
Anak jatuh katil hingga tidak sedarkan diri pastinya menjadi detik paling mencemaskan buat mana-mana ibu bapa. Itulah pengalaman sukar dilupakan yang dilalui pasangan pempengaruh terkenal, Ryzal Ibrahim dan Maryam You Narae apabila anak kedua mereka, Rian, terlibat dalam insiden yang cukup merisaukan.
Detik cemas melihat anak kecil tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil pastinya menjadi pengalaman yang sukar dilupakan buat mana-mana ibu bapa.
Susulan kejadian yang berlaku semalam, Maryam tampil berkongsi perkembangan terkini keadaan anaknya menerusi satu hantaran di media sosial. Dalam perkongsian tersebut, Maryam menzahirkan rasa syukur apabila Rian kini berada dalam keadaan baik selepas melalui tempoh pemerhatian selama 48 jam seperti yang dinasihatkan doktor.
Terdahulu, Ryzal menerusi hantaran di Facebook berkongsi detik mencemaskan apabila Rian menangis kuat sejurus selepas terjatuh dari katil, sebelum tiba-tiba mendiamkan diri dan menutup mata seolah-olah sedang tidur.
“Gugur jantung kami melihat anak sendiri tidak sedarkan diri selepas jatuh katil,” kongsi Ryzal.
Menurut Ryzal, melihat keadaan Rian yang langsung tidak memberi sebarang respons, dia dan Maryam segera membawa anak mereka ke bahagian kecemasan sebuah hospital.
Sepanjang perjalanan ke hospital, pasangan itu berusaha memastikan Rian tidak terus terlena. Namun keadaan anak kecil itu yang tidak memberi tindak balas membuatkan mereka semakin panik, apatah lagi apabila Maryam berulang kali memanggil nama anaknya.
“Saya dan Maryam berusaha tak nak bagi Rian lelap sepanjang jalan ke emergency tapi badan dia langsung tiada respon, matanya tertutup walaupun Maryam jerit nama dia sekuat-kuatnya!
“Ya Allah sakitnya melihat isteri jerit nama anak yang kami besarkan kaku, sungguh tiada kata dapat digambarkan,” tulisnya.
Bagaimanapun, Ryzal meluahkan rasa syukur apabila Rian mula membuka mata sebaik sahaja mereka tiba di pintu hospital. Mereka kemudian meminta doktor melakukan pemeriksaan lanjut termasuk imbasan CT bagi memastikan keadaan Rian benar-benar selamat.
Dalam situasi anak jatuh katil, ibu bapa pastinya sukar bertenang apabila melihat anak tiba-tiba tidak memberi respons. Ketakutan itu bukan sahaja datang daripada kejadian jatuh, tetapi juga kebimbangan terhadap kemungkinan kecederaan dalaman yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Menerusi perkongsian terbaharu, Maryam memaklumkan bahawa selepas pemeriksaan dilakukan, doktor menasihatkan agar Rian dipantau dengan rapi selama kira-kira 48 jam sebagai langkah berjaga-jaga.
“Alhamdulillah, tempoh pemerhatian selama 48 jam kini telah berlalu dan Rian berada dalam keadaan baik,” kongsinya.
Lebih melegakan, Maryam berkata Rian kini makan seperti biasa, tidur dengan baik, tersenyum, bermain, mengenali ahli keluarga dan kembali berkelakuan seperti dirinya yang biasa.
Sepanjang tempoh pemerhatian itu juga, tiada sebarang simptom luar biasa dikesan. Perkembangan tersebut membuatkan Maryam dan keluarga sangat bersyukur, apatah lagi selepas melalui detik yang cukup mencemaskan sebagai ibu bapa.
Maryam turut mengakui pengalaman itu mengingatkannya bahawa kemalangan tidak dijangka boleh berlaku dalam sekelip mata, biarpun ibu bapa sudah cuba melakukan yang terbaik untuk menjaga keselamatan anak-anak.
Katanya, kejadian tersebut juga membuatkan mereka sekeluarga lebih berhati-hati dan lebih peka terhadap aspek keselamatan selepas ini.
Insiden anak jatuh katil seperti yang berlaku kepada Rian menjadi peringatan bahawa anak kecil memerlukan perhatian berterusan, terutama ketika berada di tempat tinggi seperti katil, sofa atau kerusi.
Walaupun hanya berlaku dalam sekelip mata, kesannya boleh membuatkan ibu bapa trauma dan bimbang. Justeru, pengalaman ini membuka mata ramai bahawa langkah berjaga-jaga di rumah tetap penting, walaupun anak kelihatan berada dalam keadaan selamat.
Dalam hantaran sama, Maryam tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan, mengambil berat, memberi nasihat serta kata-kata semangat buat mereka sekeluarga.
Menurut Maryam, setiap mesej yang diterima memberi ketenangan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada seluruh keluarga.
“Please don’t worry too much. Alhamdulillah, Rian is healthy, happy, and doing well,” tulis Maryam.
BACA LAGI : Anak Jatuh Terlentang Bahaya, Periksa Tanda Bahaya Ni!
Sumber : Instagram maryamyunrr