Banjir UM Reda! Menerusi kenyataan media menerusi facebook rasmi universiti berkenaan, Universiti Malaya ingin memaklumkan bahawa keadaan banjir sekitar kampus telah reda manakala semua laluan telah dibuka semula.
Universiti Malaya juga mengesahkan bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam kejadian ini.
Semua staf, pelajar dan pelawat kampus dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan diri dan harta benda terperangkap dalam banjir.
Pihak universiti akan memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kampus terpelihara.
Terdahulu, Tular sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X, air banjir sudah memasuki kawasan kampus dan dilaporkan agak tinggi parasnya.
Ads
Video berdurasi 22 saat itu memaparkan seorang pegawai keselamatan memberi amaran untuk tidak menggunakan laluan ‘gate’ Kuala Lumpur untuk memasuki Universiti Malaya ekoran paras air tinggi.
Sikap prihatin lelaki berkenaan memberitahu situasi terkini di UM itu membantu kepada pengguna dan pelajar yang bercadang menggunakan laluan berkenaan. Berlatar belakang air banjir, lelaki itu memberi tahu info semasa meredah banjir.
“Kepada semua warga kampus pelajar dan pengguna, jangan masuk melalui ‘gate’ Kuala Lumpur ke dalam UM di sebalah Masjid Ar Rahman kerana banjir yang di paras agak tinggi.
Ads
“Air banjir juga turut melimpah di hadapan fakulti undang-undang dan di jambatan lingkungan budi,” katanya
Ads
INFO:
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pagi Selasa di beberapa kawasan dalam negara. Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda dan Bandar Baharu, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau), Melaka, Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru), Sarawak: Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis). Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam
10 nyawa terkorban di Sungai Korok sejak 2018, termasuk tragedi enam sekeluarga. Sungai Korok di Jitra, Kedah terus mencatatkan angka korban apabila 10 nyawa telah terkorban sejak tujuh tahun lalu, termasuk kejadian paling memilukan pada Sabtu lalu yang meragut enam sekeluarga.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim, sepanjang tempoh dari 2018 hingga kini, tiga insiden maut telah dikenal pasti berlaku akibat kenderaan hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai yang memiliki panjang kira-kira 15 kilometer itu.
“Tragedi yang berlaku Sabtu lalu merupakan kejadian paling menyayat hati setakat ini. Enam ahli keluarga maut selepas kenderaan yang mereka naiki dipercayai terbabas dan jatuh ke dalam sungai,” katanya.
Tambah beliau, antara kejadian lain yang turut meragut nyawa termasuk insiden pada Disember 2021 membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan pada Disember 2022 pula seorang lagi kanak-kanak berumur 12 tahun maut selepas kereta dipandu bapanya terjunam ke dasar sungai.
“Bagi tahun 2023 dan 2024, tiada kes kemalangan direkodkan. Namun, awal tahun ini, berlaku satu lagi insiden membabitkan empat pelajar universiti yang nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka turut terhumban ke dalam sungai tersebut.
“Bagaimanapun, kesemua pelajar berjaya menyelamatkan diri selepas keluar dari kenderaan jenis Perodua Viva dan berenang ke tebing sungai,” jelasnya.
Mohd. Radzi turut menjelaskan, punca utama kejadian dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan serta permukaan jalan yang licin, selain faktor kecuaian manusia turut menjadi penyumbang.
“Orang ramai telah menyuarakan keperluan untuk pihak berwajib memasang penghadang keselamatan di laluan berisiko berhampiran sungai ini memandangkan beberapa kes lemas dan nahas telah berlaku,” katanya.
Beliau memaklumkan, cadangan yang akan dikemukakan termasuk pemasangan penghadang jalan yang lebih tinggi dan kukuh di lokasi berisiko serta penambahan papan tanda amaran seperti tanda jalan licin dan pemantauan berterusan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Selain itu, kempen kesedaran juga akan dipertingkatkan, terutamanya kepada pemandu yang menggunakan laluan berhampiran sungai secara bersendirian atau bersama ahli keluarga, lebih-lebih lagi pada waktu malam atau ketika hujan,” katanya lagi.
Pelakon Fatin Afeefa kelihatan sebak ketika menghantar anak lelakinya, Adam Aisy Arrian, ke sekolah agama untuk mendalami ilmu al-Quran.
Menerusi hantaran yang dikongsi oleh pihak pusat tahfiz di TikTok, dapat dilihat Adam melafazkan janji di hadapan kedua ibu bapanya.
Dalam lafaz tersebut, Adam berjanji akan berusaha menyelesaikan hafalannya dalam tempoh setahun serta berharap agar perjalanannya menjadi seorang hafiz dipermudahkan.
“Ia adalah tangisan penuh makna, lahir dari lubuk hati seorang ibu dan ayah di dunia realiti, saat menghantar anak mereka ke tahfiz.
“Perjuangan kini bermula. Beruntunglah ibu bapanya dikurniakan anak yang berada di jalan menghafal Quran. Tahniah Puan Fatin Afeefa dan suami kerana telah memilih untuk berada dalam perjuangan ini bersama anak.
“Moga Allah permudahkan langkah mereka,” tulis Akademi al-Quran Akmal di ruangan kapsyen.
NETIZEN TERHARU
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terharu serta kagum dengan cara Fatin Afeefa dan Opai yang bersungguh-sungguh mendidik anak-anak untuk menjadi seorang insan yang dapat berbakti kepada agama.
Sekadar info, Adam adalah anak daripada hasil perkahwinan pertama dengan bekas suami Fatin namun, dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan perkahwinan itu secara terperinci kepada umum.
Pada 21 Disember 2013, Fatin mendirikan rumah tangga dengan Adam dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ivy Herra Sophia sebelum memfailkan perceraian pada 30 Mei 2017 dan berpisah dengan baik.
Dia kemudiannya membina mahligai dengan Aliff pada Disember 2022 dalam majlis yang diadakan secara tertutup di Subang Jaya. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia tujuh bulan.
Sumber: Tiktok Akademik Al-Quran Akmal
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kronologi kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang merobek hati. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun terbabit bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Hakim Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
MEREKA DITUDUH BERSAMA-SAMA MEMBUNUH MOHAMAD NAZMIE AIZZAT, 17, DI BILIK ASRAMA KOLEJ BERKENAAN PADA JAM 9 MALAM 21 MAC HINGGA 7.38 PAGI 22 MAC TAHUN LALU.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.
Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
Berikut kronologi dan fakta kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat:
23 Mac 2024 – 13 remaja lelaki ditahan reman selama enam hari sebelum disambung sehingga 4 April.
2 April 2024 – 13 remaja itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu atas pertuduhan membunuh (tiada pengakuan direkodkan)
13 Jun 2024 – Mahkamah Tinggi Tawau menolak permohonan ikat jamin bagi tujuh tertuduh kerana tiada alasan istimewa dikemukakan, selain permohonan bersifat pramatang dan kes belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
16 Mei 2024 – Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan tarikh 27 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia dan bedah siasat.
25 Julai 2024 – Prosiding sebutan semula kes dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
13 Ogos 2024 – Semua 13 tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka mengaku tidak bersalah dan mahkamah tetapkan 10 hari perbicaraan.
19 November 2024 – Hari pertama prosiding perbicaraan peringkat pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dalam ucapan pembukaannya menegaskan pihaknya akan membuktikan semua 13 tertuduh terbabit memukul sehingga membawa kepada kematian mangsa.
19 November 2024 – Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol melawat lokasi kejadian di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu.
20 November 2024 – Perbicaraan hari kedua ditangguhkan susulan bantahan daripada peguam berhubung isu lantikan peguam. Tarikh baharu ditetapkan 26 November 2024.
26 November 2024 – Keterangan saksi-saksi pendakwaan. Warden asrama, Nuhrullah Aminuddin, dalam keterangannya memaklumkan Allahyarham ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri semasa kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada 22 Mac. Bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sempat diberikan kepada mangsa.
27 November 2024 – Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu, Mohammad Zul Amree Hamzah mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia antara satu hingga dua jam sebelum pasukan perubatan tiba mengesahkan kematian jam 7.38 pagi 22 Mac.
27 November 2024 – Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Mutalib, 39, mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul. Sebanyak 107 kesan kecederaan pada hampir keseluruhan tubuh (boleh diselamatkan jika segera dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan)
27 November 2024 – Siti Hamidah Jumari, 45, ibu kepada Allahyarham menangis ketika diminta membuat pengecaman gambar arwah anaknya. Hanya dapat membuat pengecaman pada sekeping gambar (gambar nombor 12) kerana sukar mengawal perasaan sedih.
27 November 2024 – Hakim Datuk Duncan Sikodol mengeluarkan amaran kepada keluarga tertuduh di mahkamah supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
28 November 2024 – Saksi dakwa nampak mangsa dipukul empat tertuduh di Bilik 7 Resak kira-kira jam 9 malam pada 21 Mac, namun tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana tidak mahu terbabit dan takut dipukul.
29 November 2024 – Saksi mendakwa perselisihan faham berhubung kecurian wang dipercayai menjadi punca mangsa dipukul walaupun menafikan melakukan perbuatan itu.
2 Disember 2024 – Saksi pendakwaan ke-12 (PW12) mendakwa melihat 10 tertuduh ‘mengerumuni’ mangsa ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan.
4 Disember 2024 Mohamad Nazmie Aizzat tidak bangun ketika dikejutkan untuk bersahur kira-kira jam 3.40 pagi 22 Mac selepas dipukul dalam bilik Asrama 5 Belian, pada malam sebelumnya.
5 Disember 2024 – Saksi pendakwaan PW19, memberitahu mahkamah Mohamad Nazmie Aizzat mengaku ada mengambil wang milik dua daripada 13 tertuduh sebelum memulangkannya semula, menyebabkan dia dipukul pada malam 21 Mac 2024.
5 Disember 2024 Peguam dakwa saksi pendakwaan tidak kompeten dan berbohong selepas gagal memberikan jawapan munasabah termasuk tidak mengetahui tarikh pernyataan saksinya disediakan.
6 Disember 2024 Pegawai forensik PDRM menemukan kesan darah pada lantai dan tilam bilik asrama 7 Resak, 5 Belian dan 7 Belian di kolej berkenaan yang dipasang tali kuning ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian, kira-kira jam 10 pagi pada 24 Mac.
9 Disember 2024 – Pendakwaan menutup kes selepas panggil 25 saksi.
28 Februari 2025 Mahkamah perintah 13 tertuduh bela diri. Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap semua 13 remaja.
10 Mac 2025 – Kes pembelaan bermula dengan keterangan semua tertuduh diberikan secara bersumpah dari kandang saksi. Dua tertuduh mendakwa mereka dipaksa membuat pengakuan berhubung kematian mangsa.
12 Mac 2025 – Tertuduh pertama mendakwa hanya menolak dan menepis bahu mangsa.
13 Mac 2025 – Tertuduh keenam mengaku memukul dan menendang mangsa kerana kecewa.
14 Mac 2025 – Tertuduh kelapan mendakwa tidak nampak mangsa dibelasah beramai-ramai.
15 Mac 2025 – Tertuduh kesembilan mendakwa dihasut untuk memukul mangsa. Prosiding pembelaan ditutup selepas 18 saksi, termasuk semua tertuduh, selesai memberi keterangan.
29 April 2025 – Pendakwaan memfailkan hujahan bertulis
6 Mei 2025 – Pembelaan mengemukakan hujahan balas.
11 Jun 2025 – Keputusan kes yang sepatutnya dijadualkan hari ini ditangguh ke tarikh lain sebanyak tiga.
22 Ogos 2025 – Mahkmah dapati semua 13 tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
28 Ogos 2025- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.