Kekeluargaan

Kenapa Anak Remaja Lebih Selesa Bercerita Dengan Kawan Berbanding Ibu Bapa?

Share

Pernah tak ibu ayah tertanya-tanya, kenapa bila anak semakin remaja, mereka lebih banyak bercerita dengan kawan berbanding mak ayah sendiri?
Jangan cepat terasa.

Perubahan ini boleh berlaku apabila anak memasuki alam remaja dan hubungan dengan rakan sebaya mula memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan mereka.

Kawan Jadi Tempat Anak Meluah

Apabila memasuki usia remaja, kawan mula menjadi antara individu penting dalam kehidupan anak.

Mereka berada dalam lingkungan usia yang sama dan mungkin melalui pengalaman, masalah serta perubahan emosi yang hampir serupa.

Sebab itu, ada perkara yang dirasakan lebih mudah untuk diceritakan kepada kawan.

Satu kajian melibatkan 174 remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun mendapati remaja perempuan lebih banyak berkongsi tentang emosi dengan ibu bapa dan rakan berbanding remaja lelaki.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Adolescence itu turut mendapati umur mempengaruhi kepada siapa remaja memilih untuk berkongsi perasaan.

Remaja yang lebih muda lebih cenderung berkongsi keadaan emosi dengan ibu bapa, manakala remaja yang lebih berusia lebih memilih rakan.

Walaupun kawan semakin penting apabila anak meningkat remaja, hubungan dengan ibu ayah tetap memainkan peranan besar.


Anak Remaja Mula Perlukan Ruang Sendiri

Semakin membesar, anak juga mula mahukan ruang sendiri. Ada perkara yang mereka mungkin belum bersedia untuk diceritakan kepada ibu ayah.

Hal berkaitan kawan, sekolah, perasaan atau perkara yang dianggap memalukan mungkin lebih mudah dikongsi dengan rakan sebaya.

Ini tidak semestinya bermaksud anak sudah tidak rapat atau tidak memerlukan ibu ayah.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada proses mereka membesar dan belajar mengurus kehidupan serta hubungan sendiri.

Apa yang penting, ibu ayah terus membina hubungan yang membuatkan anak tahu bahawa mereka mempunyai tempat untuk kembali apabila memerlukan sokongan.

Apa Yang Ibu Ayah Boleh Buat?

Bila anak mula bercerita, cuba dengar dulu tanpa mencelah, marah atau terus memberi nasihat.

Cara kita memberi respons boleh membuatkan anak rasa lebih selesa untuk terus berkongsi.

Jika setiap kali anak bercerita mereka terus disoal, dibandingkan atau dimarahi, tidak mustahil selepas ini mereka memilih untuk menyimpan cerita atau berkongsi dengan orang lain.

Walaupun cerita anak nampak kecil bagi kita, cuba dengar dan beri perhatian.

Bagi anak, perkara yang dianggap remeh oleh orang dewasa mungkin cukup besar dalam dunia mereka.

Pada masa yang sama, ibu ayah tidak perlu memaksa anak menceritakan semuanya. Berikan mereka sedikit ruang sambil terus membina kepercayaan.

Mungkin kawan menjadi orang pertama yang anak cari untuk bercerita.

Namun, jika hubungan dengan ibu ayah rapat dan penuh kepercayaan, ibu ayah masih boleh menjadi tempat yang mereka pilih untuk kembali apabila berdepan perkara yang lebih besar.

BACA LAGI: “Anak Saya Trauma & Dipinggirkan Kawan” Bapa Luah Rasa Syukur Anak Menang Saman Dipukul Guru!

Sumber: National Library of Medicine