Dapur memang menjadi lokasi kegemaran semua ahli keluarga. Sambil memasak atau makan sambil berbual-bual. Tapi sekiranya di dalam rumah ada anak kecil, kawasan dapur boleh jadi tempat yang berbahaya buat mereka.
Ada banyak peralatan yang jika terdedah boleh membahayakan mereka. Jadi sebelum terjadi perkara memudaratkan ambil langkah berjaga-jaga. Peralatan berikut yang mungkin tak berbahaya pada orang dewasa tapi sebaliknya bagi kanak-kanak.
1. Ketuhar dan dapur gas
Kedua peralatan ini mempunyai punat yang diputar mahupun kekunci yang ditekan. Sebagai langkah keselamatan, pastikan suis yang menghubungkan peralatan elektrik ini dicabut bagi memastikan aliran elektrik tidak mengalir walaupun peralatan elektrik tersebut tidak digunakan.
2. Objek panas
Jangan biarkan anak-anak, terutama bayi berada dalam jarak yang mudah menyentuh benda panas, termasuk pintu ketuhar. Gunakan kain pengalas khas untuk mengangkat peralatan memasak yang panas. Jangan biarkan si kecil mengangkat peralatan yang panas.
Fizikal mereka yang masih kecil mungkin tidak bersesuaian untuk mengangkat benda yang panas dan sekaligus boleh mendatangkan kecederaan. Sentiasa ingatkan anak-anak agar menjauhkan diri dari perkakasan dapur yang panas seperti ketuhar, kuali, periuk nasi dan sebagainya.
Ads
Ingatkan mereka bahawa makanan yang keluar dari microwave itu panas dan boleh mencederakan walaupun ia kelihatan tidak panas.
3. Peralatan dapur yang berat dan tajam
Peralatan berat dan tajam di dapur, seperti alat parutan, pisau, pembuka tin, dan sebagainya sememangnya boleh mendatangkan kecederaan jika tidak digunakan dengan betul.
Usah biarkan anak-anak anda menggunakan peralatan ini. Jika mereka memerlukan pisau, sebaiknya beri pisau plastik yang tidak tajam sekiranya mereka ingin membantu anda memotong ketika hendak memasak.
4. Peralatan elektrik
Ads
Pastikan anda telah mencabut kabel elektrik setelah digunakan, dan jangan biarkan kabel itu terjuntai dan mudah dicapai oleh si kecil. Baca dengan hati-hati dan ikuti semua panduan penggunaan perlatan elektrik di dapur.
5. Lantai
Lantai dapur tidak terkecuali dari berlakunya kemalangan. Kebiasaannya, lantai dapur menggunakan jubin. Tumpahan air, sisa makanan atau keadaan lantai yang baru lepas dibersihkan boleh menyebabkan permukaan licin dan anak mudah tergelincir.
Oleh itu, jangan biarkan anak-anak berlari-lari di dalam dapur. Selain itu, segera bersihkan lantai jika terdapat sebarang kekotoran, sisa makanan mahupun air yang tertumpah.
Ads
6. Produk pembersih, bahan kimia
Kita selalu menyimpan bahan-bahan pembersih dan juga semburan untuk menghapus serangga di bahagian dapur. Pastikan menyimpannya dengan selamat dan tempat yang tidak boleh dicapai oleh anak kecil. Jika disentuh atau dimasukkan dalam mulut sudah tentu boleh menjejaskan kesihatan mereka.
Akhir sekali, perlu diingat bahawa anak-anak kecil gemar bereksperimen dan mencuba pelbagai perkara yang berada di sekeliling mereka. Mereka kreatif dan selalu ingin tahu berbagai hal yang mungkin tidak diketahui tentang bahaya sesuatu peralatan tersebut.
Untuk keselamatan, jangan sekali-sekali meninggalkan anak anda sendirian di dapur bagi mengelakkan perkara yang buruk daripada berlaku.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Mencuci bilik air mahupun bilik mandi adakalanya mengambil masa yang lama. Lagi-lagi kalau ramai anak. Kalau dibiarkan lagi banyak bakteria yang menempel. Jom belajar cara mudah untuk melakukan pembersihan tanpa mengeluarkan belanja yang mahal. Guna bahan di dapur sahaja!
Tip Mudah Bersihkan Bilik Mandi Dan Tandas
1) Luangkan kira-kira 5 minit setiap hari untuk mencuci bilik air dan tandas di rumah anda. Anda boleh melakukannya sebelum anda mandi. Apa yang perlu anda lakukan adalah letakkan sedikit cecair pencuci ke atas span dan gosok dinding, sinki dan lantai bilik mandi. Tuangkan sedikit pencuci ke dalam mangkuk tandas, gunakan berus untuk membersihkan.
2) Untuk membersihkan jubin tandas yang berlumut, anda hanya perlukan bahan peluntur. Tuang bahan peluntur yang telah dicampur dengan sedikit air ke atas lantai, berus dan biarkan selama sejam. Selepas itu bersihkan dengan air.
3) Luangkan masa seminggu sekali atau dua minggu sekali untuk menggosok segala kotoran dari sinki dan mangkuk tandas. Gosok juga dinding dan lantai tandas dan bilik air menggunakan berus.
4) Gantungkan pewangi yang sesuai dalam tandas untuk menyingkirkan bau yang kurang menyenangkan.
Petua Bersihkan Kotoran Degil Pada Lantai
1) Ambil kapur sirih dan campurkan dengan air. Tuangkan campuran itu ke lantai dan biarkan untuk beberapa minit. Selepas itu cuci menggunakan pencuci lantai. Ulangi proses ini sehingga lantai bilik air benar-benar bersih.
Petua Membersihkan Mangkuk Tandas Yang Kotor Dan Berkerak
1) Tuang cuka ke dalam mangkuk tandas dan biarkan untuk beberapa jam. Selepas itu gosok keseluruhan mangkuk tandas menggunakan berus. Selepas kesemua kotoran berjaya ditanggalkan, siram dengan air bersih.
2) Selain cuka, anda juga boleh menggunakan satu tin air coke. Caranya sama seperti menggunakan cuka. Tuang ke dalam mangkuk tandas, biarkan seketika. Kemudian gosok menggunakan berus sehingga bersih dan bilas dengan air.
Panduan Menghias Bilik Mandi
1) Sediakan rak untuk meletakkan ubat gigi, berus gigi, syampu dan sabun.
2) Pasang cermin muka di dinding bilik air.
3) Sediakan penyangkut untuk menggantung tuala dan pakaian.
4) Hias dinding dengan bunga plastik atau daun hijau untuk menyerikan lagi ruang bilik air.
Selamat mencuba!
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Keterbukaan selebriti bercerita mengenai anak syurga mereka kini dilihat satu langkah yang positif buat masyarakat. Jika dahulu ada antara mereka yang tidak suka memaparkan kisah sebegini dengan alasan malu dan tidak mahu kehilangan peminat.
Namun sebaliknya berlaku. Sebagai contohnya, Zarina Zainuddin, Catriona Ross dan Edry Abdul Halim yang sehingga kini menjadi idola ibu bapa yang memiliki anak syurga.
Pengalaman serta pengetahuan yang mereka ada dikongsikan dengan peminat membuatkan mereka lebih dihormati.
Selain itu, Edrie Hashim juga mempunyai anak Autisme. Biarpun tidak selalu memperkatakan hal tersebutm, namun koposer dan pemuzik terkenal ini tidak segan untuk becerita mengenainya.
Bahkan, dia berasa gembira kerana ramai selebriti mula mengetengahkan mengenai kesedaran autism.
Edrie mempunyai seorang anak autism yang bernama Darren Haikal yang kini berusia 14 tahun.
“Pendedahan tentang autism semakin baik. Ramai selebriti yang mula mengetengahkan mengenai kesedaran ini.
“Mungkin 10 tahun lepas, pengalaman yang saya tempuhi saya agak menyanyat hati. Kami sebagai ahli keluarga memang menerima tetapi agak menyedihkan apabila orang ramai tidak memahami dan memandang serong.
“Saya harap bila ramai selebriti bercerita mengenai autism, kesedaran itu wujud,” katanya lagi.
Edrie juga sempat bercerita mengenai anaknya yang kini sedang menuju ke alam remaja.
“Darren kini sudah berusia 14 tahun. Jika dahulu, dia selalu tantrum, sekarang dia lebih rileks.
“Atas sebab itu juga, saya dedahkan dia dalam akaun media sosial saya, biar orang kenal dan tahu mengenai autism,” katanya lagi.
Edrie Hashim dan isteri yang juga vokalis kumpulan Candy, Nurul Nadira Patricia Robert, reda dengan percaturan Ilahi.
Ibu bapa mana yang mahu melihat buah hati kesayangan memiliki kekurangan namun bagi mereka, kehadiran Darren Haikal, memberikan kebahagiaan yang tidak terhingga buat keluarga.
Biar tidak mudah membesarkan anak istimewa begini, namun bagi Edrie dan Patricia atau Pat setiap kesukaran yang mereka dihadapi memberikan satu pengajaran dan ilmu buat diri masing-masing.
Malah semakin meningkat usia Darren semakin banyak yang perlu dia belajar erti berdikari agar tidak terlalu mengharapkan pertolongan orang lain. Selain Darren, Edrie dan Pat memiliki seorang lagi cahaya mata, Dylan Haidar.
“Tidak mudah terutama apabila berdepan dengan orang ramai yang masih kurang pengetahuan tentang autisme.
“Masih ramai yang tidak faham lebih-lebih lagi apabila melihat mereka mengamuk malah anggap kita tidak pandai jaga anak,” kata Edrie.
Menurut Edrie, Darren dilahirkan sempurna sifatnya dan amat comel sebelum hati dia dan isteri direntap dengan perkhabaran duka tentang masalah kecelaruan neurologi yang mengakibatkan gangguan perkembangan otak yang dihadapi anak kesayangan mereka.
Dia sendiri pada awalnya sukar menerima kenyataan apabila Darren didagnosis mild mental retardation malah lama dia memujuk hati untuk menerima takdir tersebut dan optimis membesarkan anak lelaki sulungnya itu.
“Rasa macam menonton filem bila anak saya disahkan penghidap autisme dan jadi orang kurang upaya (OKU). Berkali-kali saya persoal tentang kesahihan keputusan kesihatan Darren.
“Darren dilahirkan sempurna, apabila jadi begitu memang saya tak dapat bayangkan perasaan saya ketika itu. Lama saya pujuk hati untuk terima kenyataan,” luahnya.
Menerima hakikat perkembangan Darren berbeza dengan anak-anak lain bila dia dihantar ke tadika ketika usianya empat tahun, Edrie bersyukur apabila Allah hadirkan ujian buat dirinya dan isteri untuk membesar dan mendidik seorang anak istimewa.
“Semasa bayi, Darren memang menjadi kesayangan keluarga malah jiran tetangga pun sering memuji wajah comelnya. Apabila doktor kata anak saya cacat, memang rasa nak tumbuk muka doktor pada masa itu! Yalah, siapa tak sedih dan bengang apabila orang kata anak kita cacat, kan?
“Tapi pasti ada sebab kenapa Tuhan menduga saya. Saya tidaklah terlalu memikirkan tentang kesalahan apa yang sudah saya lakukan dulu hingga diduga sebegini hebat tapi pelbagai perkara bermain dalam otak ketika itu. Tertanya–tanya kenapa begitu?
“Namun saya percaya ujian itu untuk saya dan isteri bukan pada Darren. Dia sudah tentu masuk syurga. Saya kerap kali pujuk hati dan berkata, tak semua orang terpilih untuk diberi ujian begitu. Allah duga kita sebab Dia sayangkan kita. Ini yang saya selalu pegang dan kena kuatkan iman,” katanya.
Mengakui bahawa penerimaan dan keterbukaan masyarakat tentang autisme memberi cabaran buat ibu bapa yang memiliki anak autisme, Edrie berkata, dia dan isterinya sering dipandang serong apabila keluar dengan Darren.
“Kadang-kadang Darren mengamuk, orang sekeliling memandang seperti kita tak pandai jaga anak. Ya, saya kecewa dengan situasi itu tetapi saya juga faham kita tidak boleh meletakkan kesalahan kepada masyarakat seratus peratus.
“Pernah saya bawa dia naik kapal terbang, tiba-tiba ada seorang penumpang menyuruh Darren diam sambil menunjukkan isyarat senyap. Saya cuba kawal diri untuk tidak mengeruhkan keadaan. Cuma terkilan sebab dengan budak kecil pun tidak boleh lebih kurang,” katanya.
Edrie turut berkongsi perasaannya yang direntap dengan kata-kata yang sangat pedih sewaktu seluruh keluarganya ditahan di wad sebuah hospital swasta di ibu kota selepas disahkan mengalami demam Influenza A.
Ketika itu Darren hilang dari hospital akibat trauma dengan jarum suntikan sebelum ditemui di sebuah stesen minyak.
“Dia lari seorang diri berbelas-belas kilometer tanpa kami sedar sewaktu menunggu giliran untuk dirawat. Mujur pihak ambulans ada ketika itu dan ambil Darren di stesen minyak terbabit selepas ada pihak ternampak dia berada di sana.
“Keesokan harinya di dalam wad, saya terdengar perbualan antara kakitangan pihak hospital yang lebih kurang begini, ‘Itu siapa? Edrie Hashim eh, pengarah muzik? Anak dia lari hospital eh, itulah Tuhan itu Maha Kaya. Bapa pengarah muzik, anak dia bodoh macam itu. Tuhan adil.’
“Mungkin dia ingat saya sedang tidur tapi semua katanya saya dengar dan hanya Tuhan saja tahu betapa remuknya perasaan saya ketika itu.
“Sebagai pekerja di hospital tetapi kurang bijak fasal autistik dan menjatuhkan hukum dengan melulu kononnya saya pengarah muzik, maka anak saya jadi begitu. Ini bermakna ramai yang tak tahu tentang autisme meskipun kerja di pusat perubatan,” katanya dengan nada kesal.
SEMENTARA itu Patricia menasihati ibu bapa yang mempunyai anak autisme agar memberi ruang untuk mereka bergaul dengan dunia luar dan tidak menyekat aktiviti mereka.
“Anak autisme ini seperti yang kita tahu, dia dengan dunia dia sahaja. Dia tak pedulikan dunia luar, maka kita sebagai ibu bapa perlu memainkan peranan dan membawa mereka kenal dengan dunia luar sebagai cara untuk membiasakan diri dengan orang ramai.
“Jangan panik apabila anak autisme mengamuk dengan tiba-tiba dan jangan pedulikan pandangan masyarakat luar yang memandang sinis kononnya kita tak pandai jaga anak.
“Juga jangan kurung anak di rumah kerana tidak bagus untuk perkembangan minda mereka,” katanya yang adakalanya terpaksa memohon maaf kepada orang ramai jika anaknya itu mengamuk di tempat terbuka.
Biarpun terbuka berbicara tentang keadaan anaknya, Patricia mengakui kekecewaannya apabila ada kalangan masyarakat yang membanding-bandingkan Darren dengan anak normal lain.
“Sudah tentulah saya sedih apabila anak yang dikandung selama sembilan bulan itu disahkan autistik. Malah saya paling tidak suka bila orang bandingkan Darren dengan budak normal kerana tidak adil baginya. Dia tak minta dilahirkan begitu dan menjadi OKU. Tipulah kalau saya tak kecewa tapi itulah tiket saya dan suami ke syurga,” luahnya.
Hidup tidak selamanya kekal, justeru ketika ditanya tentang soalan itu, Edrie akui takut mengenangkan bila satu hari nanti ajal menjemputnya lalu meninggalkan anak istimewanya itu.
Pun begitu, dia sentiasa menitipkan doa dan menyerahkan kepada Yang Maha Esa untuk melindungi anaknya dan mempermudah setiap urusannya kelak.
Malah Edrie tidak kisah mengeluarkan sejumlah wang untuk memberikan pendidikan dan kemahiran terbaik buat Darren dengan harapan anaknya itu nanti mampu menguruskan diri sendiri apabila kedua-dua orang tuanya sudah tiada di sisi.
“Kalau fikir benda itu (kematian) memang takut tapi saya serah kepada Tuhan. Kena percaya qada dan qadar. Ada saudara-mara pun tak sama dengan ibu dan ayah yang jaga, kan? Tapi insya-Allah, keluarga saya semuanya okey.
“Buat masa ini, saya memang sedang fokus untuk memahirkan dia dengan apa sahaja kemahiran yang dia minat selain memberikan pendidikan sempurna yang dikhaskan untuk anak-anak autisme mengikut sistem pendidikan Malaysia.
“Selain itu, sejak usia tujuh tahun, Darren turut menghadiri kelas terapi bagi melatih kemahiran motor halusnya. Ada ahli terapi datang ke rumah seminggu sekali bagi menjalani sesi terapi untuk Darren.
“Dia belajar untuk memantap dan menguatkan apa sahaja yang berkait rapat dengan kemahiran motor halus. Darren sukar menulis kerana tidak dapat memegang pensil dengan betul, tetapi kalau alat muzik dram dia boleh bermain dengan betul.
“Saya lihat dia mempunyai minat dalam nyanyian. Saya sendiri pun tak tahu dari mana dia mendengar lagu yang dinyanyikan, tetapi melodinya betul walaupun sebutan nyanyiannya tidak berapa jelas.
“Namun dia ada satu perangai yang apabila kita sebagai ibu bapa suruh dia menyanyi, dia tak akan buat tapi kalau cikgu suruh, dia akan buat.
“Itulah, saya sedang berusaha supaya dia mempunyai keyakinan untuk ‘keluarkan’ bakat itu di depan orang ramai,” ungkapnya.
Malah menurut Edrie, dia percaya rezekinya dalam bidang muzik melimpah ruah kerana kehadiran Darren, maka sebab itulah dia tidak pernah lokek untuk membelanjakan wang ringgit demi masa depan anak sulungnya itu.
Menyentuh tentang kecantikan, wanita adalah yang paling teruja. Bukan sahaja nampak begitu ketara untuk wanita masa kini, malah penjagaan kecantikan ini sebenarnya telah lama dipraktikkan.
Jika tidak masakan ada banyak petua-petua kecantikan yang kita warisi daripada nenek moyang kita dahulu, dan ini membuktikannya bahawa wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan.
Dan ini antara salah satu petua kecantikan yang diamalkan untuk mengekalkan kecantikan wajah bagi memiliki kulit wajah yang bersih, cerah dan berseri. Bahan-bahan yang digunakan menggunakan bahan-bahan sedia ada di dapur, dan petua ini telah dikongsi oleh Puan Sarifa Redzuan yang banyak mengajar tentang Perawatan Spa Kesihatan.
Jom semak cara menyediakan ramuan istimewa ini.
ORANG DULU DULU KULIT CERAH BERSERI GUNA 3 BAHAN DAPUR NI JER.
Ramai pm cikgu nak petua simple namun berkesan. Nak guna bahan yang senang dapat kat dapur dan murah.
Cikgu pun teringat satu resipi sangat power orang dulu dulu selalu amal. Ramuan ni juga di amalkan oleh orang barat dan jepun . Sangat best resipi ni . Kulit semakin cerah berseri, tegang, kedut kedut halus perlahan lahan akan hilang, penampakan jeragat semakin pudar, jerawat semakin kecut, bekas parut jerawat juga semakin pudar. Wow!
Pernah tak dulu dulu nenek atau ibu kita selalu pesan nak cantik basuh muka dengan beras? Mesti pernah buat kan?
Bagi orang jepun , mereka dari dulu amalkan wap muka dengan wap nasi yang di masak. Setelah zaman berubah, mereka mengkaji manfaat air beras sehinggalah mereka temui piterra. Sebab tu produk SK 11 ada piterra.
Walaupun dunia semakin moden dan banyak teknologi, bahan alami tidak pernah di lupakan. Sehingga saat ini, seluruh dunia masih amalkan pemakaian bahan alami. Tambahan disebabkan ramai orang telah serik menggunakan produk “ready made” di mana mereka telah tertipu dengan bahan kimia terlarang terkandung dalam produk itu.
Okaylah. Jom cikgu share resipi kulit cantik tapi MURAH lagi BERKESAN turun temurun dari nenek moyang kita.
Resipi ini juga boleh di gunakan untuk seluruh badan tau.
BAHAN BAHAN RESIPI KECANTIKAN ORANG DULU
5 sudu beras @ beras pulut @ perang perang
1/2 biji kentang
Sedikit Kunyit hidup (tak perlu banyak banyak)
Cara buat
1. 5 sudu beras tidak di basuh. ( Ikut kajian dan pengalaman beras tak dibasuh air dia tu manfaat tu banyak skit. Tapi kalau awak rasa takut serangga lah, kutu beras la, kotor la ikut suka la nak cuci ke tak. Sebab cikgu dulu air basuhan 1-3 di tapis dan di ambil air tu buat cuci muka. Takperlah lain orang lain caranya. Tak semua orang boleh terima air beras pertama
2. Direbus sehingga nasi lembut jangan sampai air kering
3. Blend nasi dan air nasi bersama 1/2 biji kentang dan sedikit kunyit. Dah siap. Boleh terus apply ke muka. Selebihnya boleh masuk peti. Nanti nak guna apply sahaja.Wah, mudahkan nak cantik macam orang dulu dulu.
EKSTRA INFO
Amalkan sebagai masker muka setiap hari selama 30 minit untuk dapatkan hasil yang power. Ala, sapu kat muka pastu buatla kerja. Cukup masa cuci lah dengan air biasa.
Boleh jadikan masker badan juga. Pastikan tiada orang tunggu nak masuk bilik air. Sebab lama nak duduk dalam bilik air tu.
Nak cerahkan ketiak, belakang tengkuk dan celah peha pun boleh! Campur sedikit garam halus dan air jus lemon. Sental lah ketiak serta celah peha dan biarkan selama 30 minit. Badan pun boleh sental kalau nak sental.