Cukup sempoi dan happy go lucky, itulah antara persamaan yang ada pada penyanyi Ezad Lazim dan isterinya, Zeana Ramli.
Mereka juga senada dan seiring baik dalam hal kerjaya mahupun rumah tangga. Pasangan sama sepadan kini cukup bahagia ditambah dengan kehadiran sepasang anak comel sebagai penyeri rumah tangga.
Cukup berterima kasih dan bersyukur dikurniakan isteri yang memahami, akui pemilik nama sebenar, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, dia beruntung kerana isterinya juga bertanggungjawab sebagai pengurus peribadi.
Pengorbanan isteri tidak terbalas
“Dialah isteri dan dia juga pengurus saya. dia bijak urus masa dan kerjaya begitu juga saya. saya beruntung kerana adanya dia. Memang ada kala saya kasihan melihat dia kepenatan urus saya dan rumah tangga, tetapi dia tidak mengeluh.
“Sebagai suami saya bantu mana yang patut. Yang pastinya dia banyak buat tetapi saya cuba bantu mana yang boleh. Pengorbannya tidak terbalas. Alhamdulillah rezeki kami sekeluarga juga sentiasa ada dan tak putus sehingga kini.
“Ini semua berkat doa dan usaha isteri yang banyak membantu. Pada saya, populariti bukan perkara utama buat saya sekarang. Yang penting diberikan kesihatan yang baik dan dapat menampung kehidupan sekeluarga serta menghasilkan karya buat peminat seni.
“Untuk semua bakal dan mereka yang bergelar suami, segala kesilapan boleh diperbaiki dan dijadikan pengajaran. Mudah-mudahan kita jadi lebih matang dan lebih baik daripada sebelum ini. Sebab tu sebagai suami termasuklah diri saya sendiri, kena hargai orang tersayang disekeliling terutama isteri dan anak-anak.
Urus masa secara bijak
Jelas bapa kepada Puteri Rania Keisha dan Putera Muhammad Darwish, tak ada masalah untuk membahagikan masa dengan anak-anak kerana dia dan isteri sama-sama menguruskan mereka sendiri.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana urusan kami sekeluarga sentiasa dipermudahkan. nak kata tak ada masa tetapi sebenarnya sentiasa ada kerana kita sendiri yang kena urus secara bijak.
“Isteri seorang yang tahu bagaimana untuk bahagi masa antara kerjaya saya, sebagai ibu dan isteri serta dan masa yang sama bisnesnya. Tetapi kami selalu doa dan harap Allah permudahkan segalanya,” ulasnya lagi dengan panjang lebar.
Ads
Cabaran ibu bapa generasi sekarang
Isu gajet dan media sosial seperti tiktok dan sebagainya memang satu cabaran untuk ibu bapa generasi sekarang. Bagi Ezad, perkara tersebut turut dialami olehnya dan isteri.
“Zaman sekarang tak sama dengan kita dahulu, begitu juga cara pemikiran dan pengurusan anak-anak sekarang pun tak sama. Jadi cukup mencabar dalam mendidik anak-anak, tetapi kami berdua memang had kan.
“Nak kata tak bagi pun tak boleh juga sebab kami sebagai ibu bapa pun menggunakan medium tersebut terutama untuk tujuan bisnes dan kerjaya.
“Tetapi kami akan terangkan dengan baik kepada anak-anak supaya mereka faham kenapa saya dan ibunya menghadkan penggunaan medium tersebut.
Isteri garang suami simple
Tambah pelantun lagu Demi Cinta ini lagi, isterinya banyak ajar anak-anak berdikari manakala dia pula berbeza kerana sejak dahulu jenis yang simple.
Ads
“Soal garang memang Zeana lagi garang, tegas dengan anak-anak. Mereka banyak meminta dengan saya kerana ikut apa jua kemahuan anak-anak. Walaupun penat saya tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah, pada saya bahagiakan anak-anak dan isteri adalah terapi dalam rumahtangga.
“Lagipun ini pengalaman sebagai ibu bapa sementelah kami berdua berkahwin dalam usia agak lewat dan membesarkan anak-anak sendiri jadi itu tidak menjadi masalah. Anak-anak jua punca rezeki dan penguat kasih sayang antara kami suami isteri.
Ayah kurang peka berbanding ibu
Mengulas mengenai sambutan Hari Bapa yang tidak ‘semeriah’ Hari ibu, akui Ezad lagi, semuanya bergantung cara sesebuah keluarga itu meraikannya.
“Soal sambutan hari bapa ni bukan nak kata tak meriah tetapi sebab orang lelaki khususnya kaum ayah ni yang memainkan peranan. Benda-benda begini mereka kurang peka berbanding kaum ibu. Malah ada yang tak ingat hari-hari istimewa baik hari lahi mahupun ulangtahun.
“Biasanya kaum Wanita yang selalu ingat tarikh istimewa, bukan nak kata kaum ibu jenis beria tetapi bab begini mereka memang alert dan partikular bab-bab begini. Tetapi tak bermakna ayah tak nak tunjukkan kasih sayang lebih cuma mungkin mereka jenis pelupa,” kongsi Ezad lagi.
Ads
Anak lebih rapat & selesa dengan ayah
Akui suami kesayangan Zeana ini lagi, tanggungjawab ayah dan suami sangat besar terutama dalam hal mencari rezeki. Tetapi tak bermakna anak-anak tak rapat dengannya.
“Cuma ibu lebih rapat kerana daripada awal lagi sentuhan pertama anak-anak adalah daripada ibu baik mengandung hingga melahirkan.
“Dalam hal saya sendiri misalnya, anak-anak lebih rapat dan selesa dengan saya. Tak marah-mara, itulah cara saya dengan anak-anak. Kalau ikutkan saya bukan jenis membeli barangan tetapi daraipada segi percakapan dan pergaulan saya layan mereka seperti kawan-kawan.
“Adakala isteri bengang atau marah kononnya saya tak ambil berat dengan anak, padahal saya lebih suka pendekatan ‘cool’. Bila anak-anak selesa jadi mereka lebih telus dan mudah nak berkongsi atau mengadu jika ada masalah. Tetapi kena ada juga peranan ibu cuma cara dipraktikkan ibu dan ayah berbeza. Tetapi yang penting tujuannya sama iaitu mahukan anak-anak membanggakan kami kelak,” ungkap Ezad sebelum menutup perbualan bersama penulis.
Bermain adalah aktiviti yang penting untuk kehidupan kanak-kanak. Kandang kala si kecil menanggap ia lebih penting daripada tidur dan makan. Baginya bermain adalah sesuatu aktiviti yang menyeronokkan! Namun sebenarnya, permainan adalah suatu bentuk ‘pekerjaan’ untuk kanak-kanak membesar . Cuba perhatikan si kecil bermain, anda akan faham kenapa bermain itu dikatakan penting bagi diri kanak-kanak. Jom kita lihat bagaimana bermain itu penting bagi kanak-kanak.
Jenis permainan
Aktif, Permainan Fizikal
Kanak-kanak sepatutnya menjadi seorang yang aktif dan cergas Oleh itu mereka akan melakukan aktiviti bermain seperti bermain buaian, berpusing, berlari dan berguling. Kanak-kanak memerlukan banyak ruang untuk bermain bola dan suka menari dengan muzik yang menghiburkan!
Dramatik, Permainan Imaginatif
Jenis permainan ini adalah permainan olok-olok di mana kanak-kanak boleh melakonkan watak imaginasi mereka. ‘Saya mahu menjadi seorang puteri’, ‘jom kita pergi untuk bulan’ , ‘jom kita pakai pakaian yang cantik macam Cinderella dan ‘saya mahu menjadi satu ahli bomba’. Kanak-kanak boleh berimaginasi untuk menjadi seseorang artis terkenal, kereta mewah, atau juga sebiji pisang!
Kreatif, Permainan Ekspresif
Kanak-kanak bebas untuk mencipta apa sahaja yang bermain di mindanya. Ia seperti gambar-gambar, rekaan-rekaan dan apa sahaja idea ciptaan untuk kanak-kanak itu lakukan. Ia termasuk melukis, memotong, menjahit, melukis, membina, memintal, dan menulis.
Permainan Sosial
Anak-anak yang masih kecil suka bermain seorang diri, tetapi setelah usianya sekitar 3 tahun, dia akan mula bermain dengan kanak-kanak lain. Ia mungkin melibatkan dua orang kanak-kanak atau lebih untuk bermain bersama-sama. Sebenarnya permainan sosial ini adalah kaitan dengan interaksi dengan kanak-kanak lain. Aktiviti permainan sosial melibatkan permainan-permainan berkumpulan, bercakap antara satu sama lain dan bermain pondok-pondok.
Permainan mental
Permainan mental ialah aktiviti penjelajahan dan penemuan. Perkataan, nombor, sentuhan, rasa dan melihat adalah salah satu aktiviti permainan mental. Misalnya kanak-kanak akan menggunakan mindanya untuk mengingati permainan kad imbasan. Kanak-kanak boleh membaca dan mengira. Jadi mereka akan mula mengira anak tangga rumah, rama-rama dan duit syiling. Ia menyeronokkan kerana sesuatu yang baru baginya. Bahkan tidak mustahil apabila ke zoo, dia akan mengira bunga, menyebut warna belon yang dilihatnya di sana.
Info
Permainan bukan saja membantu kreativiti, malah kajian menunjukkan
bahawa kanak-kanak mempunyai keyakinan yang lebih tinggi dan kurang
tertekan atas desakan kawan-kawan. Apabila seorang kanak-kanak itu
bermain, dia akan mempunyai matlamat dan apabila matlamat itu tercapai,
si kecil akan berasa puas dan seterusnya membina keyakinan diri.
kanak-kanak yang bermain sekurang-kurangnya 30 minit sehari
menunjukkan tahap daya tenaga yang lebih tinggi dan secara hipotesisnya,
mempunyai daya tumpuan yang lebih baik yang dapat memberi kebaikan kepada
kebolehan pembelajaran.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Bergelar nenek tentu sesiapa pun mempunyai kisah dan jalan cerita yang menarik untuk dikongsikan kepada anak cucunya. Begitu juga buat Dr. Mahani Razali, Pakar Awal Kanak-kanak yang bergelar nenek di usia muda. Malah apa yang lebih menarik pengalamannya menyambut cucu kembar yang bersalin di rumah. Ikuti perkongsiannya.
Dipanggil nenek mahu pun opah pada usia muda bukanlah satu mimpi ngeri bagi saya. Ia sebenarnya adalah satu anugerah Allah yang sukar diceritakan tentang kebahagian yang dirasai.
Ia juga merupakan pengalaman indah yang perlu dikongsikan kepada orang lain agar merasa bahagia dan menganggap betapa bertuahnya di beri anugerah panggilan ini dalam keadaan diri masih sihat dan bertenaga untuk mendukung cucu kesayangan ke sana sini.
Segalanya bermula 3 tahun dulu bila anak sulung saya, Siti Athirah menyuarakan hasrat untuk berumahtangga pada usia 23 tahun. Pada masa tersebut beliau masih berada pada tahun akhir di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim Perak. Pasangannya juga adalah pelajar tahun akhir di universiti yang sama. Memandangkan saya hanya mempunyai dua orang sahaja anak, maka keputusan ini saya terima dengan penuh redha dan gembira kerana sememangnya saya mengharap kehadiran ahli keluarga yang baru bagi menambahkan lagi bilangan ahli keluarga kami yang kecil.
Sebagai ibu yang berkerjaya, saya sangat positif dengan perkahwinan di usia muda dan saya tidak menghalang atau menasihatkan Athirah supaya merancang dahulu kelahiran anak pertama. Bagi saya, setiap anak yang di lahirkan akan ada rezekinya sendiri yang telah ditentukan oleh Allah subhanahuwataala. Athirah di sahkan mengandung sebulan selepas majlis perkahwinannya dan ini bermakna saya akan menjadi nenek pada tahun yang sama kerana Athirah berkahwin pada awal tahun.
Saya agak bertuah kerana Athirah merupakan anak yang sangat obses dalam melengkapkan dirinya dengan ilmu kehamilan dan ilmu-ilmu persediaan menjadi seorang ibu. Jujur saya katakan, bahawa saya sangat kagum dengan keterujaan Athirah dan mendalami ilmu-ilmu tersebut melalui kelas-kelas berbayar dan juga melalui pembacaan buku-buku serta melalui media sosial.
Sebagai ibu, saya memberi sepenuh kepercayaan kepada beliau dalam usaha mencari ilmu ini memandangkan saya juga bertugas sebagai pensyarah dalam bidang awal kanak kanak. Saya tahu banyak hal-hal yang berkaitan dengan kanak-kanak yang perlu di ketahuinya.
Bersalin di rumah
Adakalanya Athirah sering menceritakan kepada saya hasil penemuaannya dari bahan- bahan bacaan dan saya juga sebenarnya banyak mempelajari pelbagai ilmu baru dari beliau. Cuma hati saya mula berkocak bimbang apabila Athirah menyuarakan hasratnya untuk bersalin anak pertama secara normal di rumah kami sendiri. Saya agak terkedu dan tidak segera memberi persetujuan pada cadangan tersebut.
Sejak dari itu, hati saya mula berdebar-debar dengan kemampuan untuk menghadapi situasi ini. Apa pun saya terus memberi sokongan pada Athirah dengan meminta dia membuat pemeriksaan bayi dalam kandungan secara teratur bagi memastikan bayi tersebut tidak mempunyai apa apa komplikasi untuk bersalin secara normal di rumah. Sebagai ibu saya hanya mampu berdoa dan terus berdoa tanpa henti moga Allah permudahkan urusan ini. Sebagai persiapan untuk bersalin secara normal ini juga, kedua-dua anak menantu saya telah hadir ke kelas melahirkan anak secara normal di rumah.
Alhamdulillah, tepat pada waktunya, Athirah melahirkan bayinya di rumah dengan di temani oleh suaminya dan seorang teman tanpa saya di sisi kerana waktu tersebut saya berada di Johor Baharu kerana bertugas. Saya masih ingat dalam pukul 7.00 pagi lebih kurang, saya menerima panggilan dari menantu saya mengatakan bahawa Athirah telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Syukur.
Debaran saya tidak berakhir begitu sahaja, tidak sampai setahun kelahiran Maryam, saya di kejutkan dengan berita gembira iaitu Athirah hamil lagi dan kali ini disahkan kembar dua. Seperti biasa sekali lagi Athirah membuat keputusan untuk bersalin di rumah juga. Walapun telah ada pengalaman bersalin yang pertama, tapi memandangkan kali ni melahirkan anak kembar, saya sekali lagi diusik rasa bimbang dan ragu.Namum saya buang jauh jauh rasa tersebut dan terus memberi sokongan pada Athirah untuk meneruskan hasratnya bersalin di rumah.
Apa yang paling manis dan pengalaman paling berharga pada saya kali ini ialah, saya bersama sama dengan menantu Hakim sama-sama berganding bahu menjadi bidan bagi menyambut kelahiran kembar Soffiya dan Safiyya. Jarak kelahiran Antara Safiyya dan Soffiya hanya lebih kurang 15 minit sahaja. Tidak berlaku sebarang komplikasi pendaharan pada Athirah dan segala galanya berjalan lancar.Bayi kembar juga sihat dan sempurna
Perlu ingat
Jika ingin bersalin secara normal di rumah, lengkapkan diri sepenuhnya dengan ilmu.
Jalanilah pemeriksaan kandungan bagi mengetahui posisi dan kedudukan kesihatan bayi dengan sepenuhnya dari awal kehamilan hinggalah ke saat saat akhir kehamilan.
Jangan memperjudikan nyawa bayi tanpa ilmu.
Rasa bertuah
Saya rasa sangat bertuah dan bahagia melalui semua proses dan pengalaman ini. Walapun adakalanya berlaku juga pertentangan pendapat antara kami, tapi saya selalu mengambil jalan membuka minda menerima dan sebagai ibu saya akan tetap memberi teguran yang sewajarnya. Pada saya, banyak yang saya pelajari dari Athirah sebagai ibu muda yang berada dalam zaman IT yang serba moden. Adakalanya ilmu ilmu baru yang diperolehinya dan hasil dari perbincangan antara kami telah banyak mengubah persepsi saya tentang banyak perkara juga terutamanya tentang proses kelahiran.
Dalam proses mendidik juga, saya tidak banyak campur tangan urusan mendidik cucu cucu saya. Saya memberi sepenuh kepercayaan pada Athirah dan suami dalam mengurus dan mendidik anak anak mereka.
Bagi memastikan wujud keakraban antara saya dan cucu-cucu, saya memastikan saya mempunyai masa yang berkualiti bersama mereka. Alhamdulillah setakat ini, hubungan kami sangat rapat. Dan sebagai nenek yang berkerjaya dan sebagai persediaan menghadapi usia tua, saya membahagikan masa saya dengan terutur.
Misalnya saya peruntukkan waktu untuk ke surau atau masjid tanpa gangguan cucu-cucu.Di mana ada kesempatan saya akan membawa Maryam terutama mengikuti saya ke mana mana saya pergi terutamanya sewaktu membeli belah. Pada saya, inilah masanya juga untuk saya melayani kerenah cucu.
Nasihat saya pada nenek-nenek dan opah-opah di luar sana, kita boleh membantu dan memantau, tapi biarlah anak-anak yang menguruskan sendiri urusan keluarga mereka. Mereka akan menjadi lebih bertanggungjawab dan lebih banyak pengalaman yang di perolehi. Pengalaman yang dilalui ini akan mematangkan mereka dalam menerima ahli keluarga baru yang seterusnya.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Komunikasi antara suami isteri sangat penting, tanpa komunikasi yang baik boleh menyebabkan hubungan menjadi tidak mesra dan boleh juga menyebabkan salah faham antara keduanya. Bahkan tanpa komunikasi, kemesraan antara suami isteri juga akan menjadi hambar.
Walaupun sering terjadi suami dan isteri dilihat tidak serupa dalam berinteraksi dan reaksi terhadap sesuatu perkara atau hal. Namun jangan jadikan itu penyebab untuk tidak bercakap dan berbual dengan pasangan.
Bahkan ada baiknya, dalam banyak-banyak perkara yang ingin dibualkan, sentuhlah beberapa perkara untuk dibualkan dengan pasangan berkenaan hal rumah tangga. Ini sebagaimana yang dikongsikan oleh Firdaus Mokhtar dan bolehlah dijadikan panduan untuk membentuk rumahtangga yang hebat dan berkualiti.
Ini perkongsiannya;
Guru saya pesan, rumahtangga yang hebat itu, suami isterinya selalu bersembang hal ini;
1. Tentang iman. Bagaimana supaya suami isteri bertambah iman.
2. Bagaimana Islam itu lebih dapat diamalkan dalam keluarga.