
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkongsi berita gembira apabila mengumumkan pertunangannya dengan penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah hari ini.
Perkongsian tersebut dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya dengan kapsyen ringkas namun penuh makna, “I asked, she said yes,” yang sekali gus mengesahkan hubungan mereka kini memasuki fasa lebih serius.
Menurut Syed Saddiq, detik pertunangan itu bukanlah pengakhiran kepada perjalanan cinta mereka, sebaliknya menjadi titik permulaan baharu dalam kehidupan bersama.
“Ini bukan pengakhiran cerita, ini permulaan kita. Hari ini majlis pertunangan kami, doakan,” tulisnya.
Lebih menarik, hubungan pasangan itu bermula daripada sebuah kerjasama biasa yang akhirnya berjaya meraih lebih RM6 juta untuk rakyat. Tanpa disedari, usaha kebajikan tersebut turut menyatukan dua hati yang sebelum ini sekadar rakan profesional.
Dalam masa sama, Syed Saddiq turut menzahirkan rasa syukur dengan menyifatkan segala yang berlaku sebagai aturan terbaik daripada Allah SWT.
“Allah SWT sebaik-baik perancang,” katanya.
Tambahnya lagi, momen lamaran dilakukan dalam suasana yang cukup luar biasa apabila beliau memilih untuk melamar Bella Astillah di puncak Gunung Kinabalu ketika hujan lebat, sekali gus menjadikan detik tersebut sebagai kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.
Perkongsian berkenaan segera meraih perhatian ramai dengan rata-rata pengikut serta rakan selebriti tampil mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiaan pasangan itu.
Untuk rekod, hubungan Syed Saddiq dan Bella Astillah sebelum ini sering menjadi perhatian umum, namun kedua-duanya dilihat memilih untuk lebih berahsia sebelum berkongsi khabar gembira tersebut kepada umum.
Bella Astillah sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Singapura, Alif Aziz sebelum bercerai pada Jun 2024. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata yang kini masing-masing berusia 9 dan 6 tahun.