Apabila datangnya bulan Ramadan pelbagai persoalan yang timbul dalam pelbagai aspek. Ia termasuk mengenai pergaulan dengan pasangan ketika bulan puasa.
Menerusi sebuah laman maktabahalbakri.com menjelaskan persoalan mengenai hubungan suami isteri yang memberi ciuman mesra ketika bulan puasa.
Nak tahu lanjut, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. ada penjelasannya.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah seorang suami dibolehkan untuk tidur sebelah isterinya berpelukan pada siang hari Ramadhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mencium salah seorang isteri Baginda dalam keadaan Baginda sedang berpuasa.”[1]
Begitu juga dalam riwayat Aisyah R.Anha yang lain, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ
Ads
Maksudnya: “Rasulullah SAW mencium (isterinya) dalam keadaan Baginda sedang berpuasa. Baginda juga bermesra-mesraan (dengan isterinya) dalam keadaan Baginda berpuasa, akan tetapi Baginda ialah orang yang paling kuat menahan syahwatnya.”[2]
Secara umumnya, perbuatan bermesraan sesama suami isteri adalah suatu perkara yang menjadi lumrah dalam kehidupan rumah tangga. Berdasarkan hadith-hadith di atas, kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW juga mencium dan bermesra-mesraan dengan para isteri Baginda.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa dihukumkan sebagai makruh bagi sesiapa yang bercumbuan dalam keadaan dia sedang berpuasa jika terangsang syahwatnya dan tidak dihukumkan sebagai makruh bagi selainnya — yang mampu mengawal nafsunya. Namun, yang utamanya adalah meninggalkan perbuatan tersebut.
Begitu juga tidak ada beza antara orang tua dan orang muda kerana perkara yang diambil kira ialah terangsang syahwat dan dikhuatiri keluarnya air mani. Dalam erti kata lain, jika seorang tua ataupun muda itu kuat untuk terangsang syahwatnya, maka hukumnya adalah makruh, dan jika tidak terangsang syahwatnya, maka hukumnya tidak makruh.
Akan tetapi yang utamanya meninggalkan perbuatan bercumbuan itu, tidak kira mencium pipi, mulut atau selainnya. Begitu juga perbuatan bermesra-mesraan dengan tangan dan berpelukan, hukumnya adalah sama dengan hukum bercumbuan.
Kemudian, hukum makruh yang dimaksudkan bagi sesiapa yang terangsang syahwatnya ialah makruh tahrim. Ini merupakan pendapat pengarang al-Muhazzab, al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-‘Abdari dan lain-lain ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala sebahagian lagi pula berpendapat, hukum makruh di sini ialah makruh tanzih selagi mana tidak keluar air mani. Inilah pendapat yang disahihkan oleh al-Mutawalli. Namun, al-Rafi‘i dan selainnya menyebutkan, pendapat yang paling sahih ialah makruh tahrim. Selain daripada itu, apabila seseorang itu berciuman dan tidak keluar air mani, maka puasanya tidak terbatal tanpa sebarang khilaf di sisi ulama mazhab Syafi‘i, tidak kira bagi mereka yang berpendapat makruh tahrim atau tanzih.
Keluar Air Mani Batal
Di samping itu, seluruh fuqaha menyebutkan bahawa perbuatan berciuman itu tidak membatalkan puasa melainkan berlakunya inzal (keluar air mani). Oleh itu, sekiranya keluar air mani, maka puasanya batal dan wajib ke atasnya untuk menggantikannya tanpa dikenakan kafarah.[3]
Justeru, difahami bahawa puasanya tidak terbatal semata-mata disebabkan perbuatan berciuman, berpelukan dan bermesraan tetapi disebabkan oleh keluarnya air mani kerana perbuatan itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab, beliau berkata:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium (isteriku) dalam keadaan aku berpuasa. Maka Baginda SAW menjawab: ‘Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa?’”[4]
Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith ini menyatakan, Baginda SAW menyamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur-kumur. Sesungguhnya telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur-kumur lalu air sampai ke dalam rongganya, maka ia membatalkan puasa, dan sekiranya air tidak sampai ke dalam rongganya, maka ia tidak membatalkan puasanya. Justeru, ini menunjukan bahawa perbuatan berciuman (atau berpelukan) itu adalah sama sepertinya — yakni berkumur-kumur.[5]
Selain itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi juga ada menyebutkan, seorang lelaki yang mencium dan bermesraan dengan isterinya selain daripada jimak, sedangkan dia dalam keadaan berpuasa, kesemuanya itu adalah diharuskan dan tidak mengapa melakukannya kerana Nabi SAW sendiri mencium dan bermesraan dengan isterinya, sedangkan Baginda dalam keadaan berpuasa. Akan tetapi jika dia takut terjatuh ke dalam perkara yang diharamkan oleh Allah SWT disebabkan cepat terangsang syahwatnya, maka perbuatan tersebut adalah makruh. Sekiranya air maninya keluar (kerana perbuatan itu), wajib ke atas dirinya untuk imsak (menahan diri daripada makan dan minum) dan qadha’ (menggantikan puasa) serta tidak diwajibkan kaffarah di sisi jumhur ulama. Adapun keluarnya air mazi tidak merosakkan puasa menurut pendapat yang sahih dalam kalangan ulama kerana hukum asalnya adalah sah dan tidak membatalkan puasa disebabkan kesukaran untuk mengelakkan diri daripadanya.[6]
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa seorang suami yang tidur disebelah isterinya dalam keadaan berpelukan pada siang hari Ramadhan, hukumnya adalah makruh sekiranya perkara itu menyebabkan syahwatnya terangsang atau dikhuatiri keluarnya air mani, dan tidak mengapa serta tidak makruh jika dia mampu untuk menjaga dirinya daripada hal itu.
Tidak kira dia seorang lelaki tua mahupun pemuda. Namun, adalah lebih baik untuk dia meninggalkan perbuatan berpelukan itu, ketika dia sedang berpuasa kerana hal itu adalah lebih selamat dan keluar daripada khilaf. Begitu juga puasanya tidak terbatal selagi mana tidak keluar air mani. Ini adalah sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i.
Walau bagaimanapun, jika perbuatan berpelukan atau bermesraan itu menyebabkan keluarnya air mani, maka puasanya adalah terbatal. Dia wajib menggantikan puasa itu dan tiada kafarah dikenakan ke atasnya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Keluarga Talk: PUASA MENDIDIK JIWA KELUARGA SAKINAH
Sepanjang bulan ramadan ini, selain mendidik anak-anak untuk berpuasa, ibu ayah juga boleh mengajar dan membetulkan ibadah lain anak-anak seperti solat, sedekah dan ibadah sunat lain. Jom ikuti perkongsian menarik dalam Keluarga Talk Puasa Mendidik Jiwa Keluarga Sakinah bersama panel, Pendakwah Bebas, Ustazah Nur Aqidah
Bintang Kecil: APA ITU NUZUL QURAN
KELUARGA TALK: Nwan Shah Bin Mohd Dali Fakulti Ekonomi Dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Nak tahu formula mengurus belanjawan keluarga dengan sistematik? Ikuti Keluarga Talk kali ini dengan tajuk ‘ Ringgit Diurus Keluarga Lebih Tenang’ bersama panel Prof Madya Dr Nuradli Ridz
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Pelakon dan juga penerbit terkenal, Sheila Rusly sebelum ini memuat naik berita gembira menimang cucu sulung.
Dai yang juga ibu mentua kepada Elisya Sandha gembira dan teruja apabila menantunya itu selamat melahirkan bayi sulungnya iaitu seorang bayi perempuan di salah sebuah hospital swasta.
Turut berbuat demikian adalah Fasha Sandha yang juga merupakan kakak kepada Elisya. yang begitu teruja dan gembira menyambut kelahiran anak buahnya. Bahkan Fasha telah berkongsi nama bayi Elisya yang diberikan nama sebagai Bunga El Haq.
Bersempena Sambutan Hari Bapa,Sheila Rusly berkongsikan gambar-gambar cucu barunya bersama suanibya, Tok Sidang, Uzair Haqimy dan bapa Elisya Sandha dalam sebuah video.
Happy Father’s Day!!
Everyone can be a father but it takes someone special (tall handsome dark & macho) to be a Daddy Papa & Dad🤪.
Kasih sayang ibu tiada sempadan demi memastikan anak tersayang dijaga dengan sempurna walaupun punya kekurangan diri. Begitulah perkongsian yang dipaparkan oleh sukarelawan Natipah Abu Bakar di laman facebooknya mengenai kisah kemiskinan sebuah keluarga yang mempunyai anak istimewa. Sebak membaca perkongsian yang dipaparkan. Moga kita dapat membantu menambah keperluan keluarga ini.
AHMAD AMMAR BIN IBRAHIM -4 THN ( CEREBRAL PALSY )bs
Kita kata kita susah . Hakikatnya di luar sana ada lagi yang lebih susah dari kita. Inilah realiti kehidupan.Menitik air mata saat pertama kali menjejakkan kaki ke dalam rumah anak syurga ini. Dua bidang tikar lusuh menyambut kedatangan kami. Halkum bagaikan tersumbat untuk terus melontarkan soalan demi soalan seperti lazimnya. Rasanya … inilah antara anak syurga yang paling dhaif pernah diziarahi setakat ini.Melihatkan keadaan dari luar rumah batu yang di sewa dengan harga RM200 ini , nampak biasa saja. Tetapi bila melangkah ke dalam .. spontan hati berbisik .. “ Ya Allah .. kesiannya “ Lihatlah tempat tidur anak syurga ini .. hanya beralaskan sehelai toto dengan bantal yang sangat lusuh. Tiada tilam yang selesa untuk dia pun. “ Nak tak kita beli katil khas untuk dia, macam katil hospital tu ? “ Terasa ingin sekali memberikan keselesaan buatnya yang hanya mampu terlantar. Ayahnya , Ibrahim bin Abdul ( 52 thn ) hanyalah seorang penoreh getah , pawah. Tetapi jawapan si ibu ini ada benarnya … “ Tak payahlah Kak Pah. Anak saya tak mau renggang langsung dari saya. Saya nak kena tidur sebelah dia. Kalau katil tu .. mana muat … “ Sepanjang di kami berada di rumahnya .. Ammar asyik menangis kerana enggan berenggang sedikit pun dengan ibunya , Maszelina Binti Othman ( 39 thn ). Kasihan ibu …tercungap nafas menampung berat badan anaknya. Di saat anak kita yang lain bermewah dengan berbagai jenis alat permainan yang canggih …. Ammar hanya ada sebilah batang buluh sebagai mainan. Batang buluh itu diketuk perlahan di lantai untuk mengeluarkan bunyi atau bila dia tidur di dalam buaian … buluh itu diketuk pula ke besi buaian. Bunyi yang dihasilkan itu menyebabkan anak ini diam. Menjeling ke dalam bilik tidur … hanya ada sehelai toto lusuh terbentang di atas lantai buat mengalas belakang. Tiada peti sejuk atau lain-lain perhiasan pun dalam rumah ini. Yang ada hanya sebuah peti tv kecil lama yang di sedekahkan orang dan sebuah jam dinding.
Kelihatan di satu sudut rumah pula sebuah stroller usang … yang mungkin juga disedekahkan orang tetapi sudah tidak muat lagi untuk anak ini . Terasa untungnya ibu bapa anak syurga lain di luar sana yang sekurang-kurangnya masih mampu selesa makan tidurnya. Masih ada kereta ibu ayahnya. Masih ada wasap ibu-ayah sehingga dengan mudahnya memuat naik status meminta bantuan untuk anak mereka. Tapi anak syurga ini, tiada semua itu. Tiada tempat tidur yang selesa pun. Makan minum entah bagaimana. Tiada juga telefon canggih. Berulang alik ke hospital pun dengan teksi saja. Anak tunggal pasangan ini, lahirnya normal .. namun ketika usia 9 bulan .. segalanya berubah bila dia diserang demam panas dan disusuli dengan sawan. Ibu yang ketika itu bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di sini akhirnya terpaksa berhenti kerja kerana terpaksa keluar masuk hospital merawat dia yang disahkan jangkitan kuman. 2016 … dua kali darah beku disedut keluar dari kepalanya. Akhir sekali … 2 April 2018 … anak ini ada menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya. Kesembuhan yang diharapkan belum menampakkan tandanya. Namun buat si ibu .. dia tetap redha menerima segala yang telah ditakdirkan. Selain susu … Ammar diberi makan “ roti empat segi “ atau biskut yang direndam dengan air.
“ Saya tak mau duit, saya hanya nak susu dan pampers untuk anak saya. .Biarlah saya susah .. tak apa … asal susu anak tak putus . “ Keluarga ini ada menerima wang bantuan JKM … dengan wang itulah ibu mencatu segala keperluan kerana berapa lah sangat pendapatan suami. Kita di sini , akan menyumbang bekalan susu dan lampin pakai buang utk anak ini setiap bulan. Berapa lama … bergantung kepada jumlah sumbangan yang kita terima . Semoga Allah permudahkan urusan keluarga ini … Ibu Ammar boleh dihubungi di nombor 013 459 4253 .
** 2005101000102860 Agro Bank Maszelina Bt Osman
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Ramai antara kita kini menanggung kerinduan yang berat terhadap ibu ayah yang berada di kampung setelah sekian lama tidak dapat berjumpa. Bukan sahaja kerana jarak menjadi pemisah malah situasi semasa jangkitan Covid-19 yang semakin serius menjadikan kita perlu reda dan kekal patuh dengan SOP yang ditetapkan demi menjaga keselamatan orang tua di kampung.
Berkongsi kisah tentang ini, seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Ahmad Zakimi Abdullah, sanggup tidak bertemu dengan ibu ayah walau telah berada di kampung halaman. Bukan caranya untuk dia dapat singgah dan bertemu orang tua yang begitu dirindui dengan pelepasan yang diberikan.
Sungguh walau kerinduan bersarang di hati, namun demi menjaga keselamatan orang yang paling disayangi, dr ini hanya melihat dari kejauhan sekadar menyampaikan kiriman Popia Simpul untuk mama.
Perkongsian ini mendapat perhatian warganet dan ramai yang tumpang bersedih dan bangga dengan apa yang dilakukan oleh seorang frontliner ini.
Ini yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Zakimi Abdullah.
Popia Simpul Untuk Mama
Dua hari lepas aku ke Kelantan dari Johor Bahru atas urusan penting. Aku dapat surat kebenaran rentas negeri dari polis atas satu tujuan itu sahaja. Aku pastikan minyak kereta penuh bertujuan untuk tak singgah mana-mana stesen minyak untuk memastikan tiada langsung kontak sepanjang perjalanan.
Aku bertolak pukul 8 pagi kemudian tiba di Kelantan pukul 4 petang. Aku rehat di rumah sendiri semalaman sementara tunggu keesokan pagi untuk tujuan seperti diminta kebenaran rentas negeri.
Aku bawa satu bekas popia simpul yang dipesan oleh isteri untuk diberikan pada mama. Dalam perjalanan itu aku hanya memandang botol tu.
“Abang, nanti berikan pada mama kalu abang singgah. Gantung saja kat pagar rumah mama,” pesan isteri – bermain-main ditelinga.
Hati aku meronta-ronta mengenangkan mama dan abah yang jaraknya kurang 1 kilometer dari tempat aku. Nak jumpa orang tua tak boleh memandangkan tujuan rentas negeri atas urusan penting lain. Aku tak mahu ambil kesempatan dengan cara menipu.
Lagipun SOP keluarga kami perlu ‘self-quarantine’ 10 hari dan ‘swab test’ mesti negative baru boleh jumpa mama dan abah. Abah baru habis kemoterapi 3rd cycle dan mama pula berisiko tinggi dengan pelbagai co-morbid walaupun mama sudah mengambil dos pertama vaksin.
Mereka perlu dikuarantin di rumah supaya tiada langsung kontak dengan sesiapa. Lalu, pagi sebelum aku pulang ke Johor, hati aku sangat resah. Semalaman tak dapat lelapkan mata. Ya, terasa mama dan abah sangat dekat. Rumah mama hanya dalam perjalanan ke tempat urusan aku.
Aku pergi juga depan rumah dan hanya memandang kearah rumah mama. Nak lepaskan rindu setelah memandu 700km pergi dan 700km balik dalam tempoh masa 33 jam yang ada.
Aku berhentikan kereta depan pagar, lalu aku gantungkan popia simpul di pagar depan rumah. Kebetulan adik aku ada dihalaman rumah, dia ternampak dan ambil popia simpul tu.
Kebetulan juga aku ternampak kelibat abah.
“Abah! Abah! Adik mie nak balik JB dah! Lambai tangan skit abah!” Teriakku dari jarak sangat jauh.
Lantas aku naik kereta dan tak semena-mena mataku berkaca. Aku terus menangis dan air mata bercucuran. Aku rindu peluk cium abah dan mama. Aku bukan anak derhaka kerana tak mampu jumpa mereka walaupun aku seorang anak yang nakal dan tak dengar cakap orang tua. Ini adalah atas permintaan mereka.
“Jangan balik jumpa abah dan mama buat masa ni. Telefon saja ya.” Itu pesan mereka dan persetujuan semua adik beradik. Aku tak mahu bawa jangkitan COVID-19 kepada mereka walaupun aku sendiri adalah frontliner, aku berkelengkapan PPE penuh semasa menjalankan tugas. Lagipun aku sudah menerima 2 dos vaksin.
Aku menangis sepanjang perjalanan kerana tak tertahan lagi. Ya, aku lakukan ini demi putuskan rantaian COVID-19.
Lihat saja sekarang. Ada agamawan rentas negeri atas tujuan undangan, lalu singgah ke tempat untuk tujuan lain. Ada selebriti meLangkawi negeri, ada artis meNilai apa yang nak dibeli, kenduri kendara dan majlis ramai-ramai dikatakan penting takyah cakap.
Kalian tengoklah kereta dijalanan atau highway sekarang. Ramai-ramai ni nak bawa balik COVID-19 new variant beraya dikampung ke? Aku merayu sekali lagi, patuhlah SOP. Mari kita sama-sama putuskan rantaian COVID-19.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata tersentuh hati dan berbangga dengan apa yang dilakukan oleh Dr ini dan mengharapkan agar semua antara kita faham dan patuh SOP yang ditetapkan untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.