Kita selalu melihat kempen promosi kesihatan yang menggalakkan pemakanan tinggi serat. Memang tidak dinafikan serat atau fiber adalah bahan yang amat penting kepada kesihatan.
Banyak makanan yang dijual sebagai makanan kesihatan sekarang melabelkan makanan itu sebagai tinggi serat. Kita selalunya agak keliru mengenai fakta ini kerana pemahaman kita perihal kelebihan serat kepada kesihatan masih terbatas.
Sebenarnya, terdapat banyak kajian menunjukkan kelebihan pengambilan serat secukupnya setiap hari mampu mencegah pelbagai penyakit kronik.
Serat sebenarnya adalah bahan karbohidrat iaitu selulos yang terdapat dalam tumbuhan yang biasanya tidak boleh dihadam oleh sistem penghadaman dan akan dikeluarkan semula di dalam najis kita.
Ia terbahagi kepada jenis boleh larut dan tak boleh larut. Serat yang tidak larut boleh kita lihat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan dan jenis serat boleh larut adalah seperti pektin, inulin dan beta glukan.
Makanan yang tinggi serat adalah seperti beras perang, tepung gandum serat penuh (wholegrain), oat, kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Kajian mencadangkan pengambilan serat sekurang-kurangnya 30 hingga 32 gram setiap hari cukup untuk memberikan faedah kesihatan dengan mengurangan risiko penyakit seperti diabetes jenis 2, sakit jantung koronari, darah tinggi, strok dan kanser.
Kajian menunjukkan pengambilan serat yang cukup membantu mengawal paras kolesterol, menurunkan tekanan darah tinggi, mengawal paras glukosa darah, meningkatkan sensitiviti insulin kepada sel tubuh dan mengurangkan masalah keradangan mikro yang menyebabkan masalah pengerasan saluran darah atau atherosklerosis.
Kajian menunjukkan pengambilan serat yang tinggi membantu melawaskan pembuangan air besar dan mencegah masalah sembelit. Ini kerana serat meningkatkan kadar pergerakan usus dan melancarkan sistem penghadaman makanan dalam usus.
Kajian juga menunjukkan pengambilan serat yang tinggi mencegah penyakit buasir dan kanser usus yang berpunca daripada masalah sembelit kronik.
Pengambilan serat yang tinggi dalam pemakanan juga membantu mengawal berat badan selain mengurangkan obesiti. Kajian menunjukkan makanan karbohidrat berserat tinggi juga mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah dan akan membantu mengawal paras glukosa darah dengan lebih baik di samping mengurangkan kolesterol yang tinggi.
Dalam satu kajian meta analisis di Eropah dan Amerika Utara membabitkan sejuta peserta menunjukkan penurunan risiko kematian akibat penyakit kronik sebanyak 10 peratus dengan setiap peningkatan 10gram serat setiap hari.
Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan pada 2013 melaporkan setiap tujuh gram lebihan serat yang dimakan setiap hari akan menurunkan risiko penyakit strok sebanyak tujuh peratus. Jumlah tujuh gram serat ini adalah seperti pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan sebanyak dua hidangan tambahan setiap hari.
Satu lagi kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan 2014 pula menunjukkan pengambilan tambahan 10 gram serat boleh larut berkaitan dengan pengurangan risiko 15 peratus kematian akibat penyakit kronik secara umum.
Kajian juga menunjukkan seseorang yang mengambil serat paling tinggi mengurangkan risiko 25 peratus kematian akibat penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser dan strok untuk 10 tahun mendatang berbanding dengan seseorang yang sangat kurang mengambil serat dalam pemakanan seharian mereka.
Serat juga penting untuk kesihatan kerana ia menjadi makanan utama kepada bakteria baik atau probiotik dalam usus kita.
Kuman baik probiotik membantu meningkatkan imuniti atau sistem pertahanan antibodi tubuh kita. Oleh itu, secara tidak langsung serat membantu dalam mengekalkan tahap imuniti tubuh yang terbaik.
Kadar pengambilan serat sebanyak 30 gram sehari cukup untuk membekalkan makanan kepada bakteria baik dalam usus dan membantu perkembangan baik bakteria di dalam usus kita.
Masyarakat kita sekarang amat rendah pengambilan serat dalam pemakanan seharian kerana pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang amat rendah.
Kita selalu lebihkan pemakanan karbohidrat rendah serat seperti nasi putih, roti putih dan makanan proses berasaskan tepung gandum putih yang amat rendah seratnya.
Kajian Universiti Harvard menunjukkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang cukup dalam hidangan kita adalah sebanyak 50 peratus daripada jumlah makanan dalam pinggan setiap hidangan yang kita makan setiap hari.
Kita perlu banyak mengambil makanan yang tinggi serat setiap hari dengan cara makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran di samping pengambilan makanan tinggi serat seperti beras perang, roti gandum berserat penuh, oat dan sebagainya.
Makanan tinggi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran juga mengandungi pelbagai khasiat lain seperti vitamin, mineral, antioksidan dan enzim yang amat baik untuk kesihatan.
Terdapat beribu kajian menunjukkan kelebihan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran mengekalkan kesihatan dengan lebih baik dan mencegah pelbagai penyakit kronik dan di antara punca utama kelebihan ini adalah kerana kandungan seratnya yang sangat tinggi.
Kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad