknya.
Pukul 5pagi diaorang dah bangun. Kalau ayah dia kejutkan cara baik dioarang masih tak bangun, nanti Ks akan masuk bilik diorang dan bisik kat tepi telinga, “Sampai bila ?”. Kata Sufi, itu pertanyaan berbau “ancaman” yang paling ditakuti
Kalau bercuti, mereka akan habiskan juzuk masing2 di bilik hotel dan masa perjalanan. Mula2 berpaksa, lama2 menjadi biasa. InsyaAllah. Mohon doa dari sahabat semua semoga mereka juga akan bergelar huffaz seperti abangnya. Agar nanti di akhirat, bersama-sama tiga beradik memakaikan mahkota untuk umi dan ayah…Allahhh
Mesti ramai tanya, “Macamana nak bagi anak patuh ?”
Umi n ayah kena tegas ! Kalau kata denda, memang kena denda. Kena wujudkan rules dan setiap ahli rumah kena follow. Tapi biasalah, bukan mudah nak jadikan satu2 perbuatan baik tu sebagai rutin sebab tu apa2 hal dah kena start dari kecil. Umur 3-4 tahun dah mula mengaji, 5 tahun dah kena bertudung, dah kena belajar solat 5 waktu, dah mula bercakap sopan2. Kalau semuanya nak mula bila 10 tahun, rasa2nya pada umur berapa mereka akan mula obey dengan setiap rule tu ?
Atas alasan inilah ks selalu berpesan kepada ibubapa semua, lebih-lebih lagi ibu, mama, umi…nak didik anak-anak jadi soleh solehah, nak didik seluruh isi keluarga jadi “baik”, berhijrahlah SEKARANG…semasa anak-anakmu masih kecil kerana sepanjang proses kita merubah diri kita menjadi lebih baik mengikut syariat Allah, sebenarnya dalam masa yang sama Allah turut merencanakan sesuatu yang indah untuk kita sekeluarga. Tolong jangan bertangguh lagi.
Sekarang ni, di usia 16 tahun, abang iqram berada di Madrasah Al Hikmah, Jelebu untuk mendalami bidang alim sebelum mengambil Program Fast Track SPM pada tahun hadapan di Kolej Universiti Islam Melaka (insyaAllah), dengan harapan abang Iqram dapat menyambung pengajiannya ke tahap PhD dalam bidang Agama. Semoga Allah berkati dan permudahkan perjalanan ilmunya.
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca posting yang panjang lebar ni. Terima masih juga untuk sahabat2 ks yang sentiasa mendoakan. Semoga anda sekeluarga turut dikurniakan rahmat dan keberkatan. Aamiin ya robb.
Ks pos ni sebagai perangsang untuk sahabat2 ks yang sekarang ni sedang berusaha untuk mewujudkan huffaz dalam keluarga. Moga Allah beri kekuatan dan kemudahan. Aamiin ya robb.
sumber : Cikgu Shaini Razali
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Pelajar meninggal dunia, tak sempat tengok keputusan SPM, guru kongsi kisah sedih. Seorang guru berkongsi kisah menyentuh hati mengenai bekas anak muridnya yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman selepas menjalani pembedahan apendiks, hanya beberapa hari sebelum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diumumkan pada hari Khamis.