
Bas ekspres bawa pelajar UMPSA rempuh belakang treler LPT 1. Sebuah bas ekspres yang membawa seramai 28 penumpang termasuk 20 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terlibat dalam satu insiden mencemaskan apabila kenderaan itu melanggar belakang sebuah lori treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) menghala ke Timur, awal pagi tadi.
Bas Ekspres Bawa Pelajar UMPSA Rempuh Belakang Treler LPT 1
Kejadian yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sebuah bas milik LA Holidays Travel and Tours Sdn. Bhd. yang sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Terminal Sentral Kuantan.

Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, hasil siasatan awal mendapati bas yang dipandu oleh lelaki berumur 38 tahun itu telah melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Nissan MK262 yang sedang berada di lorong kiri lebuh raya berkenaan.
“Ketika insiden berlaku, lori berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum dilanggar dari arah belakang oleh bas yang membawa penumpang termasuk pelajar universiti tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan melibatkan semua individu terlibat termasuk pemandu dan kelindan lori, serta pemandu bas itu sendiri. Kesemua penumpang telah dipindahkan ke bas gantian untuk meneruskan perjalanan ke destinasi mereka di Kuantan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaan ketika berada di lorong yang sama dengan treler tersebut.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA, Haykal, memaklumkan bahawa semua 20 pelajar UMPSA yang menaiki bas berkenaan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pelajar tiba di kawasan Masjid UMPSA, Kampus Gambang sekitar jam 3.56 pagi dan disambut oleh pasukan MPP yang turut membantu memastikan setiap pelajar dihantar pulang ke kolej kediaman masing-masing dengan selamat,” katanya.
Sumber: Kosmo online
Baca artikel lain juga: Nahas Pelajar UPSI, 15 Terbunuh, Kemalangan Libatkan Bas Dan MPV Di Jalan Gerik-Jeli
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my