Gaya Hidup

Adab Menziarahi Pesakit Kanser, Panduan Penting Penuh Empati & Menyentuh Hati

Share

Adab menziarahi pesakit kanser bukan sekadar soal hadir membawa buah tangan, tetapi tentang menjaga hati, emosi dan maruah insan yang sedang diuji. Menziarahi insan yang diuji dengan kanser adalah tanda kasih sayang dan sokongan. Namun dalam keinginan untuk mengambil berat, tanpa sedar ada kata-kata dan tindakan kita yang sebenarnya boleh melukakan hati mereka.

Perkongsian seorang pengguna Threads, @kisahklinikalasiah yang pernah menjadi penjaga pesakit kanser membuka mata ramai tentang pentingnya adab ketika ziarah. Menurut beliau, pesakit kanser bukan sahaja berdepan kesakitan fizikal, malah turut menanggung tekanan emosi yang besar. Justeru, setiap kata dan perbuatan daripada pelawat perlu lebih berhati-hati.

ADAB ZIARAH PESAKIT KANSER DARI BEKAS PENJAGA. Gambar Hiasan AI

Elakkan Soalan Sensitif Ketika Menziarahi

Antara perkara paling kerap ditanya ialah, “Stage berapa?” Walaupun soalan ini mungkin lahir daripada rasa prihatin, ia boleh menjadi beban emosi kepada pesakit.

Ada pesakit yang cuba untuk tidak terlalu memikirkan tahap penyakit mereka demi menjaga semangat diri. Apabila soalan sama diulang berkali-kali, perasaan cemas dan sedih yang cuba dipendam boleh kembali menghantui. Lebih-lebih lagi jika keadaan sudah kritikal, fokus rawatan biasanya lebih kepada keselesaan dan kualiti hidup, bukan lagi soal tahap penyakit.

Sebagai ahli keluarga atau sahabat, hormatilah ruang peribadi mereka. Jika pesakit mahu berkongsi, biarlah ia datang daripada mereka sendiri. Inilah antara prinsip utama dalam adab menziarahi pesakit kanser yang sering terlepas pandang.

Jangan Terlalu Mudah Memberi Nasihat

Satu lagi perkara yang sering berlaku ialah lambakan cadangan rawatan alternatif. Dari air rebusan tertentu hinggalah produk kesihatan yang kononnya mujarab. Niat mungkin baik, namun bagi penjaga dan pesakit yang sedang menguruskan jadual rawatan, ubat-ubatan dan temu janji hospital, perkara ini boleh menjadi tekanan tambahan.

Jika benar mahu membantu, tawarkan bantuan yang lebih praktikal. Contohnya, menghantar makanan, membantu menjaga anak, atau menguruskan keperluan harian. Bantuan kecil ini sebenarnya sangat besar maknanya buat keluarga yang sedang berdepan ujian. Pendekatan ini lebih selari dengan adab menziarahi pesakit kanser

yang menekankan empati dan kepekaan.

Kata-Kata Motivasi Perlu Berpada

Ungkapan seperti “Kena kuat ya” atau “Jangan fikir sangat” kadangkala tidak memberi kesan seperti yang diharapkan. Hakikatnya, pesakit sudah berusaha sedaya upaya untuk kuat setiap hari menahan kesakitan, kesan sampingan rawatan dan kebimbangan tentang masa depan.

Apa yang lebih mereka perlukan ialah sokongan tanpa syarat. Duduklah di sisi mereka. Dengarlah jika mereka mahu bercerita. Kadangkala kehadiran yang tenang lebih menenangkan daripada nasihat yang panjang. Inilah nilai sebenar adab menziarahi pesakit kanser

yang perlu kita fahami bersama.

Hormati Masa dan Keadaan Pesakit

Elakkan ‘main terjah’ ketika mahu menziarah. Hubungi terlebih dahulu dan tanya waktu yang sesuai. Pesakit kanser mungkin mudah letih, mengalami loya atau tidak selesa dengan keadaan diri.

Dalam Islam sendiri, adab memaklumkan kehadiran sebelum berkunjung sangat dituntut. Apatah lagi jika tuan rumah sedang tidak sihat. Ziarah yang singkat tetapi penuh adab lebih baik daripada lama tetapi memenatkan pesakit. Menghormati waktu dan keadaan mereka adalah sebahagian penting daripada adab menziarahi pesakit kanser.

Dalam Soal Makan, Jangan Paksa

Kesan sampingan rawatan seperti kemoterapi boleh menyebabkan hilang selera makan. Jika mahu menggalakkan mereka makan, pujukan lembut seperti, “Jom cuba sedikit,” sudah memadai. Elakkan memaksa atau mempersoalkan kenapa mereka tidak berselera.

Menziarahi pesakit kanser bukan sekadar hadir membawa buah tangan. Ia tentang empati, adab dan kepekaan. Niat yang baik perlu disertai dengan cara yang betul.

Sebagai sebuah keluarga dan masyarakat, marilah kita belajar untuk lebih memahami. Kadangkala, diam yang penuh doa dan bantuan yang ikhlas jauh lebih bermakna daripada seribu soalan. Dengan memahami dan mengamalkan adab menziarahi pesakit kanser, kita bukan sahaja menjaga hati mereka, malah membantu meringankan beban emosi yang ditanggung setiap hari.

Sumber: Threads @kisahklinikalasiah

BACA LAGI : Nak Melawat Saudara Sakit Kanser, Ada Adabnya. Wanita Ni Yang Juga Canser Surviver Kongsikannya Untuk Jadi Panduan!