
Sudah tiba masanya ibu bapa berhadapan dengan detik melepaskan anak yang mula berpindah dari rumah ke alam universiti.
Walaupun sukar untuk berjauhan, ibu bapa tetap perlu memberikan sokongan emosi dan dorongan yang sewajarnya agar anak lebih bersedia menjalani fasa baharu dalam kehidupan.
Menurut laman American Psychological Association (APA), kemasukan ke kolej atau universiti merupakan satu fasa perubahan besar bukan sahaja untuk pelajar, malah turut melibatkan ibu bapa dan penjaga.
Apabila ibu bapa tidak lagi berada di sisi setiap masa, anak-anak akan mula belajar untuk hidup dengan lebih berdikari.
Tempoh berada di kampus juga menjadi peluang terbaik untuk mereka mengenali diri sendiri, belajar membuat keputusan dan mengurus keperluan harian tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.
Walaupun suasana baharu ini membawa banyak pengalaman positif, proses menyesuaikan diri tetap memerlukan masa, baik bagi anak mahupun ibu bapa.
Antara persediaan emosi yang boleh dilakukan oleh ibu bapa sebelum melepaskan anak ke universiti adalah seperti berikut:
1. Akui rasa takut dan rindu anak
Rasa rindu apabila berjauhan dengan anak adalah perkara biasa yang dilalui oleh kebanyakan ibu bapa.
Begitu juga dengan anak. Jangan menganggap rasa homesick sebagai tanda mereka manja atau tidak mampu berdikari.
Sebaliknya, berikan ruang kepada anak untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sambil terus memberikan sokongan apabila diperlukan.
2. Beri ruang untuk anak berdikari
Apabila anak mula tinggal jauh, ibu bapa perlu belajar memberikan sedikit ruang dan mengelakkan diri daripada terlalu mengawal setiap perkara.
Biarkan anak belajar mengurus masa, kewangan, makan minum dan rutin harian berdasarkan situasi yang mereka hadapi.
Pengalaman ini penting untuk membantu mereka menjadi lebih matang dan bertanggungjawab.

3. Jadi pendengar, bukan terus memberi ceramah
Dalam fasa anak mula berjauhan dan berdepan kehidupan sendiri, ibu bapa perlu bersedia menjadi tempat mereka kembali berkongsi rasa.
Apabila anak mengadu penat, tertekan atau berasa sukar menyesuaikan diri, dengarkan dahulu apa yang mereka mahu sampaikan.
Kadang-kadang anak tidak memerlukan nasihat panjang. Mereka hanya mahu didengari dan diyakinkan bahawa ibu bapa sentiasa ada untuk mereka.
4. Bincang soal kewangan
Soal kewangan sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian, lebih-lebih lagi apabila anak mula melanjutkan pelajaran ke universiti.
Kos makan, pengangkutan, bahan pembelajaran dan keperluan harian perlu diurus dengan baik.
Ibu bapa boleh membantu dengan memberikan pendedahan awal mengenai pengurusan kewangan, termasuk cara membuat bajet serta membezakan antara keperluan dan kehendak.
Anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti sudah tentu menjadi kebanggaan buat ibu bapa.
Namun selain menyediakan keperluan fizikal dan kewangan, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membantu anak bersedia dari segi emosi.
Kepercayaan dan sokongan daripada keluarga amat penting agar anak berasa lebih yakin meneruskan perjalanan mereka, mengejar impian dan membina masa depan sendiri.
BACA LAGI: Anak Aziz M. Osman Masuk Universiti Pada Usia 15 Tahun, Ara Aziz Mahu Jadi Pakar Bedah Otak
Sumber: American Psychological Association
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




