Kerajaan Negeri 1Terengganu akan menyalurkan Bantuan Khas Tunai RM10,000 kepada setiap keluarga yang kehilangan ahli keluarga disebabkan banjir sebagai tanda simpati terhadap kejadian yang berlaku.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri turut menyalurkan Bantuan Khas Tunai RM 1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar sebagai mangsa banjir bagi meringankan beban mereka.

“Bantuan lain seperti pembaikan rumah yang rosak, pembinaan semula rumah yang musnah dan lain-lain kerosakan infrastruktur akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri setelah mendapat maklumat penuh penilaiannya,” katanya Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini selepas taklimat pengurusan banjir di Pejabat Daerah Kemaman baru-baru ini.

Ahmad Samsuri sebelum itu meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Binjai Kemaman.

Katanya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang beroperasi di negeri ini atau di luar negeri Terengganu yang ingin memberi sumbangan supaya menyalurkannya menerusi Tabung Darul Iman.

IKLAN

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana menghulurkan bantuan segera RM50 juta, selain kerajaan negeri Selangor sebanyak RM500,000, Pahang (RM150,000) dan Kedah (RM200,000).

Sementara itu dalam sidang media yang turut disiarkan menerusi Facebooknya itu, Ahmad Samsuri menyifatkan banjir yang dialami oleh Terengganu kali ini agak luar biasa sehingga menjejaskan persiapan yang dilakukan kerajaan negeri sebelum ini.

“Kita berdepan dengan cabaran yang agak luar biasa kali ini berikutan cuaca yang agak ekstrem yang tidak pernah dihadapi dalam sejarah negeri Terengganu.

IKLAN

Hujan lebat telah menyumbang kepada keadaan banjir yang luar biasa ini dan kita mengakui di sana sini ada kelemahan walaupun kita telah bersedia.

“Perbincangan dan mesyuarat untuk menghadapi banjir ini telah dilakukan secara berkala lebih awal sebelum ini, tetapi cuaca yang ekstrem telah mengatasi perancangan kita sehingga ada tempat-tempat tertentu tidak mampu dicapai oleh aset yang ada,” katanya.

Keadaan itu katanya menyebabkan kerajaan negeri terpaksa memohon bantuan daripada pihak luar termasuk pihak swasta untuk membantu memindahkan mangsa banjir.

IKLAN

Beliau turut mengakui ada mangsa banjir yang lewat menerima bantuan makanan dan keadaan itu terjadi apabila premis yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) turut dinaiki air dan mereka terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

“Jadi ini memberikan satu cabaran besar kepada seluruh agensi yang terlibat menguruskan banjir kali ini.

“Sehubungan itu segala kekurangan daripada kelemahan itu sekiranya datang daripada pihak kerajaan, saya ambil kesempatan memohon berbanyak maaf dan akan cuba memperbaiki pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: Bernama menerusi Astro Awani

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI