Ramai antara kita yang menjaga mak ayah yang sudah berusia atau ahli keluarga OKU tahu betapa mencabarnya urusan keluar rumah. Kadang-kadang perkara paling susah bukan rawatan atau destinasi, tetapi perjalanan untuk sampai ke sana.
Melihat keperluan harian inilah Grab Malaysia memperkenalkan GrabAssist, iaitu perkhidmatan baharu yang memberikan sokongan mobiliti dengan lebih selamat dan lebih mesra untuk Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, serta pengguna alat bantuan mobiliti peribadi.
Apa sebenarnya GrabAssist ni?
Pendek cerita, GrabAssist ialah perkhidmatan Grab yang lebih mesra OKU dan warga emas.
Ia dicipta khas untuk:
Penumpang kerusi roda
Pengguna walker atau alat mobiliti
Warga emas yang perlukan bantuan naik turun kereta
Individu dengan keperluan khas yang perlukan pemandu lebih sabar & memahami
Yang bestnya, pemandu GrabAssist bukan pemandu biasa. Mereka diberi latihan khas untuk bantu penumpang dengan cara yang betul dan selamat.
Mereka juga ada kit komunikasi dalam kereta, termasuk flip card untuk memudahkan interaksi dengan penumpang yang kurang upaya pendengaran.
Sesuai sangat untuk keluarga yang ada mak ayah atau ahli keluarga OKU
Satu perkara yang ramai penjaga faham sangat: Kadang kita bukan tak nak bawa mereka berjalan… kita cuma risau keselamatan.
Dengan GrabAssist:
Pemandu dah terlatih
Kereta dipilih mengikut keperluan
Kita boleh buat Advance Booking jadi tak perlu risau last minute tak ada ride
Senang nak plan temujanji hospital atau aktiviti harian
Perkhidmatan ini memang dibuat untuk bantu keluarga Malaysia yang selama ini terpaksa “pandai-pandai sendiri”.
Kenapa Grab buat semua ni?
Menurut Grab Malaysia, misi mereka mudah: Semua orang berhak bergerak bebas tanpa rasa terbeban, tanpa rasa menyusahkan sesiapa.
Dan bila tengok perjalanan OKU di Malaysia masih banyak halangan, Grab nak menjadi sebahagian daripada solusi.
Daripada menyediakan ratusan pemandu terlatih, hinggalah usaha memperkasa lebih 3,000 rakan pemandu OKU sejak 2018, semuanya ke arah satu tujuan: mobiliti yang lebih adil dan inklusif untuk semua.
Promosi Pelancaran RM14 Disediakan Untuk Pengguna
Sebagai permulaan, Grab menawarkan diskaun RM14 bagi setiap perjalanan GrabAssist bermula dari 3 hingga 17 Disember 2025. Pengguna hanya perlu memilih GrabAssist di aplikasi Grab, tetapkan masa pengambilan dan tekan bahagian Offers sebelum membuat tempahan.
Setakat ini hanya di Lembah Klang, Tapi Akan Berkembang..
GrabAssist baru bermula di Lembah Klang, tapi Grab dah umum akan luaskan ke bandar lain nanti. Slowly but surely sebab perkhidmatan macam ni memang patut ada sejak dulu.
Memberi Sedikit Ruang Bernafas Kepada Penjaga Keluarga
Perjalanan mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi bagi keluarga yang menjaga warga emas atau ahli keluarga OKU, ia memberi perbezaan besar. Adanya GrabAssist, perjalanan menjadi lebih mudah dan selesa, sekali gus memberi sedikit ruang bernafas kepada penjaga yang sering terpaksa memikirkan banyak perkara dalam satu masa.
Perkhidmatan ini mungkin baru bermula, namun langkah awal ini sudah menunjukkan usaha untuk menjadikan mobiliti lebih inklusif dan lebih berperikemanusiaan untuk masyarakat kita.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sebaiknya jadikan apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup ini bersama keluarga tersayang, biarlah matlamanya untuk menuju kehidupan bahagia di dunia hingga akhirat.
InsyaAllah jika ini niat kita, pasti hidup ini dilalui dengan tenang dan bahagia walau dalam apa keadaan sekali pun.
Mengambil kisah inspirasi seperti itu, ayuh kita baca perkongsian kisah penghijrahan keluarga ini, melepaskan dunia walau mampu hidip mewah untuk akhirat. Semoga terinspirasi kisah keluarga ini.
KURANG TAPI CUKUP
“Pernah tak dengar penulis akan diuji dengan tulisannya? Jadi, agaknya penulis buku Dekor Dekor Cinta, rumahnya macam mana?”
Tergelak besar satu bilik seminar.
Bukanlah maksud saya rumah saya teruk tidak didekor. Malah, ramai yang puji akan dekorasi unik yang dihasilkan di sini. Cuma, kehidupan kami lain dari orang lain.
Sebab apa?
Sebab yang terkini, rumah kami kecil. Kecilnya benar-benar sekangkang kera.
Mungkin hanya sebesar anjung kereta rumah Tuan Puan.
Mungkin juga hanya sebesar bilik tidur master Tuan Puan.
Ya, hanya sebuah unit studio berukuran 400 kaki persegi yang hanya ada satu pintu iaitu pintu ke bilik air.
Bayangkan, kami tinggal 7 beranak dalam unit ini!
“Macam mana nak jaga aurat anak lelaki dan anak perempuan?”
“Macam mana nak bersama suami isteri?”
Ramai bertanyakan hal yang sama.
Sudah pasti itu adalah hal yang paling kami utamakan. Rumah yang sejahtera ialah rumah yang mengikut sunnah Rasullullah. Tak mungkin kami ketepikan perkara sebegitu.
“Sayang tahu tak, ustaz kata, rumah Rasullullah ketika baring kakinya menyentuh dinding. Ketika berdiri, kepalanya menyentuh siling. Malamnya Rasullullah tidur dengan alas nipis di lantai kerana takut terlena sehingga tidak bangun untuk solat malam” kata suami satu pagi selepas balik dari solat Subuh di masjid.
Benar-benar lain. Kalau dulu dialah yang sibuk dengan meeting, suka mendengar lagu dan bermain alat muzik, sekarang penuh dengan kecintaan kepada amalan soleh dan semahunya mendekati para ilmuan dan ulama’.
“Abang balik lambat. Terus sampai solat Isyak. Sekarang berada di taman syurga” message suami yang sedang mengikuti kuliah maghrib.
Alhamdulillah. Itulah yang pernah diri ini angkat tangan menadah doa. Biar banyak masa kami habis dengan majlis ilmu terutamanya ilmu agama. Bukan sibuk mengejar ‘rezeki’ yang entah bila cukup dibuatnya.
Rumah ini, siangnya lain. Malamnya bertukar menjadi lain.
Jika disiang hari, rumah ini luas seperti rumah biasa. Ada ruang dapur, ruang tamu, ruang makan, ruang bermain, ruang membaca, ruang membuat kerja dan ruang menonton.
Tetapi, di malam hari, ia bertukar menjadi ruang tidur! Tiada lagi sofa, tetapi semuanya berubah menjadi katil. Meja sisi yang tadinya meja kopi, menjadi meja lampu tidur di mana baju anak ada di lacinya.
Ruang boleh dibahagikan dengan pintu sliding yang sebelumnya bertindak seperti dinding pembahagi ruang di tepi.
Paling penting, boleh dikunci!
Apabila mendongak ke siling, ada tangga-tangga yang membolehkan anak-anak panjat ke bilik tidur masing-masing.
Loteng anak lelaki dan loteng anak perempuan.
Setiap seorang ada tempat tidurnya. Dan setiap sudut berfungsi sepenuhnya siang dan malam tanpa ada yang terbiar atau tidak terusik.
“Ini rumah orang rajin!” kata ibu saya. Apa tidaknya, mahu mengubah perlukan kudrat yang kuat. Perlukan rajin yang amat.
“Ayah rasa kalau orang tahu ni, mahu kau anak beranak masuk suratkhabar” tak habis-habis ayah dengan idea masuk suratkhabarnya.
Kata ayah, kami duduk di Malaysia tapi cara hidup sudah macam orang yang duduk di Hong Kong atau di Jepun dibuatnya.
Ada banyak sebab kenapa kami bertukar kepada kehidupan sekecil ini. Itupun tidak disengajakan. Pastinya semua orang mahukan rumah yang luas. Siapa yang mahu berlelah setiap hari untuk transform rumah malam lain, siang lain?
Tapi saya percaya, Allah letakkan kami pada situasi sekarang ini agar kami memandang banyak perkara. Allah sedang membentuk kami untuk menjadi orang yang paling bersyukur, kreatif, inovatif, rajin dan mengharapkan sesuatu dariNya.
Paling pasti, Allah swt merancang semuanya untuk kami redha dan belajar untuk melepaskan banyak hal di dunia.
Bayangkan dari tinggal di rumah yang besar, kemudian semakin mengecil, mengecil, dan terus mengecil!
7 beranak, hanya 1 almari.
Kau mampu?
Inilah perkara yang sangat sukar dilakukan.
Kami terpaksa melepaskan banyak perkara yang sebelum ini kami anggap penting.
Setelah pelbagai ujian hidup, Allah bagi kami kemanisan melepaskan banyak perkara.
Mana mungkin kita menjadi mampu jika tidak kita berada dalam kesulitan.
Mana mungkin kita menjadi mahu jika kita tidak berada dalam kesempitan.
Senang dan susah,
Lapang dan sempit,
Kaya dan miskin,
Bahagia dan derita,
Sihat dan sakit,
Itu semua bukan ukuran kebahagiaan di dunia. Tetapi itu semua asbab kita makin dekat atau makin jauh dengan sang pencipta.
Allah lebih tahu saat bila kita akan tunduk padaNya.
Kalau dulu kami alpa, kini sebelum Subuh sudah berjaga.
Kalau dulu kami sibuk, kini setiap majlis kami mahu turut meraikan bersama.
Kecil atau besar, bukan ukuran.
Andai hari ini kita terpaksa tinggal di bawah jambatan, teruskanlah kehidupan.
Dekorlah bawah jambatan itu dengan keselesaan yang mampu engkau usahakan.
Satu doaku, moga kau dan aku berjiran di syurga dengan rumah yang paling elok dan kegembiraan yang nyata.
Hidup dengan berani melepaskan barang kesayangan dengan bersedekah dan diagihkan, pasti akan membuatkan kita berasa seolah-olah menjadi sangat ringan berjalan di atas muka bumi! Tiada beban mengikut. Tiada gundah terasa.
Allahuakbar.
“Sayang, abang bayangkan kita sekeluarga mengembara satu dunia dengan caravan” kata suami banyak kali.
Hari demi hari juga dia sibuk make over sebuah van lama untuk menjadi van kembaranya.
Kalau dulu dia seorang yang sibuk mengejar kekayaan dunia, tetapi kini dia mengajak kami untuk membina kehidupan di akhirat sana.
Jika Mommy Daddy Decor bijak make over rumah orang di dunia, doakan kami juga bijak make over rumah kami di alam sana.
“Tak apalah abang. Jika kita tidak hidup mewah di dunia, Insya-Allah, akan tersiap mahligai buat kita di sana”
Mommy, pujuklah hati.
Tapi kalau ada yang ikhlas memberi, pastilah ia perlu dirai
InsyaAllah, tahun depan kami akan berpindah kali ke-10. Kehidupan jenis apakah pula?
Allah lebih mengetahui
Selamat Tahun Baru Hijrah semua!!!
Saya doakan semua yang baca post saya ini akan dilimpahi dengan ilham, kasih sayang, ukhuwah, rezeki dan barakah yang baru
Mommy Dekor
Khairunnisa Hamzah
Senibina kehidupan di rumah
Penulis buku Dekor Dekor Cinta
Sarat hamil anak kedua, pelakon Anzalna Nasir memilih untuk menjaga anaknya, Mohamad Eidrees.sendiri dan tidak akan mengambil pengasuh.
Melihatkan kes penderaan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi membuatkan dia bimbang dan lebih selesa menjaga anaknya sendiri.
“Ini adalah pilihan saya sendiri. Suami ada mencadangkan untuk mengambil pengasuh untuk membantu menjaga Eidrees kerana keadaan saya yang berbadan dua.
Namun susah nak percaya orang dan saya tidak akan sesekali tinggalkan anak di bawah jagaan orang lain selain keluarga sendiri. Biarlah saya berkorban. Saya anggap ini rezeki kerana dapat menjaga dan membesarkan anak sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Anzalna mengakui bukan mudah untuk menjaga anak ketika sedang sarat hamil. Malah, anaknya itu juga semakin inginkan perhatian apabila bakal mendapat adik.
“Memang mencabar. Bila nak dapat adik ini, perangai dia lain sedikit. Semakin inginkan perhatian. Oleh sebab itu, antara saya dan suami, dua-dua kena ada untuk dia. Sebab itu saya lebih senang jaga sendiri. Seronok dapat tengok dia membesar depan mata,” katanya.
Anzalna sebelum ini memaklumkan dirinya hamil anak kedua. Dalam perkongsian di Instagram itu, pelakon tersebut mengesahkan, kandungannya sudah berusia lapan bulan.
Sebenarnya, tidak semua kotoran yang melekat pada barangan rumah hanya boleh ditanggalkan dengan menggunakan pencuci yang mahal.
Sebaliknya, ada saja bahan yang mudah dan murah yang boleh berbuat demikian. Jom belajar cara mudah untuk melakukan pembersihan tanpa mengeluarkan belanja yang mahal!
Cuka gebukan tuala
Jika tuala anda mula bau hapak atau pun tidak lagi gebu seperti mula-mula anda membelinya, rendamkan tuala anda dalam air bersama cuka. Ia akan kembali pulih seperti baru dan tiada lagi bau yang kurang menyenangkan.
Hilangkan kesan pada meja
Tidak perlu membeli meja yang baru untuk menggantikan meja yang sudah ada corak baru akibat kesan cawan yang melekat pada meja. Anda hanya perlu menggunakan campuran minyak zaitun dan garam untuk menghilangkan kesan tersebut. Ia akan kembali bersih seperti meja kopi yang baru.
Bersihkan ketuhar gelombang mikro
Panaskan air dan jus lemon atau cuka selama 5 minit dan biarkan ia sejuk seketika. Kemudian lapkan ketuhar gelombang mikro dengan menggunakan campuran tersebut. Memang kotoran yang melekat di dinding ketuhar akan hilang dengan mudah.
Gosok besi karat dengan ubat gigi
Jika anda ada besi berkarat atau pun kotoran karat melekat pada barangan anda, gunakan ubat gigi kerana floridanya mampu menghilangkan kotoran tersebut. Anda boleh gunakan kain buruk atau berus gigi untuk membersihkannya. Memang mudah.
Minyak bayi untuk kotoran berminyak
Letakkan semburan kimia dan keluarkan kain buruk dan minyak bayi untuk membersihkan kotoran yang berminyak. Bukan hanya mampu membersihkan, malah dapat membuatkan barang anda Nampak bersinar.
Bersihkan kotoran di permaidani
Letakkan kain lembab pada kotoran tersebut dan tekankan seterika dengan suhu yang tinggi. Cara stim ini akan menghilangkan kotoran tersebut. Mudah saja kan.
Atau boleh cuba tip ini. Taburkan soda penaik dantepung jagung di atas permukaan permaidani dan biarkan ia selama 15 minit. Setelah itu, vakum seperti biasa. Kaedah ini dapat membantu anda membuang kotoran dan menghapuskan bau yang tidak menyenangkan di rumah.
Menghilangkan kesan karat di bilik mandi
Anda boleh menghilangkan karat di jubin seramik di dalam bilik mandi dengan menggunakan campuran cuka dan serbuk penaik. Tuangkan campuran ke tempat yang terjejas dan biarkan larutan selama beberapa minit. Bilas dengan air dan lap jubin dengan kain kering.
Lantai bersinar
Kaedah yang sesuai untuk membersihkan lantai dari material kayi adalah dengan campuran cuka dengan air. Campuran ini dapat membuatkan lantai anda kelihatan bersinar. Hanya campurkan 1/4 cawan cuka ke dalam 1 liter air dan anda boleh menggunakannya sebagai pencuci lantai. Jika lantai anda dari material jubin, gunakan air yang mendidih untuk membersihkannya.
Menghilangkan bau busuk
Untuk menghilangkan bau di dalam peti sejuk anda, gunakan campuran jus lemon dan air untuk mencuci peti sejuk anda. Anda boleh menambah soda penaik pada campuran tersebut. Ini akan memudahkan proses menghilangkan kotoran.
Bersihkan pintu bilik mandi dan dinding jubin
Salah satu cara untuk menghilangkan kesan air dan cendawan dari jubin dan pintu kaca adalah dengan menggunakan soda penaik atau lemon. Celupkan berus gigi basah ke dalam soda penaik dan gosok grout jubin sehingga bersih. Apabila anda sudah selesai, basuh jubin dengan air bersih. Untuk seminggu sekali, gosok permukaan jubin dan pintu kaca dengan separuh lemon dan biarkan selama10-15 minit, bilas dengan air dan lap sehingga kering.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di