Keibubapaan

“Mungkin Ini Jalan Saya Ke Syurga”, Ibu Jadikan Ujian Besarkan Anak Istimewa Sebagai Ladang Pahala

Share

Bukan mudah menerima hakikat apabila anak yang dikandung selama sembilan bulan dilahirkan dengan keadaan istimewa. Namun bagi Sufia Muhd Lawi, 32, setiap ujian yang hadir cuba dilihat sebagai satu amanah dan peluang untuk mengumpul pahala.

Sufia yang menetap di Sri Lalang merupakan ibu kepada Nur Aqila Aniqa Mohd Saiful, atau Aqila, yang kini berusia tiga bulan dan dilahirkan dengan keadaan klef pada wajah. Kisah Aqila anak klef ini turut memperlihatkan kekuatan seorang ibu dalam menerima ketentuan buat anaknya.

Keadaan itu menyebabkan rekahan atau pemisahan struktur pada bahagian wajah termasuk mata, hidung dan dahi, selain sumbing pada bibir serta lelangit.

Walaupun perjalanan menerima keadaan anaknya bukan mudah, Sufia memilih untuk reda.

“Saya pernah terfikir bagaimana caranya nak masuk ke syurga kerana tahu tak mudah.

“Jadi ujian ini mungkin ladang pahala buat saya dan reda dengan ketentuan-Nya walaupun ada masanya tak kuat,” katanya.

SUFIA Muhd Lawi bersama anaknya, Nur Aqila Aniqa Mohd Saiful. FOTO Ihsan Sufia Mud Lawi

Tahu Keadaan Aqila Anak Klef Ketika Kandungan 22 Minggu

Menurut Sufia, dia dan suaminya, Mohd Saiful Mustapha, 37, dimaklumkan mengenai keadaan Aqila ketika kandungan berusia 22 minggu.

Ketika itu doktor berjaya mengesan kewujudan klef, namun tahap sebenar keadaan tersebut belum dapat dipastikan.

“Selepas dapat tahu, saya menangis di hadapan doktor dan lama juga bersedih kerana memikirkan masa depannya selepas dilahirkan nanti,” katanya.

Namun sokongan daripada suami menjadi kekuatan utama buat Sufia.

Dia mengambil masa kira-kira sebulan untuk menerima keadaan tersebut sebelum kembali menguatkan diri dan bersedia menyambut kelahiran Aqila.

Lebih melegakan apabila kedua-dua keluarga turut memberi sokongan dan menerima Aqila dengan penuh kasih sayang.

Menunggu CT Scan Untuk Rawatan Seterusnya

Buat masa ini, Aqila masih belum menjalani rawatan khusus dan sedang menunggu tarikh untuk melakukan Imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan.

Menurut Sufia, keadaan klef yang dialami Aqila bukan dalam kategori biasa dan dianggap jarang ditemui. Perjalanan rawatan Aqila anak klef ini akan bergantung kepada hasil pemeriksaan yang dilakukan.

“Selepas CT Scan, barulah boleh lihat apa langkah seterusnya cuma buat masa ini, saya dan suami sudah menghantar permohonan kad orang kurang upaya (OKU) buat Aqila,” katanya.

Aqila kini minum susu menggunakan tiub Ryles yang disambungkan melalui mulut.

Sufia menjaga anaknya sepenuh masa dan perlu memberikan perhatian rapi terhadap keadaan kesihatannya, manakala suami membantu selepas pulang bekerja.

Pernah Takut Pandangan Orang Terhadap Aqila Anak Klef

Sufia turut mengakui bahawa pada awalnya dia tidak mempunyai kekuatan untuk berkongsi keadaan Aqila kepada umum.

Selepas bersalin, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan mengelakkan diri daripada berdepan orang luar kerana bimbang dengan pertanyaan serta pandangan masyarakat.

“Saya tak kuat berdepan pertanyaan mengenai keadaan anak dan habiskan masa di rumah kerana nak menjaga kesihatan mental,” katanya.

Namun selepas beberapa bulan, dia mula memberanikan diri untuk berkongsi kisah Aqila di media sosial.

Baginya, Aqila tetap anak yang perlu dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan tidak sepatutnya disembunyikan.

“Sebab macam mana pun, Aqila anak saya dan tak mahu dia mempersoalkan kenapa sembunyikan identitinya.

“Bukan niat saya nak sorokkan cuma sebelum ini hanya mahu melindunginya,” katanya.

Perkongsian mengenai Aqila anak klef itu menerima banyak kata-kata semangat dan doa daripada orang ramai, walaupun ada juga komen negatif.

Harapan Sufia kini hanya satu, mahu melihat Aqila membesar dengan baik dan diterima masyarakat.

“Harapan saya semoga Aqila membesar dengan baik dan tak disisihkan masyarakat,” katanya.

Suami Pilih Jadi Kekuatan Isteri

Mohd Saiful pula mengakui turut terkejut dan sedih apabila mengetahui keadaan anak mereka.

Namun dia memilih untuk tidak menunjukkan kesedihan di hadapan isterinya kerana mahu terus menjadi sumber kekuatan.

“Tapi tak boleh tunjuk kesedihan depan isteri kerana enggan dia patah semangat,” katanya.

Dia turut mencari kumpulan sokongan dan melihat kisah kejayaan pembedahan klef bagi membantu mereka lebih bersedia menghadapi perjalanan rawatan Aqila.

“Apa yang Allah SWT berikan, saya terima dan berharap ada peluang untuk anak hidup normal satu hari nanti,” katanya.

Kisah Sufia dan suaminya membesarkan Aqila anak klef menjadi bukti bahawa di sebalik ujian yang berat, kasih sayang dan sokongan keluarga mampu memberi kekuatan luar biasa.

Bagi seorang ibu, mungkin tidak semua hari akan terasa mudah. Namun setiap sabar, penat dan air mata dalam membesarkan anak istimewa boleh menjadi satu bentuk kasih yang paling tulus dan bermakna.

BACA LAGI : Lahir Dengan Masalah Jantung Berlubang, Injap Paru-Paru Bocor & Klef Bibir, Ibu Mohon Doakan Aulia Terus Bertahan

Sumber : Harian Metro