
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menitipkan pesanan penuh makna agar orang ramai tidak terus memanjangkan perselisihan membabitkan menantu tirinya, pelakon Izara Aishah dan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin mengingatkan bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Ada kalanya, emosi mengatasi pertimbangan sehingga mencetuskan salah faham dalam hubungan.
Menurut pelantun lagu Anta Permana itu, meminta maaf dan memaafkan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya memerlukan keberanian serta kebesaran hati.
“Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati,” katanya.
Siti Nurhaliza Pesan Jangan Ungkit Perselisihan Yang Sudah Selesai
Dalam hantaran sama, Siti turut memetik firman Allah SWT menerusi Surah al-Hujurat, ayat 10 yang menyeru umat Islam supaya mendamaikan saudara seagama yang berselisih faham.

Beliau juga mengingatkan bahawa Islam tidak mengajar umatnya mencari siapa yang menang atau kalah dalam sesuatu perselisihan, sebaliknya mengutamakan perdamaian serta menjaga hubungan silaturahim.
“Apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.
“Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” ujarnya.
Siti turut berharap orang ramai menjaga tutur kata dan tidak terus mengeruhkan keadaan apabila pihak yang terlibat sudah mengambil langkah untuk bermaafan.
“Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya.
“Kerana akhirnya, menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada memenangkan sebuah perselisihan,” katanya.
Pesanan yang disampaikan itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terus membuat andaian atau mengungkit perkara yang sudah diselesaikan oleh pihak terlibat, lebih-lebih lagi apabila sesuatu perselisihan mendapat perhatian meluas di media sosial.

Izara Aishah dan Lesti Kejora Saling Mohon Maaf
Terdahulu, isu berkenaan tercetus selepas Izara, yang merupakan isteri kepada Muhammad Adib Khalid, anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K), meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan individu daripada pasukan Lesti ketika Konsert Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Walaupun hantaran di Threads itu telah dipadam, tangkap layar kenyataan berkenaan tersebar sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat Malaysia dan Indonesia.
Suami Lesti, Rizky Billar kemudian tampil memberi penjelasan, termasuk mendakwa seorang petugas keselamatan telah menegur anak mereka dengan kasar ketika sesi bergambar bersama Siti.
Susulan itu, Izara tampil memohon maaf secara terbuka kepada Lesti pada Isnin, selain mengakui tindakannya menegur secara terbuka mungkin telah mengguris perasaan penyanyi berkenaan.
Izara turut menjelaskan bahawa dia memadam hantaran terdahulu selepas menyedari kenyataannya mengundang pelbagai salah faham dan mengaitkan pihak lain yang tidak terlibat.
Sementara itu, Lesti turut memohon maaf atas salah faham yang berlaku serta berharap hubungan baiknya dengan Izara, Siti dan seluruh keluarga terus terpelihara.
Permohonan maaf daripada kedua-dua pihak itu sekali gus memperlihatkan usaha untuk menyelesaikan salah faham yang sebelum ini menjadi perhatian ramai, khususnya dalam kalangan peminat kedua-dua negara.

Pesanan Siti Nurhaliza Jadi Peringatan Tentang Silaturahim
Di sebalik isu yang mendapat perhatian di media sosial, pesanan Siti Nurhaliza turut membawa mesej tentang kepentingan menjaga hubungan baik selepas sesuatu perselisihan berjaya diselesaikan.
Dalam keadaan orang ramai mudah memberikan pandangan dan memilih pihak, kata-kata yang dititipkan penyanyi tersohor itu mengingatkan bahawa perdamaian seharusnya diraikan, bukannya dijadikan alasan untuk terus memanjangkan pertikaian.
Apatah lagi apabila pihak yang terlibat sendiri sudah saling memohon maaf dan menyatakan hasrat untuk mengekalkan hubungan baik seperti sebelumnya.
Pesanan Siti ini menjadi peringatan buat kita semua bahawa dalam menjaga hubungan kekeluargaan dan persahabatan, tidak semua perselisihan perlu berakhir dengan kemenangan. Ada kalanya, memilih untuk memaafkan dan berdamai jauh lebih bermakna daripada terus mempertahankan ego.
Sumber: IG Story Siti Nurhaliza, mStar (19 dan 20 Oktober 2026)
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

