Perkongsian seorang ibu ini cukup menyentuh hati dan menyedarkan kita dalam hal suka melebalkan perangai dan sifat anak ke dua dalam keluarga. Ada yang kata anak ke dua banyak ragam, pelik dan sebagainya.
Jadi apa kata kita buang perangai suka melabelkan dan membeza-bezakan anak dan beralih menjadi ibu ayah yang melihat setiap anak ada kekurangan dan kelemahan masing-masing.
Ikuti perkongsian ini.
Umum seakan
“Anak nombor 2 ye?”
“Anak nombor 2 memang macam tu…”
Itu ayat biasa yang ibu selalu dengar.
Kebanyakan orang suka labelkan anak kedua ini lain daripada anak-anak yang lain. Pelik, unik atau aneh.
Malam ni, Allah izinkan ibu melihat anak kedua ibu ini dengan pandangan berbeza.
Usai solat Maghrib, ibu minta angah bacakan doa.
“Baca slow-slow boleh ke ibu?”
Dia cuba mengelak. Seperti kebiasaannya.
“Bacalah kuat-kuat angah. Ibu nak aminkan. Angah nak minta apa? Along dengan adik pun nak aminkan. Malaikat pun nak aminkan.”
“Ala, tak pandai. Malu,” sambil dia tersipu-sipu.
“Doalah angah kan nak lego,” along pula menyampuk.
Ads
“Bacalah ngah. Bahasa Melayu pun tak apa. Angah anak syurga. Doa angah makbul, Insya Allah.” Ibu pujuk lagi.
Dia tarik nafas dalam-dalam sambil menadah tangan.
“Ya Allah tambahkanlah ilmu kami.”
“Ya Allah tambahkanlah rezeki kami.”
“Amin. Amin.” Ibu sambut.
“Ya Allah, bagilah abang aku dapat A dalam semua subjek dia. Janganlah ada B dan C.”
“Ya Allah, bagilah abang aku dapat nombor 1 dalam peperiksaan-peperiksaan dia.”
“Ya Allah, jadikanlah adik Mu’az ni baik dan bijak.”
Kuat dan jelas. Ibu aminkan satu demi satu doanya. Waktu itu mata ibu dah jadi seperti air terjun. Tak mampu ditahan-tahan.
Ads
Dalam kepala ini automatik terbayang drama dalam TV yang pernah ditonton beberapa tahun dulu. Kisah abang yang hebat, kaya dan berjaya tinggal di kota raya. Adiknya OKU, buta huruf yang tinggal di kampung. Abangnya bila berjaya pandang rendah kepada adiknya yang dilihat serba sederhana. Katanya doanya sentiasa Allah makbulkan. Berbeza dengan adiknya berdoa pun perlu baca pada kertas. Ditakdirkan Allah, adiknya kembali ke Rahmatullah. Ketika abangnya mengemas rumah selepas kematian adiknya, Allah temukan dengan kertas yang terselit di songkok arwah. Teresak-esak abangnya membaca kertas itu. Rupanya doa adiknya. “Ya Allah makbulkanlah segala doa abangku….. ”
Angah Mus’ab masih khusyuk dalam doanya.
“Ya Allah banyakanlah rezeki ayahku dan ibuku.”
“Ya Allah mudahkanlah kerja ayahku.”
“Amin Ya Robbal Alamin.”
Terus dipeluk ciumnya ibu.
Pelik agaknya melihat airmata ibu yang masih lebat menitis-nitis laju.
“Terima kasih angah doakan kami. Nanti angah doa untuk diri angah juga ye.”
Hari ini Allah didik ibu. Pandanglah anak-anak dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Ads
Tanpa label.
Tanpa persepsi.
Tanpa sangsi.
Kata ulama,
“Segemuk-gemuk ikan pasti ada tulangnya.
Sekurus-kurus ikan pasti ada isinya.
Begitulah juga kita manusia.
Sebaik-baik manusia pasti ada kekurangannya.
Seburuk-buruk manusia pasti ada kebaikannya.”
Kita tak tahu doa ikhlas siapa yang Allah pandang.
Barangkali doa anak kecil yang kita selalu rasa banyak ragamnya. Mungkin juga doa anak yang kita rasa banyak menduga. Ataukah doa anak yang kita rasa biasa-biasa sahaja pencapaiannya. Boleh jadi doa tulus suci anak yang kita selalu marah-marah.
“Ya Allah ampunilah kami. Kami ini ibubapa yang serba kekurangan, yang banyak silap dalam mendidik anak-anak. Tapi mereka ada Engkau, Allah yang Maha Penyayang. Dengan rahmat dan kasih sayangMu, sayangi anak-anak Syurga kami semuanya selama-lamanya…”
Setiap ibu bapa tentunya inginkan anak menjadi seorang anak yang pandai. Malah ada yang sanggup mengupah dan menyediakan kelas tambahan buat anak, agar memastikan anak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atau maktab sains. Malah ada segelintir, ibu bapa merasakan kecewa dan menganggap anak tiada masa depan apabila tidak berjaya melanjutkan pelajaran.
Malah ada pula yang beranggapan bahawa anak yang bersekolah harian tidak mempunyai masa hadapan. Namun, hakikatnya dakwaaan ini tidak benar sepenuhnya. Ada anak yang berjaya walaupun bersekolah harian. Atas sikap ibu bapa yang prihatin dan tidak putus untuk kecemerlangan anak, pastikan akan membuatkan hasil kelak.
Begitulah yang dikongsi oleh puan Nurul Hanan Arifin bahawa anak tetap boleh berjaya dan cemerlang dapat hidup walaupun bersekolah harian. Beliau menjelaskan bahawa rumah boleh dijadikan sehebat SBP dan MRSM jika ibu bapa tegas dalam pendidikan anak-anak. Ikuti perkongsiannya.
Di pagi yang hening ini, saya kongsikan perkongsian saya yang tular dahulu, mengenai rumah sebagai institusi pendidikan. Seperti mana yg dicetuskan oleh Mantan Menteri Pendidikan kita yg begitu hebat, Dr Maszlee Malik, bahawa agar SBP dan MRSM memberi peluang yg adil kepada anak-anak B40. Lantas kita berfikir, bagaimana aku mahu didik anak di rumah?
Bagaimana menjadikan rumah kita sehebat SBP dan MRSM, walaupun anak saya di sekolah harian?
Isu kuota SBP dan MRSM menjadi topik hangat. Seperti biasa, saya hanya berminat memandang ke hadapan. Apa yang kita boleh lakukan sebagai ibu dan bapa bagi memastikan kualiti anak yang dilahirkan nanti sehebat kualiti SBP dan MRSM, walaupun mungkin nanti anak-anak kita tidak dapat mengulangi jejak langkah kita ke SBP dan MRSM.
INI CARANYA RUMAH SEHEBAT SBP DAN MRSM
Tulisan ini hanyalah pencetus, banyak lagi yang belum lengkap. Sudi-sudikan sahabat budiman menambah input. Banyak adalah dari pengalaman yang dilalui sendiri, melihat di hadapan mata sendiri bagaimana rumah mampu menjadi pengeluar produk seperti SBP dan MRSM, dan pergi ke sekolah harian.
1. Buatkan jadual waktu yang baik di rumah yang mengimbangi rehat, ibadah, ulangkaji, bersukan dan riadah, sosial. Kesemua ini akan membentuk peribadi anak yang seimbang dan cemerlang. Orang yang berjaya adalah orang yang mengetahui had-hadnya dan bergerak dalam lingkaran itu. Hatta anak 3 tahun yang bijak tanpa diberitahu bahaya yang dihadapi akan mengakibatkan kecederaan pada dirinya. Begitulah peranan ibu bapa, membentuk ruang lingkup untuk anak-anak melaluinya.
2. Wujudkan dan latih anak dengan nilai-nilai keluarga yang utuh. Nilai ini meliputi agama, kemanusiaan, nilai keluarga, nilai-nilai berkawan, nilai bermasyarakat dan sosial, nilai kecemerlangan akademik, nilai kepimpinan. Nilai-nilai ini perlu dihadam dalam perbincangan dan pertukaran interaksi melalui perbualan dan aktiviti. Suburkan dalam keluarga perbincangan-perbincangan ini dan aktivitnya. Ini membentuk gaya fikir anak dan anak akan matang membawa diri di kalangan sahabat dan guru mereka.
3. Latih anak dengan kerja rumah harian dari kecil. Kemas katil, kemas bilik, sapu sampah, kemas dapur, angkat pinggan, isi air, basuh kasut, basuh tandas, basuh kereta, basuh beg, gosok baju, basuh baju. Semua ini boleh dilatih bertahap pada usia sekolah rendah. Jangan berikan alasan ada bibik. Tidak perlu tunggu sekolah menengah. Dan pastinya tidak perlu tunggu SBP dan MRSM. Tidak perlu tunggu inspection oleh MPP di pagi Ahad. Ibu dan ayah perlu buat inspection, ajar anak stretch katil, ajar anak kemas baju, sidai tuala,tutup lampu, basuh tandas.
4. Wujudkan waktu belajar ulangkaji bersama. Membaca, habiskan homework, buka pelajaran yang diajar walaupun tiada homework. Bincang-bincangkan kandungan buku. Sekiranya ibu ayah yang buat begini, percayalah. Minat anak terhadap sesuatu subjek akan lebih mendalam, kerana dapat bonus bonding dengan ibu ayah.
Ayah saya seorang pendidik di rumah. Ada hari-hari yang kami buka buku dengannya. Ayah hebat bahasa, sejak sekolah rendah, saya belajar cara menulis esei dengan baik dari ayah. Sering karangan kami menjadi contoh dalam kelas.
Apabila musim peperiksaan, beri galakan anak mengulangkaji. Pada peringkat ini anak mungkin sudah ada gaya ulangkaji tersendiri. Beri ruang, pastikan ia boleh belajar. Buatkan air milo dan biskut peneman ulangkaji. Ada sela masa sembang dan menjadi rakannya. Ibu saya memang akan ronda bilik anak-anak pada musim peperiksaan dan membawakan secawan milo panas, meneman kebuntuan ulangkaji.
Dari awal tahun, bincangkan sekiranya ada topik yang tidak difahami. Ajar anak untuk bertanya guru atau rakan yang lebih mahir. Kita tidak perlu tahu semua tapi perlu tahu apa yang tidak tahu agar dapat diusahakan penyelesaiannya. Kalau perlu sahaja, bolehlah pergi ke kelas tuisyen subjek yang agak buntu, bukan semua subjek! Saya percaya anak tuan puan yg hebat ini bijak-bijak seperti ibu ayahnya juga.
5. Seperkara yang amat penting ialah minta anak anda buat jadual belajar. Sejak saya PMR, ibu saya minta saya rangkakan jadual belajar yang saya selesa. Berwarna warni jadual saya. 8 subjek, ketika itu di SMK Seksyen 5, Wangsa Maju. Saya tidak pernah ke tuisyen, hanya pesonal coaching utk topik yang saya rasakan mencabar. Jadual belajar saya tadi, tidak rigid. Kadangkala diubahsuai. Mama pernah tanya, dari jadual tu, berapa % yang berjaya dibuat? Saya jawab 70%. Saya ingat hingga sekarang.
6. Pastinya perlu wujud ruang belajar di rumah. Meja, kerusi, lampu, juga buku-buku rujukan. Ibu ayah perlu bantu cari bersama. Ia harus kodusif, selesa. Ada jadual belajarnya yang tidak boleh diganggu. Ketika musim peperiksaan, masa saya menolong ibu ayah di dapur juga dikurangi. Ibu ayah perlu bantu anak disiplin. Bukan memaksa tetapi perlu diberi dalam bentuk kesedaran. Bak kata mama saya, biar dier rasa juga dapat markah rendah supaya ia tahu kepentingan untuk belajar.
7. Galakkan anak dan sokong anak untuk terlibat aktif dengan aktiviti sukan dan ko kurikulum. Galakkan mereka untuk serius hingga ke tahap yang tinggi untuk dua aktiviti. Ini memberikannya keyakinan yang tinggi. Percayalah. Inilah kelebihan di SBP dan MRSM. Aktiviti seperti debat, sukan pelbagai jenis, kepimpinan pelajar atau pengawas, MPP. Kelab-kelab catur, bahasa, kesenian, pertanian. Sukan dan ko-kurikulum melatih kepasukanan, kepimpinan, hakikat kehidupan yang lebih hakiki dari akademik semata-mata. Semua kemahiran ini amat terserlah apabila di alam pekerjaan. Begitu juga aktiviti kemanusiaan. Latih dan hubungkan anak-anak dengan aktiviti berbentuk kemanusiaan, boleh dipergiat dengan lebih meluas di sekolah-sekolah.
8. Biar anak anda mempuyai hobi unik. Ini membentuk personaliti dan karakter. Ia menjadikan mereka istimewa. Ia menjadi sumber keyakinan, mencipta imaginasi dan kreativiti. Ia juga sebagai ruang untuk hilangkan tekanan. Saya mempunyai hobi mengecat botol kaca dengan adik beradik, sebelum itu menjahit uncang dari kain perca. Ada juga hobi membuat cookies dengan rakan-rakan dan menjualnya kepada para guru. Yang lelaki pasti lebih mencabar hobinya. Saya juga gemar memanjat bukit dan berbasikal!
9. Sediakan makanan yang seimbang dan sihat. Setiap hari pastikan kita menyediakan makanan yang baik untuk keluarga. Kita perlu sediakan budget yang baik untuk ini. Dari pagi hingga malam, biarlah makanan kita seimbang dan sihat! Seperti makanan di Dewan Selera Asrama! Jangan sediakan budget hanya untuk percutian keluarga, rumah, perabot atau kereta kita sahaja, ya.
10. Amalkan solat berjemaah harian, wirid pagi petang harian, membaca Al Quran bersama ibu ayah, liqo keluarga mingguan, aktiviti masjid keluarga, aktiviti program agama sekeluarga. Ini semua yang keta buat di SBP dan MRSM kan. Ia mengisi rohani kita di asrama dahulu. Percayalah kita, pasangan dan anak-anak kita turut perlukannya di rumah. Bahagiakanlah rumah kita dengan membimbing keluarga kita dengah ibadah bersama keluarga. Pasti hubungan keluarga kita lebih tenang dan indah.
11. Kenal, pantau, lihat dan terlibat dengan siapa anak-anak kita berkawan. Usia remaja usia belajar menginjak dewasa. Jadikan anak remaja sebagai kawan. Ajak mereka ke rumah. Beri sokongan aktiviti mereka. Beri mereka kepercayaan. Jelaskan syarat-syarat dan ingatkan nilai-nilai kita. Jangan lupa doakan mereka. Bincang semula permasalahan atau pelanggaran nilai jika berlaku. Selami cara untuk mendekati mereka. Kadangkala perlu tundukkan ego.
IBU BAPA KENA NEKAD
Kelebihan semua di atas, apabila ia dilakukan di rumah, ia melebihi kehebatan SBP dan MRSM itu sendiri. Kerana ia dikelola oleh ibu dan ayah yang penyayang. Sungguh bertuah anak-anak yang dapat melalui pengalaman persekolahan berdekatan keluarga, cemerlang dalam pendidikan dan kehidupan, di hadapan mata ayah bonda tercinta!
Nah, boleh tak? Ibu ayah semua lepasan SBP dan MRSM yang gah semuanya, kan? Guru-guru kita dah didik kita , buktikan didikan mereka tak sia-sia. Kita adalah produk yang dilahirkan. Ulangi kecemerlangan itu, kali ini bermula dari rumah kita lagi. Anak-anak anda pasti lebih hebat. Ibu saya sering berkata, lahirkanlah generasi yang lebih hebat dari generasi kita.
Ini fasa ibu bapa menajamkan kemahiran keibubapaan, kekeluargaan. Lebih pantas kita bertindak meninggalkan idealism lama, lebih maju kita menerima hakikat masa hadapan. Banyak ruang model SBP dan asrama yang boleh dicerna dan dicerakinkan di peringkat sekolah harian dan di rumah bersama keluarga. Ini fasa ibu bapa menjiwai tugas kita bukan sekadar melahirkan dan membesarkan anak, malah menajadi pendidik dan pembimbing pelajaran dan kehidupan.
Semoga penulisan ini dapat memberi sisi pandang yang segar, menyediakan kita ntuk masa depan dari sekarang. Biasalah, perkara baharu memang akan terasa mencabar dan susah. Ia bukan senarai terhad. Tetapi ia harus bermula di suatu titik.
Melihat satu cabaran sebagai permasalahan tidak akan mampu menyelesaikan isu. Akhirnya akan tinggal alasan. Saya sedar ramai yang masih berkira-kira untuk menerimanya. Mungkin boleh menjadikan panduan di atas sebagai pertimbangan. Semoga perkogsian ini bermanfaat kepada ramai.
Setiap manusia inginkan sebuah hidup yang bahagia. Namun kadang kala, ada masalah yang datang menyebabkan hati mula merana, marah dan kecewa.
Bagitu juga jika kita pilih inginkan sebuah keluarga bahagia, masalah yang datang itu sebagai dugaan dan semuanya kita jadikan ia iktibar bukan masalah.
Jadi jika kita pilih bahagia, pasti ia datang walaupun banyak masalah yang melanda. Inilah rahsia jika kita nak hidup bahagia.
Menerusi facebook seorang wanita berkongsi tentang rahsia hidup bahagia yang dijadikan pedoman dalam dirinya.
IKUTI PERKONGSIANNYA
Kali pertama saya pergi ke Mekah adalah dengan menaiki bas kecil. Tambangnya ketika itu tidak lebih dari 40 riyal sahaja.
Itulah satu-satunya modal yang perlu saya keluarkan dari poket saya. Dengan izin Allah, segala aturan mudah itu adalah dariNya. Tidak ada satupun yang sukar bagi Allah bukan?
Bahkan untuk perkara yang kita rasa sangat sukar sekalipun…
Bekerja dengan kapal Haji dan Umrah telah memberikan saya banyak pengalaman untuk belajar dari pengalaman orang lain.
Ada jemaah yang sudah kumpul wang bertahun, sudah ada waktu penerbangan. Tiba-tiba, di saat akhir visanya tidak lepas. Ada yang visanya lepas, tapi punya halangan lain sewaktu mahu berlepas.
Ada yang sudah sampai di Lapangan Terbang Jeddah, namun kena patah balik pulang ke Kuala Lumpur kerana tidak dibenarkan masuk. Macam-macam.
Rezeki dan ujian buat kita semua berbeza-beza, mengikut kemampuan kita. Namun tetap akan ada hikmah di sebaliknya.
Dari kompaun tempat tinggal kami di Jeddah, perjalanan untuk ke Mekah hanyalah lebih kurang 40 minit sahaja. Kami bertolak selepas solat Isyak. Dan berada di Mekah sehingga selesai solat Subuh. Lepas tu kami pulang semula ke kompaun kami di Jeddah.
Ada sekali tu saya terpaksa tinggal di Jeddah selama lebih 3 bulan.
Pengalaman dari hidup dan menerima pemberian Allah melalui keajaiban Tahajjud ini telah membuatkan saya lebih yakin untuk terus bertahajjud. Lebih kebergantungan hanya kepadaNya.
Kita ni hidup, usah pernah tumbang bila dikeji.
Usah pernah terbang bila dipuji.
JIKA KITA PILIH BAHAGIA…
Dan saya nak kongsi 10 rahsia hidup bahagia ini buat anda semua…
1. Apabila kita sangat mencinta seseorang, akan menjadi sukar untuk kita jumpa suatu perkara buruk dalam diri orang yang kita cinta. Bahkan jika diberikan air kosong oleh orang yang kita cinta itupun sudah cukup untuk kita berasa bahagia kan? Kalau orang yang kita cinta itu hantar mesej berupa satu titik pun boleh buat kita tersenyum…
Begitulah tingginya cinta kita pada seseorang.
Kerana apa? Kerana rasa cinta itu adalah anugerah dari Allah.
Tanya diri kita, bagaimana pula cinta kita kepada Allah. Kita bahagia sehingga kadang terlahir rasa ujub tanpa kita sedar bila Allah berikan yang baik buat kita. Tapi bila Allah berikan ujian yang sedikit, kita terus lupa untuk bersyukur.
Nak bahagia, kena bersyukur selalu. Cintakan Allah walau dalam keadaan sukar (dengan ujian).
2. Ada jurang yang sangat besar antara rezeki yang halal dan tidak. Barakah itu adalah jauh lebih utama dalam hidup. Jika mencari calon pasangan, carilah yang baik dan jika punya harta, biarlah dari sumber yang halal. Tidak amalkan rasuah atau sebagainya.
Jika berniaga, berniagalah cara halal. Harus ikhlas dalam sukatannya. Jika mencari pekerjaan, carilah pekerjaan yang halal. Sungguh sabar dan barakah itu mahal, namun mudah.
3. Kadang hadiah hidup itu datang dalam bungkusan yang paling buruk. Langsung tak nampak indah hadiah di dalamnya. “Bukalah” hadiah itu dengan sabar. Lalui hidup dengan tenang. Yakin Allah tidak pernah zalim. Everything is going to be ok.
4. Biar seberat manapun kita diuji, selagi kita mahu bersabar dan redha, InsyaAllah kita akan nampak pelangi nanti.
Segala perasaan sedih, resah, kecewa dalam hidup, rasa yang tidak terluah itu akan pergi jauh meninggal kita dengan sendiri.
Usah ambil kisah bila orang mengata.
Usah malu bila miskin harta.
Usah segan bila kita tidak punya rupa.
Allah pandang pada kejujuran dan keikhlasan. Bukan luaran.
Sabarlah walaupun terpaksa menunggu lebih dari 20 tahun untuk bahagia.
5. Bahagia itu bermula dengan diri kita sendiri. Bukan dengan pasangan. Bukan dengan kerja. Bukan dengan pujian. Bukan dengan wang. Bukan dengan kawan-kawan. Hanya diri kita dan Allah. Jika kita mahu bahagia, kita mampu. Usah letak bahagia di tangan orang lain.
Jangan berharap dengan orang.
Jangan meminta dengan orang.
6. Rezeki itu dari Allah. Manusia hanyalah perantara bagi rezeki. Ingat tu. Usah hidup “bertuhankan” manusia yang lain.
7. Sesulit manapun kehidupan kita, solat 5 waktu jangan tinggal. Tak kira siapa dan apa dosa yang pernah kita lakukan… ingat Tuhan selalu.
8. Sentiasa maafkan orang di sekeliling kita. Orang yang lebih dahulu minta maaf akan lebih mudah tenang. Usah pernah lelah untuk berbuat baik dengan semua orang.
9. Miskin macamana sekalipun jangan lupa untuk bersedekah. Jika tak mampu beri wang walaupun 50 sen, kita bantu ringankan kerja orang. Jika masih tak mampu, sedekahkanlah senyuman selalu.
10. Doa itu adalah suatu anugerah dari Allah yang sangat “mewah” dalam hidup. Doa itu bersifat abundance. Ia tak akan habis. Anda boleh berdoa setiap hari. Saya berdoa setiap hari. Malah kita semua boleh berdoa setiap hari.
Tak akan ada suatu hari ketika kita bangun untuk berdoa, kemudian malaikat berkata “hari ini tak boleh doa…. sebab doa dah habis…” (Saya tulis begini supaya kalian semua nampak dengan jelas ..).
Melainkan mati.
Selagi kita masih hidup, usah pernah putus asa untuk berdoa.
REBUT PELUANG INI
Sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, rebutlah peluang untuk berdoa di kala ini:
– Sepertiga malam terakhir.
– Waktu Sahur
– Sepanjang waktu puasa
– Menjelang berbuka
– Malam Lailatul Qadar
– Saat Azan
– Di antara Azan dan Iqamah
– Ketika sujud dalam solat
– Ketika hujan turun
– Pada hari Jumaat
Berdoa di kala ini nampak sangat remeh, hingga kadang kita sering terlupa untuk melakukannya, namun besar nikmat dan ganjarannya. InsyaAllah Dia Maha Mendengar. Cubalah…
Orang kata apa yang keluar daripada mulut ibu itu suatu doa. Jadi apabila ibu bercakap mengenai anaknya haruslah memperkatakan yang baik-baik.
Bak kata orang dulu-dulu, ‘masin mulut ibu’. Jadi elakkan berkata yang tidak elok tentang anak-anak. Lebih elok apabila berkata, “bertuahnya anak!”
Menarik dengan perkongsian puan Effy Sueffy yang berkongsi mengenai hal ini. Moga bermanfaat dijadikan panduan ibu ayah.
Musim cuti macam sekarang, anak-anak meriahlah kat rumah. Berkumpul pulak adik-beradik. Banyaklah ragam masing-masing, kan?
Mak-mak masa macam ni, ramailah yang cakap diri jadi naga, harimau, singa semua.
Itu mak. Kalau ayahnya agak bertukar jadi t-rex kot. Huhu.
Apa pun, dalam kita melepaskan rasa geram dek banyaknya ragam anak-anak, kena tahu juga beberapa perkataan larangan yang tak sepatutnya disebut kepada anak-anak.
Jom kita semak apakah perkataan larangan tersebut.
Degil.
Anak-anak biasalah, tengah nak belajar. Kadang terbuatlah benda yang kita tegah. Tiba-tiba tereksiden pulak. Aduh!
Dan kita terbiasa laju menyebut, “Itulah, degil sangat! Kan dah sakit”.
Degil yang kita sebut pada mereka, degillah jadinya. Sebab itu doa kita untuk anak-anak.
Nakal.
Sama macam degil, ini perkataan yang selalu kita sebut dengan lancar pada anak-anak. Anak aktif lebih sikit, kita dah tak senang duduk.
Kita yang selalu sebut nakal, nakal, nakal. Bila anak betul-betul jadi nakal, kita salahkan anak.
Bodoh.
Ini mungkin tak ramai mak ayah yang sebut. Tapi jangan terperanjat kalau terdengar ada juga mak ayah yang laju saja membodohkan anak-anak.
Cuma sebab anak tak pandai jawab soalan matematik, atau tak tahu macam mana nak kemaskan pakaian. Bukanlah sesuatu yang pelik pun. Kadang-kadang anak taktau sebab tak diajar.
Kenapa dibodohkan anak sedangkan kitalah yang menjadikan mereka ‘bodoh’? ?
Kurang ajar.
“Kurang ajarlah kau!” “Siapa ajar kau kurang ajar ni?”
Perkataan tu kita dengar pun tak suka. Apa lagi anak-anak. Sakit hati rasa.
Lama-lama anak simpan dalam hati. Jadi dendam. Dan doa itulah yang jadi penghias diri mereka.
Pemalas.
Siapa tak pernah sebut anak pemalas?
Bila kita minta tolong, anak tak bergerak. Lambat. Kita tak sabar,
“Hei, kenapa pemalas ni? Kan dah suruh dari tadi”.
“Suruh kemas tu pun malas. Apalah nak jadi kau ni?”
Jadi pemalaslah anak tu. Dah itu yang kita sebut selalu. Dapatlah.
Ini perkataan terlarang yang paling popular di kalangan mak ayah. Saya sendiri kadang terlintas juga dalam hati. Cepat-cepat istighfar. Cepat-cepat sebut Na’uzubillahi minzalik.
Semoga apa yang kita terlepas cakap, tak jadi doa. Terbatal dari dimakbulkan. Sebab apa saja perkataan yang terlafaz dari mulut kita mak ayah (terutama mak), adalah doa yang tak terhijab. Termakbul sekalipun terlafaz tanpa niat.
Semoga kita dapat menggantikan perkataan yang lebih baik dan penuh hikmah bila nak menegur anak-anak. Marah anak memang perlu, tapi eloklah kita marah dengan perkataan yang lebih baik.