
Ramai orang yang sering menggunakan perkataan ‘pening’ apabila mengalami rasa tidak selesa pada bahagian kepala. Kadang kala istilah itu mengelirukan, bukan saja doktor yang merawat tetapi juga orang yang mendengar.
.
Sebagai contoh ramai yang mengatakan bahawa mereka pening apabila mereka sebenarnya sakit kepala. “Saya peninglah melihat telatah awak” Apa yang cuba dimaksudkan ialah sakit kepala melihat telatah kawan dia yang mungkin menyakitkan hatinya.
.
Sakit kepala sebenarnya rasa sakit pada bahagian kepala, sama ada rasa sakit berdenyut-denyut, rasa seperti ditekan atau dihempap kepala atau rasa menyucuk-nyucuk di dalam kepala. Rasa pening pula adalah rasa seperti kita duduk di atas kerusi dan rakan kita memutarkan kerusi itu. Atau pun kita duduk di kerusi, seluruh bilik berputar mengelilingi kita.
.
Ada juga yang menggunakan istilah pening apabila rasa seperti mahu pitam kerana tiba-tiba rasa kepalanya ringan atau rasa dirinya mahu terbang dari atas tanah. Seolah-olah beliau rasa ditarik ke atas udara secara tiba-tiba. Pesakit ini mungkin rasa tidak stabil dan mahu jatuh. Sebenarnya beliau lebih rasa tidak seimbang lalu mahu jatuh. Ini adalah tanda yang lebih bahaya. Dalam bahasa mediknya disebut sebagai “presyncope”. Ini berlaku apabila kepekatan oksigen yang sampai ke otak tidak mencukupi. Ia mungkin tanda strok, serangan sakit jantung dan sebagainya.
.
Rasa pening juga boleh terjadi apabila seseorang itu bernafas terlalu laju, atau kita sebut sebagai ‘hyperventilation’. Selalunya disebabkan oleh perasaan terlalu risau. Ini pula berlaku apabila terlalu banyak oksigen sementara terlalu sedikit kepekatan karbon dioksida yang sampai sampai ke dalam otak. Perlu ada keseimbangan antara kepekatan oksigen dan karbon dioksida yang kita hirup dari udara.
.
Jadi sangat penting bagi seorang doktor mengetahui sama ada seseorang itu benar-benar ‘pening’ atau mengalami masalah lain seolah-olah pening. Ini kerana punca, pemeriksaan dan rawatan bagi pening berbeza dengan masalah yang lain.
.
Tetapi apabila selalunya jika seseorang pesakit mengadu pening, selalunya ia merujuk kepada masalah vertigo. Namun sebagai doktor ialah harus memastikan perkara ini dengan bertanyakan beberapa soalan.
.
Antara soalan yang biasa ditanyakan ialah “Puan rasa seluruh bilik ini berpusing atau puan rasa sakit kepala seperti berdenyut-denyut?” Ini dapat membezakan antara dua simptom atau gejala yang berbeza.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Elak Anak Bersikap Buruk, Ibu Ayah Wajib Ajar Adab Baik Pada Mereka! Barulah Disenangi Orang Ramai

Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Sama juga dengan anak-anak, kalau mahukan yang terbaik dari mereka, kita sebagai ibu bapa lah yang perlu membentuk sejak dari mereka kecil lagi.
Lebih-lebih lagi dalam menjaga adab mereka. Selalunya kalau jumpa orang yang kurang dari segi adabnya atau lebih sinonim dengan kurang ajar pun kita dah tak suka, sanggup ke kita lihat anak yang kita kandung dan jaga menjadi begitu juga? Mintak jauh la nak oiii!!!
Jadi, kalau nak anak kita jauh dari segala benda negatif, masih belum terlambat untuk ibu bapa jadikan diri sendiri sebagai contoh untuk anak-anak dan terapkan beberapa adab untuk mereka ikuti dan aplikasikan dalam kehidupan mereka seperti yang dikongsikan oleh Ahmad Farid dalam Hello Doktor ini.
Adab seorang anak yang ibu bapa wajib ajar!
#1. Adab meminta tolong dan berterima kasih
Ini adalah asas kepada jati diri seorang kanak-kanak yang beradab.
Ibu bapa perlu pastikan mereka sentiasa menggunakan perkataan ‘tolong’ apabila meminta sesuatu dan ‘terima kasih’ apabila menerima sesuatu daripada anda.
Tegaskan juga kepada mereka bahawa ini tidak termaktub antara dia dengan ibu bapa sahaja malahan juga kepada individu lain seperti adik-beradik, saudara-mara,rakan-rakan, guru ataupun pembantu rumah.
#2. Adab untuk tidak menyampuk
Pasti anda pernah melihat ibu bapa memarahi anak mereka kerana menyampuk ketika mereka sedang bercakap dengan individu lain bukan?
Ini kerana perbuatan menyampuk adalah biadab terutamanya dalam kalangan masyarakat kita.
Jadi, ajar anak anda awal-awal lagi untuk tidak menyampuk ketika anda atau sesiapapun sedang bercakap walaupun ia ada kaitan dengan mereka.
Jika terjadi, jangan marah mereka tetapi nasihatilah mereka dengan cara baik.
#3. Adab untuk tidak mengkritik dan mengejek individu lain
Siapa sahaja yang suka akan kritikan dan ejekan bukan? Jadi, anda perlu sentiasa ajar anak anda untuk tidak mengkritik atau mengejek individu lain terutamanya perkara yang melibatkan fizikal semula jadi mereka.
Tambahan itu, kita tinggal di bumi Malaysia yang hidup berbilang kaum. Jadi, sebarang kutukan berbaur rasis seperti warna kulit atau saiz mata perlu dilarang sama sekali.
Sebaliknya, ajar mereka untuk gemar memuji dan menghargai individu lain.
#4. Adab untuk berkongsi dengan anak lain
Sharing is caring. Sikap suka berkongsi adalah sesuatu yang sangat mulia. Bayangkan apabila anda melihat anak anda sanggup berkongsi permainan mereka bersama kanak-kanak yang kurang mampu.
Pasti ia akan membuat anda berasa syahdu bukan?
Seiring mereka membesar, sentiasa ajar anak anda untuk berkongsi apa yang mereka ada sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta, idea atau tenaga bersama individu lain yang kurang bernasib baik.
#5. Adab ketika bercakap di telefon
Ketika menjawab panggilan telefon, kita perlu sentiasa beradap. Mulakan dengan sapaan seperti ‘helo’ atau ‘hi’ dengan nada yang baik dan kenalkan diri anda.
Jika sedang menelefon seseorang pula, kita tidak patut bertanya siapakah individu itu.
Paling penting, gunakan kata-kata yang sopan sahaja. Ini perlu diajar kepada anak anda daripada kecil lagi agar dia terbiasa dan terus melakukannya sehingga dewasa kelak.
#6. Adab ketika bermain di luar
Anda sebagai perlu menetapkan peraturan buat anak anda ketika bermain di luar agar mereka tidak bermain sehingga tidak ingat dunia.
Sebagai contoh, ajar mereka untuk membasuh kaki sebelum masuk ke rumah dan mandi setiap kali selepas bermain.
Selain itu, tetapkan waktu mereka boleh keluar bermain dengan pengawasan anda. Ini bukan sahaja akan mengajar anak anda untuk beradap, ia juga akan membentuk mereka agar berdisiplin dewasa kelak.
#7. Adab di meja makan
Bukan sahaja dari aspek perbuatan, seorang kanak-kanak juga perlu beradab ketika berada di meja makan.
Tanpa mengira siapa ada di meja makan atau jenis keraian yang sedang diraikan, anda perlu ajar mereka untuk sentiasa bersopan di meja makan.
Antara yang perlu diutamakan adalah untuk tidak bercakap semasa mulut penuh dengan makanan dan makan apabila semua sudah ada di meja makan terlebih dahulu.
Paling penting, ajar mereka untuk bercakap benda-benda baik sahaja ketika sedang makan.
Kesimpulannya, terdapat banyak lagi adab dengan ibu bapa serta individu lain yang anda perlu ajar kepada anak anda untuk memastikan mereka berjaya menjadi modal insan yang beradab, bersopan dan berguna kelak.
Apa yang paling penting, kekalkan semua sifat positif dan buangkan segala sikap negatif dalam diri mereka!
Selain itu, anda perlu jadi ibu bapa yang hebat kerana ibu bapa sebenarnya adalah role model yang diidolakan oleh setiap anak.
Sumber : Hello Doktor
Mantan Editor Ulas Pergelutan Peguam Dan Jurugambar, Ada Logiknya Juga!

Kecoh di media sosial mengenai pergelutan peguam Samirah bergaduh dengan jurugambar media (video) di mahkamah.
Difahamkan suasana di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam gamat seketika apabila petugas media dipercayai dihalang merakam gambar oleh seorang peguam dipercayai mewakili Samirah Muzaffar yang hadir bagi mendengar keputusan peringkat pendakwaan membunuh suaminya, Allahyarham Nazrin Hassan empat tahun lalu di Mahkamah Tinggi hari ini.
Dikatakan peguam berkenan telah menjerit dan meminta supaya diberi laluan selain cuba menolak jurugambar yang melakukan tugasan di lokasi. Akibat tidak puas hati dengan tindakan peguam itu, jurugambar media yang ditolak telah membalas dan berlaku pergelutan namun dihalang beberapa individu. Kejadian itu berlaku ketika Samirah bersama beberapa peguam lain tiba untuk menaiki lif ke mahkamah tersebut, kira-kira pukul 9.05 pagi.
Dalam pada itu, kejadian itu telah menarik perhatian mantan editor, Norman Radzuan menerusi facebooknya berpendapatan perkara itu tidak harus berlaku. Ia melibatkan etika seorang jurugambar semasa bertugas. Ikuti lanjut pandangan beliau.
Jika saya masih Editor saya salahkan jurugambar.
SIAPA BERSALAH PEGUAM ATAU JURUGAMBAR?
Jurugambar ‘hempuk’ kepala peguam siapa yg bersalah? Beginilah jika mengikut mahkamah majistret jurugambar tu bersalah tetapi jika mengikut mahkamah sesyen peguam tu bersalah…so kita tunggu mahkmah rayuan buat keputusan muktamad.
Ok serius. Semalam viral kes jurugambar memukul peguam dgn kamera. Berulang kali saya melihat rakaman kejadian tersebut dari pelbagai video. Ya sikap peguam itu agak kasar (kurang diplomasi) kpd jurugambar.
Peguam ini kurang profesional dlm berbicara dgn jurugambar atau bahasa lainnya melakukan provokasi walaupun dia berniat utk melindungi anak guamnya.
Tapi saya melihat lebih tidak profesional sikap sebilangan jurugambar. Saya rasa tiada keperluan pun utk berebut rebut mengambil gambar closeup berulang kali. Apatah lagi peguam dan anak guamnya memakai mask… jadi reaksi wajah tidak dpt. Snap byk mana pun tetap keadaan yg sama.
Akhirnya berita anda sendiri yg menjadi perhatian berbanding dgn kes mahkamah tersebut. Gambar atau video kalian yg menjadi pertikaian dan berita.
Atau dlm istilah lainnya wartawan ambil berita wartawan. Kalian cipta berita sendiri di mahkamah. Lain yg patut dibuat liputan… anda pulang bawa berita sendiri.
Mungkin kadang2 terlebih seronok bersama rakan2 jurugambar berkerumun camtu atau dlm bahasa lainnya over. Saya lihat mereka terdiri dari anak2 muda yg agak excited dgn tugasan mereka. Sdgkan gambar yg akn dimuatkan di dlm akhbar nanti hanyalah sekeping. 50 keping snap gambar tetap tanpa reaksi.
Yang pelik yang pakai kamera DSLR tu ambil sampai depan muka tu dah kenapa? Cukuplah 10 kali snap dan tak perlu pun berkejar sampai ke pintu lif utk apa??? Kalau ambil gambar di pintu lif boleh jual ratusan ribu akhbar?
Lainlah anak guam tersebut ingin ditemubual.16 tahun saya dlm bidang kewartawanan rasa kadang2 situasi begini byk kelucuannya. Tak dinafikan ada juga rakan-rakan jurugambar ketika itu yang terover terutama yang masih baru. Sampai lupa ganti film atau terover pakai film (era 90an masih gunakan film).
Ada juga dulu era 90an seorang jurugambar pergi ikut operasi ‘maknyah’. Bila polis dan pihak jabatan agama kejar mak nyah… dia pun sibuk kejar.
Balik office tanya gambar dia (jurugambar) kata lupa snap sb over excited buat kerja org lain. Kita nak ambil berita pulang tanpa berita. Akhirnya dia mendapat gelaran khas di pejabat.
Sejujurnya jika saya masih antara editor. Saya akan menegur gaya kerja jurugambar saya jika mereka berada dlm kejadian tersebut. Mengapa sampai halang laluan, mengapa perlu berebut rebut, mengapa sampai kamera depan muka dan sampai perlu memaki dan memukul peguam tersebut.
Ya benar peguam tersebut kurang diplomasi tetapi kita kena bekerja secara profesional. Di luar negara ramai atlit, artis, org politik ambil kamera campakkan ke lantai.
Kita kena saling hormat menghormati. Ya tugas kita perlu gambar tetapi lihatlah situasinya bagaimana. Lagipun zaman ‘abang’ dulu… kami atas budi bicara boleh minta gambar dkt rakan2 di Utusan, Berita Harian, Star, Sun dan lain-lain.
Maaf ya jika saya menegur… jika rasa betul teguran ini harap jgn lakukan lagi. Saya doakan peguam itu tidak saman kau dik.
TERKINI:
Sumber: Norman Radzuan
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
‘Ketahuilah Bahawa Masa Berbaki Tidaklah Banyak…’ Perkongsian Lelaki Ini Bersama Ibu 49 Hari Sebelum Meninggal Dunia Undang Sebak!

Percayalah sikap bertangguh akan membuatkan kita akan menyesal selamanya lebih-lebih lagi jika ia membabitkan insan yang kita sayangi.
MAsa takkan sesaat pun dapat diputar kembali. Jadi hargailah mereka terutama ibu bapa selagi mereka masih ada.
Jika satu hari nanti kita sudah kehilangan mereka, pasti akan wujud perasaan penyesalan yang tidak terhingga dan ketika itu hanya kenangan yang akan menemani kerinduan yang tiada hujungnya.
Perkongsian seorang lelaki di laman sosialnya mengenai ibunya sangat meruntun jiwa. Apa yang lebih menyentap adalah pesanan buat semua yang mempunyai ibu bapa.
Berikut adalah perkongsian Mohd Yazid Ismail di laman
Ini gambar 49 hari sebelum mak meninggal dunia. Gambar 15 Mac 2023, dalam flight AirAsia untuk balik ke Kota Bharu. Saya hanya berdua dengan mak.
Kami bawa mak jalan-jalan KL lebih seminggu. Mak ada 4 orang anak menetap di Lembah Klang.
Mak bermalam di rumah saya beberapa hari. Ketika berborak mak banyak kali bagitahu “raso nok mati dh” setiap kali merasai dirinya makin lemah dan makin pelupa.
Saya sedih, tidur dengan linangan air mata.
Ketika saya bawa mak ke rumah adik di Puchong, mak sangat gembira dan ceria. Kemudian dalam kereta masa nak balik ke rumah saya, mak tanya soalan yang saya akan ingat sampai bila-bila. Biarlah ia rahsia.
Alhamdulillah saya bersyukur sangat sebab dapat tunaikan beberapa permintaan mak. Ada 1 yang tak berjaya saya tunaikan, mak nak buat pembedahan mata dengan Prof. Muhaya. Mak bagitahu harapan nak ke klinik prof, tapi kesihatan tidak mengizinkan.
Bagi sesiapa yang masih mempunyai ibu dan ayah, ketahuilah bahawa masa berbaki tidaklah banyak. Antara penyesalan yang terbesar ialah dari sebab sifat bertangguh, bila kita anggap masih ada masa yang panjang berbaki.
Sejak tular perkongsian ini, Yazid turut mendedahkan bagaimana ibunya membesarkan mereka 16 beradik.
Saya ada 16 adik beradik seibu sebapa.
1 hingga 11 semua lelaki.
12 hingga 16 semua perempuan.
Pada tahun 1991, masa mak mengandung anak ke16 ayah diserang stroke dan lumpuh. Hilang sumber pendapatan. Tiada simpanan sebab hidup cukup-cukup makan je.
Alhamdulillah pihak masjid bagi wang ehsan setiap bulan hanya rm150.
Mak besarkan kami dan dalam masa yg sama uruskan ayah yg lumpuh dengan seratus lima puluh tu. Macam mana boleh survive? Ni semua urusan Allah..semua rezeki dari Allah.
Allah bagi rezeki kepada anak-anak dalam bentuk kesedaran untuk berdikari. Walaupun masih sekolah rendah kami dah mula cari duit sendiri. Jadi buruh sementara, kutip botol dan tin aluminium untuk dijual, bercucuk tanam dan lain-lain.
Pada tahun 2001, ketika tingkatan 4, saya masih kutip kayu api untuk masak. Ada berlaku kecederaan ketika sedang memotong kayu, parang terkena kat tangan. Ada kesan parut di tangan kiri.
Makanan kami juga tidak semewah orang lain. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada Rancangan Makanan Tambahan RMT, dapatlah kami rasa makan yang sedap secara berterusan.
Walau keadaan hidup begitu susah, tidak pernah sekalipun mak berhenti berjuang mahupun mengaku kalah dalam membesarkan anak-anaknya.
Mak juga tidak berkeluh-kesah di hadapan anak-anak, biarpun beberapa kali saya melihat mak menangis mungkin kerana terlalu berat menanggung keperitan hidup. Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan emak.
Ketika itu memang tidak banyak yang boleh kami bantu, malah untuk angkat ayah yang lumpuh untuk dimandikan pun susah. Saya banyak kali menangis sebab melihat ayah yang makin lemah dan kudis di badannya makin besar disebabkan terlalu lama baring..sangat meruntun jiwa.
Nasib baik abang-abang di sekolah menengah banyak tolong dengan penuh kesabaran tetapi apabila mereka masuk universiti, tinggal kami yang kecil-kecil sahaja di rumah.
Sehingga tahun 2001, kami masih memasak menggunakan dapur kayu api. Bukan tidak ada dapur gas tetapi mahu menjimatkan wang daripada membeli gas. Kalau bekalan kayu api berkurang, kami adik beradik akan masuk hutan mencari kayu api. Ketika itu tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya keluarga kami sahaja.
Mak pula pegang prinsip tidak akan hutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada. Alhamdulillah, beban emak sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirim duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung.
Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung.
Sepanjang ingatan saya, semasa ayah masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian pelajaran anak-anak, tapi ayah selalu tanya tentang solat di masjid atau tak.
Arwah ayah selalu pesan, “tidak guna belajar tinggi dan pangkat tinggi tapi solat jemaah tidak dijaga”. Arwah ayah memang sangat menekankan pendidikan agama dan praktikalnya.
Walaupun kami masa masih bersekolah dan sangat sibuk dengan mencari duit tapi kami tetap ke masjid solat jemaah. Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun, syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran.
Alhamdulillah 1 hingga 16 berjaya semua masuk universiti.
Pesanan untuk ibubapa, bagi mendapat keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah.
Sekarang bila tengok orang yg kutip tin dan botol di tepi jalan saya teringat keadaan saya dulu-dulu.
Sumber: Mohd Yazid Ismail