Keibubapaan

“Fikiran Dah Bersedia, Tapi Hati Belum Tentu Kebal”, Azmi Saat Sebak Anak Disahkan Spektrum Autisme

Share

SETIAP ibu bapa pasti menyimpan harapan dan impian tersendiri buat anak-anak. Namun, ada ketika perjalanan membesarkan anak membawa mereka melalui fasa yang tidak pernah dijangka.

Itulah yang dilalui penyanyi Azmi Saat dan isterinya, Nazira, selepas anak perempuan mereka, Khalisa Insyirah, 2 tahun 10 bulan, disahkan berada dalam spektrum autisme.

Menurut Azmi, mereka sebenarnya sudah mula menyedari terdapat perbezaan pada perkembangan Khalisa sejak anak kecil itu berusia kira-kira setahun setengah, terutama dari aspek komunikasi.

Nazira yang mempunyai diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak turut merasakan perkembangan Khalisa memerlukan perhatian lebih.

“Sejak Khalisa berumur lebih kurang setahun setengah, kami sudah mula perasan ada yang tidak biasa pada perkembangannya, terutama dari segi komunikasi dan beberapa perkembangan lain.

“Walaupun ketika itu belum ada diagnosis, sebagai ibu yang mempunyai diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, isteri saya rasa ada sesuatu yang perlu kami beri perhatian,” katanya.

HANTARAN Azmi Saat di Facebook ketika membawa anaknya, Khalisa untuk diagnosis. FOTO Facebook Azmi Saat

Azmi Saat Dan Isteri Mula Dapatkan Bantuan Lebih Awal

Tidak mahu sekadar menunggu, pasangan itu mula mencari maklumat serta mendapatkan bantuan yang sesuai buat Khalisa.

Antaranya, Khalisa menjalani terapi cara kerja selain mengikuti Early Intervention Programme (EIP) sebagai usaha membantu perkembangan dirinya.

Selepas melalui tempoh menunggu, akhirnya doktor mengesahkan Khalisa berada dalam spektrum autisme.

Azmi Saat mengakui mereka sebenarnya sudah bersedia secara mental dengan kemungkinan tersebut kerana sebelum itu sudah banyak membaca dan bertanya mengenai autisme.

Namun, apabila keputusan itu benar-benar disahkan, perasaan mereka sebagai ibu bapa tetap tersentuh.

“Kami berdua sudah agak bersedia untuk mendengar jawapan itu. Kami sudah membaca, bertanya dan cuba memahami tentang autisme.

“Tetapi rupanya, bersedia dengan fikiran tidak semestinya membuatkan hati terus kebal. Bila doktor mengesahkannya, menitik juga air mata kami berdua,” luahnya.

Azmi Saat: “Dia Tetap Khalisa Yang Sama”

Menurut Azmi, air mata mereka bukan kerana tidak dapat menerima keadaan anak kesayangan.

Sebaliknya, pelbagai perkara mengenai masa depan Khalisa mula bermain di fikiran.

“Bukan kerana kami tidak boleh menerima Khalisa. Dia tetap Khalisa yang sama sebelum dan selepas kami keluar dari bilik doktor itu.

“Cuma sebagai ibu bapa, macam-macam perkara tentang masa depannya bermain dalam fikiran,” katanya.

Bagi Azmi dan Nazira, diagnosis tersebut bukan pengakhiran. Sebaliknya, ia memberikan mereka arah yang lebih jelas dalam memahami keperluan Khalisa.

“Diagnosis semalam memberikan kami arah yang lebih jelas. Kami tahu apa yang perlu dicari, apa yang perlu dipelajari dan bantuan yang mungkin diperlukan Khalisa.

“Kami sebagai ayah dan ibu juga perlu belajar dan melakukan perubahan untuk membantunya,” jelasnya.

Selepas ini, pasangan tersebut akan meneruskan terapi Khalisa selain mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai keperluannya termasuk urusan pendaftaran OKU serta sokongan yang bersesuaian.

Azmi Saat Mahu Beri Kekuatan Kepada Ibu Bapa Lain

Azmi Saat turut menjelaskan perkongsian berkenaan bukan dibuat untuk meraih simpati.

Sebaliknya, dia berharap kisah keluarga mereka dapat memberikan sedikit kekuatan kepada ibu bapa lain yang mungkin sedang melalui pengalaman sama.

Baginya, setiap anak mempunyai kelebihan, kekurangan dan perkembangan mengikut waktunya sendiri.

“Kadang-kadang kita terlalu mahu anak menjadi seperti apa yang kita bayangkan, sampai terlupa untuk mengenali siapa sebenarnya anak yang ALLAH amanahkan kepada kita.

“Tugas kita bukan memaksa mereka menjadi seperti orang lain. Tugas kita ialah memahami kemampuan mereka, membantu mereka berkembang sebaik mungkin dan meraikan setiap kemajuan, walaupun bagi orang lain ia kelihatan kecil,” katanya.

Kini, perjalanan Azmi dan Nazira memasuki fasa baharu sebagai ibu bapa yang mahu terus belajar memahami dunia Khalisa.

“Hari ini, Khalisa masih Khalisa yang sama. Cuma ibu dan ayah sekarang perlu belajar lebih banyak untuk masuk ke dalam dunianya.

“Insya-ALLAH, kita belajar sama-sama, ya sayang. Doakan perjalanan kami dipermudahkan,” katanya.

Perjalanan Keluarga Azmi Saat

Untuk rekod, Azmi Saat dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 2011 dan pernah dikurniakan seorang anak lelaki, Allahyarham Khairul Afnan, yang meninggal dunia pada 30 September 2021 akibat kegagalan fungsi otak.

Pasangan itu kemudiannya dikurniakan cahaya mata perempuan, Khalisa Insyirah, pada November 2023.

Perjalanan setiap keluarga mungkin berbeza. Namun, memahami keadaan anak dengan lebih awal boleh membantu ibu bapa mendapatkan sokongan, ilmu dan intervensi yang lebih sesuai mengikut keperluan mereka.

Bagi Azmi dan Nazira, pengesahan tersebut kini menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka untuk mengenali keperluan anak dengan lebih dekat. Apa yang penting, mereka mahu terus belajar, mendapatkan bantuan yang bersesuaian serta meraikan setiap perkembangan Khalisa mengikut kemampuan dan waktunya sendiri.

BACA LAGI : Tahniah! Azmi Saat Timang Bayi Perempuan, Luah Rasa Syukur Anak Isteri Sihat!

Sumber : Harian Metro