Berkahwin awal, sudah pasti setiap antara kita ada pandangan dan pendapat yang berbeza. Ada yang kata bagus dan tidak kurang juga sebaliknya.
Berkongsi kisah realiti seorang lelaki ini berkahwin sebelum tamat universiti, nyata menurutnya banyak hikmahnya hingga mendorong dirinya lebih bermotivasi terutamanya dalam hal pengurusan kewangan.
Nak tahu lanjut kisahnya, jom baca perkongsian ini.
Gambar tahun 2014 kat Singapore, beberapa bulan lepas kahwin. Ada konvensyen kat sana. Tapi kos makan, transport, penginapan, semua sendiri tanggung.
Kami memang takda honeymoon apa pun lepas kahwin hari tu, sebab tak cukup duit. Jadi, kami anggaplah pergi Singapore tu sebagai honeymoon.
Siap pakai tshirt couple lagi tu. Ha!
Ads
Pergi dalam keadaan duit tak cukup ada, siap bawak stok Maggi, makan catu, takda beli souvenir, duduk hotel bajet. Senang kata, memang miskin sangat rasanya.
Saya rasa, ramai orang mesti pernah lalui zaman susah. Yang bezanya zaman susah yang kau lalui tu masa kau sorang-sorang atau dengan isteri.
Kalau kau sorang-sorang, tak kuat sangat motivasi kau untuk ubah hidup. Tapi kalau masa tu dah ada isteri dan anak-anak, mesti kau akan all out gila-gila.
Selalu saya dapat soalan,
Ads
“Macam mana kau mula terjebak dengan hartanah dan investment tu semua ya?”
Saya cuma kata,
“Dengan izin Allah ni berlaku sebab aku kahwin awal. Kalau aku tak kahwin awal, aku tak rasa yang aku akan jaga kewangan aku betul-betul.”
Ads
Bila saya kahwin awal, memang saya rasa kena jaga kewangan betul-betul. Apatah lagi anak first saya lahir sehari lepas hari konvo degree saya, 4 November 2014. Umur saya masa tu 23 tahun.
Orang lain tengah happy plan nak jalan ke Krabi dan Korea, saya dah ada tanggungjawab besar untuk dipikul. Tak ada masa nak berpoya-poya.
Otak jenuh fikir macam mana nak buat side income, nak jimat, cari jalan nak survive sampai hujung bulan dengan gaji cuma RM1,500 masa tu.
Begitulah, memang dah ditakdirkan jalan hidup kita semua. Pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Eceh. Klise betul! – HF
Setiap pasangan yang berkahwin inginkan rumahtangga sentiasa bahagia hingga ke hujung nyawa.
Biarpun perkahwinan itu sudah berusia belasan tahun atau puluhan tahun, namun pasangan tetap sentiasa berusaha untuk membahagiakan pasangan.
Begitu juga dengan membahagiakan isteri terdapat pelbagai cara. Ikuti perkongsian ini.
Cara mudah bahagiakan isteri.
1. Lembutkan hati dan jiwa isteri.
Saya selalu juga ikut kuliah Almarhumah ayahanda masa kecik-kecik dulu. Pesanan dalam kuliah tu untuk orang dewasa tapi sentiasa terngiang-ngiang di telinga saya sehinggalah ke hari ini.
Nak bahagiakan isteri tak perlukan modal dan pengorbanan yang besar. Almarhum selalu pesan, jika nak lembutkan hati dan jiwa seorang isteri, rajin-rajinlah bawa mereka ziarahi orang susah, ziarahi orang sakit, ziarahi anak-anak yatim, bawa ke majlis-majlis keagamaan dan sesekali beri’tikaf di rumah Allah SWT.
Pasti isteri akan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Tidak memandang kelebihan dan kekayaan orang lain.
2. Bawa ke tempat isteri sukai.
Bagi seorang isteri dapat keluar rumah dan hirup udara segar adalah satu nikmat yang tidak terhingga. Pusing-pusing satu tamanpun sudah cukup untuk hilangkan stress dan tekanan mereka.
Bila terlalu penat menguruskan rumahtangga dan anak-anak, isteri perlukan masa untuk pulihkan kembali tenaga mereka, terutama yang miliki anak kecil. Kat tempat kerja ada juga waktu rehat untuk betulkan urat-urat yang tersimpul, solat, makan dan pergi tandas tanpa gangguan.
Di rumah, nak betulkan badan-badan yang lenguh memang tak sempat, makan sambil suap anak, solat kadang-kadang susah nak khusyuk sebab anak panjat belakang, tarik telekung, lalu lalang bawak mainan depan ibu dan paling sedih masuk tandas sama-sama dengan anak.. terpaksa.
Jangan marah jika isteri ajak bercuti. Itulah sahaja cara untuk mereka lepaskan diri dari tekanan dan kepenatan.
3. Spare duit untuk isteri manjakan diri di SPA.
Teringat seorang pensyarah saya di IPTI, setiap bulan mesti hulurkan Rm 300 untuk isterinya manjakan diri di SPA. Katanya itulah kunci kebahagiaan.
Balik rumah, isterinya selalu wangi, jarang mengadu penat, sentiasa cergas, kulitnya halus mulus, cantik. Tak rugi laburkan RM 300 sebulan untuk isteri, hasil yang mereka kecapi lebih bernilai dari segalanya.
Ada juga suami yang tak hantar isteri ke SPA tapi sesekali bawak bidan ( yang urut orang bersalin) datang rumah untuk betulkan urat dan hilangkan rasa lenguh. Apa sahaja usaha yang suami lakukan, pasti isteri akan hargainya.
Isteri yang sihat, kurang membebel dan merungut, suamipun tak sera but dan turut sihat, anak-anak lagilah sihat. Kuncinya, kebajikan isteri mesti terjaga, keperluannya juga tidak diabaikan, tidak sakiti hatinya dan sentiasa bersama-sama dalam membuat keputusan.
4. Hargai bila isteri masak.
Abang, sedap tak saya masak hari nie?
Jangan pandang remeh soalan ini, isteri sebenarnya mahukan penghargaan dari suami.
Berilah jawapan yang isteri mahukan sekalipun tekak kita rasa tak sesedap masakan mak.
5. Prihatin dengan sakit demam isteri.
Ramai isteri yang menguruskan sakit demam suami dan anak-anak, lupa tentang dirinya juga sedang sakit. Kepala pening, badan melayang tetap juga bangun masak, kemas rumah dan menyiapkan segala keperluan.
Suami yang prihatin adalah suami yang paling penyayang.
Apabila ada di antara ahli keluarga diuji dengan tahap kesihatan yang semakin merosot, sama ada serius atau sebaliknya tentu sahaja kita akan usahakan untuk mencari rawatan bagi memastikan ahli keluarga kita kembali jalani hidup sihat dan ceria.
Pun begitu, perkongsian daripada seorang doktor ini dalam menyentuh dalam usaha untuk menghadapi ujian kesakitan, ada satu perkara yang disentuh tentang perlu juga merawat dari aspek spiritual. Ini penting, kerana daripada itu akan timbul rasa tenang bagi setiap pesakit ketika berdepan dengan ujian yang diterima.
Ikuti perkongsian penuh daripadanya dan semoga mendidik diri kita dan seisi keluarga memahaminya dengan cara yang lebih baik.
Ini perkongsiannya.
Satu ketika seorang isteri pada pesakit saya datang ke klinik. Kebetulan dia adalah “pesakit” pertama. Jadi dia masuk dengan penuh perasaan.
Sebak. Sedih. Menceritakan apa yang berlaku pada suami beliau pada minggu lepas yang diserang stroke. Dikejarkan ke hospital dan baru semalam dibenarkan pulang ke rumah.
“Doktor, ada tak suplemen yang boleh saya ambil supaya dia cepat sembuh. Saya risau kesihatan suami saya. Saya mahu dia cepat sembuh dengan cara yang lain. “
Saya diam. Saya faham perasaan beliau. Isteri mana yang tidak risau kalau suami sedang sakit. Tentu akan terus berusaha untuk memastikan suami akan segera sembuh.
Tapi malangnya usaha untuk sembuh agak lambat timbul dalam diri. Hanya wujud setelah diserang penyakit yang sebenarnya boleh dielakkan.
Kebanyakan orang kita bersikap begitu. Bersikap reaktif iaitu mengambil tindakan apabila musibah telah berlaku. Tidak bersikap proaktif, iaitu berusaha untuk mengelakkan atau mencegah musibah yang menimpa.
Kita lebih suka memadamkan api setelah rumah terbakar, tetapi tidak berusaha mengelakkan kebakaran.
Padalah bersikap reaktif lebih banyak memakan belanja berbanding dengan sikap proaktif yang hasilnya tidak dapat dilihat.
Kita lebih nampak usaha orang yang cuba memadamkannya api, berbanding dengan usaha orang mengelakkan berlakunya kebakaran.
Mereka tidak sedar terdapat banyak langkah yang boleh dilakukan dengan belanja yang lebih murah dalam meningkatkan tahap kesihatan dan mencegah penyakit.
Islam sendiri mengajarkan kita agar berusaha untuk sihat agar mudah kita beribadah (akhirat) dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah yang mentadbir dunia (keduniaan).
Ia meliputi kesihatan fizikal, mental dan spiritual. Inilah dikatakan pendekatan kesihatan yang holistik.
Kita nampak jika seseorang itu mengalami masalah kesihatan fizikal. Ia mengganggu rutin kehidupan, tidak mampu bekerja dan terpaksa berehat di rumah atau ditahan di wad.
Kita nampak jika seseorang itu mengalami masalah kesihatan mental, mereka menjadi tidak mempunyai emosi yang stabil apabila mereka bila berkomunikasi dengan orang lain. Panas baran, mendera, membuli dan pelbagai sikap buruk ketika berhubungan dengan orang lain.
Namun kita tidak nampak aspek kesihatan spiritual. Padahal kesihatan spiritual ini sangat penting. Jika tidak, pesakit tidak akan mendapat ketenangan diri, tidak mampu menguruskan stress dan tidak tahu hala tujuan hidupnya lalu membazirkan masa yang diberikan dengan cara yang tidak produktif.
Kita gagal merawat masyarakat secara lebih holistik. Kita merawat sebahagian dari tubuh kita, tetapi meninggalkan sebahagian lain.
Kita merawat masalah kemurungan tetapi kita gagal merawat hati dan kepercayaan (iman) mereka terhadap penyakit yang dihadapi sebagai ujian kepada mereka. Jadi mereka akan sentiasa marah, sedih atau putus asa dengan penyakit yang mereka ada. Ini menyebabkan stress dan keresahan yang memburukkan lagi kesihatan mereka.
Pendekatan yang holistik inilah yang ditunjukkan oleh Nabi kita.
Selama ini kita tidak perduli tentang asas soal halal dan haram dalam usaha mencari ubat, tidak tidak perduli jika cara pengubatan kita tidak mengikut cara yang ditunjukkan malah kita melakukan cara pengubatan dengan cara yang salah dan bertentangan.
Kita mengabaikan pendekatan spiritual seperti doa, solat, sedekah yang mana kita tidak dapat mengaitkan secara eksperimen bagaimana kaedah ini membantu penyembuhan. Pada hal inilah antara kaedah yang ditunjukkan oleh Nabi kita untuk mengukuhkan iman dan mencari kesembuhan.
Apakah yang kita perolehi dari rawatan yang sekerat-sekerat seperti ini? Penyakit akan bertambah dan sukar dikawal. Jiwa tidak tenang. Iman kita terhadap Allah juga berkurangan. Jadi kita gagal.
Carilah langkah yang holistik dalam merawat penyakit kerana kematian adalah pasti. Kita tidak mampu menangguhkannya. Dengan cara yg lebih holistik dan sempurna, kita mendapat kebaikan dunia (lebih sihat, bertenaga dan tenang) dan kebaikan akhirat (iman menjadi lebih kuat).
Mendidik anak-anak untuk berpuasa adalah menjadi kewajipan kepada kedua ibu-bapa. Namun tiada umur yang ditetapkan dalam melatih anak-anak berpuasa berbanding solat.
Lantaran itu, pastikan tubuh anak terbiasa dengan rutin selama satu bulan ini, namun tidak bermakna ibu bapa perlu memaksa mereka sehingga menyebabkan kecederaan atau menjejaskan kesihatan.
Kewajipan berpuasa adalah kepada muslim yang baligh. Dalam saranan didikan tarbiyah pula menyebut kewajipan bersolat untuk kanak-kanak mulai usia 10 tahun. Oleh yang demikian latihan anak puasa haruslah bercirikan seperti sebuah latihan dan bukan kewajipan pada anak-anak, sesuai dengan fitrahnya bertahap-tahap.
Ikuti panduan ini.
Tempoh puasa
Mulakan dengan beberapa jam, mungkin 2-3 jam, kemudian separuh hari, berbuka ketika zohor, kemudian asar dan sehinggalah anak berlatih mampu menahan dirinya tidak makan seperti mana orang dewasa sehingga maghrib.
Bangun awal sahur
Begitu juga dalam amalan bersahur, kejut dan didik untuk bangun awal. Sekiranya belum baik, benarkan untuk bersarapan dan terus dorong untuk puasa semampunya.
Sokongan
Sokongan dan dorongan secara lembut hendaklah seiring dengan latihan ibadah puasa yang diterapkan. Aspek emosi, perasaan anak dan empati ketika mereka melalui fasa sukar berpuasa mestilah dikomunikasikan. Ini penting agar anak tidak melihat ia sebagai latihan yang menderitakan dan tidak manusiawi. Gambarkan dan sampaikan kepedulian pada anak melalui sentuhan, dan kata-kata yang mengiyakan.
Kesihatan anak
Perhatikan kesihatan anak. Anak yang tidak sihat jangan diminta berpuasa. Anak yang pucat, lesu bergolek menahan sakit perutnya jangan diminta bertahan untuk berpuasa.
Mindset masyarakat anak harus berpuasa penuh bermula 6 tahun atau lebih muda sesungguhnya memberatkan kanak-kanak. Ini terlihat dengan kata-kata yang diusahakan dalam perbualan masyarakat secara lazim, “puasa penuh tak”, ” Mesti puasa penuh, dapat seringgit sehari”, atau “tahanlah sikit lagi, sayanglah kalau berbuka dah dekat nak buka” sedangkan anak bergolek pucat menahan kelaparan. Banyak lagi contoh komunikasi yang menggambarkan mindset begini.
Anak yang terlatih dengan ibadah solat akan membaiki ibadah puasa, dengan bimbingan orang tuanya dan ia mengambil masa sesuai dengan usianya untuk di tarbiyah begitu. Pendidikan solat harus tidak bermusim, bermula dari kecil sepanjang masa dan terlihat pada diri ibu bapa dan anak-anak.
Jadikan Ramadan bulan yang seronok
Gambaran terhadap bulan Ramadan juga perlu diolah agar memberi keseronokan buat kanak-kanak. Raikan kedatangan Ramadan itu seperti menyambut kedatangan Hari Raya.
Hidupkan keseronokan berbuat baik dengan memberi perhatian kepada semua amalan baik yang perlu dihidupkan setiap hari, dan tambahkan dengan aktiviti seiring dengan objektif amalan baik yang mahu diterap. Promosikan semua kebaikan seperti kutip sampah, senyum, berkongsi, bantu ibu ayah, kemas peralatan, membaca buku, bermain dengan baik dan pelbagai lagi, tidak marah dan tidak bergaduh.
Jadikan Ramadan sebagai bulan yang membawa kebaikan sebenar-benarnya, sehingga dapat dirasai sang anak kecil. Kebaikan kepada masyarakat, jiran, suami isteri, anak-anak, dan kebaikan terhadap diri sendiri.
Begitu juga Ramadan dihidupkan sebagai bulan pesta ibadah. Ramadan sebagai satu pesta kemasyarakatan. Masyarakat sering bertemu, bersama, berbuat baik, menyatu dalam ketaatan kepada Allah. Libatkan anak-anak dalam ibadah solat, utamakan kepada solat fardhu, solat terawikh istimewa Ramadan dan solat sunat lainnya.
Kenalkan amalan semasa berpuasa
Perkenalkan mereka dengan masjid ketika iftar jamaie, solat jemaah, dan iktikaf. Kongsikan keistimewaan masjid sebagai rumah Allah. Keistimewaan tetamu Allah. Begitu juga Al Quran, lazimi al Quran setiap hari dengan anak di bulan Ramadan, semoga ia kekal bersama keluarga selepas Ramadan. Jadikan ia acara keluarga, bukan kita seorang diri sahaja yang mahu khatam Al-Qur’an tetapi bawa keluarga kita bersama.
Sedekah juga harus dilazimi setiap hari agar amalan ini terpahat dalam amalan anak-anak secara semulajadi. Bangkitkan kepedulian kepada umat Islam yang susah kerana miskin dan kerana penindasan peperangan. Bawa berjumpa keluarga yang sempit hidupnya agar anak-anak terbuka minda melihat sesuatu yang membina keinsafan dan kematangan mereka kerana anak-anak terbatas kefahaman mereka, mereka dapat memahami apa yang dapat ditanggapi (dilihat) dengan mata mereka sahaja.
Meskipun mereka mungkin terbatas dalam memahami puasa dan belum sempurna latihan puasa mereka, jangan ditinggalkan pengajaran lain yang boleh disuburkan Ramadan ini. Hidupkan kebaikan dan ibadah Ramadan selari dengan latihan berpuasa.
Buat aktiviti mengenai bulan Ramadan
Meraikan fitrah anak juga, semua pengajaran, isi, content yang ingin ditarbiyahkan itu mestilah dilihat sebagai seronok, dan ada aplikasinya. Bukan sekadar kata-kata. Maka setiap hari perlu dibuat aktiviti sokongan mengenai fokus pengajaran pada hari tersebut. Aktiviti sokongan akan membantu kefahaman anak tentang sesuatu objektif pengajaran. Ia boleh berbentuk kraf, story telling, lakonan, video, lawatan, penghasilan buku skrap dan banyak lagi idea kreatif.
Aktiviti boleh menggunakan pelbagai produk sokongan Ramadan yang ada atau ibu bapa boleh DIY sendiri. Malah setiap aktiviti ini dapat diolah menjadi penulisan berbentuk 3M (membaca, menulis, mengira). Perancangan yang baik akan membantu ibu bapa.
Jadual Ramadan
Apabila cuti persekolahan mengambil 10 hari dari Ramadan tahun ini, buatlah jadual harian yang akan membantu perjalanan anak-anak bersama ibu bapa di rumah. Ada 3 kategori jadual Ramadan. Jadual utk hari anak bercuti tetapi ibu ayah bekerja, jadual Ramadan di hujung minggu dan Jadual Ramadan ketika hari persekolahan.
Persiapan rapi amat membantu semua keluarga menghadapi Ramadan. Berbeza dengan apabila kita belum ada tanggungjawab keluarga, semoga Allah memudahkan jalan hambaNya yang berusaha. Semoga Allah menemukan kita dengan Ramadan.
Sumber: Nurul Hanan Arifin
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.